Tautan Ukhwah

Tuesday, May 5, 2015

Jangan teragak-agak untuk SEDEKAH.


Bismillahirrahmanirrahim,

Jangan teragak-agak untuk SEDEKAH!

Firman Allah s.w.t:

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 261)

*******
          Ketika mentari sedang menaik tinggi menunjukkan teriknya, langkah diayun menuju ke universiti. Kaki melangkah laju mengejar coaster nun jauh di sana. Jari menggenggam erat duit 20 qursh sebagai tambang coaster. Ketika melintasi Masjid Syuhada’, dari jauh aku ternampak susuk tubuh seorang wanita.

          Dari pakaiannya, amat memilukan. Hatiku tercuit. Namun, langkah diayun laju kerana mataku tertumpu pada coaster yang akan bergerak. Tiba-tiba, apabila aku semakin menghampiri wanita itu, dia merintih simpati.

          Aku serba salah. Aku hanya membawa duit yang secukupnya untuk naik coaster. Aku membuka genggaman. Subhanallah! Ada 25 qursh rupanya. Namun, aku hanya memberinya 5 qursh, kerana memikirkan tambang coaster iaitu 20 qursh. Aku lebih merisaukan diriku jika tambang tidak cukup untuk naik coaster.

25 qursh
                                                  
          Setelah memberinya duit itu, aku bergegas menaiki coaster. Setelah sampai ke pintu universiti, coaster berhenti. Dengan semangat aku ingin membayar tambangku. Tiba-tiba….

“Kak Nabilah, ana dah bayar untuk akak..”, kata seorang adik padaku lantas laju meninggalkanku.

Aku tergamam.

Langkahku terasa berat. Astaghfirullah. Seolah Allah ingin mentarbiyah diriku. Seolah Allah ingin katakan padaku, ”Nabilah, jangan teragak-agak nak sedekah, AKU pasti memberi ganjarannya, bukankan rezeki itu AKU yang beri?”

Mataku berkaca. Beria-ria aku kononnya menjaga duitku tadi untuk menaiki coaster, tapi Allah beri ganjaran dan tunjuk kekuasaanNya. Terasa malu padaNya.

COASTER


Seusai kelas, aku menaiki coaster sekali lagi untuk pulang. Sekali lagi Allah mentarbiyah daku. Belum sempat aku menghulurkan duit tambang coaster, dari jauh kedengaran satu suara…

“Ana dah bayar untuk enti…,” kata seorang pelajar perempuan.

Sekali lagi aku tergamam. Langkahku terhenti. Nafasku tersekat. Mataku berkaca. Ya Allah, tarbiyah apakah ini? Aku malu.

Hanya 5 qursh..tapi rezeki Allah itu amat LUAS.

**********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Kisah ini bukan rekaan, malah realiti. Bukan bertujuan lain melainkan ingin sama-sama kita mengambil ibrahnya. Nampak tak? Kita kadang teragak-agak untuk memberi sedekah. Malah merungut yang kononya selalu kita memberinya duit. Ditambah pula kita mengkritik si pengemis dengan beranggapan kenapa dia tidak mencari kerja dan sebagainya. Walhal kita tidak tahu situasi sebenar si pengemis. Astaghfirullah. Ampunkan kami Ya Allah. Andai dia menipu, serahkan urusan ini padaNya.

          Tak mengapa andai kita tidak suka menabung. Tapi apa salahnya kita menabung untuk akhirat, walau 5 qursh setiap hari/minggu atau beberapa wang untuk seminggu dan sebagainya. Rancanglah masa depan akhirat kita dengan menabung bermula dari sekarang. Selain itu, perasan tak, dua perempuan yang membayar tambangku telah menunjukkan qudwah yang baik lantas menginsafi kelemahan seorang hamba dan menjadi teladan.

          Walau saat ini, kewangan negara kita tidak stabil, tapi yakinlah kewangan Allah pada kita amat mencukupi. Ayuh, mulakan menabung dengan SEDEKAH dan tunjukkan qudwah yang baik. Paling penting, jangan teragak-agak dan Takut untuk SEDEKAH. Allah akan melipatgandakan sedekah itu. Yakinlah.


Wallahualam.