Tautan Ukhwah

Showing posts with label FIQH. Show all posts
Showing posts with label FIQH. Show all posts

Friday, November 20, 2015

Meletakkan Sutrah (penghadang) ketika solat


Bismillah…

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari RedhaNya.

          Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu, hasil pembacaan saya dalam buku Formula Solat Sempura yang ditulis oleh Dr.Zaharuddin Abd Rahman. Perkara yang berkenaan meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan ketika solat.

Pernah atau tidak, ketika anda solat, ada orang melintasi di hadapan anda?
Hati pun bermonolog lantas khusyuk kita hilang.

Jadi, apa tujuan kita membuat penghadang di hadapan ketika solat?
Antaranya ialah sunnah Nabi s.a.w, tambahan pula ia menjadikan pemikiran kita berpusat kepada ibadah solat tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang ramai. Selain itu, ini dapat membezakan antara orang-orang yang sedang bersolat dengan orang di luar solat.

Mari kita lihat dalil ini…

Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” 

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Jika kita lihat daripada dalil ini sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah di waktu solat sendirian. Ini bertujuan agar tida orang yang mendapat dosa disebabkan lalu di hadapan orang solat.

Namun, meletakkan sutrah bagi mereka yang menunaikan solat sebagai makmum adalah tidak perlu.


Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)


Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Hukum boleh berubah bagi isu berjalan melintasi sutrah orang yang sedang bersolat iaitu imam atau mereka yang sedang solat bersendirian:

Apabila keadaan sangat terdesak,

HARUS – Apabila tahap darurat yang melibatkan bahaya pada nyawa dan harta benda.


Apabila keadaan terdapat keperluan,

HARAM – ini pandangan mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian ulama Hanafi.

HARUS – ini pandangan salah satu pandangan Imam Ahmad, sebahagian ulama Syafie dan mazhab Maliki. Mereka berdalilkan firman Allah yang mengkehendaki kemudahan bagi manusia dan bukan kesukaran. Imam An-Nawawi menyatakan pandangan ini juga dipegang oleh Imam Al-Juwayni dan Al-Ghazali.

Namun, jika yang lintas itu adalah kanak-kanak, binatang dan apa jua yang tidak mampu memahami isyarat dan halangan itu, maka ia termasuk dikecualikan.

Contoh objek sebagai sutrah:

1) Manusia yang sedang duduk diam, berdiri atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no 285 & 286)

2) Haiwan tunggangan yang duduk diam.

3) Dinding.

4) Pokok.

5) Tongkat.

Banyak benda boleh dijadikan sutrah. Gunalah benda yang kita tengah ada ketika itu. Jika kita masih di kampus, boleh guna beg. Gunalah apa yang ada dan buatlah penghadang. Dengan harapan, kita lebih khusyuk solat. InsyaAllah.

Wallahualam.



Tuesday, April 29, 2014

Membaca Ayat-Ayat Al-Quran Semasa Haid

                                          


Fuqaha’ sepakat wanita haid, nifas, dan janabah boleh berzikir seperti bertasbih, tahlil, tahmid dan lain-lain dan boleh membaca ayat-ayat Al-Quran yang telah dijadikan zikir seperti doa naik kenderaan. Juga boleh membaca Al-Quran dalam hati tanpa menggerakkan lidah.

Fuqaha’ berselisih pendapat mengenai membaca Al-Quran. Mengikut jamhur fuqaha’ (Imam Syafie, Hanbali dan Hanafi), wanita haid, nifas, dan berjunub haram membaca Al-Quran. Hujahnya adalah hadis riwayat Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wanita haid dan junub tidak harus membaca awal sedikit daripada Al-Quran”.

Ibnu Taimiyah dan Imam Malik berpendapat pula mereka boleh membaca Al-Quran. Dalam hal ini, pandangan jamhur fuqaha’ lebih kuat. Oleh itu, kita hendaklah berpegang dengan pandangan mereka. Kecuali dalam keadaan masyaqah (kesukaran) seperti seorang hafizah atau guru Al-Quran bolehlah berpegang dengan mazhab Imam Malik dan Ibnu Taimiyah.


