Tautan Ukhwah

Sunday, December 10, 2017

Surat Untuk Adikku, Firdaus



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t,
Saat ini mungkin ada yang sedang dibuai mimpi. Namun, aku masih melayang dengan perasaanku sebentar tadi. Saat mana menanti hidangan, telefonku bordering. Suara adikku mula kedengaran. Entah kenapa, ketika bercakap dengannya hari ini, jiwa ini sebak. Seolah ada selautan kerinduan yang bakal melepasi tembok mata.

Dialah adikku yang aku sangat kasihi,

Aku tiada abang, tapi dia buatku rasa seperti ada seorang abang.

Dulu, setiap kali mak ligan kami dengan hanger, sorang akan masuk tandas, sorang masuk bilik air.

Dulu, kami sama-sama meniaga acar limau. Naik basikal berdua. Aku memang malu bab-bab ni, maka dia bagi salam, aku tolong jual.

Dulu, saat mana mak pergi bekerja, kami masak bersama.

Dulu, saat aku sakit, dialah yang masak nasi dan goreng telur dan beri aku makan.

Dulu, saat dia berkeinginan sesuatu, dia sangat berdikari. Dia bekerja diam-diam tanpa pengetahuan makayah.

Kadangkala dia sakit, kakinya berdarah, aku sangat risau. Aku ingin memaklumkan kepada makayah. Dia menghalang. Katanya, tidak mahu makayah risau.

Kadangkala aku lihat dia marah pada adik-adik andai cakap kasar dengan makayah.
Dalam diam, ku tahu, dia sedang merancang sesuatu untuk keluarganya ini.

Kami memang terlalu rapat, sampaikan adik yang bongsu sangat cemburu. Kadangkala bila kami sharing masalah dalam bilik. Adik yang bongsu ketika itu masih kecil, katanya…”kak dan abang ni..kawin ka? Selalu berdua”.

Saat mana aku akan pergi Jordan..pesanku..tolong jaga makayah bila kak takdak di sini. Dan ku akui, dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dengan pelbagai dugaan telah meimpa keluarga kami.

Kemudian, ku sambung pengajian master di UKM. Suatu hari, aku dapat tahu, dia mahu berkahwin. Jujur, tika itu perasaanku berbaur. Ada sedih bercampur bahagia.

Saat mana dia melafazkan akad nikah…ada titisan air mataku jatuh. Adikku sudah bertukar status. Alhamdulillah. Sedikit rasa terkilan, aku tak dapat membantu dari segi kewangan ketika itu. Aku hanya mampu sumbangkan tenaga untuk persiapan majlisnya.

Duhai adikku Firdaus,
Perjalanan hidup kita masih berbaki,
Kaulah adik yang terbaik pernah ku rasai,
Akak bahagia memiliki adik sepertimu.

Duhai adikku Firdaus,
Sebenarnya dalam diam ku mengagumi,
Akak bukanlah yang terbaik,
Tapi akak berusaha menjadi akak yang terbaik untuk kalian.

Duhai adikku Firdaus,
Akak tahu kadangkala ada beban yang merantaimu,
Namun, akak tahu kau kuat menghadapinya,
Bukankah akak selalu mengingatkanmu tentang Syurga Firdaus?

Duhai adikku Firdaus,
Mungkin saat ini,
Masa telah meragut masa kita bersama,
Namun kasih kita tidak akan terbatas dek waktu.

Duhai adikku Firdaus,

Pada malam yang syahdu ini,
Saat batas malam menjamah sang fajar,
Ku nukilkan surat untukmu duhai adik.
Moga kau terus kuat dalam hadapi onak duri ini,
Moga perkahwinan yang telah dibina bahagia hingga Jannah,
Moga juga kau menjadi insan yang berguna dan bermanfaat pada orang lain.

Mohon jangan sebak baca nukilan ini.
Ini sahaja yang mampu ku nukilkan malam ni.
Mana tahu andai akak dah tiada di dunia ini,
Nukilan ini akan menjadi pengubat rindumu padaku.

Yang ikhlas menyayangimu,
Siti Nabilah Azman,
1.10 am, 10/12/17

UKM, Bangi.

Wednesday, November 22, 2017

Duhai pelajar master...


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari sesuatu,

Saat ini, jari jemariku berlari-berlari di atas keyboard seolah-olah bahagia,
Namun hakikatnya, disebabkan fikiranku tidak dapat menumpu sepenuhnya pada tesis.
Terfikir sejenak, laju pula jari jemari ini menari saat ingin menukilkan sesuatu untuk blog, walhal andai tadi, sudah dikerah otak ini, namun masih jari ini bersifat kaku, malah seolah beku jari ini.
Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti apa yang perlu dituliskan. Tetapi masih ada jauh dari sudut sanubari ini ingin berkongsi sesuatu. Maklum la, Nabilah ini kalau dikenal memang suka bercerita. Terima kasih sudi menjadi pendengar yang setia ya.

