Assalamualaikum w.b.t,
Apa khabar imanmu? Moga-moga
sentiasa ada muhasabah dalam diri agar kita sentiasa berwaspada dengan
bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa menggoda.
InsyaAllah, kali ini ingin saya berkongsi tentang waktu-waktu aurat
berkunjung. Memandangkan masih ramai dalam kalangan masayarakat kita yang tidak
mengambil berat tentang waktu berkunjung ini. Jom refresh balik minda kita.
Allah
s.w.t berfirman:
“Hai
orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu
miliki, dan orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu
tiga kali (dalam satu hari) iaitu; sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan
pakaianmu di tengah hari dan sesudah solat Isyak.”
(An-Nuur
: 58)
Allah s.w.t memberikan petunjuk
kepada orang-orang mukmin agar melarang para pembantu dan juga anak-anak yang
belum baligh untuk masuk ke ruangan mereka pada 3 waktu iaitu:
1-
Sebelum solat
Subuh
2-
Pada waktu
rehat tengahari
3-
Sesudah solat
Isyak
Kenapa?
Kerana
pada waktu-waktu ini adalah waktu yang biasanya digunakan untuk tidur, rehat
dan lain-lain lagi. Oleh itu, ada larangan
untuk masuk ke ruangan pada waktu ini kecuali dengan izin.
Kebiasaannya, pada waktu-waktu
begini, tuan rumah sendiri tidak mempunyai sebarang persiapan untuk menerima
tetamu. Hal ini kerana pada waktu-waktu sebegini akan mengganggu rehatnya
melainkan tetamu itu memaklumkan akan kehadirannya pada waktu-waktu ini.
Apabila tidak ada persiapan,
berkemungkinan besar, aib tuan rumah akan terkeluar. Secara misalnya, ketika
waktu tengahari, ada anak perempuan si tuan rumah yang sedang tidur di hadapan
ruang tamu. Maka, di sini, akan ternampak aurat si anak tadi. Contoh lain, ada
baju-baju yang baru diangkat di ampaian dan belum sempat dilipat dan disimpan.
Tidakkah memalukan apabila tetamu melihat baju bertimbun dalam rumah tuan
rumah?
Oleh itu, jika kita ingin berkunjung
saudara mara, maka seeloknya memaklumkan kepada tuan rumah agar mereka bersedia
. Bukanlah bermakna kita ingin dilayan bak puteri ketika tiba di sana, tetapi
kita tidak mahu aib tuan rumah sekeluarga terbuka.
Akhir
kalam, carilah masa untuk berkunjung saudara mara, sahabat-sahabat dan orang
terdekat agar ikatan silaturrahim antara kita bertambah erat diikat pula dengan
kasih sayang yang terbina. Carilah masa yang sesuai untuk berkunjung.
Risau-risau ingin mengikat silaturrahim akhirnya menjadi masam muka antara satu
sama lain. Ayuh, kuatkan iman, mantapkan ukhwah!
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment