Tautan Ukhwah

Tuesday, July 4, 2017

RnR Hati


Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi dalam blog yang usang ini, kini cuba mujahadah untuk menggerakkan jari jemari menukilkan sesuatu. Terasa sangat tersentap apabila mendapat satu message dari seorang ukhti.

“Assalamualaikum akak…bila nak update blog? Lama dah akak tak upload…saya nak baca sesuatu…”.

Allah…hati diketuk berulang kali. Jenuh memerah otak apa yang boleh dikongsikan.

Baiklah…

Sedikit perkongsian untuk kali ini. Ana baru habis membaca buku RNR HATI yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dengan membawa kata-kata yang sangat menarik di kulit hadapan buku ini, “muda bukan sekali, tetapi dua kali”. Kata-kata itu sangat benar sebab kita bukan hanya muda di dunia tetapi di Syurga nanti, Allah memilih usia muda sebagai usia semua ahli Syurga.

Dalam buku ini dibahagikan kepada beberapa bab besar iaitu, identiti anak muda, mencari cinta, peribadi dan perilaku nan indah. Banyak dimuatkan kata-kata yang berbaur motivasi, kata-kata semangat dan menjadikan pembaca untuk berfikir ke arah yang sangat positif.

Mujahadah juga ana untuk menghabiskan membaca buku ini disebabkan banyak komitmen lain..tapi ana curi juga masa. Kadangkala selepas baca Al-Mathurat waktu pagi, ana akan baca juga sekurang-kurangnya satu mukasurat buku ini. Begitu juga dengan mujahadah untuk membaca Al-Quran. Kalau nak ikut sibuk kita, kerja kita makin bertimbun. Tapi, carilah juga masa baca ayat-ayatNya walau satu ayat dan tadabburlah.

Ana masih teringat satu kata-kata dalam buku Rnr Hati, “Dengan solat, hati kembali kuat”. Allah…saat kita lemah dengan ujian, solatlah penguat hati. Saranan ana, bacalah buku ini, banyak ibrahnya. Jom muhasabah bersama-sama. Moga kita terus semangat berlari ke arahNya.

Sekian. Wallahualam.




Friday, April 14, 2017

NABILAH, nama bukan sekadar nama.


Bismillah…
Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin dekat dengan ALLAH.
Anda pernah terfikir tak kenapa setiap makayah akan mencari nama yang terbaik buat anak-anaknya? Namun, hakikatnya sekarang, kita tidak menjadi seperti apa yang mereka harapkan dari nama itu. Malah, ada yang tidak tahu pun maksud nama sendiri. Seandainya yang bernama Muhammad itu sendiri tahu betapa sucinya nama itu, mungkin tidak akan ramai orang yang bernama Muhammad akan hisap dadah, masuk penjara dan sebagainya.

Pembaca yang Allah kasih,
          Rugilah kita andai nama itu hanya sekadar nama tanpa membawa manfaat dalam kehidupan kita. Ana bagi contoh maksud nama ana, “Nabilah” iaitu cerdik. Bagaimana ana nak aplikasikan maksud nama ana ini sejajar dengan maksudnya. Buat semua yang namanya Nabilah, ini untuk muhasabah kita bersama.

Nabilah…
Cerdik kita bukan hanya diukur sejauh mana tahap pengajian,
Namun itu boleh jadi satu pemacu semangat dalam perjalanan,
Usaha memahami sesuatu, amalkan ia dan mantapkan iman.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala ditimpa ombak ujian?
Putus asa atau kuatkah hati yang menjadi pilihan?
Letakkkan pergantungan padaNya, insyaAllah hati aman.

Nabilah…
Cerdikkah kita mengurus masa yang kian menghempit?
Adakah dengan timbunan kerja, ibadah kita jadi tersepit?
Jangan kerana sibukkan dunia, ibadah makin sikit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala menguruskan hati yang semakin sakit?
Apakah tindakan kita saat tompok-tompok hitam semakin membintik?
Rawatlah dah jagalah hati sebelum ia makin berpenyakit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala melihat manusia semakin jauh dengan Allah?
Adakah kita hanya sekadar melihat atau sedang mengambil langkah?
Bantulah dan sebarkanlah cintaNya sebelum hati mereka terpatah.

