Tautan Ukhwah

Friday, April 27, 2012

Taubat Seorang Pemuda Setelah Bermimpi Melihat Hari Kiamat

                                                         Gambaran hari kiamat            

Bismillahirrahmanirrahim..

Mari baca kisah teladan ini.

**********
            Terdapat seorang pemuda yang beranjak dewasa, dia pemuda yang bersemangat. Hidup sebagaimana teman-temannya yang tidak mempedulikan perintah Allah. Pada suatu malam, Allah mengkehendaki kebaikan baginya, dia bermimpi melihat kejadian dahsyat yang menyedarkannya dari kelalaian. Dia menceritakan kisahnya:

 “Pada suatu malam, seperti biasa aku pergi tidur di katil, aku merasakan kegelisahan menyerangku. Lalu aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk dan tidur.

          Aku melihat dalam mimpi ada benda besar dan aneh jatuh dari langit ke bumi. Tidak jelas benda apa itu seperti bola api yang besar dan jelas. Aku yakin akan binasa, aku berlarian ke sana dan ke mari mencari orang yang boleh menyelamatkanku dari musibah ini.

          Orang berkata ini adalah permulaan hari kiamat. Hari kiamat telah tiba dan ini adalah tanda-tanda pertamanya. Aku panik, aku teringat seluruh amal perbuatanku yang baik mahupun yang buruk, aku sangat menyesali kesalahanku. Rasa takut meliputiku, apa yang boleh kubuat sekarang? Bagaimana aku boleh selamat? Lalu aku mendengar seseorang berseru:

 “Pada hari ini tidak ada gunanya penyesalan, kamu akan mendapat balasan amal perbuatanmu. Di mana kamu ketika datang waktu solat? Di mana kamu pada waktu datang perintah Allah? Mengapa kamu tidak menjalankan perintah-perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya? Kamu lupa dengan Tuhanmu, kamu habiskan waktumu hanya untuk bermain dan bergurau senda, dan sekarang kamu datang dengan menangis? Kamu akan melihat saksama.”

          Aku bertambah menyesal mendengar ancaman tadi, aku menangis dan terus menangis tapi tidak ada gunanya, dan pada waktu itulah aku terbangun, aku meraba-raba diriku dan ternyata aku berada di tempat tidurku. Aku masih belum percaya bahawa yang baru aku alami adalah mimpi. Aku menarik nafas panjang tetapi rasa takut masih membayangiku.

          Aku termenung dan berfikir. Demi Allah, ini pasti peringatan dari Allah untukku, hari kiamat pasti terjadi kalau begitu mengapa aku bermaksiat kepada Allah, mengapa aku tidak berhenti dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah? Pertanyaan banyak yang terus menngelayuti fikiranku dan tidak kutemui selain satu jawapan:

Kembalilah kepada Allah sehingga kamu boleh selamat pada hari itu.”

          Waktu Subuh tiba dan aku pun solat, aku merasakan kelazatan dalam jiwaku. Pagi harinya aku masuk ke kereta itu. Aku melihat ke dalamnya dan kudapati kaset-kaset muzik lalu aku mengeluarkannya dan memasukkan kaset-kaset Islam yang bermanfaat.

          Aku tetap dalam keadaan ini, setiap hari aku maju selangkah meniti jalan hidyah Allah yang selalu ku minta agar menetapkan padanya.

**********

          Hari ini alangkah ramainya orang-orang yang ditipu dengan dunia yang fana ini dan lupa dengan hari yang menakutkan di mana setiap orang akan lari dari saudara, ibu bapa dan anaknya. Hari yang tidak berguna harta benda dan anak-anak kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sihat. Mari bertaubat..jangan tangguh. Semoga Allah menerima taubat kita, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat dan Penyayang.

Wallahualam.


Sunber dari : Bimbingan Taubat, Mohd Abdul Wahab

Thursday, April 19, 2012

6 Manfaat Berdoa

                                                                             

Assalamualaikum w.b.t,

          Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam semoga sampaikan kepada Nabi Muhammad  s.a.w, keluarga dan semua sahabatnya.

