Tautan Ukhwah

Showing posts with label BICARA HATI. Show all posts
Showing posts with label BICARA HATI. Show all posts

Saturday, March 24, 2018

Pengalaman temuduga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah MRSM sambilan



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t,
Apa khabar iman anda hari ini? Apa radar perasaan anda tika ini? Apapun radarnya, moga ia kembali pada Allah. InsyaAllah, moga semuanya baik-baik sahaja. Pada entri kali ini, InsyaAllah ana akan berkongsi tentang pengalaman temuduga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah MRSM bertaraf sambilan dalam subjek Pendidikan Islam. Moga ia bermanfaat pada semua dan bagi yang akan ditemuduga nanti.

          Nak jadi ceritanya, suatu hari kak Izzah bagi satu gambar iklan jawatan kosong di Perak. Sebenarnya, lagi beberapa hari dah nak tutup permohonannya. Tarikh tutup permohonannya 12 Mac 2018. Resume dan Salinan sijil perlu dihantar kepada pengetua MRSM tersebut. Maka demi untuk sebuah pengalaman dan berfikir akan duduk di Perak selepas ini, maka ku mencuba. Ana post resume dan Salinan sijil-sijil yang telah disahkan pada 8 Mac 2018 (khamis).

          Pada petang 19 Mac 2018 (isnin) ku mendapat dua panggilan dari MRSM Parit. Disebabkan silent handset, maka ku terlepas untuk menjawabnya. Ana pun kol balik no tersebut. Ana dimaklumkan telah dipanggil untuk ditemuduga pada 21 Mac 2018 (rabu) pada jam 10 pagi. Allahurabbi, terlalu singkat masa yang diberi. Ana masih di UKM ketika ini malah masih banyak urusan yang bertimbun. Memikirkan sijil-sijil sebenar masih di Kedah, maka ku kol balik pihak MRSM untuk minta tunda temuduga ke pagi Khamis. “Maaf cik, tak boleh tunda sebab telah disetup”. Baik, ku akur.

          Ku terus menelefon ayah memaklumkan temuduga tersebut. Agak kelam kabut. Ku hanya boleh balik atau ke Perak terus pada malam 20 Mac 2018 (selasa). Kesian makayah, kejap-kejap hantar gambar-gambar baju-bajuku untukku pilih dan mereka akan bawa terus ke Perak. Kiranya, ku terus naik bas ke Perak nanti dan berjumpa dengan mereka di sana. Comel tengok makayah dok matchingkan baju dan tudungku. Bawa fail-fail sijilku. Allah...ya Rabb, aku saksi jasa pengorbanan makayahku terhadap anaknya ini.

          20 Mac 2018- Alhamdulillah ku sampai di Ipoh dah lewat malam. Kesian makayah dok Ipoh tunggu ku sampai dari pukul 8.30 malam-12.30 tengah malam. Syukur ada encik tunang yang menemani dan menyantuni keluargaku memandangkan dia memang asal Ipoh ja. Moga Allah membalas jasamu encik tunang. Setibanya ku sampai, makayah terus membawaku ke homestay di Parit yang memang sudah berdekatan dengan MRSM Parit. Kami sampai di homestay dah nak dekat jam 1.30 pagi.

          21 Mac 2018 (rabu) –Tiba-tiba ku merasa was-was pukul berapa temuduga sebenarnya, maka ku pergi awal. 8.30 pagi dah sampai di pejabat MRSM Parit. Ku mendaftar diri dan katanya awal lagi lalu menyuruhku sarapan dulu. Ketar sebenarnya sebab dok baca pengalaman orang temuduga di MRSM yang macam-macam dikatakan. So, dah membaca sikit dan tawakal je la.

          Pukul 9.45 pagi, ku pergi semula. Ku dapati ada lagi dua calon lain yang sedang menunggu. Seorang lepasan UPSI dan seorang lepasan UIA. Jam dah nak masuk 10.20 pagi, baru aku dipanggil ke bilik temuduga sebagai calon pertama. Allah, berdebar. Ku ketuk bilik dan memberi salam. Tiba-tiba ada seseorang penemuduga yang telah bukakkan pintu.

          Ku diminta fail sijil dan diminta duduk. Bilik yang luas. 2 penemuduga lelaki, 2 penemuduga perempuan. So, semua 4 orang yang akan menemubual ku. Ok, bermulalah…:

1-    Ana diminta perkenalkan diri. So, cerita la sikit tentang latar belakang diri dan akademik.

