Tautan Ukhwah

Showing posts with label Indahnya Nama Allah. Show all posts
Showing posts with label Indahnya Nama Allah. Show all posts

Tuesday, January 31, 2017

Al-Musawwir (Maha Pembentuk)



Firman Allah s.w.t, dalam Surah Al-Hasyr, ayat 24:

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢٤


Maksudnya: “Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”


Kita boleh melihat betapa Allah Maha Pembentuk dengan kepelbagaian cop jari manusia. Betapa ramainya manusia di dalam dunia ini, namun masih tiada yang sama. Kemudian, cuba lihat pula kepada fizikal manusia. Manusia mempunyai mata, hidung, mulut, kaki dan tangan, namun bentuknya masih tidak sama dan berbeza antara satu sama lain. Betapa hebatnya Allah Yang Menciptakan.

Selain itu, cuba lihat tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita. Ada yang berwarna hijau, kuning, merah dan macam-macam lagi. Hebat kan Allah? Tambahan pula, kita cuba lihat Allah Yang Menciptakan manusia. Dari sebelum embrio, kemudian berubah menjadi manusia sempurna yang terbentuk di dalam rahim seorang wanita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Pembentuk dan Pencipta paling sempurna.


Saturday, April 18, 2015

Al-Bari' (Maha Mengadakan)


Bismillahirrahmanirrahim…

Jom kita lihat salah satu nama Allah iaitu Al-Bari’ (Maha Mengadakan) .

          Al-Bari’ berasal daripada akar kata al-bar-u yang bererti memisahkan sesuatu daripada sesuatu yang lain. Orang Arab biasa mengucapkan ‘bara’tu min al-maradh’  yang bermaksud ‘aku dipisahkan atau disembuhkan daripada penyakitku’. Daripada akar kata itu juga muncul kata bari’un yang biasa digunakan bagi merujuk pada orang yang terlepas daripada sesuatu tuduhan. Apabila sebahagian daripada satu ciptaan dipisahkan daripada sebahagian yang lain, orang yang melakukannya adalah bari’.

*********
Kisah Unta Mukjizat

Allah s.w.t menciptakan sesuatu itu sesuai dengan kehendakNya. Lihatlah bagaimana Allah mengeluarkan Nabi Salleh dari tuduhan kaumnya Tsamud dengan mengeluarkan unta dari batu.

Demi bukti mukjizat yang diminta kaum Tsamud, maka Allah mengirimkan seekor unta betina yang keluar dari sebuah gunung batu yang terbelah. Mukjizat utama dari unta itu adalah air susunya cukup diminum oleh semua sepanjang hari. Jika unta itu tidur di sesuatu tempat maka haiwan-haiwan lain akan menjauhkan diri daripada unta tersebut. Semua ini adalah bukti bahawa unta betina ini adalah satu mukjizat dari Allah s.w.t yang membuktikan kenabiah Nabi Salleh a.s.

**********
Tugas Kita

Melalui nama Al-Bari’ ini, Allah membekalkan kepada kita kecerdasan supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Jadi, tugas kita sekarang kita adalah mengamalkan sifat Al-Bari’ ini. Tidak ada alasan lagi untuk kita menyerah kalah dengan kesusahan dan masalah yang kita hadapi sekarang.

          Kita harus menghasilkan sesuatu yang baru untuk kemaslahatan umat. Jangan putus asa, buatlah apa yang kita mampu. Nabi Adam sendiri pernah kecewa sewaktu beliau disingkirkan dari Syurga kerana melanggar perintah Allah. Beliau terpaksa mengharungi perjuangan hidup di tempat yang asing baginya. Kemudian, Nabi Adam terdengar suara dari langit, “Aku memberimu tangan dan akal, bumi dan waktu. Berjuanglah!”


Wallahualam.