Pembaca yang budiman,

          Tahukah anda bahawa doa adalah tali penghubung antara seorang hamba dengan Allah dan si hamba tidak dikatakan jujur dalam berdoa melainkan apabila ia jujur dengan Allah.

          Ketika kesusahan melilit maka anda tidak mendapat (penolong) selain Allah. Ketika musibah menghimpit maka anda tidak mendapat penolong, pembantu dan pemberi petunjuk selain Allah. Banyak manfaat doa. Antaranya ialah :

Pertama: Menampakkan ketauhidan

Seorang manusia yang paling agung ketauhidannya kepada Allah adalah yang paling banyak berdoa. Oleh kerana itu berdoa adalah bukti adanya jalinan hubungan dengan Allah.


Kedua: Jujur dalam ibadah

Dengan berdoa, anda jujur dalam beribadah kepada Allah dan dekat dengan-Nya. Oleh yang demikian, orang yang berdoa kepada Allah dengan suara perlahan menunjukkan bahawa dia percaya kepada Allah.

Ketiga: Meraih cinta Allah

          Hamba yang paling dicintai Allah adalah yang paling dekat-NYa dan yang paling banyak berdoa. Kaum muslim, manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling banyak berdoa.


Keempat: Kedekatan hamba kepada Allah

          Bila seorang hamba banyak berdoa maka dia akan merasa dekat dengan Allah dan inilah tingkat ihsan yang merupakan tingkat yang paling agung yakni : “Hendaklah engkau menyembah Allah seakan engkau melihatNya dan bila engkau tidak melihatNya, maka Dia melihatmu.”


Kelima: Percaya dengan janji Allah

          Orang yang percaya dengan Allah akan banyak berdoa, sedang orang yang gagal, kalah dan ragu-ragu sedikit berdoa.


Keenam: Mengusir syaitan

          Sebab syaitan akan terusir dari orang yang berdoa.

                                                           


Pembaca yang setia,

          Banyaklah berdoa, angkatlah tanganmu apabila berdoa, mintalah kepada Allah pertolongan dan kebaikan dan dalam ucapan dan perbuatan, berdoalah dengan nama-nama dan sifat-sifatNya dan berselawatlah kepada Nabimu waktu engkau berdoa.

Ingatlah…

          Bila anda meminta kepada manusia, mengetuk pintunya dan minta kepadanya dengan berulang-ulang, maka dia akan marah kepadamu. Sedangkan Allah, tiap kali anda meminta kepada-Nya maka tiap kali itu pula Allah mencintaimu, kerana anda bersandar kepada-Nya.

Wallahualam.

Sumber rujukan : Buku yang berjudul Bimbingan Taubat, Mohd Abdul Wahab

Monday, April 16, 2012

Perkara-perkara yang dapat membantu melakukan solat malam

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

          Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta insan-insan yang meneruskan perjuangan baginda.

Pembaca yang dikasihi Allah,
         Bukan mudah untuk mujahadah kan? Berjayakah kita melakukan solat tahajud setiap hari? Bagi yang mudah..alhamdulillah..bagi kita yang kadang-kadang terkandas, bagaimana pula? Berapa kali sebulan kita buat solat tahajud? Atau berapa kali seminggu kita solat tahajud? Tanya hati kita…

          Kadang-kadang kunci jam telefon sebelum tidur tapi malangnya kita bangun hanya untuk menutup alarm sahaja. Kadang-kadang dah terjaga bangun ke tandas, tapi sayang…kita memilih untuk tidur kembali. Pernah terfikir tak..macam mana nak buat? Teringin nak solat tahajud secara istiqamah kan?

          Alhamdulillah, tadi ku terbelek-belek sebuah buku dan mataku terpana pada satu tajuk yang begitu menarik bagiku. Jadi, harapnya dapat dikongsikan dengan pembaca sekalian.

**********
Perkara-perkara yang dapat membantu melakukan solat malam, para ulama telah menyebutkannya ada beberapa perkara. Di antaranya:

Pertama: Bertasbih sebelum tidur 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali. Dalil perkara ini adalah bahawa Fatimah r.a. sebagaimana yang diriwayatkan At-Tirmidzi meminta kepada Nabi s.a.w. seorang pembantu perempuan yang akan membantunya, lalu Nabi berkata: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik dari seseorang pembantu? Jika kamu akan tidur, bacalah: ‘Subhanallah’ 33 kali, ‘Alhamdulillah’ 33 kali dan ‘Allahu Akbar 34 kali.”

Kedua: Hendaklah seorang muslim tidur di siang harinya. Boleh dilakukan sebelum Zohor bagi yang tidak memiliki kegiatan pada waktu itu dan boleh pula setelah waktu makan siang.

Ketiga: Mengurangkan dosa dan kesalahan. Sebab itu menyebabkan leburnya amal dan membuat kemalasan dan kelemahan untuk mendirikan solat malam.

Al-Hasan Al-Basri pernah ditanya: “Wahai Abu Sa’id, kami tidak mampu mendirikan solat malam?” Beliau menjawab: “Demi Rabb Kaabah, kerana kamu diikat oleh dosa-dosamu.”

Keempat: Meninggalkan berjaga malam. Ramai orang yang berjaga malam untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan berguna, bahkan boleh membahayakan seorang hamba.

Dipetik dari :  buku Bimbingan Taubat, Mohd Abdul Wahab.

**********
          Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita dalam menggapai redha dan cinta-Nya. Insyaallah..niat yang baik, pasti ada jalannya. Yang penting, ikhlaskan niat, jangan mudah putus asa.

Dari Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda” Berfirman Allah s.w.t..: “Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya pasti Aku mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam suatu himpunan (majlis), pasti Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih baik dari mereka. Dan jika dia mendekati kepada Aku sejengkal, pasti Aku mendekatinya sehasta, dan jika dia mendekati kepada Aku sehasta, pasti Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berlari, pasti Aku datang kepadanya berlari-lari anak”.  (Sahih Bukhari)

Alangkah indahnya, mereka yang sentiasa berusaha mengingati Allah, berusaha mendekati Allah, berusaha menggapai cinta Allah. Jadi..di manakah kita? Marilah kita sama-sama berusaha ke arah mendapatkan redha-Nya. Ayuh, jadi perindu Syurga..

Wallahualam.

*penulis juga masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Penulisan ini lebih tertuju kepada diri penulis sendiri. Moga ada manfaat untuk kita semua dalam menggapai redha-Nya.


Sunday, April 15, 2012

Ujian QTI..Oh..UJian QTI..

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, segala puji buat Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta insan-insan yang meneruskan perjuangan baginda.
Astagfirullahalazim..

          Alhamdulillah, bahagianya diri ini kerana kegelisahan dan keresahan ku selama ini telah dilepaskan pada hari ini. Hari ni, ku ada ujian QTI kereta. Mungkin bagi orang lain, itu adalah perkara biasa. Tapi bagi diriku, cukup menggelisahkan.
Ku tersenyum seketika..menyingkap memori lama..

2 tahun lepas…….

**********
“Nabilah..bila anti nak ambik lesen kete?” tanya salah seorang sahabatku.

“Emm..entahlah..tak kot..ketaq la…tengok la macam mana nanti..”jawabku.

“Tapi..tak kan sampai besar..nak bergantung kepada orang?” tanya sahabatku lagi.

“Anti ni..emm..nak risaw apa? Nanti law dah kawin..zauj ana la yang tolong bawakkan..hehe..” jawabku.

“Nabilah nie..mana boleh macam tue..anti kan nak jadi pemudi harapan ummah? Nak jadi pendakwah bebas kan? Kan senang law boleh bawa kete sendiri..”kata sahabtku lagi.