2-   Mereka tanya tentang latar belakang akademik. Jujurnya, ana bukan seorang yang pandai. SPM biasa-biasa saja. Kemudian, tanya tentang markahku semasa di Jordan. Dan tanya apa komen ana? So, ana cerita sikit tentang perbezaan cara pembelajaran. Dan entah macam mana depa pun taw la ana tengah buat master.

3-   Kena mockteaching. Haha. Patut perasan ada papan putih dan marker dalam bilik. Tajuk spontan depa bagi tanpa ada masa untuk berfikir..hihi..Kena tajuk
“Ahli Sunnah wal Jamaah dan ajaran sesat di Malaysia”. Otak tetiba krik..krik..dok pikiaq nak start dari mana..tapi rasa macam tak dapat perform dengan baik..sebab otak melayang…tak kemas persembahannya. Bersoal jawab pulak tentang Wahabi..Liberalisme…Bid’ah. Kata seorang penemuduga..”budak akan soal jawab macam ini..sebab pemikiran student ke arah isu semasa”.
Terasa kerdilnya diri dan banyak kena muhasabah yang kurang ilmu lagi aku ni.  

4-   Depa tanya tentang pengalaman ku kerja sebelum ni. Disebabkan ku pernah ada dua kali pengalaman jadi guru ganti pendidikan Islam dan home tutor, maka banyak depa tanya. Contoh: di sek ganti dulu, selain mengajar ada tak kena diamanahkan buat kerja lain seperti pengiring ka..penceramah ka.

5-   Depa tanya adakah sanggup jadi warden seandainya depa terima kita? Punya la ketaq sampai terjawab..”sanggup”. Allah…sampai lupa nak kahwin bulan depan. Hmm..pastu depa tanya..disebabkan ku pernah jadi pen.ketua pengawas sekolah, maka automatik pernah jadi ketua asrama. Depa tanya, apakah masalah yang kita nampak dalam asrama sebagai ketua asrama. Kemudian, depa tanya, seandainya depa bagi ana dalam masa dua bulan di sek itu, apa sumbangan dan program yang ana tengok boleh buat untuk bantu student di situ. Berdasarkan pengalaman as ketua asrama dan pen.ketua pengawas dulu, ku pun cerita dan bagi cadangan sampai ada salah seorang penemuduga tanya..”agak-agak cik Nabilah, untuk merealisasikan perancangan dan cadangan Nabilah tu..apa material atau pihak sekolah boleh sediakan?” erk..ana jawab, tak perlu lagi sebab ana nak berjumpa dahulu dengan pimpinan dan melihat apakah masalah sebenarnya dan baru taw nak buat apa kepada mereka.

6-   Tanya hukum hakam feqh. Depa tanya apa pendapatku student muslim and non-muslim dok sedorm?

7-   Diminta cerita sikit tentang MARA dan MRSM Parit. Dan apa pendapatku tentang masalah yang mereka hadapi taun lepas tentang kes buli.

8-   Depa tanya apa pendapat ana tentang penggunaan gajet smartphone sekarang dalam kalangan student? Setuju atau tidak? Dan bagaimana?

9-   Depa tanya dulu persatuan apa? Dan aktif dak? Contoh pernah terlibat tak dengan perkhemahan.

10-Last sekali, minat sungguh tak untuk mengajar?

Akhirnya, setelah 40 minit, baru habis temuduganya. Soalan bertubi-tubi tanpa henti. Dahsyat gak temuduganya. Kita ambik pengalaman. Dan boleh perbaiki diri, betul dak? So, selamatlah bagi yang akan ditemuduga. Jom banyakkan lagi gali ilmu Allah ini. InsyaAllah, ada rezeki, tak ke mana. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Bittaufiq. Doakan ana ya.

Siti Nabilah Azman
24/3/18, 3.11pm.
Kajang, Selangor.



Sunday, December 10, 2017

Surat Untuk Adikku, Firdaus



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t,
Saat ini mungkin ada yang sedang dibuai mimpi. Namun, aku masih melayang dengan perasaanku sebentar tadi. Saat mana menanti hidangan, telefonku bordering. Suara adikku mula kedengaran. Entah kenapa, ketika bercakap dengannya hari ini, jiwa ini sebak. Seolah ada selautan kerinduan yang bakal melepasi tembok mata.

