Tautan Ukhwah

Showing posts with label MUHASABAH DIRI. Show all posts
Showing posts with label MUHASABAH DIRI. Show all posts

Tuesday, March 27, 2018

Ubah cara DOA untuk Jodoh



Bismillah..
Assalamualaikum w.b.t,
Saat mata ingin tertutup saat membuat tesis, maka berehatlah sebentar dengan menulis di blog ini. Ana masih berhutang dengan beberapa orang tentang pertemuan JODOH. Jadi, insyaAllah, ana tunaikan pada hari ini.

          Sebenarnya definisi Jodoh sangat luas. Jodoh itu bukanlah semata-mata merujuk kepada pasangan sahaja namun juga kepada yang lain. Misalnya, jodoh tempat kerja, jodoh berkerjasama dengan sesebuah organisasi dan pelbagai lagi. Cumanya, pada kali ini ana highlightkan Jodoh dengan pasangan.

          InsyaAllah lagi sebulan bakal menjadi seorang isteri. Mungkin tidak layak lagi ana bercakap tentang jodoh ini. Namun, ada sedikit perkongsian dari kisah hidup ana yang mungkin boleh diambil sebagai ibrah atau teladan. Mana tahu boleh menjadi insipirasi buat anda juga.

2016 – Pada tahun ini, ana berusia 24 tahun. September, 2016 ana mendaftarkan diri sebagai mahasiswa sarjana di UKM. Hujung tahun, ana dimaklumkan adik ana, Firdaus ingin bertunang pada Februari 2017. Ini bermakna, adik ana sudah menemui jodohnya dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Rancangannya, mereka akan berkahwin pada April 2017.

          Hujung tahun 2016, ayah bertanya serius padaku, “Kak dah ada orang?”. Jujur, ana belum ada. Mungkin benar orang cakap ana terlalu memilih. Tapi bagi ana, tidak salah memilih sebab ana bukan sedang mencari seorang lelaki tetapi khalifah. Banyak benda ana perlu pertimbangkan. Maka perbualan kami diteruskan:

Ayah:  “kak serius dak nak kawin?”

Ana: “Eh..mesti la nak kawin”.

Ayah: “kak rancang nak kawin bila?”

Ana: “er…sampai jodoh..kawin la..hehe”.

Ayah: “Kak doa cam mana?”

Ana: “ emm…nabilah doa bagi dapat jumpa jodoh yang baik, soleh…bla..bla..”, ngomelku.

Ayah: “kak tak serius nak kawin!”,

Ana: “Ha? Emmm…” tersentap.

Ayah: “kak dulu masa UPSR, doa cam mana?”

Ana: “doa bagi dapat 5A UPSR”.

Ayah: “ok…kita akan specifickan doa kita, nak dapat 5A. Kita sebut 5A. kenapa kita tak sebut ‘ya Allah..bagi aku lulus pun dah ok’. Kita akan usaha untuk dapatkan 5A tu pulak kan?”

Ana terdiam…berfikir.

Ayah: “So, cuba kak tulih balik, hajat kak nak kawin bila, pastu bagitaw ayah.”

Ok…..ana pun dalam masa beberapa hari…rancang balik semua. Dah sedia, ana pun sembang balik dengan ayah.

Ana: “Ok ayah..dah plan dah. Nabilah ingat…paling lewat nak kawin dalam umur 27 tahun. Taun depan, Nabilah harap dah jumpa seseorang yang orang kata InsyaAllah dengan kita. Tak tunang lagi pun takpa, asalkan memang kedua family dah setuju. So, 26 tunang, kawin 27. Kalau ada rezeki kawin awal lagi pun takpe, lagi Alhamdulillah”.

Ayah: “ok…mulai saat ini, sebut setiap kali dalam doa detail macam yang kak nak tu. Pastu, banyakkan solat hajat, qiamullail dan solat-solat sunat”.

Baiklah…..bermulalah perjalananku dalam usaha mendapatkan JODOH.  Serius, rasa lain. Sebab bila kita dah ubah cara doa kita dan doa spesifik tu, kita rasa sangat bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, kita juga automatik terislahkan diri kita. Misalnya, qiamullail kita makin terjaga, solat-solat sunat kita jua. Senang cakap, kita juga makin serius dan sungguh-sungguh dalam ibadah kita.

Akhirnya, sebelum masuk 2017, tiba-tiba hadir seorang siswa UKM berhajat padaku. Dia sangat serius dengan hajatnya. Padahal baru ja kenal denganku tapi berani berjumpa dengan ayahku menyatakan hasratnya. Ana? Ana masih belum ada jawapan. Sampaikan ayah tegur..”kak ada tunggu sesiapa? Bukalah hati menerima seseorang, bukan ka kak cakap kat ayah..nak cinta lepas kawin”. Ana terdiam. Ana minta diberi masa dan memesan pada siswa itu jangan terlalu berharap pada ana.

2017 – Hari demi hari, ana masih belum ada jawapan untuknya. Entah kenapa hatiku belum kuat dengannya. Baiklah, ana ambil keputusan akhir Februari, untuk memberi jawapan.

16 Februari 2017 – Tarikh hari lahirku. Malam itu, ada akhowat yang sudah berkahwin hantar msg padaku dan bertanya, ana dah ada orang ke belum. Ana terdiam sejenak dan istighfar. Jujurnya, ana memang merasakan ana belum ada sesiapa lagi malah masih belum memberi jawapan pada siswa itu sebab hati ana masih belum kuat mengatakan dia adalah jodoh ana. Maka ana jawab sepatah ,’belum’. Akhirnya, malam itu ana diberitahu siapakah gerangan syabab yang berhajat pada ana. Ada titisan air mata yang mengalir. Ana minta diberi masa untuk istikharah dan istisyarah dengan keluarga.

          Dalam beberapa hari, ana sudah ada jawapan setelah istikharah dan istisyarah bersama keluarga. Bismillah….ana terima. Jawabku pada akhowat itu. Ini bermakna ana menolak siswa UKM itu. Maafkan ana. Ada air mata mengalir saat ku menjawab ‘ana terima’. Ya Allah, tidak sampai beberapa bulan dari usahaku yang tak seberapa itu, Kau hadirkan si dia.

17/12/2017- Kami tunang.


          Benar. Mungkin ada yang akan cakap..’takpela..dah jodoh hang…’. Namun, ingin ku katakan pada kalian….

DOA itu telah mengajarku mendahulukan cintaNya,
DOA itu telah membuatku rasa sepenuh harapan padaNya,
DOA itu telah mengajarku erti kesabaran yang tiada terhingga,
DOA itu telah merapatkan hubungan aku dan DIA,
DOA itu telah melatihku untuk belajar berjuang,
DOA itu telah menyedarkanku yang sering alpa,
DOA itu telah menyuburkan segenap kekuatan hati,
DOA itu mengingatkanku tentang ikhtiar dan tawakal.

          Jodoh itu perlu diusahakan… teruskan usaha, jangan putus asa. Yang penting, kita perlu selalu rasa ingin perbaiki diri dan berlari meraih cintaNya. Try lah buat macam apa yang ayah ana sarankan buat. Mana tahu, ini jalan yang Allah bagi untuk kita berjumpa dengan jodoh kita. Mempersiapkan kita dengan cintaNya sebelum diberi cinta manusia. Apapun, tahniah untuk semua. Mungkin kisah kita berbeza. Ini kisah ana. Namun, asbab ana menulis adalah kerana terdapat insan-insan yang bertanyakan apa usaha ana untuk jodoh ini. Ini jawapan ana. Mohon doakan ana dan bakal jodoh ana ni. Jemput datang ke walimah kami akhir bulan depan. Sekian dari seorang yang masih sedang islahkan diri.