“Emm..tue la..tapi takut la..tengok la. Law ambik pun sebab dipaksa zauj ana nanti kot..hehe”,jawabku sengaja bergurau dengan sahabat.

**********
Tahun lepas..waktu akhir sem 3..

“Assalamualaikum..kak..ayah dah daftar nama akak untuk belajar kete..balik nanti..terus ambik yer?”, kata ayah sewaktu menelefonku.

Terkedu ku buat seketika..

Cepatnya….emmmm…

Risau semakin menjadi-jadi.

Akhirnya..balik jer cuti sem 3..belajar la kete..

Tapi…akibat terlalu sensitif bila kena marah teruk dengan cikgu yang mengajar kereta..baru 3 jam belajar..dah tak nak pi belajar lagi..

Allah..teruk betul diri ini.

Jadi…sekarang..balik cuti sem 4..ayah suruh sambung ambik lesen P la.

Macam-macam yang bermain di fikiran ini.

Namun..cuba berfikir positif..dan teruskan perjuangan mendapatkan lesen P..^_^

*********
          Akhirnya..tadi ku buat ujian QTI. Mula-mula, risau sangat-sangat. Masa dalam perjalanan ke tempat ujian, berzikir jer. Allah…takotnya.

Sampai je ku di sana,  Cikgu Siva panggil dan buat isyarat naik kete Viva. Allah..macam mana nie? Selama belajar..bawa Kancil jer..nie nak naik Viva. Tawakal jer la..

“Ok..start enjin..buka ekon..saya panas..” kata cikgu Siva.

“Baik..”jawabku ringkas.

Baru start enjin..tiba-tiba..

Termati.

Allah…..

Ku cuba kawal emosi..dan terus menghidupkan enjin kembali.

Separa perjalanan..mati lagi enjin.

Dalam hati ku berbicara..”Nape pulak nie..selama belajar ok jer..rasa mcm kete nie lajak jer bila bawa..Allah..bantulah daku..”

Dalam perjalanan..banyak kesalahan yang ku rasa ku telah buat….

Pertama….enjin asyik mati. (3x gak la^_^)

Kedua..gear tukar salah..entahlah..lain macam jer gear kete Viva.
                                                          
Ketiga…terlupa bagi isyarat belok ke kanan..gara-gara semangat nak belok.

Keempat..stering tak dapat diseimbangkan..(mungkin ketaq sangat)

Kelima..tak guna gear mengikut kelajuan..

Akhirnya..ku bermonolog dalam diri….”confirm fail ujian QTI ku….”

Setibanya ku di tempat ujian…ku melihat cikgu Siva sibuk mengisi borangku.

Ku kuatkan diri bertanya kepada Cikgu Siva…”emm..cikgu..saya kena ambil lain ke..ujian?
 Saya rasa tadi saya tak boleh buat sangat..”

Cikgu Siva masih diam..dan senyum..dan masih mengisi borang..

Ku tak puas hati..lalu aku bertanya kembali..”Cikgu…saya kena ambil ujian lagi ker?”

Cikgu Siva masih diam dan senyum sambil menandatangan borang markahku.

“Cikgu……..emm..saya kena ambik sekali lagi kot..”kataku kepada Cikgu Siva.

Kemudian, Cikgu Siva memberi ku lihat borang markahku.

Terkejut daku..”ni…berapa nie..ckg?”.

“16/20…”sambil Cikgu Siva senyum dan beredar meninggalkan daku.

“Terima kasih cikgu…”kataku.

Alhamdulillah…LULUS..walaupun cukup-cukup makan.hehe..Apapun..ku yakin..Allah dah aturkan apa yang terbaik buatku. Banyak lagi yang perlu ku perbaiki..

Ahad depan..insyaallah..test JPJ..doakan yer?

          Kesimpulan kisah hari ini..janganlah kita terlalu gelisah. Yakinlah Allah bersama kita. Then, letakkan semua pergantungan kepada-Nya, insyaallah..hati akan tenang. Yakinkan diri untuk buat sesuatu perkara. Yang paling penting..ikhlaskan niat.

