Tautan Ukhwah

Showing posts with label Tokoh Wanita Unggul. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Wanita Unggul. Show all posts

Wednesday, June 10, 2015

WANITA : Antara Al Quran dan Realiti Muslimin

Ringkasan Buku " WANITA : Antara Al Quran dan Realiti Muslimin"
Penulis buku :Rashid Al-Ghanushi


Biodata penulis

-Presiden Gerakan An-Nahdhah Islam di Tunisia
Termasuk antara 100 orang  yang berpengaruh di dunia

Ringkasan buku

Penulis menggariskan di dalam muqaddimah berkenaan uslub penulisan yang diambil. Beliau sedar akan wujudnya banyak sumber-sumber  yang menerangkan tentang dalil-dalil Al-Quran yang berkaitan dengan wanita. Justeru , beliau mengambil langkah untuk mengumpulkan kebanyakan dalil-dalil yang penting di dalam sebuah buku untuk memudahkan rujukan. Selain itu, beliau turut menggabungkan beberapa pendapat ulama2 yang masyhur berkenaan isu-isu yang melibatkan wanita sama ada secara langsung atau tidak.

Secara amnya, penulis suka untuk menjelaskan posisi Islam yang sebenar  dalam  menjelaskan status antara jantina. Kita sedar bahawa Islam datang sebagai  sebuah  agama yang menyeru kepada kesatuan dan keadilan. Tiada  istilah siapa yang lebih hebat di sisi Allah S.W.T melainkan dengan amal dan ibadat yang soleh. Islam meraikan manusia tanpa mengira jenis, jantina  mahupun warna kulit. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujurat , Ayat 13:

“Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Justeru, kedudukan wanita di dalam masyarakat seharusnya tidak dipandang remeh dan perlu ditunaikan haknya sepertimana seorang lelaki. Bahkan taraf wanita di sisi Islam lebih mulia sehingga didatangkan beberapa surah yang berkaitan dengannya secara am, dan ada sebuah yang khas tentang wanita , iaitu Surah An-Nisa’.

Puratanya, terdapat hampir 250 ayat yang disebut di dalam Al-Quran yang menyentuh tentang perihal wanita itu sendiri. Sebagai contoh, Ayat 1 Surah An-Nisa’. Tafsirannya, kita faham bahawa Hawa diciptakan daripada Nabi Adam, dan daripada mereka membiaklah keturunan manusia itu sendiri sehinggalah ke hari ini. Namun, terdapat beberapa takwil ulama berkenaan uslub ayat tersebut. Pertama, dikatakan perkataan ‘min’ atau daripada ini bukan menunjukkan bahawa Hawa dicipta daripada Nabi Adam, namun apa yang jelas di sini adalah mereka keduanya diciptakan dari ‘jins’ atau ‘maddah’ wahidah , iaitu jenis yang sama. Kedua, disebut bahawa asbab ayat ini diturunkan adalah sebagai ‘khithob ‘ atau seruan kepada sebuah qabilah Arab . Dan yang terakhir, barulah datang pendapat bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam.

Begitu banyak pendapat bahawa seorang hawa diciptakan daripada tulang rusuk, namun penulis menolak pendapat ini atas dua sebab. Yang pertama kerana tiada dalil qati'e bahawa penciptaan Hawa adalah daripada tulang rusuk Adam. Kedua kerana secara logiknya, jika Allah mampu untuk menicptakan Adam daripada tanah, maka apakah faedah atau keperluan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam.

Dalil yang mengatakan bahawa perempuan dicipta daripada tulang rusuk memang ada daripada Hadis, namun perkataan من yang dimaksudkan bukanlah bermaksud daripada tulang rusuk, akan tetapi sifat perempuan itu seperti tulang rusuk, perlukan kelembutan untuk menyantuninya kerana sifatnya yang lembut. Pun begitu, terdapat keresahan siapakah Abul Basyar (Bapa Manusia) sekiranya Hawa dan Adam sama-sama diciptakan daripada tanah. Penulis berpendapat, ia masih lagi Adam a.s.


Melalui tafsiran Surah Al-Hujurat sebentar tadi, tiada tafdhil (kelebihan) yang diberikan kepada sesuatu jantina melainkan jika dilihat dari sudut amal ibadat kepada Allah S.W.T. 