Rujukan: Majalah JOM, no 3, Soalan Fiqh,  oleh Dr.Anisah Binti Abdul Ghani, Konsultan Jabatan Fiqh Dan Usul, Universiti Malaya.

Tuesday, June 25, 2013

Perkara-perkara sunat puasa

                                                                             
 
“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah : 183)

 

Antara perkara-perkara sunat puasa:

1.     Bersahur dan melewatkannya.

2.    Menyegarakan berbuka puasa apabila sudah yakin jatuh matahari.

3.    Membaca doa semasa berbuka puasa.

4.    Berbuka dengan buah tamar (kurma) ataupun seumpamanya

5.    Mandi junub sebelum terbit fajar.

6.    Mengadakan jamuan berbuka puasa ataupun memperbanyakkan sedekah.

7.    Memperbanyakkan bacaan Al-Quran, berdoa dan berzikir.

8.    Memperbanyakkan amalan termasuk solat tarawih dan lain-lain.

Wednesday, June 12, 2013

Syarat Sah Solat Berjemaah

                                                                            
Solat Jemaah

Ertinya: solat beramai-ramai iaitu sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang makmum.


Syarat sah solat jemaah:

1.      Makmum perlu berniat mengikut imam, tetapi imam itu tidak disyaratkan niat menjadi imam.

2.      Makmum mengemudiankan kedudukan, bacaan dan perbuatan daripada imam.

3.      Makmum perlu mengetahui perpindahan imam daripada satu rukun ke satu rukun yang lain sama ada dengan melihat atau mendengar imam ataupun melihat makmum di hadapannya.

4.      Makmum perlu mengetahui dan yakin akan sah solat imamnya.

5.      Imam dan makmum perlu berada dalam satu bangunan. Sekiranya kedua-duanya ataupun salah seorang berada di luar bangunan ataupun di tanah ladang, maka disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak melebihi 300 hasta.

6.      Solat makmum perlu seragam ataupun sama dengan solat imam daripada segi caranya.

7.      Makmum tidak boleh menyalahi imam dalam melakukan ataupun meninggalkan perkara-perkara sunat.

8.      Makmum tidak boleh mengikut imam yang kurang daripadanya seperti imam itu tidak tahu membaca (‘ummi), perempuan dan sebagainya.

9.      Makmum tidak boleh mengikuti orang yang menjadi makmum kepada imam yang lain.

10.  Makmum tidak boleh ketinggalan daripada imamnya dan rukun dengan sengaja ataupun tiga rukun dengan uzur ataupun mendahului dua rukun daripada imam dengan sengaja.

*Sumber daripada Fikah harian, Dato’ Dr.Haron Din.

Tuesday, April 9, 2013

Sujud Sahwi, Tilawah & Syukur

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,
            Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam buat junjungan Nabi Muhammad s.aw, keluarga baginda dan para sahabat.

Astaghfirullahal’azim (3x)

Pembaca yang dikasihi Allah,
            Tahukah anda jenis-jenis sujud yang dituntut selain sujud-sujud biasa dalam solat? Mari kita ingatkan kembali..

                                                                              


Sujud Sahwi
Sujud kerana terlupa. Maksudnya sujud ini dilakukan kerana berlaku kesilapan ataupun tertinggal sesuatu dalam solat yang tidak membatalkannya. Sujud ini perlu dilakukan sebanyak 2x sebelum memberi salam walaupun beberapa kesilapan.

Sujud Tilawah/Sajadah
Sujud kerana bacaan. Maksudnya apabila seseorang itu membaca ataupun mendengar ayat-ayat Quran yang termasuk dalam kumpulan ayat-ayat sajadah sebanyak 15 tempat, maka dituntut pembaca dan pendengar supaya sujud sekali sahaja. Ia boleh juga dilakukan dalam solat yang dikenali dengan nama sujud sajadah.

                                                                             

Sujud Syukur
Sujud kerana berterima kasih. Maksudnya apabila seseorang itu mendapat sebarang nikmat pemberian daripada Allah ataupun terselamat daripada segala bencana dan bahaya, maka beliau digalakkan sujud sekali sahaja sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah.