Wednesday, December 10, 2014

Al-Khaliq (Maha Pencipta)

AL-KHALIQ (MAHA PENCIPTA)


“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang kemudian Kami balut tulang- tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
(Surah Al-Mu’minun, ayat 14)

Allah itu Maha Pencipta. 
Semuanya Allah yang cipta.
Semuanya dari Allah s.w.t.
Kini…

Ilmu pengetahuan kini telah berkembang luas dan juga telah melampaui batas bagi manusia. Teori-teori sains yang materalis telah mengatakan pada pemahamannya adalah “Apakah alam semesta ini wujud dengan sendirinya atau memang ada yang menciptakan?” Inilah idea yang dilontarkan oleh kaum materalis yang tidak percaya pada kewujudan Allah s.w.t.

Akhirnya, pada tahun 1996, seekor kambing biri-biri yang bernama Dolly telah  dilahirkan hasil pengklonan dari sel dewasa. Ini dianggap sebagai kejayaan pertama dalam bidang sains pengklonan. Dr. Harry Griffin telah membela hasil penciptaannya dan menyatakan bahawa ini dapat membantu menghasilkan pelbagai tindakan baru terhadap sejumlah penyakit.

                                             


Pada tahun 1998, Dolly melahirkan anak biri-biri betina yang diberi nama Bonnie. Pada tahun 1999, Dolly melahirkan 3 anaknya namun setelah itu Dolly menghidap penyakit arthritis. Akhirnya, meninggal pada tahun 2003.

Namun, kata Dr Harry Griffin, jangkitan penyakit itu biasa bagi biri-biri  yang telah tua. Seolah-olah menutup kelemahan yang ada pada klon itu.

Lihatlah, betapa manusia sering lupa bahawa Allah yang telah menciptakan segalanya. Mencipta itu adalah menghadirkan sesuatu yang tidak ada menjadi ada, sedangkan manusia hanya mencipta atau mereka-reka sesuatu.

Sebenarnya, ilmu pengetahuan dan teknologi menurut pandangan Al-Qur’an  mengundang kita untuk melihat sekian banyak ayat Al-Qur’an yang berbicara tentang alam raya. Menurut ulama terdapat 750 ayat Al-Qur’an yang menjelaskan tentang alam beserta fenomenanya dan memerintahkan manusia untuk mengetahui dan memanfaatkannya.


Wallahualam.

Tuesday, September 30, 2014

Al-Mutakabbir (Maha Memiliki Kebesaran)

                                                 


Segala sesuatu yang ada di alam semesta ini, terutama manusia, tidak patut mengaku dirinya besar dan agung kerana sifat-sifat itu adalah hak Allah yang mutlak.

          Sifat takabur ini boleh melahirkan pelbagai musibah kepada pelakunya dan pelakunya berhak mendapatkan hukuman serta kemurkaan Allah kerana Allah yang memiliki segalanya bukan manusia. Nauzubillah.

Jom uji minda!                 
Siapa orang yang paling terkenal dengan sombongnya zaman dahulu?
Nabi mana yang berani menentang dia?
Krik..krik..krik..^_^

********
          Orang itu adalah Firaun. Raja Firaun yang amat sombong dengan kekuasaan dan kekayaannya. Firaun merasakan dia lebih baik dari Allah. Nabi Musa a.s adalah orang yang berani untuk menentang Firaun.

          Sebelum ini, Nabi Musa telah selamat dari kezaliman Firaun. Dengan mukjizatnya, Nabi Musa a.s mampu mengalahkan ahli sihir sehingga mereka menjadi beriman. Namun, Firaun masih berdegil dan tetap dengan kesombongannya.

          Bani Israel adalah di bawah cengkaman Firaun dan mereka merasa amat takut. Lantas, mereka meminta bantuan Nabi Musa untuk keluar dari penjajahan Firaun.

          Nabi Musa memimpin mereka meninggalkan Mesir menuju ke Baitul Maqdis. Mereka berjalan dengan cepat kerana takut kepada Firaun dan tenteranya yang mengejar dari belakang. Setelah mereka lintas padang pasir yang luas, akhirnya mereka tiba di tepi Laut Merah.

          Mereka semakin cemas. Nabi Musa menenangkan mereka dengan mengatakan kepada pengikutnya bahawa perjalanan mereka dalam lindungan Allah s.w.t. Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa agar memukulkan tongkatnya untuk membelah lautan supaya mereka dapat berjalan melintasinya.