Pembentang  turut menyelitkan di  sini pendapat Ustaz Nouman Ali Khan yang tegas membantah ‘force marriage’ dalam kalangan wanita. Ini kerana mengikut kejadian asal, seorang lelaki yang perlu untuk mencari pasangannya, dan wanita itu sendiri berhak untuk membuat keputusan dan perlu ada ketegasan dalam pendirian. Pihak keluarga juga tidak boleh sewenangnya menggunakan kuasa autoriti dan merasa terbeban sekiranya seorang wanita itu belum berkahwin pada usia yang sepatutnya.

Menyentuh ayat yang lain, Allah S.W.T menjelaskan setiap kejadian di muka bumi ini didatangkan secara berpasang-pasangan. Contohnya, malam dan siang, langit dan bumi juga lelaki dan perempuan. Namun, mengikut pendapat Syed Qutb di dalam tafsirnya, penciptaan wanita daripada tulang rusuk  lelaki adalah salah satu perkara Israiliyat kerana tidak terdapat dalil yang jelas di dalam Al-Quran  mengenai isu ini dan hanya terdapat di dalam hadis Nabi dan kitab turath Yahudi.

Seterusnya, melalui ayat Al-Quran ‘wala taziru waziratun wizra ukhra’ ..Allah menolak pendapat Kristian yang menganggap bahawa mereka harus menanggung dosa Nabi Adam yang dibuang ke dunia seterusnya turut menolak pendapat bahawa Nabi Adam dibuang kerana Hawa. Ini kerana mengikut ayat Al-Quran, keduanya dihasut oleh Syaitan untuk ingkar dengan perintah  Allah S.W.T dan kesalahan bukan terletak  pada Hawa semata-mata. Dalil jelas menunjukkan Nabi Adam, bersungguh-sungguh memohon taubat kepada Allah S.W.T atas kesalahan yang dibuat sepertimana di dalam Surah Al-Baqarah,ayat 37. Ibrahnya, sebagai seorang manusia, kita harus sentiasa memohon ampun atas setiap dosa yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Pada misalan yang lain ,kita juga boleh merujuk pada kisah-kisah wanita yang disebut di dalam Al-Quran seperti kisah isteri Nabi Luth, kisah Asiah, kisah Ratu Saba’ dan kisah isteri Abu Lahab. Namun apa yang lebih tertarik oleh pembentang ialah kisah Maryam yang padanya terlakar satu surah khusus yakni Surah Maryam. Maryam merupakan seorang wanita yang dalam sejarah Islam. Beliau yang pada awal kelahirannya sudah cukup menceritakan keistimewaan yang Allah pilih untuknya. Diceritakan bahawa ibunya, pada awal mengharapkan kehadiran seorang putera namun saat lahirnya Maryam , dia yakin bahawa setiap takdir daripada Allah itu ada hikmah yang tersembunyi. Diberinya nama Maryam yag bermaksud abidah supaya dia terus menjadi hamba Allah yang taat dan soleh. Sesungguhnya kehadiran Maryam sebagai seorang puteri adalah lebih mulia berbanding harapan ibunya untuk mendapatkan sorang anak lelaki seperti ayat Al-Quran, ‘wa laisa azzakaru kal unsa’. Maryam datang daripada keluarga yang mulia yang disebut di dalam Al-Quran kisahnya iaitu kisah Ali Imran.

Uniknya persolan yang timbul di dalam ayat 28 Surah Maryam, berkaitan pertalian antara kisah Nabi Harun dan kisah Maryam di mana keduanya datang dari zaman dan latar belakang tempat yang berbeza. Kisah Maryam berlaku sekitar kawasan Palestin manakalan kisah Nabi Harun di Mesir. Penjelasannya adalah kerana Maryam dan Nabi Harun merupakan antara nama yang penting dalam kalangan Bani Israel, seterusnya menjelaskan bagaimana keduanya dinisbahkan pada kedudukan yang satu walaupon tedapat beberapa perbezaan di situ.



Amnya, kisah Maryam berkisar bagaimana beliau mampu untuk melahirkan seorang zuriat tanpa pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Sebagai seorang Islam, kita yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa, maka Dia mampu untuk menjadikan Nabi Isa tanpa seorang ayah sepertimana terciptanya Nabi Adam hanya dari segumpal tanah. Maryam agak tertekan dengan kejadian ini kerana takut memberi fitnah pada diberinya namun dengan sifat tawakal kepada takdir dan ketentuan Maha Esa, dia akur. Dia dijaga oleh keluarga saudaranya Nabi Zakaria dan isteri,  bersesuaian dengan dalil Al-Quran di dalam Surah Maryam.

