Tautan Ukhwah

Showing posts with label Akhlak Mulia. Show all posts
Showing posts with label Akhlak Mulia. Show all posts

Saturday, June 20, 2015

Seorang Mukmin Dan Mukmin Yang Lain Ibarat Bangunan


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,
Para pembaca yang sedang meningkatkan imannya,

          Dalam kehidupan kita, kita dan orang sekeliling amat memerlukan antara satu sama lain. Tolong-menolong sesama kita amatlah dituntut dalam Islam. Terdapat hadis yang membicarakan tentang tolong-menolong sesama orang-orang yang beriman.
Mari kita lihat hadis tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah bersabda:

“Orang beriman untuk orang beriman yang lain adalah seumpama sebuah binaan. Sebahagiannnya memperkuatkan sebahagian yang lain.”

Kemudian Baginda s.a.w mempertautkan di antara jari-jari Baginda. Nabi s.a.w  sedang duduk, ketika datang seorang lelaki yang ingin bertanya (atau meminta sesuatu) atau datang seorang yang ingin menuntut sesuatu hajat, Baginda s.a.w pun menghadap kami dengan wajah Baginda, lalu bersabda:

“Berilah syafaat (kata-kata sokongan), nescaya kamu diberikan pahala. Allah akan melaksanakan melalui lidah Nabi-Nya apa yang Dia kehendaki.”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasaie)


Pengajaran Hadis

1)  Uslub Dakwah
Daripada tindakan Nabi s.a.w iaitu mempertautkan di antara jari-jari Baginda untuk memberi perumpamaan pertautan di antara sebahagian orang-orang yang beriman memperkuatkan yang lain. Di sini kita dapat faham bahawa sesiapa yang mahu menjelaskan kata-katanya dengan baik, hendaklah menggambarkan kata-katanya melalui gerak-gerinya. Ini akan memberi kesan yang lebih baik pada jiwa pendengar.

2)  Syafaat untuk menyingkap kesusahan daripada manusia
Berilah syafaat (kata-kata sokongan) untuk menunaikan hajat orang yang bertanya atau meminta sesuatu perkara yang baik, bukan perkara yang buruk, nescaya kamu akan diberikan ganjaran pahala. Ini mungkin boleh jadi penyebab kebaikan kepada orang yang diberikan syaafat.

3)  Kelebihan tolong-menolong
Kelebihan saling tolong-menolong dan saling menguatkan sesama mereka melalui amalan ini atas dasar kepentingan dan manfaat mereka seperti yang digambarkan Rasullah s.a.w iaitu orang beriman untuk orang yang beriman yang lain adalah seperti sebuah bangunan/binaan.

4)  Mengambil berat tentang golongan yang lemah dan menunaikan hajat mereka.
Pembesar/pemimpin haruslah mengambil berat kepada orang yang lemah kerana tidak semua orang dapat berjumpa dengan pemimpin dan memaklumkan hajatnya supaya pemimpin mengetahui keadaan sebenar dirinya.

Wallahu’alam.

Rujukan:
AL-ADAB (Terjemahan Kitab Himpunan Hadis Daripada Kitab al-Munkhatab Min as-Sunnah), Pustaka Salam Sdn. Bhd.


Friday, December 26, 2014

Kata-kata adalah Doa

           
                                                                        Tokku

Seorang insan yang amat ku kagumi. Banyak yang ku pelajari daripada insan ini. Satu ayat yang paling ku suka.."Kata-kata adalah doa".

*********

Saat ku merinduinya, aku menelefon tok untuk bertanya khabar,

"Asssalamualaikum, tok sihat?", tanyaku.
"Waaikumussalam, alhamdulillah, sihat ja..", jawabnya.

Namun, aku curiga. Aku terdengar batukkannya berulang kali.

"Tok...tak sihat ka? dah makan ubat?", tanyaku lagi.
"Allah...InsyaAllah.Takdak apa la. Sihat ja. Nabilah jangan risau. Cikit ja ni", jawabnya dengan tenang.

Aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

********

Aku memang kerap tidur bersama dengan tok. Cucu sulung la katakan. Pernah suatu malam, aku tersedar dan melihat tok sedang urut kakinya.

"Tok...tok sakit? Nak Nabilah yang picitkan?", tanyaku.
"InsyaAllah.Tak dak apa la, lengah ja. Nabilah tidur la. Tok nak tidur dah jugak."

Aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

*********

Pernah aku dan tok berbincang tentang kewangan. Aku seolah mengeluh apabila merasakan kewangan tidak cukup namun ditangkas oleh tok dan seolah memarahiku.

"Jangan cakap tak cukup..cakap InsyaAllah cukup."

Sekali lagi, aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

*********

"Tok...Nabilah risau la. Macam tak ada rezeki ja nak p.."

"Jangan cakap tak dak rezeki, cakaplah InsyaAllah, moga ada rezeki."

Aku terdiam seketika.

*********

"Pah nak meniaga..tapi xtaw laku ke dak", luahan makku.

"Awat yang p pikiaq lagu tu? InsyaAllah, ada. rezeki kita Allah yang pegang",tegas tok menjawabanya

*********

Akhirnya, aku tak mampu pendam lagi dengan persoalan yang bermain di benak.

"Tok...boleh Nabilah tanya cikit?"

"Apadia?"

"Kenapa tok selalu sangat positif dan cakap InsyaAllah? Padahal kadang-kadang memang rasa benda tu tak boleh, tapi tok dok suruh pikiaq benda baik dan cakap InsyaAllah", tanyaku.

"Sebab, kita kena yakin dengan Allah, percaya pada Allah, Allah yang Maha Mengetahui, bila kita cakap, kita seolah doa pada Allah, jika Allah nak bagi, Allah bagi. Itu kuasa Dia", jawab tok.

Sambungnya lagi.....

"Kita adalah apa yang kita cakap dan pikiaq. Law kita pikiaq dan cakap sakit, dok sakit la kita sentiasa. Law kita pikiaq tak dak duit dan selalu dok sebut tak dak duit, tak dak duit la kita. Law kita selalu dok pikiaq negatif, tu yang selalu tak boleh buat. Kita kena lawan. Kena selalu pikiaq baik dan ingat Allah, InsyaAllah ok. Ingat, kata-kata tu doa".

Nah! Gedebuk batu jatuh kena muka. Rasa tamparan yang hebat. Positifnya tok. Patut la hidupnya selalu ceria walau macam-macam ujian yang ku lihat menghinggapinya. Tenang tok menghadapinya. Satu inspirasi buatku.

Pengajaran yang ku kutip:

1) Jangan cepat mengeluh.

2) Buang fikiran negatif dan jadi orang positif.

3) Yakin pada Allah.

4) Lawan dengan benda-benda remeh yang mengganggu kita untuk melangkah laju kepada Allah.

5) Cakaplah dengan perkataan yang baik.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
“Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”
(HR. Bukhari-Muslim)

6) Kata-kata adalah Doa.

Moga jadi inspirasi buat semua. ^_^
*Teruskan doa buat saudara mara kita yang diuji dengan banjir. Dan bila kita berbincang tentangnya, cakaplah yang baik-baik. kata-kata itu doa. ^_^
Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
24/12/14, 5.50pm,
Mu'tah, Jordan.


Sunday, November 23, 2014

Check List Sebelum Tidur

Bismillah…
Jom check list sebelum tidur.

ü  BERWUDHUK
           Hadis dari Al-Barra’ bin Azib r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
           “Apabila engkau hendak tidur, berwudhuklah sebagaimana wudhuk ketika hendak              solat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)



ü  SOLAT SUNAT
Nabi Muhammad juga menyarankan umat Muslim utuk menunaikan Solat Sunat Witir sebelum tidur, sebagaimana yang tercatat dalam Hadis berikut yang bermaksud:
"Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan Solat Witir setiap kali sebelum tidur".
 (Hadis Riwayat Imam Bukhari)


ü  BACA SURAH AL-MULK
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Satu surat dalam Al-quran (yang terdiri dari) tiga puluh ayat (pada hari kiamat) akan memberi syafaat (dengan izin Allah s.w.t) bagi orang yang selalu membacanya (dengan merenungkan ertinya) sehingga Allah mengampuni (dosa-dosa)nya, (iaitu surat Al-Mulk): “Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan/kekuasaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu”. Dalam riwayat lain: “…sehingga dia dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.”  
(HR. Abu Dawud no. 1400, At-Tirmidzi no. 2891, Ibnu Majah no. 3786, Ahmad 2:299, dan Al-Hakim no. 2075 dan 3838, dinyatakan shahih oleh Imam Al-Hakim dan disepakati oleh Imam Adz-Dzahabi, serta dinyatakan hasan oleh imam At-Tirmidzi dan syaikh Al-Albani).



ü  MEMBERSIHKAN TEMPAT TIDUR
Dianjurkan pula untuk mengibaskan kain pada tempat tidur sebanyak tiga kali sebelum berbaring. Anjuran ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: 
“Apabila seorang dari kamu akan tidur pada tempat tidurnya, maka hendaklah mengibaskan kainnya pada tempat tidurnya itu terlebih dahulu, kerana ia tidak tahu apa yang ada di atasnya…”. 
Di dalam riwayat yang lain dijelaskan bahwa jumlah kibasan yang dianjurkan adalah sebanyak tiga kali.
(Riwayat  Bukhari dan Muslim)


ü  BACA DOA
"Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falak dan Surah An-Naas, kemudian baginda menyapukan tangannya ke seluruh badan yang dapat disapunya dari kepala dan mukanya dan bahagian depan daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali." 
(Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)
                             


ü  MUHASABAH
Sangat dianjurkan bagi setiap Muslim untuk koreksi diri sebelum tidur. Merenung kembali segala perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang hari. Jika kita dapati, perbuatan itu baik, maka pujilah Allah s.w.t dan jika sebaliknya, maka segeralah memohon ampun pada Allah s.w.t. Banyakkan istighfar.

                                             


Jom islahkan diri. Terus mara melangkah menuju ke arahNya. Wallahualam.

Thursday, September 11, 2014

Mengutip Makanan Yang jatuh?

Assalamualaikum w.b.t,
Apa khabar iman para pembaca ketika ini? Jom ketuk iman.

                                                        


Pembaca yang soleh/ah,

          Apabila makanan terjatuh dari tangan kita ketika makan, adakah kita mengambilnya atau membiarkannya? Ramai antara kita akan membiarkannya, betul atau tidak?

Jom kita tengok hadis dari Riwayat Muslim,

Diriwayatkan Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda :

“Apabila jatuh makanan seseorang, maka hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan kotoran yang ada padanya kemudian dia memakannya. Jangan ditinggalkan makanan itu untuk syaitan. Jangan membersihkan tangannya dengan sapu tangan sebelum dia jilat jari-jarinya. Kerana dia tidak mengetahui pada makanan mana yang mengandungi keberkatan”.

          Jangan kita biarkan syaitan ada kesempatan untuk mengambil makanan dari makanan kita dengan sengaja.

          Terbaca  buku Adab-Adab Dalam Islam dalam bab adab makan. Dalam bab ini, ada ia menceritakan bahawa pengarang kitab Raudlatun Nadiyah menukil perkataan salah seorang ulama yang menyebutkan:

“Suatu hari kami dikunjungi oleh salah seorang sahabat, saya menghidangkan makanan kepadanya. Ketika dia makan, terjatuhlah makanan dari tangan dan bergolek ke lantai. Beliau cari ke sana ke mari, sehingga membuat orang ramai yang hadir kehairanan dengannya. Beliau terus-menerus mencarinya sampai dia mendapatkannya kemudian memakannya. Beberapa hari kemudian ada seseorang yang dirasuki syaitan (jin) dan berbicara dengan lisannya. Di antara perkataan syaitan tersebut adalah, “Saya pernah melewati Fulan yang sedang makan dan saya tertarik dengan apa yang dia makan, namun dia tidak mahu memberiku makan sedikitpun, maka saya sambar dari tangannya namun dia kembali mencabut dari tanganku dan mengambilnya.”
(Ta’liiqaat Raudlah, 3/81)