Sekian.

Siti Nabilah Azman,
27/3/18, 4.51pm
PTSL, UKM.


Tuesday, July 4, 2017

RnR Hati


Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi dalam blog yang usang ini, kini cuba mujahadah untuk menggerakkan jari jemari menukilkan sesuatu. Terasa sangat tersentap apabila mendapat satu message dari seorang ukhti.

“Assalamualaikum akak…bila nak update blog? Lama dah akak tak upload…saya nak baca sesuatu…”.

Allah…hati diketuk berulang kali. Jenuh memerah otak apa yang boleh dikongsikan.

Baiklah…

Sedikit perkongsian untuk kali ini. Ana baru habis membaca buku RNR HATI yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dengan membawa kata-kata yang sangat menarik di kulit hadapan buku ini, “muda bukan sekali, tetapi dua kali”. Kata-kata itu sangat benar sebab kita bukan hanya muda di dunia tetapi di Syurga nanti, Allah memilih usia muda sebagai usia semua ahli Syurga.

Dalam buku ini dibahagikan kepada beberapa bab besar iaitu, identiti anak muda, mencari cinta, peribadi dan perilaku nan indah. Banyak dimuatkan kata-kata yang berbaur motivasi, kata-kata semangat dan menjadikan pembaca untuk berfikir ke arah yang sangat positif.

Mujahadah juga ana untuk menghabiskan membaca buku ini disebabkan banyak komitmen lain..tapi ana curi juga masa. Kadangkala selepas baca Al-Mathurat waktu pagi, ana akan baca juga sekurang-kurangnya satu mukasurat buku ini. Begitu juga dengan mujahadah untuk membaca Al-Quran. Kalau nak ikut sibuk kita, kerja kita makin bertimbun. Tapi, carilah juga masa baca ayat-ayatNya walau satu ayat dan tadabburlah.

Ana masih teringat satu kata-kata dalam buku Rnr Hati, “Dengan solat, hati kembali kuat”. Allah…saat kita lemah dengan ujian, solatlah penguat hati. Saranan ana, bacalah buku ini, banyak ibrahnya. Jom muhasabah bersama-sama. Moga kita terus semangat berlari ke arahNya.

Sekian. Wallahualam.




Friday, April 14, 2017

NABILAH, nama bukan sekadar nama.


Bismillah…
Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin dekat dengan ALLAH.
Anda pernah terfikir tak kenapa setiap makayah akan mencari nama yang terbaik buat anak-anaknya? Namun, hakikatnya sekarang, kita tidak menjadi seperti apa yang mereka harapkan dari nama itu. Malah, ada yang tidak tahu pun maksud nama sendiri. Seandainya yang bernama Muhammad itu sendiri tahu betapa sucinya nama itu, mungkin tidak akan ramai orang yang bernama Muhammad akan hisap dadah, masuk penjara dan sebagainya.

Pembaca yang Allah kasih,
          Rugilah kita andai nama itu hanya sekadar nama tanpa membawa manfaat dalam kehidupan kita. Ana bagi contoh maksud nama ana, “Nabilah” iaitu cerdik. Bagaimana ana nak aplikasikan maksud nama ana ini sejajar dengan maksudnya. Buat semua yang namanya Nabilah, ini untuk muhasabah kita bersama.

Nabilah…
Cerdik kita bukan hanya diukur sejauh mana tahap pengajian,
Namun itu boleh jadi satu pemacu semangat dalam perjalanan,
Usaha memahami sesuatu, amalkan ia dan mantapkan iman.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala ditimpa ombak ujian?
Putus asa atau kuatkah hati yang menjadi pilihan?
Letakkkan pergantungan padaNya, insyaAllah hati aman.