Atas keistimewaan dan mukjizat yang ada padanya, wujud beberapa pendapat yang mempersoalkan tentang kenabian seorang wanita di dalam Islam atau ‘nubuwwatinnisa’. Antara bukti akan kebenaran ini, adalah ayat Al-Quran, Surah Ali Imran yang ke-42, di mana Allah S.W.T menjelaskan bahawa Dia menjadikan Maryam dari zat yang suci dan memuliakannya dari sekalian wanita sama ada pada zaman tersebut atau seluruh zaman. Selain itu, Allah juga memuliakan Maryam  dengan menurunkan kepadanya wahyu dengan perantaraan Jibril , seterusnya mengangkat tarafnya seperti Nabi-nabi yang lain. Maryam juga dipilih melahirkan seorang Nabi yang mulia tanpa seorang bapa.

Namun, terdapat beberapa pendapat lain yang menolak persoalan ini. Antara hujah yang dikemukakan adalah dalil Al-Quran Surah Yusuf ayat yang ke 109. Ayat ini jelas menyebut bahawa Allah memilih kaum lelaki sebagai seorang Nabi dan Rasul. Ibnu Tayyimah pula dari satu sisi, secara kontranya menyebut bahawa kalimah Ar-rijal ini bukan merujuk kepada lelaki kerana lelaki dirujuk sebagai az-zukur manalaka ar-rijal di sini adalah sifat kelakian. Selain itu, pendapat mengenai perjumpaan dengan Jibril juga ditolak, sahabat Nabi sendiri pernah  bertemu dengan Jibril namun tidaklah diangkat sebagai seorang nabi.Tambahan,ibu Nabi Ishak juga diberi mukjizat untuk mengandung walaupun pada usia yang tua. Kesimpulannya , tidak dinafikan bahawa kedudukan Maryam di sisi Allah S.W.T itu sangat mulia dan walaupun sekiranya benar dia diutuskan sebagai nabi, mungkin beliau diutuskan sebagai Nabi tanpa risalah namun tetap ditaklifkan untuk melahirkan seorang Nabi yang mulia. Wallahu A’lam.

Kini ,zahir pada kita bahawa wanita itu bukanlah sejenis yang makhluk yang lemah tanpa sebarang keistimewaan,yang hanya perlu akur pada setiap tindak tanduk lelaki sambil membiarkan diri dipandang remeh. Allah S.W.T sendiri mengakui akan kehebatan wanita sehingga beberapa kali menyebut tentangnya di dalam kitab suci Al-Quran. Melalui ibrah di dalam Surah Yusu, wanita ini sejenis makhluk yang mempunyai keinginan yang  tinggi dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat yang diingini. Kisah Ratu Balqis juga membongkar kepada kita akan kebolehan seorang wanita sebagai seorang pemimpin yang hebat bukan sahaja pada keluarga malah pada Negara. 

Propaganda mengenai 9 nafsu dan 1 akal juga bukanlah sesuatu  yang perlu dipandang sensitif kerana kita perlu yakin bahawa setiap manusia itu dianugerahkan kelebihan yang tersendiri dan kita tidak boleh menghukum seseorang atas kelemahannya untuk cemerlang dalam bidang-bidang yang tertentu sepertimana orang lain. Bukti Al-Quran, ayat ke 14 dalam Surah Ali Imran yang membuktikan wanita sebagai salah satu fitnah dunia juga perlu dijadikan sebagai satu motivasi untuk kita menzahirkan diri sebagai seorang muslimah solehah yang disebut sebagai salah satu perhiasan dunia oleh Rasulullah S.A.W. Kita yakin pada zaman ini, bukan sahaja wanita yang terdedah kepada fitnah malah kaum lelaki juga tidak lari dari tohmahan-tohmahan dunia yang semakin berbisa dan menular.

Konklusinya, kedudukan wanita di dalam Islam adalah salah satu bukti bahawa Islam adalah satu agama yang syumul, adil dan mulia. Wanita mungkin sinonim dengan sifat yang lemah namun padanya ada kekuatan emosi dan spiritual yang kuat tanpa dapat kita duga had sempadannya.