                                                     


          Setelah Nabi Musa memukulkan tongkatnya, akhirnya mereka dapat melintasi lautan yang terbelah itu. Setelah rombongan tersebut sampai, Nabi Musa kembali memukulkan tongkatnya dan lautan pun kembali seperti biasa.

          Di saat akhir kematian Firaun, Firaun cuba meminta ampun kepada Allah, namun apakan daya, Firaun telah terlambat kerana taubat telah tidak diterima.

*Boleh tengok surah Yunus ayat 90-92.

*******
          Orang yang memahami dan menghayati dengan nama Allah Al-Mutakabbir ini, semestinya tumbuh kesedaran dalam hatinya, kesombongan sekecil mana pun tidak akan dibiarkan dalam hatinya. Sedaya upaya akan cuba mujahadah.

          Jom perbaiki diri dan terus mara ke arahNya.

Wallahualam.


Thursday, August 15, 2013

Al Jabbar (Maha Memaksa)


                                                                  


Bismillahirrahmanirrahim…

“Kemudian Allah menunjukkan kehendaknya ke arah langit yang berupa asap lalu Allah berkata kepadanya dan kepada bumi, ‘Turutilah perintahku, sama ada kamu patuh secara sukarela ataupun terpaksa. Kedua-duanya menjawab, ‘Kami patuh dengan sukarela’.”
(Surah Fussilat, ayat 11)
**********
Pembaca yang dirahmati Allah, tidakkah anda tertanya-tanya mengapa Allah perlu memaksa?

Anand Krishna, seorang tokoh spiritual di Indonesia cuba menjelaskan dalam buku berjudul 99 Nama Allah bagi Orang Modern. Beliau menerangkan :

“Cuba rasakan rahmat Allah di sebalik pemaksaan itu, seperti seorang ibu yang memaksa anaknya bangun pagi dan bersedia ke sekolah. Begitu jugalah dengan Allah yang perlu memaksa kita bangkit daripada tidur yang berpanjangan. Kecelakaan-kecelakaan yang terjadi dalam kehidupan kita, kegagalan-kegagalan yang kita alami, semua itu adalah cubaan Tuhan kepada kita. Keluhan kita hanya membuktikan betapa kita tidak sedar dan terbiasa hidup dalam kegelapan.”

Nampak tak?

Paksaan Allah adalah untuk peringatan supaya manusia menjadi khalifahnya di muka bumi, menyedari tugas dan tanggungjawabnya bukanlah paksaan itu untuk menyakiti hambaNya.

Sebenarnya, sangat mudah bagi Allah s.w.t untuk menjadikan seluruh penduduk dunia ini beriman. Namun, Allah s.w.t tidak berkehendak demikian, Allah s.w.t mengkehendaki adanya cubaa, ujian dalam rangka menguji manusia siapakah yang paling baik amalnya.

Contohnya, pelaku maksiat tiba-tiba termimpikan sesuatu yang dapat menginsafkan dirinya. Mimpi dibakar api neraka dan sebagainya.  Di sini, Allah dengan sifat memaksa-Nya mampu memaksa hamba-hamba yang dikehendaki-Nya untuk beriman.

Allah mengharapkan agar hamba-Nya selalu berada dalam naungan hidayah-Nya maka Allah memaksa hamba-Nya sehingga si hamba benar-benar beriman.

Wallahualam.

Friday, April 12, 2013

Al-Aziz (Maha Perkasa) - Burung Ababil Membawa Batu Neraka

                                                         
Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud, ayat 66:
Maksudnya : “Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa”.

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Allah Maha Mulia dan Maha Perkasa dan serta mampu melakukan segala kehendak-Nya. Dialah yang Maha Mulia kerana keperkasaan-Nya pada zat, sifat dan perbuatan-Nya. Kemuliaan dan keperkasaan Allah kerana Keagungan-Nya. Dialah yang disembah, dimuliakan dan diagungkan segala yang ada di langit dan bumi.

Apa bukti Allah Maha Perkasa?

Jom halusi kisah di bawah…
**********
Firman Allah dalam Surah Al-Fil, ayat 1-5.

Maksudnya: “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera gajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang banyak dan melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat.”

                                                        


          Kehadiran utusan Abrahah (Gabenor Yaman) di Makkah telah menimbulkan perasaan yang tidak senang pada kabilah-kabilah Arab. Akhirnya, kaum Quraisy bergerak lalu di Jazirah Arab tersebarlah berita tentang datangnya pasukan yang kuat untuk ditandingi.

          Dalam surat yang dibawa utusannya, Abrahah menyampaikan bahawa kedatangannya tidak untuk memerangi mereka (kabilah-kabilah Arab) tetapi untuk menghancurkan Kaabah. Jika kabilah Arab tidak menghalang, maka mereka tidak akan diperangi. Kemudian, utusan itu menemui Abdul Muthalib menceritakan keinginan Abrahah.
Abdul Mutalib berkata,”Kami tidak ingin memeranginya kerana kami tidak memiliki kekuatan. Kaabah adalah rumah Allah s.w.t yang mulia dan suci, dan rumah kekasih-Nya Ibrahim a.s.  Jika dia mencegahnya maka itu adalah rumah-Nya dan tempat suci-Nya namun jika dia membiarkannya maka demi Allah s.w.t. kami tidak memiliki kekuatan untuk  mempertahankannya.”

          Matahari waktu itu bersinar dan Abrahah duduk di dalam khemahnya. Ketika dia keluar, matahari telah terlindung di balik segerombolan burung. Abrahah melihat ke langit dan beranggapan dirinya sedang melihat awan hitam tetapi ternyata yang dilihatnya itu adalah sepasukan burung yang menyerupai awan tebal dan menutupi cahaya matahari. Sepasukan burung itu adalah burung Ababil.

          Pasukan Abrahah juga terdiri daripada gajah-gajah dan pasukannya mulai cemas dan ketakutan. Rasa takut itu juga menular seluruh pasukan. Di tengah-tengah pasukannya, Abrahah memerintahkan agar gajah-gajah diusahakan untuk maju secara paksa.

          Setelah itu, terbukalah satu jendela dari jendela Al-Jahim dan burung-burung itu menghujani pasukan Abrahah dengan batu dari Sijil iaitu batu yang sama dengan batu yang pernah dihujankan kepada kaum Nabi Luth. Batu itu menyerupai bom-bom atom yang digunakan saat ini.

                                                             

          Tentera Abrahah binasa dan daging tubuh mereka berciciran di jalan. Jasad pasukan Abrahah ini bertaburan di bumi. Abrahah sendiri mengalami luka iaitu dadanya terbelah lalu mati. Setelah mendekati setengah abad, turunlah suatu surat Makkah yang menceritakan tentang peristiwa itu.

*********
Pembaca yang setia,

          Tidakkah anda terfikir, bagaimana suatu kekuatan yang kuat, tiba-tiba hadir menyerang pasukan gajah? Allah s.w.t. dengan sifat Maha Perkasa-Nya mempunyai burung Ababil yang membawa batu-batu seperti bom atom. Tiada siapa yang boleh menandingi Allah s.w.t yang Maha Perkasa.

          Mari mengajak diri untuk bermuhasabah. Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan Allah s.w.t yang hebat ini? Ayuh, banyakkan amalan, tingkatkan iman.

Wallahu’alam.

Friday, February 8, 2013

Al-Muhaimin (Maha Memelihara)

                                                               

Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hasyr, ayat 23:

Maksudnya: “Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah, dari apa yang mereka persekutukan.”

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Allah itu Maha Pelindung, Penjaga, Maha Pengawal serta Pengawas, iaitu memerintah dan melindungi sesuatu. Allah memelihara segala sesuatu apabila kita mohonkan pemeliharaan hanya kepada-Nya. Seharusnya, kita perlu merasakan bahawa adanya pemeliharaan Allah yang telah menjaga diri kita, keluarga dan harta kita.