Dialah adikku yang aku sangat kasihi,

Aku tiada abang, tapi dia buatku rasa seperti ada seorang abang.

Dulu, setiap kali mak ligan kami dengan hanger, sorang akan masuk tandas, sorang masuk bilik air.

Dulu, kami sama-sama meniaga acar limau. Naik basikal berdua. Aku memang malu bab-bab ni, maka dia bagi salam, aku tolong jual.

Dulu, saat mana mak pergi bekerja, kami masak bersama.

Dulu, saat aku sakit, dialah yang masak nasi dan goreng telur dan beri aku makan.

Dulu, saat dia berkeinginan sesuatu, dia sangat berdikari. Dia bekerja diam-diam tanpa pengetahuan makayah.

Kadangkala dia sakit, kakinya berdarah, aku sangat risau. Aku ingin memaklumkan kepada makayah. Dia menghalang. Katanya, tidak mahu makayah risau.

Kadangkala aku lihat dia marah pada adik-adik andai cakap kasar dengan makayah.
Dalam diam, ku tahu, dia sedang merancang sesuatu untuk keluarganya ini.

Kami memang terlalu rapat, sampaikan adik yang bongsu sangat cemburu. Kadangkala bila kami sharing masalah dalam bilik. Adik yang bongsu ketika itu masih kecil, katanya…”kak dan abang ni..kawin ka? Selalu berdua”.

Saat mana aku akan pergi Jordan..pesanku..tolong jaga makayah bila kak takdak di sini. Dan ku akui, dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dengan pelbagai dugaan telah meimpa keluarga kami.

Kemudian, ku sambung pengajian master di UKM. Suatu hari, aku dapat tahu, dia mahu berkahwin. Jujur, tika itu perasaanku berbaur. Ada sedih bercampur bahagia.

Saat mana dia melafazkan akad nikah…ada titisan air mataku jatuh. Adikku sudah bertukar status. Alhamdulillah. Sedikit rasa terkilan, aku tak dapat membantu dari segi kewangan ketika itu. Aku hanya mampu sumbangkan tenaga untuk persiapan majlisnya.

Duhai adikku Firdaus,
Perjalanan hidup kita masih berbaki,
Kaulah adik yang terbaik pernah ku rasai,
Akak bahagia memiliki adik sepertimu.

Duhai adikku Firdaus,
Sebenarnya dalam diam ku mengagumi,
Akak bukanlah yang terbaik,
Tapi akak berusaha menjadi akak yang terbaik untuk kalian.

Duhai adikku Firdaus,
Akak tahu kadangkala ada beban yang merantaimu,
Namun, akak tahu kau kuat menghadapinya,
Bukankah akak selalu mengingatkanmu tentang Syurga Firdaus?

Duhai adikku Firdaus,
Mungkin saat ini,
Masa telah meragut masa kita bersama,
Namun kasih kita tidak akan terbatas dek waktu.

Duhai adikku Firdaus,

Pada malam yang syahdu ini,
Saat batas malam menjamah sang fajar,
Ku nukilkan surat untukmu duhai adik.
Moga kau terus kuat dalam hadapi onak duri ini,
Moga perkahwinan yang telah dibina bahagia hingga Jannah,
Moga juga kau menjadi insan yang berguna dan bermanfaat pada orang lain.

Mohon jangan sebak baca nukilan ini.
Ini sahaja yang mampu ku nukilkan malam ni.
Mana tahu andai akak dah tiada di dunia ini,
Nukilan ini akan menjadi pengubat rindumu padaku.

Yang ikhlas menyayangimu,
Siti Nabilah Azman,
1.10 am, 10/12/17

UKM, Bangi.

Wednesday, November 22, 2017

Duhai pelajar master...


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari sesuatu,

Saat ini, jari jemariku berlari-berlari di atas keyboard seolah-olah bahagia,
Namun hakikatnya, disebabkan fikiranku tidak dapat menumpu sepenuhnya pada tesis.
Terfikir sejenak, laju pula jari jemari ini menari saat ingin menukilkan sesuatu untuk blog, walhal andai tadi, sudah dikerah otak ini, namun masih jari ini bersifat kaku, malah seolah beku jari ini.
Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti apa yang perlu dituliskan. Tetapi masih ada jauh dari sudut sanubari ini ingin berkongsi sesuatu. Maklum la, Nabilah ini kalau dikenal memang suka bercerita. Terima kasih sudi menjadi pendengar yang setia ya.