Sekian. Wallahualam.

Penulis Ringkasan: Ibtisam Binti Alauddin
Editor : Siti Nabilah Binti Azman
Pembentang buku: Siti Nur Hashinah Binti Rostam



Saturday, June 6, 2015

Ratu Saba' Balqis


Biodata Balqis

·         Ratu Balqis atau Bal’amah adalah hasil pernikahan Raja Basyrakh, yang bergelar Hadzhadz dengan wanita dari bangsa jin.

·         Balqis menjadi orang ketujuh-belas yang memerintah kerajaan Saba’. Ratu Balqis mewarisi takhta daripada ayahnya.

·         Memerintah kerajaan besar iaitu negeri Saba’ dan Ma’rib pada masa kehidupan Nabi Sulaiman AS. Firman Allah s.w.t dalam Surah Saba’, ayat 15:

“Sungguh, bagi kaum Saba’ ada tanda (kebesaran Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu di dua buah kebuh di sebelah kiri..”.

·         Walaupun ada yang mengingkari apabila Balqis menjadi pemimpin, namun kerana kecerdikan Balqis, mereka tewas dan Balqis memimpin negaranya dengan aman damai.

·         Kebesaran Ratu Balqis
Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Naml ayat 23:
“Sungguh, ku dapati ada seorang perempuan yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar.”

Kisah Ratu Balqis tersebut dikhabarkan oleh Alquran dalam Surah an-Naml ayat 16 sampai 44.


Peribadi Balqis

1.  Menerima anugerah agung dari Allah. (Surah An-Naml:24)

2.  Menyebut surat yang ditulis Atas Nama Allah sebagai surat yang mulia. (Surah An-Naml:29-30)

3.  Pemimpin yang berjiwa demokratik dan mengutamakan prinsip musyawarah. (Surah An-Naml:32)

4.  Daya ingatan yang kuat. Mampu mengenali seluruh kelengkapan kerajaannya dan mampu menangkap tujuan pertanyaan Nabi Sulaiman. (Surah An-Naml:42)

5.  Menerima kebenaran dari Allah. (Surah An-Naml:44)

6.  Pemimpin yang mampu mensejahterakan anak negerinya. (Surah Saba’:15)


Sumbangan Balqis

ü  Pemimpin yang meraikan suara orang bawahannya sebelum bertindak untuk menyelamatkan negara.

ü  Negarawan yang bijaksana. Berusaha merumuskan langkah-langkah untuk menyelamatkan anak negerinya. (Surah An-Naml :34-35)


ü  Balqis telah menyelamatkan negaranya dengan berkata kepada Nabi Sulaiman, bahawa mereka menyerah diri. (Surah An-Naml :42)

ü  Demi melindungi rakyatnya menjadi budak yang hina, Ratu Balqis mengirim utusan kepada Sulaiman sambil membawa hadiah. (Surah An-Naml:34-35)


ü  Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman. Kaum wanita tidak selamanya lemah dan tertindas.


Pengajaran dari kisah Balqis

v  Pemimpin harus berjiwa demokratik.
Contoh: Ketika Balqis menerima surat kiriman Nabi Sulaiman yang mengandungi seruan supaya dia tunduk kepada Allah, dia dengan pantas mengumpulkan para pegawainya untuk bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi anak negerinya. (Surah An-Naml:32)

v  Pemimpin harus berjiwa negarawan.
Contoh: Balqis ingin menyelamatkan anak negerinya dengan mendatangi Nabi Sulaiman dan berkata menyerah diri dan inilah bukti Balqis telah menyelamatkan rakyatnya dari kebinasaan. (Surah An-Naml:42)

v  Pemimpin harus memiliki iman yang teguh.
Contoh: Dia mahu dan mampu beriman setelah melihat bukti kebesaran Allah. (Surah An-Naml:44)


Rujukan

1)    Al Quran Karim

2)   Pemuda Pemudi Hebat Yang Tersurat Dalam Al-Quran, Misbah Em Majidy, JUNDI Resources.

Thursday, January 8, 2015

Ummu Hani Binti Abi Talib

                                                     


Ummu Hani merupakan sepupu Rasulullah s.a.w. Nama sebenarnya Fakhitah Binti Abu Talib. Sebelum ini, namanya Ummu Amr, tetapi setelah anaknya Amr mati semasa kecil, namanya ditukar ke Ummu Hani.

