Tautan Ukhwah

Tuesday, April 10, 2012

Al-Mukmin (Maha Melimpahkan Keimanan)



                                                                         

Bismillahirrahmanirrahim..

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah s.w.t akan gementar hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya akan bertambah iman mereka (kerananya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”
(Surah Al-Anfal : 2)

********
          
          Pada awal berdakwah, Rasulullah s.a.w. menghadapi tentangan yang sangat berat. Misalnya, Nabi s.a.w. menjadi sasaran pembunuhan dan bagi pemuda Quraisy yang berjaya membunuhnya akan diberi ganjaran harta dan kekuasaan yang besar oleh para pembesar Arab. Namun pembunuhan tersebut selalu gagal kerana Allah s.w.t tidak redha.

          Percubaan untuk membunuh Nabi s.a.w. ini pernah dilakukan oleh seorang pemuda yang bernama Suraqah. Ketika Nabi s.a.w berehat di bawah pokok, Suraqah datang mendekati Nabi s.a.w. lalu menghunus pedang dan mengarahkan ke dada Nabi s.a.w. Kemudian Saraqah berkata,”Jika aku membunuhmu sekarang, siapa yang akan menolongmu, ya Muhammad?” Nabi s.a.w. menjawab, “Allah s.w.t. yang akan menolongku.”

          Ucapan Nabi s.a.w. ini dikeluarkan dari lubuk sanubari yang paling dalam, berasal dari lubuk hati yang berbalut keimanan. Setelah mendengar kata-kata Allah s.w.t., bergetarlah hati Suraqah. Pedang yang ada di tangannya terlepas. Dengan cepat Nabi s.a.w. mengambil pedang tersebut dan mengarahkan ke Suraqah. Nabi s.a.w. berkata,”Jika sekarang aku membunuhmu, siapa yang akan menolongmu, Suraqah?” Suraqah berkata,”Tidak ada, Muhammad kecuali Engkau mahu mengampuni kesalahanku.”

          Nabi s.a.w. tersenyum, pedang yang telah dihunus disarungkan kembali. Nabi s,a.w. tidak jadi membunuh Suraqah. Nabi s.a.w kemudian berkata, “Sekarang, pulanglah dan jangan sesekali kamu ulangi perbuatanmu lagi”. Apabila mendengar jawapan yang halus budi pekerti dan tidak bernada balas dendam, Suraqah amat kagum kepada Nabi s.a.w. kerana akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Kemudian Suraqah mengaku tunduk dan memeluk Islam.

*********

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Lihatlah bagaimana seorang hamba yang memiliki dosa sebesar gunung, namun dia masih memiliki secebis hati yang dapat membimbing ke arah jalan Allah s.w.t. Inilah yang disebut keimanan. Walaupun tertimbun nafsu dunia dan terbenam di dasar lumpur kemaksiatan, namun keimanan itu dapat digali apabila terdapat seseorang yang dapat menggetarkan sisi tauhid di dalam jiwa sehingga keimanan itu dapat keluar dengan baik. Oleh itu, marilah kita mantapkan iman kita dalam menggapai redha-Nya.

Iman..

Hadirmu menerbitkan getaran di jiwaku,

Menanam kemahuanku,

Membangkitkan keyakinanku,

Sebagai seorang pejuang.


Detik dihimpun jiwa meronta,

Ke mana arah akan dibawa,

Dengan iman rentasi Sirat,

Ke puncak mulia atau hina..


Wallahualam.

4 comments: