Assalamualaikum w.b.t,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang.
Alhamdulillah,
segala puji buat Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi
Muhammad s.a.w serta insan-insan yang meneruskan perjuangan baginda.
Pembaca yang dikasihi Allah,
Bukan
mudah untuk mujahadah kan? Berjayakah kita melakukan solat tahajud setiap hari?
Bagi yang mudah..alhamdulillah..bagi kita yang kadang-kadang terkandas,
bagaimana pula? Berapa kali sebulan kita buat solat tahajud? Atau berapa kali
seminggu kita solat tahajud? Tanya hati kita…
Kadang-kadang
kunci jam telefon sebelum tidur tapi malangnya kita bangun hanya untuk menutup
alarm sahaja. Kadang-kadang dah terjaga bangun ke tandas, tapi sayang…kita
memilih untuk tidur kembali. Pernah terfikir tak..macam mana nak buat? Teringin
nak solat tahajud secara istiqamah kan?
Alhamdulillah,
tadi ku terbelek-belek sebuah buku dan mataku terpana pada satu tajuk yang
begitu menarik bagiku. Jadi, harapnya dapat dikongsikan dengan pembaca
sekalian.
**********
Perkara-perkara yang dapat membantu melakukan solat
malam, para ulama telah menyebutkannya ada beberapa perkara. Di antaranya:
Pertama: Bertasbih sebelum tidur 33 kali, bertahmid 33 kali
dan bertakbir 34 kali. Dalil perkara ini adalah bahawa Fatimah r.a. sebagaimana
yang diriwayatkan At-Tirmidzi meminta kepada Nabi s.a.w. seorang pembantu
perempuan yang akan membantunya, lalu Nabi berkata: “Mahukah aku tunjukkan
kepada kamu sesuatu yang lebih baik dari seseorang pembantu? Jika kamu akan
tidur, bacalah: ‘Subhanallah’ 33 kali, ‘Alhamdulillah’ 33 kali dan ‘Allahu
Akbar 34 kali.”
Kedua: Hendaklah seorang muslim tidur di siang harinya.
Boleh dilakukan sebelum Zohor bagi yang tidak memiliki kegiatan pada waktu itu
dan boleh pula setelah waktu makan siang.
Ketiga: Mengurangkan dosa dan kesalahan. Sebab itu
menyebabkan leburnya amal dan membuat kemalasan dan kelemahan untuk mendirikan
solat malam.
Al-Hasan Al-Basri pernah ditanya: “Wahai Abu Sa’id,
kami tidak mampu mendirikan solat malam?” Beliau menjawab: “Demi Rabb Kaabah,
kerana kamu diikat oleh dosa-dosamu.”
Keempat: Meninggalkan berjaga malam. Ramai orang yang berjaga
malam untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan berguna, bahkan boleh
membahayakan seorang hamba.
Dipetik dari : buku Bimbingan Taubat, Mohd Abdul
Wahab.
**********
Oleh
itu, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita dalam menggapai redha dan
cinta-Nya. Insyaallah..niat yang baik, pasti ada jalannya. Yang penting,
ikhlaskan niat, jangan mudah putus asa.
Dari Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda” Berfirman Allah s.w.t..: “Aku sesuai dengan sangkaan
hamba-Ku, dan Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku
dalam dirinya pasti Aku mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku
dalam suatu himpunan (majlis), pasti Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih
baik dari mereka. Dan jika dia mendekati kepada Aku sejengkal, pasti Aku
mendekatinya sehasta, dan jika dia mendekati kepada Aku sehasta, pasti Aku
mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berlari, pasti Aku datang kepadanya
berlari-lari anak”. (Sahih
Bukhari)
Alangkah indahnya, mereka yang
sentiasa berusaha mengingati Allah, berusaha mendekati Allah, berusaha
menggapai cinta Allah. Jadi..di manakah kita? Marilah kita sama-sama berusaha ke
arah mendapatkan redha-Nya. Ayuh, jadi perindu Syurga..
Wallahualam.
*penulis juga masih banyak kelemahan yang perlu
diperbaiki. Penulisan ini lebih tertuju kepada diri penulis sendiri. Moga ada
manfaat untuk kita semua dalam menggapai redha-Nya.
No comments:
Post a Comment