Nabilah…
Cerdikkah kita mengurus masa yang kian menghempit?
Adakah dengan timbunan kerja, ibadah kita jadi tersepit?
Jangan kerana sibukkan dunia, ibadah makin sikit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala menguruskan hati yang semakin sakit?
Apakah tindakan kita saat tompok-tompok hitam semakin membintik?
Rawatlah dah jagalah hati sebelum ia makin berpenyakit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala melihat manusia semakin jauh dengan Allah?
Adakah kita hanya sekadar melihat atau sedang mengambil langkah?
Bantulah dan sebarkanlah cintaNya sebelum hati mereka terpatah.

Nabilah…
Cerdikkanlah dirimu dalam menjadi sebenar-benar hambaNya,
Kuatkan hati, yakin dan percaya pada setiap janjiNya,
Moga kita semua sentiasa dalam kasih sayangNya dan bertemu di SyurgaNya.



          Akhir kalam, carilah maksud nama anda. Moga anda terinspirasi dan lebih rasa bermakna dalam kehidupan anda. Contoh lain, nama Syafiqah yang bermaksud kasih sayang. Bagaimana Syafiqah itu menjadi seorang yang kasih sayang terhadap sekeliling. Orang yang penyayang adalah seperti mengambil berat, bertolak ansur, tolong-menolong dan macam-macam lagi. Sedar ataupun tidak, secara langsung Syafiqah akan membawa qudwah yang baik dan menjadikan Islam itu indah. MashaAllah!

          Jadi, lihat nama anda, buatlah sesuatu dan martabatkanlah Islam itu sendiri. Sama-sama kita muhasabah dan cuba perbaiki diri. Sekian.

Wallahualam.

13/4/17,
11.58pm,
UKM.


Sunday, February 5, 2017

Pengalaman Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w..b.t,
          Alhamdulillah, akhirnya saya dah lalui Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 di ILIM, Bangi pada 4 Februari 2017, hari Sabtu. Program ini bagi yang telah lulus ujian on9 yang menguji kita seperti soalan psikologi diri kita, hukum hakam fiqh, aqidah, tajwid dan matematik. Banyak yang saya dapat pelajari dan muhasabah dari program ini. Sebenarnya, sengaja saya bermula dari bawah agar melihat kemampuan diri dan cuba perbaiki diri. Di sini, saya kongsikan pengalaman saya sepanjang program ini bagi yang bakal menghadapi program ini nanti atau melihat dari sudut muhasabah kita dalam bab-bab agama dan bersama ke arahNya.

          Pada jam 8.00 pagi, urusetia meminta kami mengambil sarapan dahulu di di dewan makan. Kemudian, pada jam 8.30 pagi, bermulalah pendaftaran. Pada kaunter A, kami diminta memberi surat tawaran program beserta borang profil 1 & 2.  Kemudian, kita akan diberi nombor badan dan wajib memakainya sepanjang program. Kemudian, bergerak ke kaunter B. Pada kaunter ini, kita akan cabut undi bagi tajuk pengucapan umum. Alhamdulillah, dapat tajuk ‘Mengingati Mati’. Antara tajuk lain yang saya ingat daripada kawan-kawan yang lain seperti ‘Ehsan Dalam Islam’, ‘Kelebihan Berpuasa’, Senyum Membawa Rahmah’, ‘Ekonomi Islam’, ‘Bahayanya Dadah’, dan banyak lagi la.

Di kaunter C pula, kita diminta untuk memberi Salinan Diploma/Ijazah kita dan Salinan IC. Akhir sekali, akan ditimbang berat dan tinggi untuk kira BMI dan ada sesi tangkap gambar. Sepanjang program ini, peserta tidak boleh pakai blazer/kot dan songkok. Pada jam 10.00 pagi, kami menghadiri taklimat di Auditorium Syafie.