Semasa jahiliah, Rasulullah pernah meminangnya. Dan ketika itu jua, ada seorang pemuda bernama Hubairah juga meminangnya. Abu Talib telah memilih Hubairah menjadi pasangan anaknya itu.

Hubairah dan Fakhitah akhirnya terpisah kerana Islam. Apabila mengetahui isterinya memasuki Islam, Hubairah melarikan diri. Ummu Hani ini amat mementingkan hak anak-anaknya sehingga dia mendapat pujian, “ Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya”.

Pada hari pembukaan negeri Mekah, ada dua kerabat suami Ummu Hani dari Bani Makhzum, Al-Harits bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani untuk meminta perlindungan. Namun, datang Ali Bin Abi Talib mengatakan, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!”

Lalu Ummu Hani bergegas ke rumah Rasulullah s.a.w dan mengadu kepada beliau. Maka baginda pun menjawab, “Aku melindungi orang yang ada dalam perlindunganmu dan memberi jaminan keamanan pada orang yang ada dalam jaminan keamananmu”.

Lihatlah betapa dengan kecerdasannya dalam aspek keimanan, Ummu Hani mampu menyelamatkan dua orang itu. Selain itu, Ummu Hani juga ada meriwayatkan hadis.


Wallahualam.

Wednesday, November 12, 2014

Ibu Susuan Nabi, Halimatus Sa'adiah

                                                          



Bismillahirrahmanirrahim,
Tatkala jari ini menari dengan penuh keasyikan di landasnya, hati ini juga sedang berbunga seolah bunga yang tadinya tertutup, kini sedang mekar menghiasi taman hati.
Kenapa?
Mari ku kongsikan bersama…
Sebenarnya tadi ada terbaca tentang ibu susuan Nabi Muhammad s.a.w.
Siapa? Halimatus Sa’adiah.
Allahurabbi, sungguh tersentuh dengan kisah Halimah ini.

********
          Pada suatu ketika ini, adalah tahun yang sangat rumit (kebuluran). Maka, Halimah bersama para wanita bani Sa’ad keluar ke Mekah untuk mencari anak susuan kerana pada waktu itu sudah menjadi tradisi untuk mengambil anak angkat dan mengharapkan sesuatu dari ayah si anak angkat tersebut.

          Halimah sampai ke Mekah akhir sekali, berbanding sahabat-sahabatnya dek kerana dengan menunggang keldai yang kurus dan membawa unta yang tidak mengeluarkan susu.    
  
Makanya, apabila menjadi orang terakhir sampai, anak-anak pembesar Quraisy yang kaya telah diambil oleh wanita bani Sa’ad yang lain. Tinggallah Nabi Muhammad s.a.w yang belum diambil orang tambahan pula apabila mereka tahu baginda adalah anak yatim.

          Namun, tuah si bayi, Halimah telah mengambil baginda untuk dijadikan anak susuan. Kemudian, Halimah membawa Nabi Muhammad untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.

          Subhanallah! Setelah menyusu, didapati Rasulullah enak dan puas seolah-olah Halimah mempunyai banyak bekalan susu. Sehingga Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena.

          Setelah itu, suami Halimah terlihat unta betinanya mengeluarkan susu dengan banyak. Ini membolehkan Halimah dapat menambahkan bekalan susunya dengan minum susu unta tersebut.

          Banyak tanda-tanda keberkatan dan kelebihan Rasulullah berlaku di perkampungan Bani Saad. Antaranya, kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya banyak mengeluarkan susu walau sebelum ini kemarau.

          Hidup Halimah dan keluarganya semakin berubah menjadi lebih baik berbanding orang lain. Rasulullah sepanjang bersama keluarga Halimah, baginda tidak pernah menyusahkan mereka. Sejak usia baginda 2 tahun, baginda sendiri yang memutuskan susuan. Halimah berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan baginda apabila harus dikembalikan pada waris baginda.

          Halimah dan suami bertemu dengan Siti Aminah untuk memujuk agar mereka dapat meneruskan menjaga Rasulullah. Akhirnya, Siti Aminah mengalah. Inilah sedikit tentang kisah ibu susuan Rasulullah ini.

Ingat lagi tak nasyid In-team ni? ^_^

Kakimu melangkah lesu menuju ke jalan pulang
Kecewa kerana gagal mendapat bayi hartawan
Namun apakah yang akan kau beri sebagai jawapan
Jika ditanya mengapa kau gagal mendapatkannya

Tiba-tiba senyum si yatim itu menyapa
Tergugah deria ibu yang bersemi di jiwa
Biar Muhammad itu tanpa upah berganda
Namun hatimu rela bukan kerana harta

Halimatus Saadiah
Engkau ibu yang bertuah
Kau wanita penerima barakah
Dari desa pedalaman
Daerah di pinggiran
Kau menyusui insan pilihan

Kau pangku dia dan berubahlah segalanya
Badan yang terasa lesu kini bertenaga
Susu yang sedikit itu bertambah dengan segera
Peliharaan ternakan membiak subur berganda

Halimatus Saadiah, kau ibu barakah
Engkau pemula muqaddimah yang indah
Episod awal sirah Nabi junjungan mulia
Kau ibu susu yang bertuah

Pada sejarahmu terukir kenyataan
Tidak kan miskin jika membela Islam
Tidak hina meriba kebenaran yang mulia
Jangan takut jika kau beriman 

Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
6.34 am,

Mutah, Jordan.

Thursday, September 25, 2014

Maimunah Binti Al-Harits- Suka Menjaga Silaturrahim

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar imanmu?

Pembaca yang dikasihi Allah,

          InsyaAllah, hajatku ingin berkongsi tentang seorang tokoh wanita zaman Rasulullah s.a.w. Siapa? Siapa tahu wanita pada zaman Nabi yang amat mementingkan silaturrahim?
………………………………
                                     
                                                            


Dialah Maimunah Binti Al-Harits.

          Namanya ialah Maimunah binti Al-Harits bin Hazn bin Bujair, Al-‘Amiriyah Al Hilaliyah. Nasabnya berakhir ke Qais ‘A’ilan bin Madhar. Maimunah termasuk antara tiga bersaudara yang memeluk Islam dalam keluarganya.

          Maimunah dilahirkan enam tahun selepas kenabian, sehingga dia dapat tahu tentang sebab-sebab orang berhijrah ke Madinah. Selepas mengetahui ia, Maimunah terpengaruh dengan peristiwa hijrah ini. 

          Maimunah pernah berkahwin sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian besar riwayat mengatakan bahawa nama suaminya adalah Abu Rahm bin Abdul-Uzza, seorang musyrik yang mati dalam keadaan syirik.

          Maimunah memang berhajat untuk berkahwin dengan Rasulullah s.a.w lalu disampaikannya kepada saudaranya, Ummu Al-Fadhl, isteri Abbas bin Abdul Muthalib.

          Isteri Abbas pula menceritakan kepada suaminya. Kemudian Abbas menulis surat tentang hajat Maimunah kepada Rasulullah s.a.w. Dan Allah menurunkan ayat kepada nabiNya:

“Dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sungguh suatu hal yang amat menggembirakan bagi Maimunah tatkala Rasulullah s.a.w menerima tawaran Abbas dan meminang Maimunah dengan mahar sebanyak 400 dirham.

                                                  


Apa kata saidatina Aisyah terhadap Maimunah?

“Demi Allah, Maimunah adalah wanita yang baik kepada kami dan selalu menjaga silaturrahim di antara kami”.

          Maimunah ini terkenal dengan kezuhudannya, ketakwaannya, dan sikapnya yang selalu ingin mendekatkan diri kepada Allah.

          Berkaitan dengan masa meninggalnya, para ulama berselisih pendapat. Sebuah pendapat mengatakan bahawa Maimunah meninggal dunia pada tahun enam puluh satu Hijrah pada masa kekhalifahan Yazid bin Muawiyah. Maimunah adalah isteri Rasulullah s.a.w yang terakhir meniggal dunia ketika usia lapan puluh tahun.

*******
Pembaca yang hatinya milik Allah,

          Apa yang anda dapat dari kisah isteri Rasulullah ini? Jika ditanya pada ana, ana paling tertarik dengan “menjaga silaturrahim”. Kebiasaannya kita mengetahui tokoh seseorang dengan ketaqwaan, zuhud, perawi hadis. Namun kali ini, ditambah dengan menjaga silaturrahim. Subhanallah.