Nabilah…
Cerdikkanlah dirimu dalam menjadi sebenar-benar hambaNya,
Kuatkan hati, yakin dan percaya pada setiap janjiNya,
Moga kita semua sentiasa dalam kasih sayangNya dan bertemu di SyurgaNya.



          Akhir kalam, carilah maksud nama anda. Moga anda terinspirasi dan lebih rasa bermakna dalam kehidupan anda. Contoh lain, nama Syafiqah yang bermaksud kasih sayang. Bagaimana Syafiqah itu menjadi seorang yang kasih sayang terhadap sekeliling. Orang yang penyayang adalah seperti mengambil berat, bertolak ansur, tolong-menolong dan macam-macam lagi. Sedar ataupun tidak, secara langsung Syafiqah akan membawa qudwah yang baik dan menjadikan Islam itu indah. MashaAllah!

          Jadi, lihat nama anda, buatlah sesuatu dan martabatkanlah Islam itu sendiri. Sama-sama kita muhasabah dan cuba perbaiki diri. Sekian.

Wallahualam.

13/4/17,
11.58pm,
UKM.


Sunday, February 5, 2017

Pengalaman Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w..b.t,
          Alhamdulillah, akhirnya saya dah lalui Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 di ILIM, Bangi pada 4 Februari 2017, hari Sabtu. Program ini bagi yang telah lulus ujian on9 yang menguji kita seperti soalan psikologi diri kita, hukum hakam fiqh, aqidah, tajwid dan matematik. Banyak yang saya dapat pelajari dan muhasabah dari program ini. Sebenarnya, sengaja saya bermula dari bawah agar melihat kemampuan diri dan cuba perbaiki diri. Di sini, saya kongsikan pengalaman saya sepanjang program ini bagi yang bakal menghadapi program ini nanti atau melihat dari sudut muhasabah kita dalam bab-bab agama dan bersama ke arahNya.

          Pada jam 8.00 pagi, urusetia meminta kami mengambil sarapan dahulu di di dewan makan. Kemudian, pada jam 8.30 pagi, bermulalah pendaftaran. Pada kaunter A, kami diminta memberi surat tawaran program beserta borang profil 1 & 2.  Kemudian, kita akan diberi nombor badan dan wajib memakainya sepanjang program. Kemudian, bergerak ke kaunter B. Pada kaunter ini, kita akan cabut undi bagi tajuk pengucapan umum. Alhamdulillah, dapat tajuk ‘Mengingati Mati’. Antara tajuk lain yang saya ingat daripada kawan-kawan yang lain seperti ‘Ehsan Dalam Islam’, ‘Kelebihan Berpuasa’, Senyum Membawa Rahmah’, ‘Ekonomi Islam’, ‘Bahayanya Dadah’, dan banyak lagi la.

Di kaunter C pula, kita diminta untuk memberi Salinan Diploma/Ijazah kita dan Salinan IC. Akhir sekali, akan ditimbang berat dan tinggi untuk kira BMI dan ada sesi tangkap gambar. Sepanjang program ini, peserta tidak boleh pakai blazer/kot dan songkok. Pada jam 10.00 pagi, kami menghadiri taklimat di Auditorium Syafie.

Pada jam 10.20 pagi, peserta dibahagikan kumpulan bagi ujian qiraah. Kita akan dipanggil nombor badan dan akan membaca satu halaman yang diminta oleh penilai. Setelah itu, ditanya beberapa hukum tajwid. Entah kenapa ketika itu saya ketar sangat sehingga penilai senyum sebab katanya Al-Quranku bergoyang. So, nanti, anda cool ja ya.

Setelah habis ujiaan Qiraah, terus kena turun aras bawah, lihat kembali bagi aktiviti 1, kita kena kumpulan berapa dan di mana. Di sini perlu kepada kepantasan kita dan peka. Aktiviti 1 bermula pada jam 12 tengahari hingga 1 petang. Aktiviti 1, diberi permasalahan tentang solat jamak dan qasar. Ketika pembentangan, pelbagai persoalan diajukan dan kadangkala menguji pengetahuan kita tentang pandangan mazhab-mazhab dalam bab ini.

Pada jam 1.00 petang hingga 2 petang, sesi makan tengahari dan solat zohor. Ketika ini, ambillah peluang untuk bersedia dengan tajuk pengucapan umum kerana selepas ini, kita sudah tiada masa untuk membuat persiapan. Aktiviti 2, bermula pada jam 2.15-3.15 petang. Pada sesi ini, kami diminta membuat kertas kerja tentang JAWI yang ingin membuat kursus intensif pada guru tahmir. Pembentangan lebih memfokuskan kepada tentatif program dan kos perbelanjaan program.

Setelah itu, terus aktiviti ke 3, pada jam 3.20 - 4.20 petang. Pada sesi ini, permasalahan tentang solat jenazah, rukun solat jenazah dan cara mengkafankan jenazah. Ketika pembentangan, akan ada persoalan-persoalan dari fc yang akan buat kita rasa was-was bagi melihat keyakinan kita. Satu lagi nak bagitahu, setiap kali dalam aktiviti, kita tidak boleh pegang atau bawa apa-apa kecuali pen. So, memang semua bergantung kepada ilmu yang kita ada. kemudian, setiap aktiviti, mesti diberi kertas mahjung dan pen, kemudian bentang. Ambillah peluang menulis ka apa ka..dalam perbincangan kerana penilai sentiasa memerhati kita. Pastikan nombor badan  kita dapat dilihat oleh penilai. contohnya, ikat bagi tinggi sikit ka, atau pusingkan ke belakang badan ka..buatlah macam mana pun supaya kita dikenali.

Pada jam 4.30 – 5.30 petang, aktiviti terakhir iaitu pengucapan umum. Bagi lelaki disampaikan dalam khutbah, perempuan disampaikan dalam tazkirah. Cakaplah dengan hati, insyaAllah ok. Semasa pengucapan umum, tidak boleh memegang sebarang rujukan, sama ada Al-Quran, buku atau kertas. Pengucapan umum ini selama 5 minit bagi seorang. Pada jam 5.30 – 6.00 petang, taklimat penutup dan bersurai.

MashaAllah, terasa kerdilnya diri ini. Masih perlu membaca lagi dan mendalami ilmu agama lagi. Terasa sangat muhasabah. Jangan pandang sesuatu perkara itu remeh dan tidak mengambil tahu. Banyak sangat masalah fiqh dan akidah yang perlu kita dalami dalam rangka membantu diri kita sendiri dan umat Islam. Teringat kata murabbi, tiada istilah bosan andai kita sibuk mengejar cinta Allah. Teruslah berada dalam majlis ilmu dan banyak sumber boleh kita pelajari. Asasnya, mahu atau tidak sahaja.

Satu lagi, tentang masa depan kita, kita usaha, doa dan tawakal. Selebihnya serah pada Allah. Andai memang ada rezeki kita, insyaAllah tidak ke mana. Yakin pada Allah ya? Semoga Berjaya.

5/2/17
10.50 pm,
Kulim, Kedah.

Tuesday, January 31, 2017

Al-Musawwir (Maha Pembentuk)



Firman Allah s.w.t, dalam Surah Al-Hasyr, ayat 24:

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢٤


Maksudnya: Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”


Kita boleh melihat betapa Allah Maha Pembentuk dengan kepelbagaian cop jari manusia. Betapa ramainya manusia di dalam dunia ini, namun masih tiada yang sama. Kemudian, cuba lihat pula kepada fizikal manusia. Manusia mempunyai mata, hidung, mulut, kaki dan tangan, namun bentuknya masih tidak sama dan berbeza antara satu sama lain. Betapa hebatnya Allah Yang Menciptakan.

Selain itu, cuba lihat tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita. Ada yang berwarna hijau, kuning, merah dan macam-macam lagi. Hebat kan Allah? Tambahan pula, kita cuba lihat Allah Yang Menciptakan manusia. Dari sebelum embrio, kemudian berubah menjadi manusia sempurna yang terbentuk di dalam rahim seorang wanita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Pembentuk dan Pencipta paling sempurna.


Thursday, January 5, 2017

Bedah Filem : The Great Wall

Bismillah…
Anda pernah tak dengar tajuk filem terkini iaitu The Great Wall? Atau anda sudah pernah menontonnya? Bagi yang pernah menontonnya…apa yang anda dapat dari cerita tersebut? Setakat cakap best, majoriti manusia akan bercakap sebegitu, termasuk diri ini. Namun, jika kita lihat dari pandangan yang berbeza, pandangan yang cuba membawa kita ke arahNya, kita akan merasakan lebih indah dan sangat best. So, di sini, ana nak share apa yang ana dapat hasil penontonan ana pada cerita ini. Kejap, sebelum tu, cerita ini tentang Tembok China yang tinggi dan panjang yang dibintangi oleh artis China dan beberapa orang putih. Mereka berlawan dengan raksasa ganjil yang sangat banyak yang cuba menyerang mereka. Kiranya, tembok ini adalah benteng pertahanan mereka bagi menghadapi raksasa itu.


Tadabbur alam
Pertama kali ana terpegun ialah cerita ini latar belakangnya di China. Memperlihatkan gunung-gunung yang cantik, warnanya diselangi warna putih malah pelbagai warna. Subhanallah! Sangat indah…betapa hebatnya ciptaan Allah, sampaikan dalam Al-Quran pun Allah menyebutnya, firman Allah s.w.t:
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air dari langit lalu dengan air itu Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka macam jenisnya.
Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang BERANEKA MACAM WARNANYA dan ada (pula) yang hitam pekat.”

(Surah Fathir, ayat 27)


Kepercayaan
          Dalam cerita ini, ana lihat sebuah perjuangan untuk menempuh rintangan yang dihadapi memerlukan kepercayaan yang sangat tinggi pada rakan seperjuangan. Keyakinan itu harus dibina dan tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Jika dilihat dalam cerita ini, ketikamana saat mahu melawan makhluk raksasa itu, William sanggup turun ke bawah Tembok China demi mendapatkan sample raksasa untuk dibuat kajian bagi menghapuskannya. William meletakkan sepenuh kepercayaan kepada askar China ketika itu dalam membantunya turun ke bawah.
          Kedua, walaupun William baru sahaja dalam kalangan tentera China itu, namun atas dasar kepercayaan, mereka membuka ruang William membantu mereka dalam menghapuskan binatang ganjil itu.


Sahabat
          Ana suka melihat persahabatan antara William dengan sahabatnya. Ketika mana William mahu berubah menjadi lebih baik, rakannya tidak setuju. Malah rakannya itu sanggup untuk meninggalkannya. Tetapi saat rakannya ditangkap, William masih menerima rakannya itu. Jelas yang kita lihat bahawa, seorang rakan yang baik akan menerima segala kekurangan dan kesalahan rakannya.
          Kemudian, ana lihat ketika mereka berbincang di saat genting, masih ada gurauan dalam ketegangan. Maksudnya, rakan itu masih boleh bergurau dan menceriakan suasana walau di saat yang genting dan semakin semangat maju ke hadapan. Ini semua psikologi. Guaraun itu boleh mengurangkan kerisauan dan cuba hadapi bersama-sama.

Kurangnya terdedah aurat
       Tidak dinafikan, mana-mana cerita dari luar negara pastinya ada pakaian perempuannya yang kurang sopan. Namun, dalam cerita ini disebabkan perempuan-perempuannya berpakaian seperti tentera, maka yang dapat dilihat hanyalah bahagian kepala. Maka, kuranglah sikit mata kita sakit memandang dan melihat aurat orang lain yang menambahkan dosa. Sedangkan filem-filem di Malaysia juga masih ada yang berpakaian kurang sopan dan tidak menutup aurat.


Kerjasama
       Dalam cerita ini, untuk menghapuskan binatang ganjil itu, tentera-tentera China dan William bekerjasama dalam menghadapinya. Sangat cantik melihat strategi mereka yang sangat tersusun dan kerjasama yang kuat antara mereka. Sebagaimana mereka yang mahu kejayaan bersama, maka diusahakan bersama. Begitulah jua, andai ingin ke Syurga bersama, ayuh sama-sama usahakannya. Misalnya, tadabbur ayat-ayatNya bersama dan saling mengingati ke arahNya walau ketika berjalan bersama. Di mana-mana kita boleh bangkitkan keimanan kita sejenak.
          Ana ada sahabat sekelas time master ini. Kami memang sentiasa bersama dan kerap naik kereta sendiri. Apa yang ana suka setiap kali bersamanya, setiap apa yang kami lihat, yang kami hadapi, kami akan muhasabah dan secara langsung iman terasa terusik. Jazakillah Syafawani. Mohon pegang tangan ana erat-erat untuk ke Syurga.

Ithar (mengutamakan orang lain lebih dari kita)
          Saat William ada peluang melarikan diri dan boleh mendapat kekayaan yang banyak disebabkan serbuk hitam itu, tetapi dia memilih untuk tinggal di Tembok China itu bagi membantu mereka melawan binatang ganjil itu. Sedangkan rakannya sudah mengajaknya pergi namun ditolaknya. Katanya, mereka di Tembok China memerlukan pertolongannya. Dia lebih memikirkan tentera China itu berbanding dirinya.


Pembaca yang setia,
          Sebenarnya, mungkin banyak lagi yang boleh kita koreksi dari filem ini. Anda bebas untuk menonton sebarang cerita dan memilih cerita apa yang anda mahu lihat. Namun, jangan biarkan ia sekadar melihat tanpa membawa pulang apa-apa manfaat. Pandanglah dari sudut yang boleh anda dekat denganNya dan menjadi seseorang yang lebih baik.
Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
UKM,
5/1/2016, 5.15pm


Saturday, December 3, 2016

Hati telah dipujuk


Bismillah…
          Setelah sekian lama diri menyepi dari blog yang usang ini. Kini kembali cuba menggerakkan jari jemari menari atas keyboard ini. Bukan lupa terhadap blog. Namun, masa sangat mencemburui. Mungkin blogku ini juga mencemburui dengan pengajianku kini. Masaku kepada blog sehingga terabai malah hanya fokus kepada pengajian ku kini.

Pembaca yang sangat dikasihi Allah,
          Di dalam kehidupan ini, banyak perkara yang sangat menuntut kita membuat pilihan. Kadangkala kita terasa tertekan malah tidak sanggup pun untuk membuat apa-apa keputusan. Pilihan ku jua kini yang membawa diri ini ke alam pengajian ini sekali lagi. Ramai yang bertanyakan:

“macam master kat sana?”
“best tak?”

          Apa yang boleh ku katakan…”sangat memerlukan mujahadah yang kuat”…….

          Mujuhadah apa? Antaranya ialah mujahadah untuk kurangkan masa tidur. Zaman master ini sangat sibuk. Assignment dan tugasan yang sangat banyak itu sangat memerlukan pembacaan yang berganda. Kadangkala waktu tidur hanya berlalu tanpa kita sedar. Mata pula berpura-pura kuat demi menemani hati yang sedang membara untuk siapkan tugasan. Tidur di hadapan laptop itu biasa. Tidur berpelukan buku-buku itu juga biasa.

          Saat kesibukan itu menyelubungi diri, satu saat kita akan terasa lelah. Terasa hiba. Terasa ingin berhenti belajar. Terasa ingin bercuti. Terasa ingin lari dari dunia nyata ke dunia fantasi. Tika itu terjadi, setitis-titis butiran permata jatuh dan membasahi helaian kertas yang sedang direnung. Saat terasa…

”aku tak mampu”..
“aku dah tak larat..”

          Tika itu juga kesihatan secara langsung merajuk sama. Semuanya mendung terasa. Tiada sinar. Ada kalanya terduduk di hamparan sejadah dan menangis semahu-mahunya seperti budak kecil. Hati sangat manja ketika itu. Sukar dipujuk. Berkali-kali cuba memujuk sekeping hati yang degil merajuk itu. Namun, hampa.

          Ketika memaksa hati untuk terus kuat, langkah tampak makin maju. Tiba-tiba, kepala cedera. Ia sakit. Merintih simpati. Cuba berlawan dengan kesakitan yang ada. Akhirnya, tidak mampu lagi menyembunyikan butiran permata dari berselindung di kelopak mata. Manik-manik permata yang jatuh cuba dikutip. Namun, kenapa makin lama ia makin pantas jatuh? Aku berlari-lari cuba mengutipnya……



          Tiba-tiba, hatiku dipujuk. Istighfar memainkan peranan. Pejamkan mata sebentar dan tatkala dibuka ia terpana pada Al-Quran di atas meja sana. Entah bagaimana kaki sudah pun melangkah ke arah meja dan semakin menghampirinya. Tangan menggapai Al-Quran, hati berdebar-debar. Dimulakan dengan…’bismillahirrahmanirrahim…’. Tangan membelek pada sepotong ayat yang berbunyi :

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”.
(Surah Ali Imran,ayat 139)

          Perlahan-lahan bibir mengukir senyuman. Terasa hati dibelai dengan kasihNya. Ayat-ayat cintaNya sangat memujuk sekeping hati ini. Allah pujuk lagi dengan ayatNya:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 286)

                   Allah…Allah…Allah. Benar! Allah tak akan menguji di luar kemampuan kita. Allah tahu kita mampu.  Sedar ataupun tidak, hakikatnya dengan adanya ujian ini potensi kemampuan kita yang masih tersembunyi akan terzahir. Dengan adanya ujian ini, kita  akan sentiasa mengingatiNya. Bukankah itu saat yang paling indah?

Pembaca yang sedang berfikir,
          Kadangkala kita melihat orang lain dan kita akan merasakan seronoknya seandainya aku jadi sepertinya. Bagi orang itu pula sebaliknya. Syukurlah dengan apa yang kita ada dan hadapi ia dengan penuh indah. Pengalaman itu mendewasakan. Teruskan dengan perjuangan sekarang. Setiap kesulitan itu ada kemudahan. Perbaharui niat dan hadirlah perasaan setiap apa yang kita buat bersamaNya, bukan sendirian.

          Maka, pilihan ambik Master ini bukanlah salah. Suatu ketentuan. Jangan takut untuk melangkah. Jangan gentar dan mengalah. Buat yang bakal merasai pengalaman ini, sediakan bekalan untuk menempuhinya. InsyaAllah, niat yang baik pasti Allah tolong. Mohon doanya.


Hati telah merajuk dilanda pilu,
Pukulan ombak datang bertalu-talu,
Suatu kekuatan meminta ia berlalu,
Berharap detik itu pergi selalu.

Hati mencari-cari tempat berpaut,
Walau sedang berada di tengah laut,
Tampak seolah sedang kelam kabut,
Namun ayat cintaNya dapat dipaut.




Sekian. Wallahualam.

UKM Bangi,

6.50 pm, 3/12/2016.

Wednesday, September 21, 2016

Perjalanan bermula...


Jam menunjukkan tepat jam 11.00 malam. Tika ini bunyi cengkerik menari di telingaku. Mataku pula seolah sedang memikul batu yang berat. Namun, jari ini memujuk agar berbicara sebentar.

      Onak duri mula menular di setiap langkah ini. Bukankah perjalanan ini baru bermula? Haruskah terus merasakan derita?

Sebentar!!!! Jangan dirasakan sebegitu lagi.

     Tajdidkan (perbaharui) niatmu! Ingatkah lagi hadis pertama dalam Matan Arbain?

“Setiap amalan itu bergantung kepada niat”.



     Niat itu pekerjaan hati dan menuntut sebuah keikhlasan. Terasa diri ini terlalu kerdil melihat orang sekeliling yang banyak ilmunya. Luas pengetahuannya. Jiwa yang sering memikirkan ummah. Allahuakbar!

      Iqra! Bacalah.....

Prof acapkali memesan kepada kami agar rajin membaca. Maka mahu atau tidak mahu, MALAS perlu ditendang keluar dari kamus kehidupan sekarang. Teringat kata Murabbi dulu,

“Orang yang malas, susah nak masuk SYURGA”

     Ya! Untuk mendapat sesuatu kita perlu usaha. Kemudian, doa dan tawakal. Tatkala pensyarah memberi tugasan, hati mula terdetik untuk merintih. Namun, ditangkis dengan istighfar dan mengusung ribuan hamasah (semangat) untuk berhadapan dengannya.

     Alhamdulillah, Allah hadirkan sahabat-sahabat yang bersama menggenggam erat harapan ini. Sifat Syafa yang berani menjadikan tidak rasa gusar tatkala bersamanya. Tatkala jiwa terasa sesak, Afifah hadir menceriakan keadaan ditambah pula dengan hamasahnya yang berkobar- kobar. Selain itu, satu angkatan perjuangan ini, Rasyidah, kak Solehah, Naimah, dan kak A’thiyatul bagi akhowat.

     Niat yang baik, InsyaAllah ada jalan dariNya. Teruskan doa. Teruskan mengejar cinta Allah. Pencarian harus diteruskan, dengan mendamba ampunan dan petunjuk sepanjang jalan.

     Nampaknya, mata memberi isyarat menuntut haknya untuk berehat. InsyaAllah, ada rezeki akan berkongsi lagi. Ini hanya kisah penulis, andai ada yang kurang baik, jangan diteladani, andai ada sesuatu mutiara dapat dikutip. Dipersilakan. Mohon doa semua.

11.39pm,
20/9/16,
UKM Bangi.