Tautan Ukhwah

Wednesday, November 12, 2014

Ibu Susuan Nabi, Halimatus Sa'adiah

                                                          



Bismillahirrahmanirrahim,
Tatkala jari ini menari dengan penuh keasyikan di landasnya, hati ini juga sedang berbunga seolah bunga yang tadinya tertutup, kini sedang mekar menghiasi taman hati.
Kenapa?
Mari ku kongsikan bersama…
Sebenarnya tadi ada terbaca tentang ibu susuan Nabi Muhammad s.a.w.
Siapa? Halimatus Sa’adiah.
Allahurabbi, sungguh tersentuh dengan kisah Halimah ini.

********
          Pada suatu ketika ini, adalah tahun yang sangat rumit (kebuluran). Maka, Halimah bersama para wanita bani Sa’ad keluar ke Mekah untuk mencari anak susuan kerana pada waktu itu sudah menjadi tradisi untuk mengambil anak angkat dan mengharapkan sesuatu dari ayah si anak angkat tersebut.

          Halimah sampai ke Mekah akhir sekali, berbanding sahabat-sahabatnya dek kerana dengan menunggang keldai yang kurus dan membawa unta yang tidak mengeluarkan susu.    
  
Makanya, apabila menjadi orang terakhir sampai, anak-anak pembesar Quraisy yang kaya telah diambil oleh wanita bani Sa’ad yang lain. Tinggallah Nabi Muhammad s.a.w yang belum diambil orang tambahan pula apabila mereka tahu baginda adalah anak yatim.

          Namun, tuah si bayi, Halimah telah mengambil baginda untuk dijadikan anak susuan. Kemudian, Halimah membawa Nabi Muhammad untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.

          Subhanallah! Setelah menyusu, didapati Rasulullah enak dan puas seolah-olah Halimah mempunyai banyak bekalan susu. Sehingga Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena.

          Setelah itu, suami Halimah terlihat unta betinanya mengeluarkan susu dengan banyak. Ini membolehkan Halimah dapat menambahkan bekalan susunya dengan minum susu unta tersebut.

          Banyak tanda-tanda keberkatan dan kelebihan Rasulullah berlaku di perkampungan Bani Saad. Antaranya, kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya banyak mengeluarkan susu walau sebelum ini kemarau.

          Hidup Halimah dan keluarganya semakin berubah menjadi lebih baik berbanding orang lain. Rasulullah sepanjang bersama keluarga Halimah, baginda tidak pernah menyusahkan mereka. Sejak usia baginda 2 tahun, baginda sendiri yang memutuskan susuan. Halimah berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan baginda apabila harus dikembalikan pada waris baginda.

          Halimah dan suami bertemu dengan Siti Aminah untuk memujuk agar mereka dapat meneruskan menjaga Rasulullah. Akhirnya, Siti Aminah mengalah. Inilah sedikit tentang kisah ibu susuan Rasulullah ini.

Ingat lagi tak nasyid In-team ni? ^_^

Kakimu melangkah lesu menuju ke jalan pulang
Kecewa kerana gagal mendapat bayi hartawan
Namun apakah yang akan kau beri sebagai jawapan
Jika ditanya mengapa kau gagal mendapatkannya

Tiba-tiba senyum si yatim itu menyapa
Tergugah deria ibu yang bersemi di jiwa
Biar Muhammad itu tanpa upah berganda
Namun hatimu rela bukan kerana harta

Halimatus Saadiah
Engkau ibu yang bertuah
Kau wanita penerima barakah
Dari desa pedalaman
Daerah di pinggiran
Kau menyusui insan pilihan

Kau pangku dia dan berubahlah segalanya
Badan yang terasa lesu kini bertenaga
Susu yang sedikit itu bertambah dengan segera
Peliharaan ternakan membiak subur berganda

Halimatus Saadiah, kau ibu barakah
Engkau pemula muqaddimah yang indah
Episod awal sirah Nabi junjungan mulia
Kau ibu susu yang bertuah

Pada sejarahmu terukir kenyataan
Tidak kan miskin jika membela Islam
Tidak hina meriba kebenaran yang mulia
Jangan takut jika kau beriman 

Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
6.34 am,

Mutah, Jordan.

No comments:

Post a Comment