Pembaca yang masih setia menanti,
Mungkin penulisanku kali ini lebih kepada perkongsian seorang pelajar master. Bohong lah kalau ditanya, susah ke tidak ambil master ini, dijawab ‘senang’. Buatmu pelajar master…..
Pernah tak kita terfikir…”kalau aku tahu master susah macam ni, aku taubat tak ambik” *taubat dalam fahaman orang kedah bermaksud (memang tidak akan buat).
Berapa banyak titisan air matamu saat kamu menyiapkan proposal?
Berapa banyak waktu tidurmu terkorban?
Berapa banyak masamu di perpustakaan?
Berapa banyak wangmu habis dengan print macam-macam?
Berapa banyak masamu dihabiskan dengan menghadap laptop?
Berapa banyak kali kamu sakit kerana terlalu pening?

Duhai pelajar master,
Aku sendiri sedang menghadapinya.
Ya, kadangkala susah nak explain pada orang lain situasi kita.
Kadang ada yang tanya..”tak siap-siap lagi?’”
Allah..istighfar panjang kita.

Duhai pelajar master,
Ayuh, kita perbaharui dan tentukan niat kita.
Setiap kali ilmu digali, terasa kerdilnya kita padaNya.
Bukankah dengan ini, buat kita semakin mengingatiNya?
Bukankah dengan ini buat kita terasa berharganya sebuah masa?
Bukankah dengan ini buat kita terasa erti sebuah pengorbanan.

Duhai pelajar master,
Bukan gelaran atau sijil yang menjadi tujuan utama,
Kerana itu kajian tesis kita itu adalah untuk menyumbang sesuatu pada ummah.
Kerana itu kajian tesis kita perlu dihalusi dan hadirkan seikhlas mungkin.

Duhai pelajar master,
Aku memahami andai kau kata sering semangatnya hilang,
Aku mengerti andai kau kata perbezaan pensyarah kita buat cara kita berbeza,
Namun, haruskah kita sering bermonolog sahaja di dalam diri?
Haruskah kita membiarkan semangat itu berlari terus jauh dari kita?
Akhirnya kita aka terkapai-kapai mencari semangat itu sehingga bayangnya itu sudah langsung ditenggelam masa.

Duhai pelajar master,
Aku juga sedang mujahadah menyiapkan tesis ini,
Aku juga sering sakit kepala apabila mengerahkan otak untuk berfikir,
Aku juga sering sakit setiap kali kesihatanku kadangkala terabai,
Aku juga sering mengorbankan tidurku sepertimu,
Aku juga sering berjimat memikirkan kita masih seorang pelajar.
Aku tidak dapat membantu dari segi kewangan, tesismu kerana lain bidang kita.
Cuma…aku hanya ada…
Segenggam semangat yang berkobar-kobar untuk kita berjaya bersama.
Kata-kata semangat andai kau rasa sudah hilang punca dalam tesismu.
Pendengar masalahmu walau hakikatnya aku sendiri tidak benar menghadam masalahmu.

Duhai pelajar master,
Aku doakan agar kita berjaya,
Jangan lupa, dalam keasyikan kita menyiapkan tesis,
Siapkan juga bekalan akhirat yang kekal abadi.
Moga Allah permudahkan urusan kita. Aamiin.

Salam tiupan semangat dari seorang pelajar kepada seorang pelajar.
Siti Nabilah Binti Azman
22/Nov/2017, 3.46pm
PTSL UKM, Bangi.

Saturday, December 3, 2016

Hati telah dipujuk


Bismillah…
          Setelah sekian lama diri menyepi dari blog yang usang ini. Kini kembali cuba menggerakkan jari jemari menari atas keyboard ini. Bukan lupa terhadap blog. Namun, masa sangat mencemburui. Mungkin blogku ini juga mencemburui dengan pengajianku kini. Masaku kepada blog sehingga terabai malah hanya fokus kepada pengajian ku kini.

Pembaca yang sangat dikasihi Allah,
          Di dalam kehidupan ini, banyak perkara yang sangat menuntut kita membuat pilihan. Kadangkala kita terasa tertekan malah tidak sanggup pun untuk membuat apa-apa keputusan. Pilihan ku jua kini yang membawa diri ini ke alam pengajian ini sekali lagi. Ramai yang bertanyakan:

“macam master kat sana?”
“best tak?”

          Apa yang boleh ku katakan…”sangat memerlukan mujahadah yang kuat”…….

          Mujuhadah apa? Antaranya ialah mujahadah untuk kurangkan masa tidur. Zaman master ini sangat sibuk. Assignment dan tugasan yang sangat banyak itu sangat memerlukan pembacaan yang berganda. Kadangkala waktu tidur hanya berlalu tanpa kita sedar. Mata pula berpura-pura kuat demi menemani hati yang sedang membara untuk siapkan tugasan. Tidur di hadapan laptop itu biasa. Tidur berpelukan buku-buku itu juga biasa.

          Saat kesibukan itu menyelubungi diri, satu saat kita akan terasa lelah. Terasa hiba. Terasa ingin berhenti belajar. Terasa ingin bercuti. Terasa ingin lari dari dunia nyata ke dunia fantasi. Tika itu terjadi, setitis-titis butiran permata jatuh dan membasahi helaian kertas yang sedang direnung. Saat terasa…

”aku tak mampu”..
“aku dah tak larat..”

          Tika itu juga kesihatan secara langsung merajuk sama. Semuanya mendung terasa. Tiada sinar. Ada kalanya terduduk di hamparan sejadah dan menangis semahu-mahunya seperti budak kecil. Hati sangat manja ketika itu. Sukar dipujuk. Berkali-kali cuba memujuk sekeping hati yang degil merajuk itu. Namun, hampa.

          Ketika memaksa hati untuk terus kuat, langkah tampak makin maju. Tiba-tiba, kepala cedera. Ia sakit. Merintih simpati. Cuba berlawan dengan kesakitan yang ada. Akhirnya, tidak mampu lagi menyembunyikan butiran permata dari berselindung di kelopak mata. Manik-manik permata yang jatuh cuba dikutip. Namun, kenapa makin lama ia makin pantas jatuh? Aku berlari-lari cuba mengutipnya……



          Tiba-tiba, hatiku dipujuk. Istighfar memainkan peranan. Pejamkan mata sebentar dan tatkala dibuka ia terpana pada Al-Quran di atas meja sana. Entah bagaimana kaki sudah pun melangkah ke arah meja dan semakin menghampirinya. Tangan menggapai Al-Quran, hati berdebar-debar. Dimulakan dengan…’bismillahirrahmanirrahim…’. Tangan membelek pada sepotong ayat yang berbunyi :

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”.
(Surah Ali Imran,ayat 139)

          Perlahan-lahan bibir mengukir senyuman. Terasa hati dibelai dengan kasihNya. Ayat-ayat cintaNya sangat memujuk sekeping hati ini. Allah pujuk lagi dengan ayatNya:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 286)

                   Allah…Allah…Allah. Benar! Allah tak akan menguji di luar kemampuan kita. Allah tahu kita mampu.  Sedar ataupun tidak, hakikatnya dengan adanya ujian ini potensi kemampuan kita yang masih tersembunyi akan terzahir. Dengan adanya ujian ini, kita  akan sentiasa mengingatiNya. Bukankah itu saat yang paling indah?

Pembaca yang sedang berfikir,
          Kadangkala kita melihat orang lain dan kita akan merasakan seronoknya seandainya aku jadi sepertinya. Bagi orang itu pula sebaliknya. Syukurlah dengan apa yang kita ada dan hadapi ia dengan penuh indah. Pengalaman itu mendewasakan. Teruskan dengan perjuangan sekarang. Setiap kesulitan itu ada kemudahan. Perbaharui niat dan hadirlah perasaan setiap apa yang kita buat bersamaNya, bukan sendirian.

          Maka, pilihan ambik Master ini bukanlah salah. Suatu ketentuan. Jangan takut untuk melangkah. Jangan gentar dan mengalah. Buat yang bakal merasai pengalaman ini, sediakan bekalan untuk menempuhinya. InsyaAllah, niat yang baik pasti Allah tolong. Mohon doanya.


Hati telah merajuk dilanda pilu,
Pukulan ombak datang bertalu-talu,
Suatu kekuatan meminta ia berlalu,
Berharap detik itu pergi selalu.

Hati mencari-cari tempat berpaut,
Walau sedang berada di tengah laut,
Tampak seolah sedang kelam kabut,
Namun ayat cintaNya dapat dipaut.




Sekian. Wallahualam.

UKM Bangi,

6.50 pm, 3/12/2016.

Wednesday, September 21, 2016

Perjalanan bermula...