Jadi para pembaca sekalian,

          Lepas ni, jika ada makanan jatuh, kita ambillah. Namun, pendapat ana, ikut keadaan la. Contoh andai jatuh dalam longkang ke, atau jatuh pada tempat yang teramat kotor dan risau boleh buat kita keracunan, tidak perlulah ambil.

Jom terus mara melangkah ke arahNya.


Wallahualam.

Monday, June 10, 2013

3 Waktu Aurat Berkunjung

                                       

Assalamualaikum w.b.t,

            Apa khabar imanmu? Moga-moga sentiasa ada muhasabah dalam diri agar kita sentiasa berwaspada dengan bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa menggoda.

InsyaAllah, kali ini ingin saya berkongsi tentang waktu-waktu aurat berkunjung. Memandangkan masih ramai dalam kalangan masayarakat kita yang tidak mengambil berat tentang waktu berkunjung ini. Jom refresh balik minda kita.

Allah s.w.t berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu; sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaianmu di tengah hari dan sesudah solat Isyak.”

(An-Nuur : 58)

 

            Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada orang-orang mukmin agar melarang para pembantu dan juga anak-anak yang belum baligh untuk masuk ke ruangan mereka pada 3 waktu iaitu:

1-      Sebelum solat Subuh

2-      Pada waktu rehat tengahari

3-      Sesudah solat Isyak

 

Kenapa?

Kerana pada waktu-waktu ini adalah waktu yang biasanya digunakan untuk tidur, rehat dan lain-lain lagi.  Oleh itu, ada larangan untuk masuk ke ruangan pada waktu ini kecuali dengan izin.

           

            Kebiasaannya, pada waktu-waktu begini, tuan rumah sendiri tidak mempunyai sebarang persiapan untuk menerima tetamu. Hal ini kerana pada waktu-waktu sebegini akan mengganggu rehatnya melainkan tetamu itu memaklumkan akan kehadirannya pada waktu-waktu ini.

            Apabila tidak ada persiapan, berkemungkinan besar, aib tuan rumah akan terkeluar. Secara misalnya, ketika waktu tengahari, ada anak perempuan si tuan rumah yang sedang tidur di hadapan ruang tamu. Maka, di sini, akan ternampak aurat si anak tadi. Contoh lain, ada baju-baju yang baru diangkat di ampaian dan belum sempat dilipat dan disimpan. Tidakkah memalukan apabila tetamu melihat baju bertimbun dalam rumah tuan rumah?

            Oleh itu, jika kita ingin berkunjung saudara mara, maka seeloknya memaklumkan kepada tuan rumah agar mereka bersedia . Bukanlah bermakna kita ingin dilayan bak puteri ketika tiba di sana, tetapi kita tidak mahu aib tuan rumah sekeluarga terbuka.

            Akhir kalam, carilah masa untuk berkunjung saudara mara, sahabat-sahabat dan orang terdekat agar ikatan silaturrahim antara kita bertambah erat diikat pula dengan kasih sayang yang terbina. Carilah masa yang sesuai untuk berkunjung. Risau-risau ingin mengikat silaturrahim akhirnya menjadi masam muka antara satu sama lain. Ayuh, kuatkan iman, mantapkan ukhwah!

Wallahualam.

Friday, March 1, 2013

Anjuran Meminta Izin Bagi Orang Yang Hendak Bermusafir


                                                                   

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta kerabat baginda.

Astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim..astaghfirullah’azim.

Pembaca yang disayangi Allah,
          Jika anda hendak bermusafir, pernah tak anda mintak izin dulu dari sesiapa? Atau ikut suka hati ke nak keluar musafir? ^_^

          Semalam, sengaja ku membelek sebuah buku dan terjumpa tajuk “Anjuran Meminta Izin Bagi Orang Yang Hendak Bermusafir”. Hmmm…jarang dengar kan? Jom baca sikit apa yang terkandung dalam tajuk ni..

*********
          Orang yang hendak bermusafir dianjurkan untuk meminta izin kepada keluarga, kerabat dan kawan-kawannya.

          Ibnu Abdil Bar mengatakan bahawa apabila salah seorang di antara kamu hendak bermusafir, maka hendaklah meminta izin kepada kawan-kawannya. Allah s.w.t menjadikan berkat di dalam doa mereka.

          Asy-Sya’bi mengatakan bahawa sunnah Nabi s.a.w. mengajar kita agar ketika seseorang datang dari bermusafir, maka hendaklah kawan-kawannya menemuinya untuk mengucapkan salam kepadanya. Ketika dia hendak bermusafir, maka hendaklah dia mendatangi mereka untuk meminta izin dan manfaatkan doa mereka.

          Mengenai perlunya meminta izin ini, ada sunnah Nabi s.a.w. yang sering ditinggalkan dan hanya sedikit orang sahaja yang mahu mengamalkannya. Iaitu melepaskan pemergian seseorang dengan membaca doa yang diajar oleh Nabi s.a.w.

                                             

Qaza’ah mengkhabarkan:
قَال لِي عُمَرَ هَلُمَّ أُوَدِّعُكَ كما وَدَّعَني رسول الله صلى الله عليه وسلم أَستَودِعُ الله دينك وأمانتك وخَوَاتيمَ عملك.
Ertinya:
“Ibnu Umar pernah berkata kepadaku, “Marilah aku lepas kepemergianmu sebagaimana Rasulullah s.a.w. melepas kepergianku, ‘Aku kirimkan kepada Allah agamamu, amanatmu, dan penutup amalmu.”
(HR. Abu Daud)

          Maksud dari ucapan ‘Aku kirimkan kepada Allah agamamu’ ialah bahawa aku meminta kepada Allah untuk menjaga agamamu. Sedangkan kata ‘amanatmu’ menurut Al-Khathtabi, bererti keluarga dan orang-orang yang ditinggalkan, serta harta benda yang dikirimkan kepada seseorang.

          Agama dijadikan sebagai kiriman yang utama bagi orang yang sedang melepaskan kepergian seseorang, kerana bermusafir merupakan keadaan yang penuh dengan kekhuatiran. Tambahan pula, boleh jadi seseorang itu akan mengalami kesukaran yang boleh menyebabkan dirinya mengabaikan dirinya satu dan lain hal yang berkaitan dengan masalah agama.

          Oleh kerana itu, sangat sesuai untuk mendoakannya agar sentiasa mendapat pertolongan dan taufiq (dari Allah) dalam menghadapi semua masalahnya.

********
Pembaca yang setia,
          Lihatlah betapa hikmah meminta izin sebelum bermusafir amat banyak. Orang akan redha dengan kepergian kita lantas mendoakan kesejahteraan kita sepanjang perjalanan. Selain itu, jika berlaku apa-apa kepada kita, orang akan tahu di mana kita dan cuba memberi pertolongan.

          Sedar atau tidak, dengan meminta izin bermusafir juga akan mengurangkan kebimbingan orang sekeliling kita kerana mereka tahu kita ke mana. Betul tak?

          Jadi, selepas ini, mari kita cuba meminta izin atau memaklumkan kepada orang terdekat apabila kita nak bermusafir. Mudah kan? Tambahan pula, zaman teknologi sekarang, boleh je maklum dengan telefon, internet dan sebagainya.

Wallahualam.

*Sumber dari buku Adab Dalam Islam, Fuad Abdul Aziz Asy-Syalhub.