Pada jam 10.20 pagi, peserta dibahagikan kumpulan bagi ujian qiraah. Kita akan dipanggil nombor badan dan akan membaca satu halaman yang diminta oleh penilai. Setelah itu, ditanya beberapa hukum tajwid. Entah kenapa ketika itu saya ketar sangat sehingga penilai senyum sebab katanya Al-Quranku bergoyang. So, nanti, anda cool ja ya.

Setelah habis ujiaan Qiraah, terus kena turun aras bawah, lihat kembali bagi aktiviti 1, kita kena kumpulan berapa dan di mana. Di sini perlu kepada kepantasan kita dan peka. Aktiviti 1 bermula pada jam 12 tengahari hingga 1 petang. Aktiviti 1, diberi permasalahan tentang solat jamak dan qasar. Ketika pembentangan, pelbagai persoalan diajukan dan kadangkala menguji pengetahuan kita tentang pandangan mazhab-mazhab dalam bab ini.

Pada jam 1.00 petang hingga 2 petang, sesi makan tengahari dan solat zohor. Ketika ini, ambillah peluang untuk bersedia dengan tajuk pengucapan umum kerana selepas ini, kita sudah tiada masa untuk membuat persiapan. Aktiviti 2, bermula pada jam 2.15-3.15 petang. Pada sesi ini, kami diminta membuat kertas kerja tentang JAWI yang ingin membuat kursus intensif pada guru tahmir. Pembentangan lebih memfokuskan kepada tentatif program dan kos perbelanjaan program.

Setelah itu, terus aktiviti ke 3, pada jam 3.20 - 4.20 petang. Pada sesi ini, permasalahan tentang solat jenazah, rukun solat jenazah dan cara mengkafankan jenazah. Ketika pembentangan, akan ada persoalan-persoalan dari fc yang akan buat kita rasa was-was bagi melihat keyakinan kita. Satu lagi nak bagitahu, setiap kali dalam aktiviti, kita tidak boleh pegang atau bawa apa-apa kecuali pen. So, memang semua bergantung kepada ilmu yang kita ada. kemudian, setiap aktiviti, mesti diberi kertas mahjung dan pen, kemudian bentang. Ambillah peluang menulis ka apa ka..dalam perbincangan kerana penilai sentiasa memerhati kita. Pastikan nombor badan  kita dapat dilihat oleh penilai. contohnya, ikat bagi tinggi sikit ka, atau pusingkan ke belakang badan ka..buatlah macam mana pun supaya kita dikenali.

Pada jam 4.30 – 5.30 petang, aktiviti terakhir iaitu pengucapan umum. Bagi lelaki disampaikan dalam khutbah, perempuan disampaikan dalam tazkirah. Cakaplah dengan hati, insyaAllah ok. Semasa pengucapan umum, tidak boleh memegang sebarang rujukan, sama ada Al-Quran, buku atau kertas. Pengucapan umum ini selama 5 minit bagi seorang. Pada jam 5.30 – 6.00 petang, taklimat penutup dan bersurai.

MashaAllah, terasa kerdilnya diri ini. Masih perlu membaca lagi dan mendalami ilmu agama lagi. Terasa sangat muhasabah. Jangan pandang sesuatu perkara itu remeh dan tidak mengambil tahu. Banyak sangat masalah fiqh dan akidah yang perlu kita dalami dalam rangka membantu diri kita sendiri dan umat Islam. Teringat kata murabbi, tiada istilah bosan andai kita sibuk mengejar cinta Allah. Teruslah berada dalam majlis ilmu dan banyak sumber boleh kita pelajari. Asasnya, mahu atau tidak sahaja.

Satu lagi, tentang masa depan kita, kita usaha, doa dan tawakal. Selebihnya serah pada Allah. Andai memang ada rezeki kita, insyaAllah tidak ke mana. Yakin pada Allah ya? Semoga Berjaya.

5/2/17
10.50 pm,
Kulim, Kedah.