          Namun, malang sekali, kebanyakan dari kita meletakkan pergantungan kepada selain Allah. Contohnya, ada yang sudah merasa selamat daripada pencuri apabila rumahnya telah dikunci. Ini salah kerana kunci hanya ikhtiar, sedangkan pemeliharaannya tetap perlu disandarkan kepada Allah Ta’ala.

          Orang-orang yang berada dalam pemeliharaan Allah, maka kehidupan akhiratnya akan selamat. Jadi, kita harus selalu memohon pemeliharaan kepada Allah seperti dari sifat malas, kikir, hutang, dan azab neraka. Malah Allah telah mengajarkan kepada kita kalimat Ta’awudz (‘Auudzu Billaahi Minas Syaithoonir Rojiim). Di sinilah kita memohon pemeliharaan kepada Allah dari godaan dan bisikan syaitan. Walaupun Allah itu Al-Muhaimin tetapi kita sebagai hamba harus selalu memohon. 

Nak bukti Allah itu Maha Memelihara?

Jom halusi kisah ini..

*********
          Seorang penyelidik dari Perancis iaitu Maurice Bucaille telah memeluk Islam setelah dia menyelidik jasad Firaun yang pernah tenggelam di dasar laut. Jasad Firaun tersebut kemudian diawetkan. Al-Quran itu berbeza dengan kitab suci agama lain iaitu dalam pengetahuan mengenai Firaun.

          Bucaille adalah ahli bedah yang terkenal di Perancis dan pernah menjadi ketua klinik bedah di Universiti Paris. Bucaille tertarik terhadap Islam ketika dia mendalami kajian biologi. Ketika mendapat kesempatan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Bucaille mengumpul seluruh kemampuannya untuk mencungkil misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir tersebut.

          Akhirnya, dia perolehi sisa-sisa garam yang melekat pada tubuh mumia tersebut yang menjadi bukti terbesar bahawa dia telah mati kerana tenggelam. Jasadnya segera dijadikan mumia yang diawetkan.

Penemuan tersebut masih menjadi pertanyaan kepada profesor. Bagaimana jasad tersebut lebih baik berbanding dengan jasad-jasad yang lain padahal dia dikeluarkan dari laut?

          Hal ini telah menjadi keraguan terhadap Maurice Bucaille. Dia berkata pada dirinya sendiri, “Apakah masuk akal? Manusia di depanku ini adalah Firaun yang akan menangkap Musa? Muhammad mengetahui hal itu, padahal kejadiannya ada sebelum Al-Quran diturunkan?” Profesor Bucaille tidak dapat tidur.

          Dia membaca kitab Taurat dan menemukan ayat yang berbunyi, “Air pun kembali, menutupi kereta, pasukan berkuda dan seluruh tentera Firaun yang masuk ke dalam laut di belakang mereka tidak tertinggal satu pun di antara mereka.”

          Kemudian Bucaille membandingkan dengan Injil dan ternyata dalam Injil juga tidak dibicarakan mengenai diselamatkannya jasad Firaun sehingga dia menjadi semakin menghairankan.

                                                      

********
          Allah s.w.t melalui sifat memelihara-Nya sengaja mengawetkan jasad Firaun untuk memberi pengajaran kepada orang-orang sesudahnya bahawa Al-Quran adalah benar-benar suatu bukti daripada Allah s.w.t. Peristiwa ghaib itu membuktikan bahawa kebenaran Al-Quran akan terbukti di segala zaman dan keadaan.

Pembaca yang setia,
          Lihatlah betapa Allah itu bersifat Al-Muhaimin (Maha Memelihara). Letakkan semua pergantungan kita kepada Allah. Percayalah bahawa Allah itu Maha Mengawasi. Jangan takut, jangan gusar, jangan risau, Allah bersamamu. Di mana jua kamu berada, yakinlah Allah sentiasa ada.

Wallahualam.

*kisah dipetik dari Kisah Inspirasi Asmaul Husna, Nurdalila Yusof.

Tuesday, April 10, 2012

Al-Mukmin (Maha Melimpahkan Keimanan)



                                                                         

Bismillahirrahmanirrahim..