          Ana yakin, oleh kerana Maimunah selalu untuk dekat dengan Allah, maka lahirlah sikap suka menjaga silaturrahim ini. Maimunah menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.

Kita kini….

Jauh dengan silaturrahim,
Disapa bagi yang kenal sahaja,
Walhal kita ini bersaudara.

Dalam surah Al-Hujurat, ayat 10, Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara”.

Akhir kalam..jom jadi seperti Maimunah juga..menjaga silaturrahim.

                                                            


Wallahualam.

Rujukan:
82 Wanita Idola Sepanjang Zaman Rasulullah s.a.w, Dr. Muhammad Al-Qaisy, Pustaka Ibnu Katsir Sdn.Bhd.



Thursday, May 9, 2013

Mu'azah Al-Adawiyah

                                                                               
Assalamualaikum w.b.t,

Kenal tak wanita yang tekun beribadah dan zuhud?

Beliau adalah Mu’azah Al-Adawiyah.

          Mu’azah Al-Adawiyah ini dikenali sebagai ahli balaghah, fasih tutur bahasanya, suka menuntut ilmu dan meriwayatkan hadis.

          Antara sifat beliau ialah menghabiskan waktu malamnya untuk beribadah kepada Allah.
                                                                          

Kata-katanya yang menusuk kalbu…

“Aku hairan kepada mata yang tidur, padahal mata itu tahu lamanya tidur dalam kegelapan alam kubur.”

Katanya kepada wanita yang pernah disusuinya..

“Wahai anakku! Jadilah orang yang takut dan berharap ketika bertemu dengan Allah, kerana aku melihat bahawa orang yang selalu berharap kepada Allah akan dipenuhi kebaikan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Aku melihat, orang yang takut kepada Allah berharap akan bertemu dengan Tuhan saat manusia dibangkitkan”.

 

          Subhanallah, wanita ini adala wanita yang berintelektual. Gemar menuntut ilmu. Adakah kita ini juga seperti itu? Allah..sungguh tekun Mu’azah Al-Adawiyah dalam beribadah dan sibuk mengejar cinta-Nya. Kita ini tekun tak dalam beribadah? Allahurabbi..mari sama-sama kita mengambil iktibar dan berusaha menjadi srikandi intelektual.

Wallahualam.

 

Saturday, February 23, 2013

Hafsah Binti Sirin

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,
          Apa khabar dirimu wahai pejuang agama Allah? Jom istighfar jap, Astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim.

Jom kuatkan semangat untuk mendekati-Nya dengan baca sedikit biografi tokoh wanita hebat ini.

********
Hafsah Binti Sirin

Beliau dilahirkan pada zaman khalifah Usman bin Afan r.a. pada tahun 31 H.

Semenjak kecil, beliau sangat mencintai ilmu dan giat dalam menuntutnya.

Seorang ahli feqah dari golongan Ansar, pemimpin kaum wanita tabi’in, dikenali sebagai ahli ibadah, feqah, qiraat dan hadis.

Ilyas Ibnu Mu’awiyah berkata, :”Aku tidak mengenali seseorang yang lebih aku anggap utama selain dirinya”.

Hafsah telah mampu membaca Al-Quran pada usia 12 tahun. Gemar menasihati para pemuda untuk melakukan kebajikan.

“Wahai pemuda! Galilah potensi diri pada waktu kamu masih muda. Aku melihat masa muda sebagai masa beramal dan bekerja.”.



Tinggal di rumah selama 30 tahun dan tidak keluar dari tempat solat kecuali untuk tidur siang dan keperluan penting.

Meninggal dunia pada usia lebih dari 100 tahun.

********
Pembaca yang dirahmati Allah,
          Lihatlah betapa Hafsah ini sangat mencintai ilmu dan suka beribadah. Kita bagaimana? Solat lima waktu pun ada antara kita yang rasa membebankan. Allahuakbar.

          Mari kita banyakkan mencari ilmu. Pergi ke taman-taman Syurga (majlis ilmu) yang ada. Jangan lepaskan peluang mendapatkan doa dari malaikat. Mari banyakkan ibadah, supaya kita ada bekal di akhirat kelak.

Wallahualam.

(Sumber kisah: Buku Tokoh Wanita Unggul, Muhammad Ali Al-Allawi.