Tuesday, October 9, 2012

Faedah Berdoa Dengan Suara Lirih

                                                                       
Assalamualaikum w.b.t,

     Alhamdulillah dengan izin dan limpah-Nya, masih lagi kita bernyawa pada hari ini. Apa khabar imanmu? Baru-baru ini, semasa bersama sahabat , kami ada berbicara tentang doa. Persoalan kami, ada ke orang yang berdoa seolah-olah marah? Suaranya tinggi...emm..ada pula macam ni? Padahal kita ingin memohon bantuan kepada Allah s.w.t.

Pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

          Dalam Islam, kita dianjurkan berdoa dengan suara lembut. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 55:

“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut”.



          Berdoalah kepada Allah kerana jika kita tidak melakukannya, kita akan dianggap sombong. Allah s.w.t menyuruh hamba-Nya bersungguh-sungguh dalam berdoa dan dilakukan dengan suara lirih (tidak kuat).  Berdoa dengan suara lirih lebih menunjukkan kesopanan dan keikhlasan.

Diriwayatkan daripada Al-Hasan, kata beliau:

“Kaum muslimin dahulu sangat bersungguh-sungguh di dalam berdoa tepai suara mereka tidak kedengaran melainkan bisik-bisik antara mereka dengan Tuhan mereka. Ini kerana Allah berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmi dengan rendah diri dan suara yang lembut”.
(Tafsir Ibnu Katsir, 3/428)

Ibnu Taimiyah juga menyebutkan beberapa faedah berdoa dengan suara lembut:

1-    Menunjukkan kualiti iman yang lebih tinggi. Apa yang bersangkutan mengetahui bahawa Allah s.w.t. mendengar doa yang dipanjatkan dengan suara lembut.

2-   Menunjukkan sopan santun dan penghormatan. Kerana di hadapan para raja umumnya tidak ada suara yang kuat. Barangsiapa yang bersuara kuat di hadapan mereka, maka mereka akan murka kepadanya. Sementara Allah memiliki perumpamaan yang paling tinggi kualitinya. Apabila Allah s.w.t mendengar doa yang dipanjatkan dengan suara lirih, maka tidak ada yang sesuai dengan adab kesopanan di hadapan-Nya selain merendahkan suara.

3-   Terasa lebih tawaduk dan khusyuk.

4-   Terasa lebih tulus dan ikhlas.

5-   Dapat memberi tumpuan yang lebih dalam suasana merendahkan diri semasa berdoa. Ini kerana suara yang kuat akan memecahkannya.

6-   Menunjukkan Allah s.w.t. Tuhan Yang Maha Dekat dengan hamba-Nya. Oleh kerana itu Allah s.w.t. memuji hamba-Nya , Zakaria dengan firman-Nya yang bermaksud:

“(Iaitu) tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut”
(Surah Maryam : 3)

Dalam awal surah Maryam ini, Allah menceritakan kisah Nabi Zakaria yang tidak pernah berputus asa dan tidak pernah kecewa dalam berdoa meminta agar dikurniakan zuriat walaupun telah tua beruban, dan isterinya mandul. Beliau kental yakin dengan berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan suara yang lembut. Sehingga akhirnya Allah beri khabar gembira untuknya dengan kurniaan zuriat bernama Yahya.

7-   Lebih memungkinkan untuk terus-menerus memanjatkan permohonan. Ini kerana lidah tidak jemu dan organ tubuh lain tidak penat. Berbeza dengan ketika bersuara kuat yang menyebabkan lidah terasa jemu dan stamina tubuh menurun.

8-   Jauh dari gangguan yang boleh menghilangkan tumpuan.

Akhir kalam, berdoalah...kerana berdoa merupakan salah satu cara yang dapat ditempuh bagi seorang hamba untuk membuktikan keperluannya kepada Allah, dan sebagai bukti ketundukan dirinya kepada Rabbul ‘Alamin.

Muhasabah sebentar....


                                   
Wallahualam.

·      -   Sumber ada dipetik dari buku yang berjudul Adab Dalam Islam karya Fuad Abdul Aziz Asy-Syalhub.