Tautan Ukhwah

Monday, December 14, 2015

Anak Kedah di JORDAN


Bismillah..Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, syukur pada Allah, berakhir sudah program REACH. Satu program yang mengumpulkan anak-anak KEDAH satu Jordan. Dan mungkin ini kali terakhir aku bersama-sama dengan program MPKJ (Majlis Pelajar Kedah Jordan).

          Dengan program REACH ini, aku semakin kagum dengan anak-anak Kedah. Semangat mereka, perjuangan mereka buat mataku berkaca.

          Ketika aku dilamar sebagai timbalan pengarah, sungguh terasa beratnya. Namun apabila dipujuk oleh Ibtisam, ku kuatkan hati dan cuba untuk teruskan. Aku dimaklumkan ketuaku Adam Anwar. Siapakah dia? Sungguh, sebelum ni hanya ku kenali muka tanpa tahu nama sebenarnya.

          Pada awal kami sudah mengetahui akan amanah ini, aku sudah memaklumkan kepada Adam bagaimana gerak kerjaku. Ya..benar! aku memang jenis cepat gelabah kadangkala, akhirnya kata pengarah ini..”Tak pa..kita cool ja”. Aku kembali tenang.

          Ketika di pertengahan gerak kerja untuk program ini, aku terasa tidak mampu untuk teruskan. Akhirnya, ku maklumkan pada pengarah bahawa aku berhajat untuk tarik diri. Tetapi pengarah memberi dorongan dan menenangkan keadaan. Akhirnya, aku terus melangkah dan di sini aku belajar untuk tenang.

          Setiap program pasti perlu dibuat kertas kerja. Walau berkali-kali kertas kerja perlu diubah, namun Zuhair dan Fathin sebagai Setiausaha tetap sabar untuk membaikinya .  Sabar mereka seperti sabar srikandi Siti Sarah.

          Mana mungkin program bergerak tanpa ada kewangan. Hadirnya Luqman dan Fitriah menjadi program ini semakin kukuh. Membuat belanjawan dengan teliti,  berhubung dengan semua unit untuk melihat sejauh mana kewangan diperlukan. Aku masih ingat kata-kata Fitriah..”kak, saya ni tak pernah lagi jadi bendahari, tapi saya cuba jugak..”. Terbaik Fitriah.

          Bagaimana untuk melancarkan program ini? Allah beri kami programmer yang begitu mantap. Baihaqi, Arifah dan Najlaa yang sentiasa memikirkan tentatif  program, dan cuba melancarkan program dengan baik. Banyak masalah yang berlaku ketika program, namun mereka dapat mengawal dengan baik. Ku rasakan mereka amat hebat dan inilah programmer yang terbaik yang pernah ku jumpa.

          Allah sudah mengatur kehidupan kita dengan baik. Kita juga perlu ikhtiar untuk mengatur sesuatu dengan baik. Setiap perkara , kita perlu sambut dengan baik walau apapun jua cara yang datang, kerana kita yakin itu dari Allah. Begitu juga dengan program ini, Fathah, Anis dan Adzreen sangat baik dalam menjadi ajk sambutan dan protokol. Senyuman di bibir tidak pernah lekang. Sedar atau tidak, mereka telah menunjukkan qudwah yang sangat baik untuk kita.



          Mata diberi untuk melihat. Program ini bila dilihat, Allah..sangat cantik dan indah. Bertungkus lumus ajk persiapan iaitu Zulqarnain, Rubiatul Adawiyah dan Rosmiza merangka persediaan tempat dan menghiasnya. Tidur lambat, habiskan masa membuat barang-barang perhiasan buat ku kagum dengan kegigihan mereka. Mereka langsung tidak pernah mengenal erti lelah dibantu oleh Syafiqah, Fatin Naimah, Huda dan Fatin Nur Afifah. Subhanallah…

          Tanpa ajk persegaran, pasti perut-perut peserta kelaparan. Sungguh mulia Alliqo dan Ridhwan kerana memikirkan apa yang boleh mereka beri peserta makan. Sehabis baik mereka memilih makanan yang berkualiti untuk dihidangkan kepada peserta. Alhamdulillah, semua terasa enak. Makanan juga dihidangkan dengan dengan sangat baik yang dikelolai oleh Syafiq, Ainun dan Ain.

          Zaman semakin moden. Era teknologi semakin ke hadapan. Bagi memberi segala informasi, ajk publisti sangat perlu memainkan peranan. Bersengkang mata menghasilkan poster, merangka banner, button badge dan banyak lagi. Kadangkala mereka kuatkan hati tatkala dikritis hasil kerja mereka. Namun, hati Zubair dan Arwa tabah seperti setabah umi Nabi Ismail.



          Zaman kini, semuanya perlukan perhubungan dan pengakutan untuk ke mana-mana. Tanpa Mustakim dan Fatimah Azzahra’ pasti keadaan menjadi kucar kacir untuk memastikan peserta tiba di tempat program dengan baik. Berhubung dengan manusia bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada sifat positif yang tinggi. Mereka ini ada sifat husnuzon yang tinggi pada Allah. Subhanallah…

          Jangan dipandang sebelah mata pada ajk Tugas-Tugas Khas. Kerjanya mantap, malah mereka ini juga menjadi pelengkap kepada ajk-ajk lain. Mudah bicara dan kerja, itulah Aziz, Atiqah, Shaimaa dan Huda Nabila.



          Subhanallah, pada mereka ini penuh dengan sifat-sifat mahmudah yang menjadi qudwah dalam Islam. Aku masih ingat ketika pulang dari program ini, bakal presiden MPMMJ, bertanya padaku, “kalau kak nabilah, nak bagi berapa markah bagi program ini?”. Aku terdiam.

          Ku katakan andai aku ini hanya orang biasa, mungkin markah ku berikan biasa-biasa sahaja, tetapi aku beri lebih markah pada program ini kerana aku bersama dan melihat sendiri jentera program ini bergerak. Sampai ku rasa, mereka tidak ada markah kerana besar sungguh pengorbanan mereka yang tiada ternilai.

          Akhir kalam, ana sebagai timbalan pengarah, memohon sejuta kemaafan, andai ada hak-hak yang tidak tertunai, terasa hati atau terasa tertekan dengan ana. Ana juga insan biasa yang sedang melangkah ke arahNya. Mohon terus tegur ana jika ada salah.

Jentera REACH yang dikasihi Allah,
          Terima kasih untuk segala titik peluk hampa. Terima kasih untuk segala pengorbanan yang dilakukan. Moga SYURGA untuk kalian. Biar kita penat di dunia, moga kita rehat di akhirat. Memori antara kita, tak akan ku lupakan. Tidak dilupakan juga, terima kasih pada semua ajk bawah dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Sekian.



14/12/12
Mu’tah, Jordan.

          

Saturday, November 28, 2015

Taat kepada ALLAH


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin kembali pada RabbNya,
Saat ini…saya ingin berkongsi tentang satu tajuk yang jika kita sebut..terasa beratnya.

Apakah ia?

“TAAT ”.

          Baru-baru ini, saya ada bersama beberapa rakan berbicara banyak perkara, dan bila disimpulkan ia memang berkaitan dengan Taat. Jom ikuti perkongsian kami.

TAAT itu apa?

“Menunaikan dan melaksanakan perintah dengan serta merta baik dalam keadaan sulit mahupun senang, semangat mahupun terpaksa.”

(Hassan Al-Banna)


Antara dalil agar taat kepada Allah :

Allah Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merusakkan (pahala) amal-amalmu” (Qs. Muhammad: 33).

Pusat kebahagiaan adalah SOLAT. Jika kita masih merasakan beratnya SOLAT, maka kita belum lagi SOLAT sebenar-benarnya. Hal ini kerana, dengan SOLAT kita mendapat kebahagiaan dari Allah. Bilamana kita rasa beban untuk SOLAT, maka di mana letak TAAT kita?


          Sebenarnya, bila kita mengangkat takbir, ‘Allahuakbar’, adakah kita merasakan Allah sedang Melihat kita? Akhirnya, menjadikan SOLAT itu lebih khusyuk apabila kita fokus.
Tanpa KHUSYUK, anda tidak akan berhasil mengenal TUHAN.

          Perasan atau tidak, di dunia ini ada banyak undang-undang sama ada undang-undang yang dibuat oleh manusia atau dari ALLAH.  Contoh paling mudah, undang-undang jalanraya. Bilamana lampu merah, semua kenderaan akan berhenti, seolah-olah TAAT pada undang-undang itu. Namun,  ada juga yang melanggarnya. Betul kan? Apatah lagi, undang-undang ALLAH, ramai juga yang melanggarnya.dan tidak TAAT. Akhirnya, akibat itu menanti.