Firman Allah berkenaan kewajipan sujud:
"Wahai orang-orang yang beriman! rukuklah dan sujudlah kamu kepada Tuhan kamu(Allah) dan perbuatlah kebaikan mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan". 
(Surah Al-Hajj ayat: 77)

Pembaca yang setia,
            Ayuh banyakkan sujud. Mari dekatkan diri kita dengan Allah. Rasailah hinanya diri kita ini. Tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Jadi, mari kita banyakkan istighfar dan bertaubat. Masih ada masa..teruskan langkah dalam mengejar cinta-Nya.
Wallahualam.

*Sumber ada dipetik daripada Fikah Harian, Dato’Dr.Haron Din.

Monday, February 18, 2013

Ragu-Ragu Sama Ada Wuduk Batal Atau Tidak?

                                                                                   

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Alhamdulillah juga Allah masih memberi kita mata untuk melihat dan membaca.

Apa yang kita dah lakukan hari ini?
Astaghfirullahal ‘azim (3x)

Pembaca yang dirahmati Allah,

Pernah tak kita ragu-ragu tentang status wuduk? Batal atau tidak?

Kebanyakan daripada kita..jawapannya YA!

Persoalannya:

Apakah yang perlu kita lakukan apabila merasa ragu sama ada wuduk batal ataupun tidak?


Jawapannya:

Apabila seseorang rasa ragu berkenaan wuduk sebelum mendirikan solat, ia perlu dikembalikan pada asalnya iaitu sama ada beliau sudah berwuduk ataupun tidak.

Sekiranya beliau sudah berwuduk, bererti wuduknya masih ada.

Sebaliknya jika belum berwuduk, maka wuduk itu tiada.

Tetapi apabila datang syak dalam solat sama ada batal ataupun tidak, maka beliau perlu meneruskan solatnya sehingga nyata dan yakin batal wuduknya.


Buat pembaca yang disayangi Allah,
          Moga terus menambahkan ibadah & memperbetulkan ia supaya menjadi lebih baik dalam rangka untuk lebih mendekati Allah taala.

                                                 
Wallahualam.

*Jawapan dipetik dari buku Fikah Harian, Dato’ Dr.Haron Din.

Sunday, February 3, 2013

Jangan Pandang Remeh Dengan Istinjak!

                                                                                                                                             

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam ini. Selawat dan salam dilimpahkan buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, sahabat baginda, serta insan-insan yang meneruskan perjuangan baginda.

Astaghfirullahal a’zim (3x)

Pembaca yang dikasihi Allah,

Apa maksud istinjak?

Istinjak ialah menyucikan najis yang ada pada kemaluan seseorang selepas membuang air kecil ataupun air besar.

Hukumnya adalah wajib.

Setiap cecair yang keluar melalui kemaluan dan dubur selain daripada air mani adalah najis.

Take note:
·         Sekiranya hanya mengeluarkan angin sahaja, maka tidak wajib istinjak, bahkan makruh hukumnya. Tetapi apabila ia keluar beserta dengan basah ataupun lembab, maka disunatkan beristinjak.

Boleh ke istinjak menggunakan tangan kanan?
Kita dituntut menggunakan tangan kiri. Ijmak ulama mengatakan, adalah ditegah dengan tangan kanan. Jumhur ulama pula menghukumkan perbuatan itu sebagai makruh walaupun terdapat sebahagian ulama Zahiri menghukumkannya sebagai haram. Sebab ditegah beristinjak dengan tangan kanan kerana ia adalah anggota yang lebih mulia daripada tangan kiri dan ia digunakan bagi melakukan kerja-kerja yang baik seperti makan, minum, menulis, mengambil sesuatu dan sebagainya.

Bahaya/ keburukan tidak peka dengan istinjak.
          Perbuatan leka dengan istinjak adalah sikap yang buruk. Tambahan pula, ia bercanggah dengan nilai-nilai kesucian dalam Islam. Perbuatan ini, akan menyebabkan pelakunya diberi azab semasa di dalam kubur.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat.”
 Para sahabat bertanya: “Apakah dua perkara tersebut?”
Rasulullah s.a.w menjawab: “Orang yang membuang air besar (qada’ hajat) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh”.
(HR Muslim)

Daripada Abi Said r.a bahwa dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat qada hajat dalam keadaan terbuka aurat dan bercakap antara keduanya (ketika qada’ hajat) (kerana) sesungguhnya Allah murka terhadap perbuatan tersebut.”
(HR Abu Daud)

          Oleh itu, jangan memandang remeh, tidak peka dengan istinjak. Istinjak dapat menyihatkan badan. Islam amat mengambil berat soal kebersihan. Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. 

