Tautan Ukhwah

Showing posts with label SAHABAT. Show all posts
Showing posts with label SAHABAT. Show all posts

Thursday, April 30, 2015

Demimu Sahabat


Demimu Sahabat,
Aku berpura senyum tatkala aku terasa denganmu,
Ingin sekali aku menjadi sahabat yang berlapang dada,
Ingin sekali aku buktikan aku terimamu seadanya.

Demimu sahabat,
Tatkala kau terasa denganku,
Aku rasa amat sedih kerana menyakitimu,
Mungkin aku tak mampu meminta maaf di hadapanmu,
Kadangkala hanya sepotong ayat ku kirimkan tanda pinta maafku.

Demimu sahabat,
Saat aku terasa denganmu,
Aku menangis teresak-esak,
Kerana aku khuwatir imanku yang tengah lemah.

Demimu sahabat,
Mungkin kadangkala kau rasa aku tidak mempedulikanmu,
Kau silap…
Dalam doa ku selitku namamu,
Mengharapkan kau baik-baik saja dalam perlindunganNya.

Demimu sahabat,
Saat kau diuji sakit,
Aku bukanlah jururawat yang terbaik untukmu,
Aku bingung memikirkan cara untuk membantumu,
Harapanku, moga kau cepat sembuh.



Demimu sahabat,
Walau aku tak mampu ukirkan senyumanmu,
Sekeras tenagaku ku cuba usahakannya,
Walau di belakang tabir kehidupanmu.

Demimu sahabat,
Jika aibmu dipamerkan dihadapanku,
Cuba ku pejamkan mata,
Istighfar memulakan peranan,
Lantas husnuzan itu hadir.

Sahabat…,
Kau dan aku masing-masing ada kelemahan,
Namun, yakinlah kita saling mujahadah.

Demimu sahabat,
Aku rela berjauhan denganmu,
Hanya kerana ingin kau bahagia,
Tanpa disakiti olehku.

Demimu sahabat,
Aku cuba memperbaiki diri,
Maafkanlah salah silapku dahulu,
Kerana aku hanya Manusia.

Siti Nabilah Azman,
11.50 am, Mu’tah, Jordan.




Saturday, February 21, 2015

Awak & Salju


Awak...
Saat  detik perkenalan kita,
Indahnya seperti melihat butiran salju,
Yang sarat dengan memori kita.

Awak...
Lupakah kita?
Butiran salju itu nanti akan mencair,
Saat itu...
Mungkin ada titisan air mata mengalir.

Awak...
Salju tidak akan selalu bersama kita,
Ia akan hilang dihangati mentari,
Tapi percayalah..
Mentari itu akan membawa lembaran kisah kita yang baru.

Awak...
Tahukah dikau kenapa salju akan pergi?
Segersang mentari akan bercerita padamu.
Saat itu, kau akan tahu kenapa aku begini,
Biarlah salju ini membantu hatiku berbicara.

Awak...
Ku ukir kenangan kita di sebalik kabus salju,
Samar-samar ia kelihatan,
Namun ia benar wujud di sana,
Ia realiti bukan fantasi.

Awak...
Saat ini rinduku terlalu menebal,
Mengatasi tebalnya salju di jendela sana,
Di sebalik hembusan salju,
Ku selitkan doa dan harapan.

Siti Nabilah Azman
21/2/15
Mu'tah, Jordan.



Saturday, December 20, 2014

Warkah SAHABAT


Bismillahirrahmanirrahim...

Tatkala diri mendahagakan kata-kata tentang sahabat, ku menghubungi seseorang dan mengharapkan sedikit kata-kata. Akhirnya, warkah SAHABAT ku terima. 

*******

Pesannya Saidina Ali,
“Selemah-lemah manusia adalah mereka yang tidak dapat mencari sahabat,
adapun mereka yang lebih lemah lagi ialah apabila mensia-siakan sahabat yang telah dicari.

Nah, penting bukan kita punya sahabat. Namun  andai sudah mendapat seorang sahabat, haruslah sebaiknya diikat. Tali ikatannya pula bukanlah dengan tali kejian dan mencari kesalahan, tetapi seharusnya dengan talian keikhlasan tanpa mengharap balasan.

Namun begitu, dalam membenih tautan ukhwah persahabatan ini, tujuan akhirnya nanti biarlah jitu iaitu mardhatillah. Lumrahnya persahabatan diselangi perselisihan faham. Tetapi masih asalkan benihnya Tuhan, siramannya iman dan bajanya kesetiaan, kan tetap merimbun pohonan kasih sayang.