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah s.w.t akan gementar hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya akan bertambah iman mereka (kerananya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”
(Surah Al-Anfal : 2)

********
          
          Pada awal berdakwah, Rasulullah s.a.w. menghadapi tentangan yang sangat berat. Misalnya, Nabi s.a.w. menjadi sasaran pembunuhan dan bagi pemuda Quraisy yang berjaya membunuhnya akan diberi ganjaran harta dan kekuasaan yang besar oleh para pembesar Arab. Namun pembunuhan tersebut selalu gagal kerana Allah s.w.t tidak redha.

          Percubaan untuk membunuh Nabi s.a.w. ini pernah dilakukan oleh seorang pemuda yang bernama Suraqah. Ketika Nabi s.a.w berehat di bawah pokok, Suraqah datang mendekati Nabi s.a.w. lalu menghunus pedang dan mengarahkan ke dada Nabi s.a.w. Kemudian Saraqah berkata,”Jika aku membunuhmu sekarang, siapa yang akan menolongmu, ya Muhammad?” Nabi s.a.w. menjawab, “Allah s.w.t. yang akan menolongku.”

          Ucapan Nabi s.a.w. ini dikeluarkan dari lubuk sanubari yang paling dalam, berasal dari lubuk hati yang berbalut keimanan. Setelah mendengar kata-kata Allah s.w.t., bergetarlah hati Suraqah. Pedang yang ada di tangannya terlepas. Dengan cepat Nabi s.a.w. mengambil pedang tersebut dan mengarahkan ke Suraqah. Nabi s.a.w. berkata,”Jika sekarang aku membunuhmu, siapa yang akan menolongmu, Suraqah?” Suraqah berkata,”Tidak ada, Muhammad kecuali Engkau mahu mengampuni kesalahanku.”

          Nabi s.a.w. tersenyum, pedang yang telah dihunus disarungkan kembali. Nabi s,a.w. tidak jadi membunuh Suraqah. Nabi s.a.w kemudian berkata, “Sekarang, pulanglah dan jangan sesekali kamu ulangi perbuatanmu lagi”. Apabila mendengar jawapan yang halus budi pekerti dan tidak bernada balas dendam, Suraqah amat kagum kepada Nabi s.a.w. kerana akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Kemudian Suraqah mengaku tunduk dan memeluk Islam.

*********

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Lihatlah bagaimana seorang hamba yang memiliki dosa sebesar gunung, namun dia masih memiliki secebis hati yang dapat membimbing ke arah jalan Allah s.w.t. Inilah yang disebut keimanan. Walaupun tertimbun nafsu dunia dan terbenam di dasar lumpur kemaksiatan, namun keimanan itu dapat digali apabila terdapat seseorang yang dapat menggetarkan sisi tauhid di dalam jiwa sehingga keimanan itu dapat keluar dengan baik. Oleh itu, marilah kita mantapkan iman kita dalam menggapai redha-Nya.

Iman..

Hadirmu menerbitkan getaran di jiwaku,

Menanam kemahuanku,

Membangkitkan keyakinanku,

Sebagai seorang pejuang.


Detik dihimpun jiwa meronta,

Ke mana arah akan dibawa,

Dengan iman rentasi Sirat,

Ke puncak mulia atau hina..


Wallahualam.

Wednesday, March 28, 2012

As-Salam-Maha Selamat Sejahtera

                                                                       

ÖN»n=y™ Zwöqs% `ÏiB 5b>§‘ 5OŠÏm§‘ ÇÎÑÈ (#râ“»tFøB$#ur tPöqu‹ø9$# $pkš‰r& tbqãB̍ôfãKø9$# ÇÎÒÈ

“(Kepada mereka dikatakan) ‘Salam’, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang dan (dikatakan kepada orang-orang kafir). ‘Berpisahlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.”
(Surah Yasin, 58-59)

Imam Ibnu Kathir rahimullah berkata : “As-Salam, maknanya, yang selamat dari segala aib dan kekurangan kerana kesempurnaan zat, sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya (Allah)”.