Saturday, September 5, 2015

Mehnah Rehlah


Bismillahirrahmanirrahim…

          Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…

Pada 21 Ogos 2015, dapat ku pergi rehlah beberapa tempat di Jordan iaitu Wadi Waleh, Madaba, Zoo dan IKEA. Aku bersama dengan 7 lagi hawariyyun iaitu Salimah, Sofi, Haziyah, Neyli, Syafiqah Sobran, Rahmah dan Ain Syafiqah. Perjalanan Rehlah kami dihiasi dengan pelbagai mehnah yang membuatkan hati kembali kepadaNya. Allah mahu ingatkan kami agar jangan terlalu gembira sehingga lupakanNya. Ayuh, ikuti mehnah dan ibrah kami bagi setiap tempat yang kami lewati.


Wadi Waleh

Destinasi pertama kami di Wadi Waleh. Ketika dalam perjalanan ke sana, aku sungguh teruja, jalannya yang berliku dan dari atas, kita akan dapat lihat Empangan Air. Pemandangannya sangat cantik. Subhanallah ! Benarlah, tadabbur alam itu satu langkah menuju SYUKUR.

Di tempat ini, airnya sangat jernih. Paling menarik, dapat mandi. Kami mendapat tempat yang sesuai di sebalik batu besar. Kami memasang khemah dan bersiap sedia untuk perkelahan kami ini.

Airnya yang jernih menampakkan ikan yang sedang riang menari di dalam air. Kami terhibur. Cuma……”banyaknya ikan, macam mana nak mandi ni?, tanyaku.

“Katak..! Katak..!” jerit salah seorang daripada kami. Maka, berkerutlah dahi semua orang memikirkan untuk teruskan mandi atau tidak. Akhirnya, semua membuat keputusan untuk meneruskan mandi sebab bukan senang untuk datang ke mari lagi.

          Batu-batu yang tersusun di dalam air amat licin. Haziyah kerap kali tergelincir, namun tidak pernah berputus asa untuk bangun kembali dan meneruskan mandi. Lihatlah, beginilah sepatutnya dalam kehidupan kita, saat mana kita terjatuh, terus bangun dan mara ke hadapan.

          Kami mandi manda dengan penuh bahagia. Namun, bahagia kami dirampas seketika oleh sekumpulan kambing. Kambing-kambing itu laju menuju ke arah kami malah mengepung segenap penjuru tempat kami berkhemah.

       



  “Pergi la…jangan dekat..takut la..,” ada yang menjerit-jerit. . Ain Syafiqah pun usaha terus menerus untuk cuba menghalau kambing-kambing itu.




          Saat itu, aku berfikir. Bagaimana jika kambing  itu musuh atau ujian kita? Adakah kita bersedia? Boleh jadi musuh/ujian itu adalah syaitan, orang kafir dan sebagainya. Sediakah kita? Saat kita terbuai dengan keenakkan dunia, ada yang menyerang. Allahurabbi…

          Namun, lama kelamaan Salimah boleh menghampirinya malah tangkap gambar bersama kambing-kambing itu. MasyaAllah! Berani! Ini yang kita mahu berani mara ke hadapan. Saat ujian datang menghampiri kita, jangan tersungkur atau berundur, malah mara ke arahNya dan selesaikanlah.. Allah ada.


Madaba


          Kemudian, kami menuju ke Madaba. Suatu tempat yang menarik untuk dilewati. Madaba adalah Bandar yang terkenal dengan ‘bandar mozek’. Bandar Madaba adalah hasil peninggalan sejarah kaum Nasrani. Di Bandar ini juga terdapat sebuah gereja Yunani Orthodok yang bernama gereka St. George. Kami tidak masuk dalam gereja ini. Cuma dikhabarkan dalamnya terdapat lukisan mozaik di lantai gereja yang melukiskan peta holyland.


          Ketika kami sampai di sini, sudah masuk waktu Zohor. Makanya kami terus ke Masjid dalam Bandar ini. Seusai kami solat, semangat kami melangkah untuk meneruskan perjalanan.