Tegurlah andai terlihat salah, berlapanglah andai pendapat bercanggah.  Ibaratnya persahabatan itu seakan-akan rerumput lalang. Tidak peduli ditebas mahupun dipangkas, selama mana turunnya embun dan hujan dari langit, maka selama itu pulalah akan terus ia tumbuh mencengkam bumi. Begitu pula kita manusia, tidak peduli sehebat mana pertelingkahan, sekeruh manapun campuran perasaan, asalkan diturunkan air kesucian Islam dalam hati, selagi itu ia akan tumbuh lagi dan lagi.

Ukhwah dan persahabatan misalannya tasbih, punya awalnya tiada akhirnya, dan dicipta untuk mengingatiNYA. Salam, sapa dan senyuman, moga ia akan terus membahagiakan. ^_^ 

*jzkk buatmu atas perkongsian tentang SAHABAT ini. Ringkas dan padat tapi cukup mendalam maksudnya.


Wednesday, October 8, 2014

Sanah Helwah Sahabat

Bismillah…

Ingin ku kongsikan tentang dua orang sahabat yang istimewa buatku…. 

********
Pertemuanku dengannya bermula pada zaman diploma. Dijodohkan pula sama bidang pengajian. Lebih teruja lagi, kami ditempatkan sama dorm ketika semester awal. Inilah titik pertemuanku dengannya.

Hari demi hari, kami semakin akrab walau saat-saat akhir semester tidak tinggal di rumah sewa yang sama. Ku sangkakan kami akan berpisah selepas tamat zaman diploma.

Namun, Allah itu amat Maha Penyayang, kami diterbangkan ke Jordan bagi menyambung degree. Subhanallah, amat sebak kerana merasakan ada sahabat lama di samping diri ini.

Nak tahu jodoh kami lagi? Di Jordan, kami ditempatkan satu rumah, malah satu bilik. Hubungan kami semakin akrab. Kekurangan kami sama-sama cuba melengkapi dengan kelebihan masing-masing. Jadual kelas juga sama. Jadi, pergi mana, mesti kami pergi berdua. Dialah Salimah Binti Shiro.

                                                    


********
    
           Seorang lagi ini merupakan sahabat yang ku temui di BTN, kursus sebelum ke Jordan. Sebulan kami bersama. Ditakdirkan dalam satu kumpulan dan di sinilah detik-detik perkenalan indah kami.

          Kemudian, semakin rapat apabila ku terpaksa menumpang kereta keluarganya untuk pulang dari BTN dan sempat singgah di rumahnya. Berada di rumahnya seperti berada di rumah sendiri. Subhanallah.

          Merasakan banyak persamaan dan mudah untuk diajak berbicara. Dan akhirnya, semakin rapat apabila banyak subjek sama dan menghabiskan masa bersama di Jordan. Dialah Aizul Azhani Binti Abdul Wahab.

                                                       


********
Baru-baru ni merupakan hari ulangtahun kelahiran mereka.

Nah..ini untuk kalian.

Sahabat…
Setiap malam ingin ku ambil bintang-bintang dan akan ku berikan pada kalian agar kalian tahu betapa bersinarnya kalian dalam hidupku.

Sahabat…
Aku mengenal kalian melalui satu nama, memahamimu melalui satu renungan, mengingatimu melalui satu kenangan dan menyayangi kalian melalui satu ukhwah fisabilillah. Semoga Allah mengukuhkannya, hanya dengan keranaNyalah yang mampu buat kita bertahan.

Sahabat…
Andai dirasakan permata nilam itu indah, indah lagi ukhwah yang terjalin antara kita.

Sahabat…
Diri ini amat banyak kekurangan, maka ku pinta, lengkapilah kekuranganku dengan kelebihanmu.

Sahabat…
Andai terjumpa kekuranganku, maka ku pinta berlapang dadalah dan teruslah menasihatiku dan mendoakanku.

Sahabat…
Aku mungkin tidak memiliki apa-apa untuk dihadiahkan padamu bagi menghargaimu, hanya sepotong doa agar kehidupanmu sentiasa dikunci dengan kebahagiaan dan kasih sayang Allah selalu.

                                                             
                 
Salam kasih dariku yang menyayangi kalian.

4.20pm,

Mutah, Jordan.

Saturday, September 14, 2013

Siapa Seorang Sahabat?

                                                             
 
SAHABAT….

“Sahabat adalah mereka yang tahu semua kekuranganmu, namun tetap memilih bersamamu ketika orang lain meninggalkanmu.”

 

Tidak semua orang mampu bersama kita setelah mengetahui kekurangan dan kelemahan diri kita.

Kalau kita mampu menerima kelebihan seseorang, mengapa tidak kita menerima kekurangan dia?

Kita juga manusia.

 Dia juga manusia, pasti masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

 

“Sahabat adalah dia yang tahu kekuranganmu, tetapi menunjukkan kelebihanmu. Dia tahu ketakutanmu, tetapi menunjukkan keberanianmu”.
 

 
Seorang sahabat itu sentiasa membantu kita sedaya upayanya.

Dia tahu kekurangan diri kita, tetapi dia selalu membantu dengan menunjukkan kelebihan kita.

Seorang sahabat itu, tidak menjadikan kekurangan dirimu sebagai beban kepadanya, malah dia cuba mengisi kekurangan kita dengan kelebihannya.

Wajarkah dengan satu kesilapannya, semua kebaikannya harus dilupakan?

Seorang sahabat itu tidak akan menghukum sahabatnya yang telah melakukan kesilapan dengan kekurangannya, malah seorang sahabat itu akan menerima kesalahan sahabat itu dengan menerimanya kekurangan itu.

Sahabat kerana Allah, pasti indah.

Kerana apa?

Apa-apa tindakan yang dilakukan oleh sahabat kita kepada kita seperti marah, merajuk dan sebagainya adalah daripada Allah.

Betul atau tidak?

Apa-apa daripada Allah, pasti itu yang terbaik buat kita.

Kenapa perlu benci, tidak suka pada sahabat walhal dia yang Allah hadirkan pada kita untuk menguji secebis keimanan dirimu?

Sahabat juga mampu membawa ke SyurgaNya.

Sayangilah sahabatmu seadanya…

Sahabat itu hadiah daripada Allah.

 

*Buat sahabat-sahabatku, maaf andai diri ini tidak mampu menjadi sahabat yang baik padamu , diri ini masih lagi cuba memahami apa ertinya seorang sahabat.

 Uhibbuki fillah.

 

 

 

Friday, May 3, 2013

Mengenali Seseorang Itu...

                                                                              

Mengenali seseorang itu…

Kadangkala membuat kita ketawa,

Mengenali seseorang itu…

Kadangkala membuat kita mengalirkan air mata.

Sesungguhnya mengenali seseorang itu…

Mampu memberi sejuta rasa.

Marah..



Sedih..


Gembira..
 

Sayang..
                                                                               

Rindu..
 

Tapi, sedarkah kita?

Mengenali seseorang itu…

Sebenarnya adalah satu anugerah,

Biarpun hanya seketika,

&

Sekadar teman sementara.

Bersyukurlah dengan kehadirannya.

Kerana itu adalah ketentuan-Nya,

Yang pasti terselit hikmahnya.

Thursday, December 20, 2012

Puisi Buat Ukhtiku Sayang..


                                                                         

Ukhtiku sayang..
Apa khabar dirimu?
Tersenyumku seketika pabila mengenangkanmu,
Pertemuan antara kita penuh bermakna.

Ukhtiku sayang..
Bermulanya kasih dengan terukirnya senyuman,
Senyuman yang bukan dipaksa,
Namun lahir dari hati yang suci.

Ukhtiku sayang..
Walau jarak memisahkan kita,
Hati sentiasa bertaut,
Menguntum kasih di jiwa.

Ukhtiku sayang..
Kehadiranmu melengkapkan diriku sebagai adik,
Meski ku tidak mempunyai kakak,
Namun, kewujudanmu dalam diri ini,
Cukup untuk ku merasakan kasih seorang kakak.

Ukhtiku sayang..
Bicaramu buat ku bahagia,
Gelak tawamu sentiasa ku rindui,
Itulah memori yang menemaniku tatkala merinduimu.

Ukhtiku sayang..
Kau seorang yang periang,
Kau seorang yang ceria,
Kau seorang yang tabah,
Itu yang buat ku kagum denganmu.

Ukhtiku sayang..
Pertemuan singkat antara kita,
Membenihkan ukhwah yang indah,
Inilah hadiah Allah kepadaku.

Ukhtiku sayang..
Ku memohon ampun andai ada mengguriskan hatimu,
Ku pohon agar ikatan ukhwah antara kita berkekalan,
Ku doakan dirimu sentiasa dalam kasih sayang-Nya.



Ukhtiku sayang..
Ketahuilah bahawa ku amat menyayangimu,
Ketahuilah bahawa ku amat merinduimu,
Ketahuilah bahawa ku amat mengasihimu.

Ukhtiku sayang..
Ku harap dikau terus melangkah mengejar redha-Nya,
Ku harap dikau terus bersemangat dalam meraih cinta-Nya,
Ku harap dikau terus menyayangiku sebagai adik,
Meski ku tidak sebaik mana.