-tamat-

*kisah ini berkisarkan kehidupan penulis, tidak ada kena mengena dengan yang lain. Moga ada pengajarannya..maaf andai ada buat anda geram, terasa atau sbgainya.

Wallahualam.



Thursday, April 12, 2012

Mujahidah sejati..

                                                                     

Mujahidah sejati..

Tak jatuh pandangannya pada dosa,

Tapi jatuh dosanya pada air matanya.


Mujahidah sejati..

Tak terbuka katanya dari dusta,

Tapi terbuka dusta melalui kejujurannya.


Mujahidah sejati..

Tak tertumpas tanggungjawab pada khianat,

Tapi tumpasnya khianat pada amanahnya.


Mujahidah sejati..

Tak rebah kakinya menghadap ujian,

Tapi rebahnya ujian dipalu kesabarannya.


Mujahidah sejati..

Tak hilang maruahnya pada cinta dunia,

Tapi hilangnya cinta dunia dalih kepada sang pencipta.

Tuesday, April 10, 2012

Al-Mukmin (Maha Melimpahkan Keimanan)



                                                                         

Bismillahirrahmanirrahim..

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah s.w.t akan gementar hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya akan bertambah iman mereka (kerananya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”
(Surah Al-Anfal : 2)

********
          
          Pada awal berdakwah, Rasulullah s.a.w. menghadapi tentangan yang sangat berat. Misalnya, Nabi s.a.w. menjadi sasaran pembunuhan dan bagi pemuda Quraisy yang berjaya membunuhnya akan diberi ganjaran harta dan kekuasaan yang besar oleh para pembesar Arab. Namun pembunuhan tersebut selalu gagal kerana Allah s.w.t tidak redha.

          Percubaan untuk membunuh Nabi s.a.w. ini pernah dilakukan oleh seorang pemuda yang bernama Suraqah. Ketika Nabi s.a.w berehat di bawah pokok, Suraqah datang mendekati Nabi s.a.w. lalu menghunus pedang dan mengarahkan ke dada Nabi s.a.w. Kemudian Saraqah berkata,”Jika aku membunuhmu sekarang, siapa yang akan menolongmu, ya Muhammad?” Nabi s.a.w. menjawab, “Allah s.w.t. yang akan menolongku.”

          Ucapan Nabi s.a.w. ini dikeluarkan dari lubuk sanubari yang paling dalam, berasal dari lubuk hati yang berbalut keimanan. Setelah mendengar kata-kata Allah s.w.t., bergetarlah hati Suraqah. Pedang yang ada di tangannya terlepas. Dengan cepat Nabi s.a.w. mengambil pedang tersebut dan mengarahkan ke Suraqah. Nabi s.a.w. berkata,”Jika sekarang aku membunuhmu, siapa yang akan menolongmu, Suraqah?” Suraqah berkata,”Tidak ada, Muhammad kecuali Engkau mahu mengampuni kesalahanku.”

          Nabi s.a.w. tersenyum, pedang yang telah dihunus disarungkan kembali. Nabi s,a.w. tidak jadi membunuh Suraqah. Nabi s.a.w kemudian berkata, “Sekarang, pulanglah dan jangan sesekali kamu ulangi perbuatanmu lagi”. Apabila mendengar jawapan yang halus budi pekerti dan tidak bernada balas dendam, Suraqah amat kagum kepada Nabi s.a.w. kerana akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Kemudian Suraqah mengaku tunduk dan memeluk Islam.

*********

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Lihatlah bagaimana seorang hamba yang memiliki dosa sebesar gunung, namun dia masih memiliki secebis hati yang dapat membimbing ke arah jalan Allah s.w.t. Inilah yang disebut keimanan. Walaupun tertimbun nafsu dunia dan terbenam di dasar lumpur kemaksiatan, namun keimanan itu dapat digali apabila terdapat seseorang yang dapat menggetarkan sisi tauhid di dalam jiwa sehingga keimanan itu dapat keluar dengan baik. Oleh itu, marilah kita mantapkan iman kita dalam menggapai redha-Nya.