Nastaghfirullah.

          Benda yang baik, selalu mendapat manfaatnya. Misalnya, manfaat agama adalah kita mendapat perbatasan untuk melakukan sesuatu sama ada baik atau buruk. Begitu juga dengan TAAT kepada ALLAH. Ada manfaatnya iaitu :

Mengenali diri - Ketaatkan kepada Allah akan membantu manusia untuk mengukur kadar kualiti dirinya. Kita akan dapat lihat potensi baik buruk diri, dan setelah itu dapat tahu apa yang perlu dilakukan setelah itu.



Rendah Hati – sebenarnya, semakin kita taat kepada Allah, semakin rendah hati kita sebagai manusia. Kebesaran Allah terlalu banyak yang seharusnya kita merasakan rendah diri itu. Contoh, kebesaran Allah menciptakan alam ini, Allah memaafkan kesalahan hamba-hambaNya dan macam-macam lagi.

Optimis – bermakna positif atau husnuzon. Orang yang taat kepada Allah akan sentiasa optimis. Apabila mereka taat, mereka akan redha. Contoh, mereka optimis dengan rezeki yang Allah berikan kerana yakin ini rezeki yang Allah sudah siapkan baginya. Contoh lain, jika ditimpa musibah, mereka sentiasa optimis kerana yakin ini jalan kehidupan yang Allah sudah aturkan baginya.

Syukur – hakikatnya, apabila ditimpa sesuatu itu sebenarnya Allah sedang mengajar dia untuk bersyukur.

Kasih sayang – manusia yang taat kepada ajaran Allah akan sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran Allah dalam hidupnya. Ketaatan kepada Allah akan tercermin dari sikap kita kepada sesama manusia. Jika sahabat kita buat sesuatu yang menyakiti kita, adakah kita nak marah? Atau tetap Sabar kerana TAAT pada ajaran Allah agar hambaNya selalu bersabar. Di mana TAAT kita ketika ini?

Kita selalu melihat CERMIN, bila pula kita nak jadi CERMIN untuk orang lain?

Ketenangan batin – apabila kita taat kepada Allah, semua urusan terasa baik baginya. Hati tidak lagi gelisah kerana yakin dengan ketaatannya kepada Allah pasti Allah merencanakan yang terbaik baginya.

Pembaca yang pastinya sedang ingin kembali padaNya,
          Taat kepada Allah, bukanlah sesuatu yang main-main dan mudah. Ia memerlukan MUJAHADAH. Mujahadah untuk melawan nafsu yang mengajar kita untuk Ingkar dengan arahan Allah. Adakalanya, kita akan tersungkur di pertengahan jalan Taat itu, namun pintu Taubat sentiasa terbuka luas buat kita. Allah itu sangat Maha Pengampun.  Moga kita sama-sama perbaiki diri dan terus melangkah ke arahNya, aamiin.

Wallahualam.

27/11/15, 11.35pm

Mu’tah, Jordan.

Friday, November 20, 2015

Meletakkan Sutrah (penghadang) ketika solat


Bismillah…

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari RedhaNya.

          Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu, hasil pembacaan saya dalam buku Formula Solat Sempura yang ditulis oleh Dr.Zaharuddin Abd Rahman. Perkara yang berkenaan meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan ketika solat.

Pernah atau tidak, ketika anda solat, ada orang melintasi di hadapan anda?
Hati pun bermonolog lantas khusyuk kita hilang.

Jadi, apa tujuan kita membuat penghadang di hadapan ketika solat?
Antaranya ialah sunnah Nabi s.a.w, tambahan pula ia menjadikan pemikiran kita berpusat kepada ibadah solat tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang ramai. Selain itu, ini dapat membezakan antara orang-orang yang sedang bersolat dengan orang di luar solat.

Mari kita lihat dalil ini…

Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” 

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Jika kita lihat daripada dalil ini sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah di waktu solat sendirian. Ini bertujuan agar tida orang yang mendapat dosa disebabkan lalu di hadapan orang solat.

Namun, meletakkan sutrah bagi mereka yang menunaikan solat sebagai makmum adalah tidak perlu.


Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)


Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Hukum boleh berubah bagi isu berjalan melintasi sutrah orang yang sedang bersolat iaitu imam atau mereka yang sedang solat bersendirian:

Apabila keadaan sangat terdesak,

HARUS – Apabila tahap darurat yang melibatkan bahaya pada nyawa dan harta benda.


Apabila keadaan terdapat keperluan,

HARAM – ini pandangan mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian ulama Hanafi.

HARUS – ini pandangan salah satu pandangan Imam Ahmad, sebahagian ulama Syafie dan mazhab Maliki. Mereka berdalilkan firman Allah yang mengkehendaki kemudahan bagi manusia dan bukan kesukaran. Imam An-Nawawi menyatakan pandangan ini juga dipegang oleh Imam Al-Juwayni dan Al-Ghazali.

Namun, jika yang lintas itu adalah kanak-kanak, binatang dan apa jua yang tidak mampu memahami isyarat dan halangan itu, maka ia termasuk dikecualikan.

Contoh objek sebagai sutrah:

1) Manusia yang sedang duduk diam, berdiri atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no 285 & 286)

2) Haiwan tunggangan yang duduk diam.

3) Dinding.

4) Pokok.

5) Tongkat.

Banyak benda boleh dijadikan sutrah. Gunalah benda yang kita tengah ada ketika itu. Jika kita masih di kampus, boleh guna beg. Gunalah apa yang ada dan buatlah penghadang. Dengan harapan, kita lebih khusyuk solat. InsyaAllah.

Wallahualam.



Saturday, October 3, 2015

Hati Yang Sakit


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, syukur padaNya saat ini kita terasa ingin melakukan sesuatu yang mendekatkan diri kita kepadaNya. Saya yakin, kalian yang sedang membaca blog ini juga sedang mengharapkan sesuatu yang boleh mengingatiNya. Moga Allah redha dengan usaha kita ini.

          Saya ingin berkongsi sedikit hasil pembacaan saya tadi tentang Hati Yang Sakit dari buku yang berjudul PENYAKIT ROHANI & RAWATANNYA, Ibnu Qayyim Al-Jayziyyah.

          Jujur saya katakan, saya begitu tersentuh dengan tajuk ini. Sebelum ini, saya pernah berkongsi tentang hati yang sakit dan mati. Cuma, berkenaan hati yang sakit ini amatlah perlu dititikberatkan. Suka saya cakapkan bahawa perkongsian saya sebenarnya lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Namun, moga-moga dengan perkongsian ini kita sama-sama dapat memperbaiki diri.

          Hati yang sakit ini adalah hati yang mempunyai dua aspek dalam kehidupannya. Pertama, di dalam hati tersebut terdapat cinta kepada Allah, melakukan kebaikan dan semuanya kerana Allah. Kedua, di dalam hati tersebut dalam masa yang sama terdapat cinta kepada syahawat, sombong, iri hati dan lain-lain lagi. Pendek kata, Allah berada di belakang baginya.

          Ini bermakna, hati yang sakit ini selalu diuji dengan dua tarikan. Tarikan kepada Allah dan tarikan kepada dunia semata-mata. Orang ini akan mengikut tarikan yang mana lebih dekat dengan pintunya.

          Hakikatnya, hati yang sakit ini terkadang lebih dekat kepada hati yang sihat dan kadangkala lebih dekat kepada hati yang mati. Apa yang merisaukan kita adalah hati yang sakit ini jika penyakitnya sangat berpengaruh dalam hatinya, maka ia akan menjadi hati yang keras dan mati. Sebaliknya, jika dia berpengaruh sihat, maka akan sama dengan hati yang sihat.

          Hati yang sakit dan mati tidak henti-hentii ragu-ragu kerana pengaruh syaitan manakala hati yang sihat, apa sahaja yang dihembuskan syaitan, maka tidak membahayakan dirinya.

Astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah.

Mata terpejam, hati rasa ingin menagis tatkala ini. Muhasabah sebentar, apa kondisi hati ini sekarang?

Sakitkah ia?

Jika benar sakit, harus diRAWAT segera agar tidak melarat dan mati.

Jom terus melangkah ke arahNya dan sentiasa yakin dengan janji Allah. Kembali bertaubat itu bukan satu kemunduran, tetapi satu kemajuan.


Wallahualam.

Tuesday, September 15, 2015

Hal paling berMANFAAT- Taubat


Kata Ibnu Al-Qayyim:


“Hal yang paling bermanfaat bagi seseorang ialah

dia duduk sesaat ketika hendak tidur.