Wallahualam.

Wednesday, January 2, 2013

Sunat Ab'ad & Sunat Hai'at


                                                                         
Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ditujukan buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Dah istighfar belum hari ini? takpe..jom istighfar lagi.

Astaghfirullahal’azim (3x)

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Hari ini, kita dan masuk tahun 2013. Seharusnya amalan kita jua meningkat seiring dengan umur kita. Apa yang paling penting, jangan tinggal solat yer?

Namun yang menyedihkan..bab solat pun ada yang belum khatam. Betul tidak?

Tidak mengapa..kita kena usaha untuk memperbaharui niat dan memperbaiki diri.

Tingkatkan ilmu di dada anda.

          Insyaallah, hari ini ana nak kongsi mengenai perkara-perkara sunat dalam solat. Nampak macam remeh..tapi ada yang tidak tahu.

**********
Perkara-perkara sunat dalam solat menurut pendapat Imam Syafie terbahagi kepada dua iaitu Sunat Ab’ad & Sunat Hai’at.

Jika ditanya kepada anda, apa maksudnya?

Sunat Ab’ad adalah sunat yang dituntut untuk melakukannya. Jika ditinggalkannya sama ada sengaja atau tidak, kita dituntut untuk melakukan sujud sahwi.

Sunat Hai’at adalah sunat di dalam solat (selain sunat ab’ad) yang bukan merupakan rukun solat. Jika dilakukan mendapat pahala, tetapi jika ditinggalkan tidak ada apa-apa.

Sunat Ab’ad :-

§  - Membaca tahiyat awal.

§ -  Selawat ke atas Nabi Muhammad dalam tahiyat awal.

§  - Selawat ke atas keluarga Nabi Muhammad dalam tahiyat akhir.

§  - Duduk bagi membaca tahiyat awal dan selawat.

§  - Membaca doa qunut dalam solat Subuh.

§ -  Selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga dalam doa qunut.

§  - Berdiri bagi bacaan qunut dan selawat di dalamnya.

Sunat Hai’at:-

§ -  Mengangkat kedua-dua belah tangan hingga sama paras dengan bahu semasa takbiratul ihram, sebelum rukuk, iktidal dan bangun daripada tahiyat awal.

§  - Tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-duanya antara dada dan pusat.

§  - Mengucap takbir (Allahu akbar) semasa hendak rukuk, sujud, bangun daripada sujud, semasa bangun daripada rakaat pertama, kedua, ketiga dan keempat.

§  -Membaca doa iftitah selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca surah Al-Fatihah.

§ -  Membaca ta’awwazatul isti’azah (au’zubillah) secara perlahan sebelum membaca surah Al-Fatihah pada setiap rakaat.

§  - Membaca tasbih dalam rukuk dan sujud serta berdoa masa duduk antara dua sujud.

§  - Membaca surah lain selepas bacaan surah Al-Fatihah ataupun Al-Fatihah imamnya.

§ - Berhenti sekejap selepas takbiratul ihram, bacaan Al-fatihah dan selepas bacaan surah sebelum rukuk.

§  - Duduk iftirasy semasa duduk antara dua sujud, semasa membaca tahiyat awal dan duduk tawarruk semasa membaca tahiyat akhir.

§  - Membaca doa selepas selawat dalam tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.

§ -  Memberi salam yang kedua.


§  -Menoleh ke kanan dan ke kiri semasa memberi salam.

Jadi, harapannya, moga kita semua sentiasa memperdalamkan ilmu yang ada agar kita menjadi orang yang berguna dan inilah jalan untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya. Insyaallah.

Wallahualam.

*Sumber ada dipetik daripada buku Fikah, Dato’Dr.Haron Din