*Nukilan ini ku lakarkan sendiri, walau tidak seindah mana, namun ku harap ukhti menerima puisi ini dengan gembira.
Khas ku lakarkan buat ukhti Nurul Wahidah Rosli. Jazakillah atas segala-galanya. Nabilah sayangkan kak Wahidah. ^_^

Wednesday, November 7, 2012

Jangan Bimbang Dengan Ukhwah Ini..

                                                                         

Duhai sahabat..
Janganlah kamu bimbangkan ukhwah ini akan terputus
Kerana ukhwah itu di hati.

Walau bersendirian pasti ia menemani..
Ia hadir dari secebis sifat Ar-Rahim Allah
yang dicampakkan ke dalam hati manusia mengikut kehendak-Nya.




Andai ukhwah ini berkekalan..
Ia kerana-Nya.
Begitu juga dengan sebaliknya,
Kita hanya mampu ikhtiar agar ianya berkekalan.

Tapi jangan i’tiqadkan
 Bahawa kita tetap akan bersama
Walau apa jua keadaan sekalipun
Kerana kehendak Khaliq mengatasi makhluk-Nya.




Sunday, June 17, 2012

5 Tip Mengeratkan Persahabatan

                                                                           

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,

Astaghfirullahal’azim (7x)

          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang paling mulia dan semua keluarga serta para sahabatnya sekalian.

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Rasulullah s.a.w mengaitkan kasih sayang kepada seorang sahabat adalah merupakan salah satu ciri kesempurnaan iman dan boleh menentukan kedudukan agama seseorang.

Rasulullah s.a.w bersabda:

 “Seseorang itu adalah di atas agama sahabatnya, maka hendaklah kamu lihat (kenal pasti) dengan siapakah kamu bersahabat.”
(Hadis hasan riwayat Imam Tarmizi)

 Sabda baginda s.a.w lagi :

“ Tidak beriman seseorang kamu hingga ia kasih kepada saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


          Mari kita lihat beberapa tip yang boleh dijadikan panduan supaya kita dapat mengeratkan persahabatan dan mengubah penampilan diri agar dapat menarik minat orang lain untuk bersahabat dengan kita.

                                            

1) Tunjukkan sikap ambil berat terhadap orang lain.

Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk meringankan beban sahabat. Pertolongan meskipun ringan tetapi sangat bermakna akan memberikan kesan kepada hati orang yang ditolong.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Orang yang paling disukai oleh Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia”
Penyair Arab juga mengatakan:

“Berbuatlah kebaikan kepada manusia kerana dengannya kamu akan menundukkan hati mereka. Selama mana manusia merasakan dirinya adalah hamba maka itulah ihsan.”

2) Selalu memberi senyuman

Senyum dapat memberikan ketenangan kepada orang yang melihatnya. Jadi, rajin-rajinlah memberi senyuman kepada orang sekeliling anda. Senyum seindah suria yang membawa cahaya, membawa bahagia kepada orang. Dengan senyuman, ia dapat meyemarakkan lagi ikatan persahabatan.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Senyumanmu kepada kawan adalah merupakan sedekah.”
(Hadis Hasan)

Ibnu Al-Harith berkata:

“Aku tidak pernah melihat orang yang paling murah senyumnya dari Rasulullah s.a.w”

3) Jadilah pendengar yang baik

                                                       

Anda seharusnya menunjukkan tindak balas ketika berbual agar tidak menimbulkan rasa kecil hati dalam dirinya. Misalnya, anda seeloknya, memandang mata sahabat dan pastikan body language anda menunjukkan anda betul-betul ingin tahu luahan hatinya. Seterusnya, jangan menyampuk jika tidak perlu. Terlampau banyak menyampuk akan membantutkan sahabat untuk meluahkan masalahnya kepada kita.

4) Penampilan yang kemas

Seseorang yang mempunyai penampilan yang kemas dan bersih, pasti akan menimbulkan minat kepada orang lain untuk mendekati kita.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tidak akan masuk Syurga orang yang ada rasa sombong di dalam hatinya. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana pula jika seseorang itu suka memakai pakaian yang elok dan kasut yang baik? Jawab Baginda s.a.w: Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

5) Bersalam dan berjabat tangan

Ucapan salam adalah merupakan sebaik-baik ucapan yang menggambarkan ketulusan hati kita untuk menyuburkan persahabatan apabila bertemu dengan seseorang. Ucapan salam bukan sahaja enak didengar malah ia mengandungi makna yang sangat indah iaitu harapan agar seseorang sentiasa berada di dalam keamanan, keselesaan dan kesejahteraan.

Jom amalkan. Wallahualam.