Jam menunjukkan tepat jam 11.00 malam. Tika ini bunyi cengkerik menari di telingaku. Mataku pula seolah sedang memikul batu yang berat. Namun, jari ini memujuk agar berbicara sebentar.

      Onak duri mula menular di setiap langkah ini. Bukankah perjalanan ini baru bermula? Haruskah terus merasakan derita?

Sebentar!!!! Jangan dirasakan sebegitu lagi.

     Tajdidkan (perbaharui) niatmu! Ingatkah lagi hadis pertama dalam Matan Arbain?

“Setiap amalan itu bergantung kepada niat”.



     Niat itu pekerjaan hati dan menuntut sebuah keikhlasan. Terasa diri ini terlalu kerdil melihat orang sekeliling yang banyak ilmunya. Luas pengetahuannya. Jiwa yang sering memikirkan ummah. Allahuakbar!

      Iqra! Bacalah.....

Prof acapkali memesan kepada kami agar rajin membaca. Maka mahu atau tidak mahu, MALAS perlu ditendang keluar dari kamus kehidupan sekarang. Teringat kata Murabbi dulu,

“Orang yang malas, susah nak masuk SYURGA”

     Ya! Untuk mendapat sesuatu kita perlu usaha. Kemudian, doa dan tawakal. Tatkala pensyarah memberi tugasan, hati mula terdetik untuk merintih. Namun, ditangkis dengan istighfar dan mengusung ribuan hamasah (semangat) untuk berhadapan dengannya.

     Alhamdulillah, Allah hadirkan sahabat-sahabat yang bersama menggenggam erat harapan ini. Sifat Syafa yang berani menjadikan tidak rasa gusar tatkala bersamanya. Tatkala jiwa terasa sesak, Afifah hadir menceriakan keadaan ditambah pula dengan hamasahnya yang berkobar- kobar. Selain itu, satu angkatan perjuangan ini, Rasyidah, kak Solehah, Naimah, dan kak A’thiyatul bagi akhowat.

     Niat yang baik, InsyaAllah ada jalan dariNya. Teruskan doa. Teruskan mengejar cinta Allah. Pencarian harus diteruskan, dengan mendamba ampunan dan petunjuk sepanjang jalan.

     Nampaknya, mata memberi isyarat menuntut haknya untuk berehat. InsyaAllah, ada rezeki akan berkongsi lagi. Ini hanya kisah penulis, andai ada yang kurang baik, jangan diteladani, andai ada sesuatu mutiara dapat dikutip. Dipersilakan. Mohon doa semua.

11.39pm,
20/9/16,
UKM Bangi.

Thursday, August 11, 2016

Hari pertama jadi Teacher


Allah tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

Dalam surah Al-Baqarah, ayat 216, Allah berfirman :

“…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Hari ni dari menjadi ‘ustazah’ dah tukar menjadi ‘teacher’. Dek kerana ada seorang teacher yang bersalin, maka aku perlu menggantikannya. Siapa sangka berbaki lagi beberapa minggu untuk teruskan perjuanganku, ku ajar English.

Bermula tiba di pejabat sekolah hari ini, seorang guru menegurku.. ”Assalamualaikum, teacher..”, sambil tersenyum lebar. Ok, fine. Today, I’m a teacher. Tajdid niat dan ikhlaskan diri.

Melangkah masuk ke bilik guru, “Assalamualaikum Teacher Nabilah..”. Rupanya ramai dah tahu tentang pertukaran ini. Senyum dan sahut cabaran ini.

First class, baru ja bagi salam dan cakap sit down, ada seorang budak perempuan menangis teresak-esak. Hidungnya berdarah-darah. Gelabahnya aku ketika itu, hanya Allah yang tahu. Setelah bersihkan hidungnya dan menyuruhnya berehat, dia makin baik. Alhamdulillah.

Kelas kedua, ada murid sedang bergaduh.

“kenapa gaduh ni?”, tanyaku.

“dia ni teacher….saya cakap kat dia yang ustazah dah jadi teacher, dia dok cakap ustazah..ustazah la..”, kata seorang murid.

Allah…Allah…bergaduh pulak. Sebab gelaran ja pun. Lalu aku menjelaskan, aku tetap aku, tidak kisah sama ada ustazah atau teacher, sama sahaja. Ustazah, teacher atau cikgu, mereka semua adalah pendidik. Kita sebagai pelajar, harus mendoakan mereka dan hormati mereka.