         
Tiba-tiba, pagar masjid telah terkunci. Kami terperangkap. Kelam kabut semua orang. Beristighfar panjang sekejap. Bagaimana jika kita terperangkap dengan jahiliyah kita? Adakah kita cuba mencari pintu hijrah di situ?

 Akhirnya, terpaksa meminta pertolongan pelajar lelaki Malaysia dan dia telah meminta bantuan orang Arab. Nampak macam kelakar kan? Tapi itulah antara cabarannya, puas tawaf segenap penjuru masjid sebelum berjaya dikeluarkan.

          Perjalanan diteruskan dengan menziarahi Muzium di Madaba. Di sini, dapat dilihat banyak mozek yang dihias menjadi gambar. Dan gambar-gambar itu ada maknanya tersendiri.


Zoo Negara

          Ceria kami untuk ke sini, pelbagai tekaan dibuat bagi binatang apa ja yang ada di dalam zoo itu. Setelah masuk, ceria kami semakin hilang. Binatang yang ada dalam zoo tidaklah seperti khayalan kami. Maka, kami ambil keputusan untuk naik ala-ala rolley coaster yang berbentuk naga. Pada asalnya nak naik yang macam kerusi yang bulatannya semakin tinggi dan besar. Namun bila didapati banyak tahi burung di kerusi, niat kami terbatal.

          Sebelum kami naik benda itu, sudah diingatkan kepada pakcik yang mengawal benda itu agar separuh sahaja pergerakan naga itu. Pakcik itu setuju. Pada mulanya, ia bergerak amat perlahan. Lama kelamaan naga itu semakin tinggi dan tinggi. Kami semakin risau kerana keselamatan kami tidaklah begitu terjamin dengan hanya penghadang besi. Aku beristighfar panjang, terasa nak luluh jantungku. Neyli pulak menjerit..”pakcik..sudahlah, tak mau dah, kholas!”. Suara Haziyah dan Neyli. Namun, seolah tiada perubahan. Ada antara kami yang air mata mengalir di pipi. Allahu, berdebar jantung. Hanya Allah yang tahu. 

          Bagus juga naik Naga ni, terasa nak istighfar. Mungkin setelah banyak ketawa, suka ria, Allah ingin ingatkan kami agar tidak terus lalai.


IKEA


Destinasi terakhir kami pada hari ini. Semangat sangat nak masuk IKEA. Berada di dalam ini terasa dalam taman yang cantik. Jalan dan terus jalan, akhirnya semua penat dan mahu balik.

Tiba-tiba…ada yang bersuara..”jauh lagi ka? Kenapa semakin kita jalan, semakin masuk ke zon lain ni? Kat mana jalan keluar?”. Semua kebingungan. Akhirnya, semua teruskan melangkah dengan harapan jumpa penghujungnya. Rasa cukup terlalu lama melangkah, penat semakin terasa. Hayunan langkah makin laju walau hakikatnya penat demi mencari penghujungnya.

Cuba bayangkan andai kami berhenti? Adakah kami akan dapat jumpa penghujungnya? Jika kami berputus asa, kami akan berehat walhal jauh lagi perjalanan yang sepatutnya berehat setelah jumpa penghujungnya. Begitu juga dengan kita, dunia ini penuh mehnah. Andai kita cepat futur (tidak bersemangat), kita akan terdampar hanya di tengah jalan. Teruskan mara ke arahNya.

*********

Pembaca yang hatinya ingin kembali pada Allah,
          Apa-apa yang kita lakukan, carilah ibrahnya agar kita masih mengingatiNya. Benar, tadabbur alam itu satu wasilah menuju Syukur. Carilah wasilah untuk dekat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah, ayat 35:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya (wasilah) dan berjihadlah pada jalan-Nya supaya kalian mendapat keberuntungan”.
Wallahualam.


Thursday, June 25, 2015

MATI


Lepaskan!..lepaskan!..”, ku menjerit sekuat hati.

Akhirnya sekerah tenagaku berjaya melepaskan diri. Aku berlari sehingga merasakan tidak cukup tanah. Tanpa berfikir yang lain..yang ada hanya..”LARI!”.

Malang tidak berbau, di hadapanku kini sudah ada yang menunggu. Aku terperangkap. Jantung berdegup kencang…hatiku bermonolog…

“Allah..apalah nasibku kali ini..bantulah aku Ya Allah…hanya Kau tempat ku bergantung harap..”.

Aku diacu pistol andai aku bergerak. Mulut dan hatiku terus berzikir. Mengharapkan pertolonganNya.

Alhamdulillah, aku terlepas. Aku terus berlari lagi. Ku redah hutan rimba yang menjalar ganas. Badan-badanku habis dicalar sembilu hutan. Darah yang mengalir sudah tidak terasa dek kerana hanya “LARI!” yang bermain di minda.

Tiba-tiba……

“Saya di mana?” soalku pada beberapa susuk tubuh di sebelahku tatkala mataku dibuka.

Masih belum ada jawapan.

“Mana penjahat yang kejar saya tadi? Saya takut..”, ujarku.

“Jangan takut..mereka dah tak ada..”, jawab salah seorang daripada mereka.

“Betul ka?”, aku menarik lafas lega.

“Ya..sebab kita dah MATI. Mereka (penjahat) tu berada di dunia, sedangkan kita di alam lain sudah.

Allah…………………………………….




“Tak mungkin! Baru tadi saya lari, macam mana saya boleh mati pulak?”, aku terkebil-kebil melihatnya, sungguh terperanjat.

Dia menunjukkan padaku pada satu skrin dan aku nampak di situ, aku sedang berlari dan sebuah kereta melanggarku. Aku mati!!!

Mataku berkaca. Mulutku terkunci buat seketika. Pada saat itu…aku sungguh tidak boleh terima yang aku sudah meninggal dunia. Aku sedih dan takut. Kataku pada salah seorang daripada mereka…

“Saya takut..saya belum cukup ibadah, minta maaf pada semua, taubat saya…banyak lagi yag saya nak buat..,” aku menangis teresak-esak.

“Dah tiada masa. Sebentar lagi akan dihisab. ..”, katanya.

************
Mataku terus terbuka. Mengucap panjang….

Astaghfirullah….MIMPI rupanya.

Tanpa sedar, ada titisan air mata yang mengalir. Mati. Aku bakal mati. Tak dapat ku bayangkan andai benar hidupku seperti dalam mimpi tadi tanpa sempat mengucap dan sebagainya.

Ibrah kisah ini…

1)    Segera bertaubat kerana kita tidak tahu bila ajal menjemput.

2)   Sentiasa tajdid syahadah walau tengah berjalan kerana kita tidak tahu cara kita mati bagaimana dan sempat tak nak mengucap.

3)   Sentiasalah minta maaf pada orang sekeliling walau rasa tiada kerana mungkin sebenarnya ada.

4)   Letakkan segala pergantungan benar-benar kepadaNya.

5)   Sentiasalah ingat Mati.

6)   Tambahkanlah ibadah kerana kita tidak tahu ibadah mana yang Allah terima.



7)   Tiada masa lagi untuk MAIN-MAIN, kena serius cari bekalan untuk akhirat.

Firman Allah s.w.t:

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” 
(QS Ali Imran [3]: 145)



“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika mereka memeroleh kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini adalah dari sisi Allah,’ dan kalau mereka ditimpa suatu bencana mereka mengatakan, ‘Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) dari sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun?” (QS an-Nisaa` [4]: 78)

Wallahu’alam.

*kisah ini hanya berkisar kisah penulis, tiada kena mengena dengan yang lain. Moga kita dapat muhasabah bersama-sama.