Iman..

Hadirmu menerbitkan getaran di jiwaku,

Menanam kemahuanku,

Membangkitkan keyakinanku,

Sebagai seorang pejuang.


Detik dihimpun jiwa meronta,

Ke mana arah akan dibawa,

Dengan iman rentasi Sirat,

Ke puncak mulia atau hina..


Wallahualam.

Sunday, April 8, 2012

Berwajah manis & Bersikap Lemah Lembut

(wajah yang ceria sokmo)


Assalamualaikum w.b.t,


Segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam. Semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada Nabi Muhammad saw, keluarga, sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.

Sebelum terus membaca, mari kita ukirkan senyuman yang paling manis untuk diri kita kerana Allah masih memberikan nikmat penglihatan yang baik untuk kita. Alhamdulillah..^_^

Pembaca yang disayangi Allah s.w.t,

          Bagaimana reaksi apabila bertemu seorang teman? Kebiasaannya, kita akan ukirkan sebuah senyuman, memberi salam dan salam semut. Betul tak?

Tahukah kalian?

Batas minimum yang harus diberikan oleh seorang teman sewaktu berjumpa dengan temannya ialah wajah yang ceria dan senyum yang mengembang. Itu adalah kebajikan dan adab yang sepatutnya terjadi antara teman. Iaitu wajah yang penuh senyuman dan berseri-seri setiap kali bertemu atau melihatnya.

          Abu Dzar r.a. mengatakan: “Nabi s.a.w pernah bersabda kepadaku :

“Janganlah sekali-kali engkau meremehkan sesuatupun dari kebajikan, meskipun sekadar berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria (berseri-seri).”

(HR. Muslim, no 2626)

          Sikap yang lemah lembut dan simpati akan menguatkan ikatan persahabatan antara teman dan mendalami hubungan di antara mereka. Allah s.w.t. mencintai kelembutan dalam segala perkara.

          Nabi s.a.w bersabda kepada Aisyah r.a.:

“Sesungguhnya Allah mencintai kelembutan dalam segala urusan.”

(HR. Bukhari, no 6024)

Dalam riwayat Muslim pula disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan. Dia memberikan kepada kelembutan sesuatu yang tidak Dia berikan kepada kekerasan dan sesuatu yang tidak Dia berikan kepada yang lainnya.”

(HR. Muslim, no 2593)

Oleh itu, sudah selayaknya sesama teman saling bersikap lemah lembut. Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Diharamkan neraka ke atas setiap orang yang ringan, lembut, mudah dan dekat dengan manusia.”

(HR. Ahmad, no 3928 Hadis hasan)

Tahu tak, salah satu hal yang boleh membantu mengeratkan persahabatan dan menghilangkan rasa permusuhan di dalam hati ialah saling berkirim hadiah antara teman.


Betapa indah apa yang dikatakan oleh seorang penyair:



Hadiah yang dikirim sesama manusia
Antara yang satu dengan lainnya
Akan melahirkan pertautan hati
Di antara mereka semua.

Pun juga menanamkan rasa simpati
Dan juga kecintaan di dalam sanubari
Serta menambah keindahan suasana
Di kala mereka hadir dan bersua.



          Oleh yang demikian, ayuhlah kita bermanis muka dan bersikap lemah lembut terhadap saudara kita,…Tapi ingat…jaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Jangan salah konsep. Nanti bermanis muka berlebih-lebihan pula di hadapan insan yang bukan sepatutnya.^_-

          Kemudian, apabila kita ada terasa hati dengan saudara kita, janganlah kita menjauhinya. Sebaliknya, berilah hadiah kepadanya agar tautan hati kita dan dia akan tersemai kembali di atas jalan-Nya. Kemudian , berdoalah kepada-Nya.

Indahnya Islam kerana Persaudaraan,

Indahnya Ukhwah kerana Persahabatan.

Wallahualam.