Kelas ketiga, “ustazah…ada orang pukul saya”, “teacher…..pensil saya hilang”. Pelbagai ragam. Ku semakin terhibur.  Namun kesabaran sangat dituntut sebagai seorang pendidik. Apabila kesihatan kurang baik, terasa mood hilang. Bila murid buat perangai, terasa ingin sahaja marah. Namun, perlu istighfar banyak dan senyum.

Ketika menunggu beberapa orang murid menyiapkan kerja yang diberi walhal kawan-kawannya sudah keluar kelas untuk pulang ke rumah, tiba-tiba beberapa orang murid kelas akhir sekali masuk ke kelasku.

“ustazah..kenapa tak ajaq kami pun?”, sambil buat muka menyebek.

Ku hanya senyum. Dahulu, dialah paling nakal, suka kacau kawan-kawan, kerja tidak mahu buat, namun saat akhir ku bersama mereka dahulu, dialah yang paling rajin. Rupanya perhatian dan kasih sayang yang dia perlukan.

“Kelembutan tidak akan pernah tertewas dengan kekerasan.”
Filem Warkah Cinta

Saat melangkah pulang ke sekolah tadi, sungguh terasa ada sesuatu yang perlu ku ambil iktibar.

Niat. Patutlah sebelum ini selalu diingatkan untuk tajdid niat (perbaharui niat) sebab bila-bila masa sahaja niat kita akan berubah dan hilang.

Sabar. “Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersabar”. (Al-Nahl : 96)

Husnuzan dengan Allah. Yakin dengan apa yang Allah beri pada kita. Pasti ada hikmahnya.

Sentiasa fikir positif.

Cuba jadi tenang dan banyakkan zikir. “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d : 28)

Sekian. Kisah ini hanya kisah penulis dan jika ada yang baik untuk diambil, silakan. Jika ada yang tidak baik, mohon abaikan. Jom hidup dengan rasa berTuhan.

10/8/16
Lunas,Kedah.



Monday, December 14, 2015

Anak Kedah di JORDAN


Bismillah..Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, syukur pada Allah, berakhir sudah program REACH. Satu program yang mengumpulkan anak-anak KEDAH satu Jordan. Dan mungkin ini kali terakhir aku bersama-sama dengan program MPKJ (Majlis Pelajar Kedah Jordan).

          Dengan program REACH ini, aku semakin kagum dengan anak-anak Kedah. Semangat mereka, perjuangan mereka buat mataku berkaca.

          Ketika aku dilamar sebagai timbalan pengarah, sungguh terasa beratnya. Namun apabila dipujuk oleh Ibtisam, ku kuatkan hati dan cuba untuk teruskan. Aku dimaklumkan ketuaku Adam Anwar. Siapakah dia? Sungguh, sebelum ni hanya ku kenali muka tanpa tahu nama sebenarnya.

          Pada awal kami sudah mengetahui akan amanah ini, aku sudah memaklumkan kepada Adam bagaimana gerak kerjaku. Ya..benar! aku memang jenis cepat gelabah kadangkala, akhirnya kata pengarah ini..”Tak pa..kita cool ja”. Aku kembali tenang.

          Ketika di pertengahan gerak kerja untuk program ini, aku terasa tidak mampu untuk teruskan. Akhirnya, ku maklumkan pada pengarah bahawa aku berhajat untuk tarik diri. Tetapi pengarah memberi dorongan dan menenangkan keadaan. Akhirnya, aku terus melangkah dan di sini aku belajar untuk tenang.

          Setiap program pasti perlu dibuat kertas kerja. Walau berkali-kali kertas kerja perlu diubah, namun Zuhair dan Fathin sebagai Setiausaha tetap sabar untuk membaikinya .  Sabar mereka seperti sabar srikandi Siti Sarah.

          Mana mungkin program bergerak tanpa ada kewangan. Hadirnya Luqman dan Fitriah menjadi program ini semakin kukuh. Membuat belanjawan dengan teliti,  berhubung dengan semua unit untuk melihat sejauh mana kewangan diperlukan. Aku masih ingat kata-kata Fitriah..”kak, saya ni tak pernah lagi jadi bendahari, tapi saya cuba jugak..”. Terbaik Fitriah.