Dia lakukan muhasabah terhadap dirinya pada saat tersebut

 atas kerugian dan keuntungannya pada hari itu.

Lalu dia memperbaharui taubatnya dengan nasuha kepada Allah,

lantas tidur dalam keadaan bertaubat dan bertekad

tidak mengerjakan dosa yang sama jika dia telah bangun.

 Itu dia kerjakan setiap malam.

 Jika dia meninggal dunia pada malam tersebut dalam keadaan seperti itu,

dia meninggal dunia dalam keadaan bertaubat.

Jika dia bangun, dia bangun dalam keadaan siap beramal, ajalnya ditunda,

dan siap mengerjakan perbuatan-perbuatan yang belum dia kerjakan.”



*Sumber dari buku TARBIAH DZATIAH, Musyirah Zulkarnain.

Saturday, September 5, 2015

Mehnah Rehlah


Bismillahirrahmanirrahim…

          Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…

Pada 21 Ogos 2015, dapat ku pergi rehlah beberapa tempat di Jordan iaitu Wadi Waleh, Madaba, Zoo dan IKEA. Aku bersama dengan 7 lagi hawariyyun iaitu Salimah, Sofi, Haziyah, Neyli, Syafiqah Sobran, Rahmah dan Ain Syafiqah. Perjalanan Rehlah kami dihiasi dengan pelbagai mehnah yang membuatkan hati kembali kepadaNya. Allah mahu ingatkan kami agar jangan terlalu gembira sehingga lupakanNya. Ayuh, ikuti mehnah dan ibrah kami bagi setiap tempat yang kami lewati.


Wadi Waleh

Destinasi pertama kami di Wadi Waleh. Ketika dalam perjalanan ke sana, aku sungguh teruja, jalannya yang berliku dan dari atas, kita akan dapat lihat Empangan Air. Pemandangannya sangat cantik. Subhanallah ! Benarlah, tadabbur alam itu satu langkah menuju SYUKUR.

Di tempat ini, airnya sangat jernih. Paling menarik, dapat mandi. Kami mendapat tempat yang sesuai di sebalik batu besar. Kami memasang khemah dan bersiap sedia untuk perkelahan kami ini.

Airnya yang jernih menampakkan ikan yang sedang riang menari di dalam air. Kami terhibur. Cuma……”banyaknya ikan, macam mana nak mandi ni?, tanyaku.

“Katak..! Katak..!” jerit salah seorang daripada kami. Maka, berkerutlah dahi semua orang memikirkan untuk teruskan mandi atau tidak. Akhirnya, semua membuat keputusan untuk meneruskan mandi sebab bukan senang untuk datang ke mari lagi.

          Batu-batu yang tersusun di dalam air amat licin. Haziyah kerap kali tergelincir, namun tidak pernah berputus asa untuk bangun kembali dan meneruskan mandi. Lihatlah, beginilah sepatutnya dalam kehidupan kita, saat mana kita terjatuh, terus bangun dan mara ke hadapan.

          Kami mandi manda dengan penuh bahagia. Namun, bahagia kami dirampas seketika oleh sekumpulan kambing. Kambing-kambing itu laju menuju ke arah kami malah mengepung segenap penjuru tempat kami berkhemah.

       



  “Pergi la…jangan dekat..takut la..,” ada yang menjerit-jerit. . Ain Syafiqah pun usaha terus menerus untuk cuba menghalau kambing-kambing itu.




          Saat itu, aku berfikir. Bagaimana jika kambing  itu musuh atau ujian kita? Adakah kita bersedia? Boleh jadi musuh/ujian itu adalah syaitan, orang kafir dan sebagainya. Sediakah kita? Saat kita terbuai dengan keenakkan dunia, ada yang menyerang. Allahurabbi…

          Namun, lama kelamaan Salimah boleh menghampirinya malah tangkap gambar bersama kambing-kambing itu. MasyaAllah! Berani! Ini yang kita mahu berani mara ke hadapan. Saat ujian datang menghampiri kita, jangan tersungkur atau berundur, malah mara ke arahNya dan selesaikanlah.. Allah ada.


Madaba


          Kemudian, kami menuju ke Madaba. Suatu tempat yang menarik untuk dilewati. Madaba adalah Bandar yang terkenal dengan ‘bandar mozek’. Bandar Madaba adalah hasil peninggalan sejarah kaum Nasrani. Di Bandar ini juga terdapat sebuah gereja Yunani Orthodok yang bernama gereka St. George. Kami tidak masuk dalam gereja ini. Cuma dikhabarkan dalamnya terdapat lukisan mozaik di lantai gereja yang melukiskan peta holyland.


          Ketika kami sampai di sini, sudah masuk waktu Zohor. Makanya kami terus ke Masjid dalam Bandar ini. Seusai kami solat, semangat kami melangkah untuk meneruskan perjalanan.

         
Tiba-tiba, pagar masjid telah terkunci. Kami terperangkap. Kelam kabut semua orang. Beristighfar panjang sekejap. Bagaimana jika kita terperangkap dengan jahiliyah kita? Adakah kita cuba mencari pintu hijrah di situ?

 Akhirnya, terpaksa meminta pertolongan pelajar lelaki Malaysia dan dia telah meminta bantuan orang Arab. Nampak macam kelakar kan? Tapi itulah antara cabarannya, puas tawaf segenap penjuru masjid sebelum berjaya dikeluarkan.

          Perjalanan diteruskan dengan menziarahi Muzium di Madaba. Di sini, dapat dilihat banyak mozek yang dihias menjadi gambar. Dan gambar-gambar itu ada maknanya tersendiri.


Zoo Negara

          Ceria kami untuk ke sini, pelbagai tekaan dibuat bagi binatang apa ja yang ada di dalam zoo itu. Setelah masuk, ceria kami semakin hilang. Binatang yang ada dalam zoo tidaklah seperti khayalan kami. Maka, kami ambil keputusan untuk naik ala-ala rolley coaster yang berbentuk naga. Pada asalnya nak naik yang macam kerusi yang bulatannya semakin tinggi dan besar. Namun bila didapati banyak tahi burung di kerusi, niat kami terbatal.

          Sebelum kami naik benda itu, sudah diingatkan kepada pakcik yang mengawal benda itu agar separuh sahaja pergerakan naga itu. Pakcik itu setuju. Pada mulanya, ia bergerak amat perlahan. Lama kelamaan naga itu semakin tinggi dan tinggi. Kami semakin risau kerana keselamatan kami tidaklah begitu terjamin dengan hanya penghadang besi. Aku beristighfar panjang, terasa nak luluh jantungku. Neyli pulak menjerit..”pakcik..sudahlah, tak mau dah, kholas!”. Suara Haziyah dan Neyli. Namun, seolah tiada perubahan. Ada antara kami yang air mata mengalir di pipi. Allahu, berdebar jantung. Hanya Allah yang tahu. 

          Bagus juga naik Naga ni, terasa nak istighfar. Mungkin setelah banyak ketawa, suka ria, Allah ingin ingatkan kami agar tidak terus lalai.


IKEA


Destinasi terakhir kami pada hari ini. Semangat sangat nak masuk IKEA. Berada di dalam ini terasa dalam taman yang cantik. Jalan dan terus jalan, akhirnya semua penat dan mahu balik.

Tiba-tiba…ada yang bersuara..”jauh lagi ka? Kenapa semakin kita jalan, semakin masuk ke zon lain ni? Kat mana jalan keluar?”. Semua kebingungan. Akhirnya, semua teruskan melangkah dengan harapan jumpa penghujungnya. Rasa cukup terlalu lama melangkah, penat semakin terasa. Hayunan langkah makin laju walau hakikatnya penat demi mencari penghujungnya.

Cuba bayangkan andai kami berhenti? Adakah kami akan dapat jumpa penghujungnya? Jika kami berputus asa, kami akan berehat walhal jauh lagi perjalanan yang sepatutnya berehat setelah jumpa penghujungnya. Begitu juga dengan kita, dunia ini penuh mehnah. Andai kita cepat futur (tidak bersemangat), kita akan terdampar hanya di tengah jalan. Teruskan mara ke arahNya.

*********

Pembaca yang hatinya ingin kembali pada Allah,
          Apa-apa yang kita lakukan, carilah ibrahnya agar kita masih mengingatiNya. Benar, tadabbur alam itu satu wasilah menuju Syukur. Carilah wasilah untuk dekat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah, ayat 35:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya (wasilah) dan berjihadlah pada jalan-Nya supaya kalian mendapat keberuntungan”.
Wallahualam.