Imam Asy-Syaukani rahimullah berkata: “As-Salam, maksudnya yang selamat dari semua kekurangan dan aib”.

Kisah Orang Terakhir Yang Masuk Syurga

          Di akhirat kelak, semua manusia mendapatkan kitab catatan amal sama ada di tangan kanan atau kiri. Kemudian, masing-masing mendapat balasan sesuai dengan perbuatan masing-masing saat di dunia. Yang menerima kitab dengan tangan kanan akan ditempatkan di syurga sedangkan yang menerima dengan tangan kiri akan ditempatkan di neraka.

          Setelah semua manusia mendapat balasan, masih terdapat seorang lelaki yang masih berlari-lari, merayap-rayap di atas jambatan siratul mustaqim iaitu jambatan yang membentang di atas neraka Jahanam dan lebih sempit dari rambut dan lebih tajam dari pedang yang paling tajam.

 Orang terakhir itu,  merangkak dan cuba keluar dari jambatan siratul mustaqim. Terkadang api menjilat wajahnya dan menghanguskan tubuhnya. Namun, dengan izin Allah s.w.t, dia akhirnya dapat melalui jambatan tersebut.

Lelaki itu berkata, “Maha Suci Allah, Engkau telah menyelamatkan dari seksa-Mu. Sungguh, aku telah diberi kurnia yang tidak diberikan kepada orang-orang sebelum atau sesudahku”. Kemudian oleh Allah s.w.t, dia diperlihatkan kepada sebuah pohon lalu dia berkata, “Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pohon tersebut agar aku dapat berteduh dan meminum airnya.”

Allah s.w.t kemudian berfirman, “Wahai Ibnu Adam, apabila aku mengabulkan permintaanmu, aku bimbang engkau akan meminta yang lainnya.” Lelaki itu menjawab, “Tidak, ya Tuhanku”. Kemudian lelaki itu berjanji tidak akan meminta yang lainnya. Maka Allah s.w.t mendekatkan lelaki tersebut kepada pohon itu. Allah s.w.t kemudian memperlihatkan lelaki ini dengan pohon yang lebih baik dari pohon yang pertama. Lelaki itu kemudian berkata, “Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pohon itu sehinggaku dapat minum airnya dan berteduh di bawahnya dan aku tidak akan meminta kepada-Mu yang selainnya.”

Maka Allah s.w.t berfirman, “Wahai Ibnu Adam bukanlah engkau telah berjanji tidak akan meminta kepada-Ku yang selainnya? Aku bimbang apabila Aku berikan kepadamu, engkau akan meminta yang lainnya.” Maka lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang selainnya.

Setelah berada dekat dengan pohon itu, dia mencium bau Syurga dan mendengar suara penduduk Syurga sehingga keinginannya menjadi berubah. Dia berubah fikiran lagi dan terus memujuk Allah s.w.t, “Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Allah s.w.t kemudian berfirman, “Wahai hamba-Ku, bukankah tadi engkau tidak akan meminta lagi sesuatu darii-Ku? Bagaimana seandainya Aku berikan dunia atau yang seperti dengannya?” Lelaki ini berkata, “Wahai Tuhan-Ku, apakah Engkau mempermainku padahal Engkau adalah Rabbul Allamin.” Allah s.w.t berfirman,” Aku tidak mempermainkanmu tetapi aku Maha Mampu atas segala sesuatu yang Aku inginkan.”

**********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Demikianlah Allah menyelamatkan hamba yang dikehendaki-Nya dari pelbagai seksaan neraka. Kita harus perhatikan dengan Maha Salam-Nya. Allah akan memberikan keselamatan dari azab, kejahatan dan pelbagai maksiat yang ada dunia dan akhirat kepada hamba-Nya yang dikehendaki.

          Selain itu, ingatlah..dengan merenungi dan memahami nama Allah merupakan faktor utama yang dapat menambah keimanan seseorang muslim kepada Allah. Seorang Muslim wajib untuk meminta keselamatan hanya kepada-Nya. Hal ini kerana keselamatan hanyalah bersumber dari-Nya. Semoga Allah sentiasa memberikan keselamatan kepada kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.