          Bagaimana untuk melancarkan program ini? Allah beri kami programmer yang begitu mantap. Baihaqi, Arifah dan Najlaa yang sentiasa memikirkan tentatif  program, dan cuba melancarkan program dengan baik. Banyak masalah yang berlaku ketika program, namun mereka dapat mengawal dengan baik. Ku rasakan mereka amat hebat dan inilah programmer yang terbaik yang pernah ku jumpa.

          Allah sudah mengatur kehidupan kita dengan baik. Kita juga perlu ikhtiar untuk mengatur sesuatu dengan baik. Setiap perkara , kita perlu sambut dengan baik walau apapun jua cara yang datang, kerana kita yakin itu dari Allah. Begitu juga dengan program ini, Fathah, Anis dan Adzreen sangat baik dalam menjadi ajk sambutan dan protokol. Senyuman di bibir tidak pernah lekang. Sedar atau tidak, mereka telah menunjukkan qudwah yang sangat baik untuk kita.



          Mata diberi untuk melihat. Program ini bila dilihat, Allah..sangat cantik dan indah. Bertungkus lumus ajk persiapan iaitu Zulqarnain, Rubiatul Adawiyah dan Rosmiza merangka persediaan tempat dan menghiasnya. Tidur lambat, habiskan masa membuat barang-barang perhiasan buat ku kagum dengan kegigihan mereka. Mereka langsung tidak pernah mengenal erti lelah dibantu oleh Syafiqah, Fatin Naimah, Huda dan Fatin Nur Afifah. Subhanallah…

          Tanpa ajk persegaran, pasti perut-perut peserta kelaparan. Sungguh mulia Alliqo dan Ridhwan kerana memikirkan apa yang boleh mereka beri peserta makan. Sehabis baik mereka memilih makanan yang berkualiti untuk dihidangkan kepada peserta. Alhamdulillah, semua terasa enak. Makanan juga dihidangkan dengan dengan sangat baik yang dikelolai oleh Syafiq, Ainun dan Ain.

          Zaman semakin moden. Era teknologi semakin ke hadapan. Bagi memberi segala informasi, ajk publisti sangat perlu memainkan peranan. Bersengkang mata menghasilkan poster, merangka banner, button badge dan banyak lagi. Kadangkala mereka kuatkan hati tatkala dikritis hasil kerja mereka. Namun, hati Zubair dan Arwa tabah seperti setabah umi Nabi Ismail.



          Zaman kini, semuanya perlukan perhubungan dan pengakutan untuk ke mana-mana. Tanpa Mustakim dan Fatimah Azzahra’ pasti keadaan menjadi kucar kacir untuk memastikan peserta tiba di tempat program dengan baik. Berhubung dengan manusia bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada sifat positif yang tinggi. Mereka ini ada sifat husnuzon yang tinggi pada Allah. Subhanallah…

          Jangan dipandang sebelah mata pada ajk Tugas-Tugas Khas. Kerjanya mantap, malah mereka ini juga menjadi pelengkap kepada ajk-ajk lain. Mudah bicara dan kerja, itulah Aziz, Atiqah, Shaimaa dan Huda Nabila.



          Subhanallah, pada mereka ini penuh dengan sifat-sifat mahmudah yang menjadi qudwah dalam Islam. Aku masih ingat ketika pulang dari program ini, bakal presiden MPMMJ, bertanya padaku, “kalau kak nabilah, nak bagi berapa markah bagi program ini?”. Aku terdiam.

          Ku katakan andai aku ini hanya orang biasa, mungkin markah ku berikan biasa-biasa sahaja, tetapi aku beri lebih markah pada program ini kerana aku bersama dan melihat sendiri jentera program ini bergerak. Sampai ku rasa, mereka tidak ada markah kerana besar sungguh pengorbanan mereka yang tiada ternilai.

          Akhir kalam, ana sebagai timbalan pengarah, memohon sejuta kemaafan, andai ada hak-hak yang tidak tertunai, terasa hati atau terasa tertekan dengan ana. Ana juga insan biasa yang sedang melangkah ke arahNya. Mohon terus tegur ana jika ada salah.

Jentera REACH yang dikasihi Allah,
          Terima kasih untuk segala titik peluk hampa. Terima kasih untuk segala pengorbanan yang dilakukan. Moga SYURGA untuk kalian. Biar kita penat di dunia, moga kita rehat di akhirat. Memori antara kita, tak akan ku lupakan. Tidak dilupakan juga, terima kasih pada semua ajk bawah dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Sekian.



14/12/12
Mu’tah, Jordan.