Pembaca yang masih setia menanti,
Mungkin penulisanku kali ini lebih kepada perkongsian seorang pelajar master. Bohong lah kalau ditanya, susah ke tidak ambil master ini, dijawab ‘senang’. Buatmu pelajar master…..
Pernah tak kita terfikir…”kalau aku tahu master susah macam ni, aku taubat tak ambik” *taubat dalam fahaman orang kedah bermaksud (memang tidak akan buat).
Berapa banyak titisan air matamu saat kamu menyiapkan proposal?
Berapa banyak waktu tidurmu terkorban?
Berapa banyak masamu di perpustakaan?
Berapa banyak wangmu habis dengan print macam-macam?
Berapa banyak masamu dihabiskan dengan menghadap laptop?
Berapa banyak kali kamu sakit kerana terlalu pening?

Duhai pelajar master,
Aku sendiri sedang menghadapinya.
Ya, kadangkala susah nak explain pada orang lain situasi kita.
Kadang ada yang tanya..”tak siap-siap lagi?’”
Allah..istighfar panjang kita.

Duhai pelajar master,
Ayuh, kita perbaharui dan tentukan niat kita.
Setiap kali ilmu digali, terasa kerdilnya kita padaNya.
Bukankah dengan ini, buat kita semakin mengingatiNya?
Bukankah dengan ini buat kita terasa berharganya sebuah masa?
Bukankah dengan ini buat kita terasa erti sebuah pengorbanan.

Duhai pelajar master,
Bukan gelaran atau sijil yang menjadi tujuan utama,
Kerana itu kajian tesis kita itu adalah untuk menyumbang sesuatu pada ummah.
Kerana itu kajian tesis kita perlu dihalusi dan hadirkan seikhlas mungkin.

Duhai pelajar master,
Aku memahami andai kau kata sering semangatnya hilang,
Aku mengerti andai kau kata perbezaan pensyarah kita buat cara kita berbeza,
Namun, haruskah kita sering bermonolog sahaja di dalam diri?
Haruskah kita membiarkan semangat itu berlari terus jauh dari kita?
Akhirnya kita aka terkapai-kapai mencari semangat itu sehingga bayangnya itu sudah langsung ditenggelam masa.

Duhai pelajar master,
Aku juga sedang mujahadah menyiapkan tesis ini,
Aku juga sering sakit kepala apabila mengerahkan otak untuk berfikir,
Aku juga sering sakit setiap kali kesihatanku kadangkala terabai,
Aku juga sering mengorbankan tidurku sepertimu,
Aku juga sering berjimat memikirkan kita masih seorang pelajar.
Aku tidak dapat membantu dari segi kewangan, tesismu kerana lain bidang kita.
Cuma…aku hanya ada…
Segenggam semangat yang berkobar-kobar untuk kita berjaya bersama.
Kata-kata semangat andai kau rasa sudah hilang punca dalam tesismu.
Pendengar masalahmu walau hakikatnya aku sendiri tidak benar menghadam masalahmu.

Duhai pelajar master,
Aku doakan agar kita berjaya,
Jangan lupa, dalam keasyikan kita menyiapkan tesis,
Siapkan juga bekalan akhirat yang kekal abadi.
Moga Allah permudahkan urusan kita. Aamiin.

Salam tiupan semangat dari seorang pelajar kepada seorang pelajar.
Siti Nabilah Binti Azman
22/Nov/2017, 3.46pm
PTSL UKM, Bangi.

Tuesday, July 4, 2017

RnR Hati


Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi dalam blog yang usang ini, kini cuba mujahadah untuk menggerakkan jari jemari menukilkan sesuatu. Terasa sangat tersentap apabila mendapat satu message dari seorang ukhti.

“Assalamualaikum akak…bila nak update blog? Lama dah akak tak upload…saya nak baca sesuatu…”.

Allah…hati diketuk berulang kali. Jenuh memerah otak apa yang boleh dikongsikan.

Baiklah…

Sedikit perkongsian untuk kali ini. Ana baru habis membaca buku RNR HATI yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dengan membawa kata-kata yang sangat menarik di kulit hadapan buku ini, “muda bukan sekali, tetapi dua kali”. Kata-kata itu sangat benar sebab kita bukan hanya muda di dunia tetapi di Syurga nanti, Allah memilih usia muda sebagai usia semua ahli Syurga.

Dalam buku ini dibahagikan kepada beberapa bab besar iaitu, identiti anak muda, mencari cinta, peribadi dan perilaku nan indah. Banyak dimuatkan kata-kata yang berbaur motivasi, kata-kata semangat dan menjadikan pembaca untuk berfikir ke arah yang sangat positif.

Mujahadah juga ana untuk menghabiskan membaca buku ini disebabkan banyak komitmen lain..tapi ana curi juga masa. Kadangkala selepas baca Al-Mathurat waktu pagi, ana akan baca juga sekurang-kurangnya satu mukasurat buku ini. Begitu juga dengan mujahadah untuk membaca Al-Quran. Kalau nak ikut sibuk kita, kerja kita makin bertimbun. Tapi, carilah juga masa baca ayat-ayatNya walau satu ayat dan tadabburlah.

Ana masih teringat satu kata-kata dalam buku Rnr Hati, “Dengan solat, hati kembali kuat”. Allah…saat kita lemah dengan ujian, solatlah penguat hati. Saranan ana, bacalah buku ini, banyak ibrahnya. Jom muhasabah bersama-sama. Moga kita terus semangat berlari ke arahNya.

Sekian. Wallahualam.




Friday, April 14, 2017

NABILAH, nama bukan sekadar nama.


Bismillah…
Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin dekat dengan ALLAH.
Anda pernah terfikir tak kenapa setiap makayah akan mencari nama yang terbaik buat anak-anaknya? Namun, hakikatnya sekarang, kita tidak menjadi seperti apa yang mereka harapkan dari nama itu. Malah, ada yang tidak tahu pun maksud nama sendiri. Seandainya yang bernama Muhammad itu sendiri tahu betapa sucinya nama itu, mungkin tidak akan ramai orang yang bernama Muhammad akan hisap dadah, masuk penjara dan sebagainya.

Pembaca yang Allah kasih,
          Rugilah kita andai nama itu hanya sekadar nama tanpa membawa manfaat dalam kehidupan kita. Ana bagi contoh maksud nama ana, “Nabilah” iaitu cerdik. Bagaimana ana nak aplikasikan maksud nama ana ini sejajar dengan maksudnya. Buat semua yang namanya Nabilah, ini untuk muhasabah kita bersama.

Nabilah…
Cerdik kita bukan hanya diukur sejauh mana tahap pengajian,
Namun itu boleh jadi satu pemacu semangat dalam perjalanan,
Usaha memahami sesuatu, amalkan ia dan mantapkan iman.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala ditimpa ombak ujian?
Putus asa atau kuatkah hati yang menjadi pilihan?
Letakkkan pergantungan padaNya, insyaAllah hati aman.

Nabilah…
Cerdikkah kita mengurus masa yang kian menghempit?
Adakah dengan timbunan kerja, ibadah kita jadi tersepit?
Jangan kerana sibukkan dunia, ibadah makin sikit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala menguruskan hati yang semakin sakit?
Apakah tindakan kita saat tompok-tompok hitam semakin membintik?
Rawatlah dah jagalah hati sebelum ia makin berpenyakit.

Nabilah…
Cerdikkah kita tatkala melihat manusia semakin jauh dengan Allah?
Adakah kita hanya sekadar melihat atau sedang mengambil langkah?
Bantulah dan sebarkanlah cintaNya sebelum hati mereka terpatah.

Nabilah…
Cerdikkanlah dirimu dalam menjadi sebenar-benar hambaNya,
Kuatkan hati, yakin dan percaya pada setiap janjiNya,
Moga kita semua sentiasa dalam kasih sayangNya dan bertemu di SyurgaNya.



          Akhir kalam, carilah maksud nama anda. Moga anda terinspirasi dan lebih rasa bermakna dalam kehidupan anda. Contoh lain, nama Syafiqah yang bermaksud kasih sayang. Bagaimana Syafiqah itu menjadi seorang yang kasih sayang terhadap sekeliling. Orang yang penyayang adalah seperti mengambil berat, bertolak ansur, tolong-menolong dan macam-macam lagi. Sedar ataupun tidak, secara langsung Syafiqah akan membawa qudwah yang baik dan menjadikan Islam itu indah. MashaAllah!

          Jadi, lihat nama anda, buatlah sesuatu dan martabatkanlah Islam itu sendiri. Sama-sama kita muhasabah dan cuba perbaiki diri. Sekian.

Wallahualam.

13/4/17,
11.58pm,
UKM.


Sunday, February 5, 2017

Pengalaman Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w..b.t,
          Alhamdulillah, akhirnya saya dah lalui Program Penilaian Kompetensi Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 di ILIM, Bangi pada 4 Februari 2017, hari Sabtu. Program ini bagi yang telah lulus ujian on9 yang menguji kita seperti soalan psikologi diri kita, hukum hakam fiqh, aqidah, tajwid dan matematik. Banyak yang saya dapat pelajari dan muhasabah dari program ini. Sebenarnya, sengaja saya bermula dari bawah agar melihat kemampuan diri dan cuba perbaiki diri. Di sini, saya kongsikan pengalaman saya sepanjang program ini bagi yang bakal menghadapi program ini nanti atau melihat dari sudut muhasabah kita dalam bab-bab agama dan bersama ke arahNya.

          Pada jam 8.00 pagi, urusetia meminta kami mengambil sarapan dahulu di di dewan makan. Kemudian, pada jam 8.30 pagi, bermulalah pendaftaran. Pada kaunter A, kami diminta memberi surat tawaran program beserta borang profil 1 & 2.  Kemudian, kita akan diberi nombor badan dan wajib memakainya sepanjang program. Kemudian, bergerak ke kaunter B. Pada kaunter ini, kita akan cabut undi bagi tajuk pengucapan umum. Alhamdulillah, dapat tajuk ‘Mengingati Mati’. Antara tajuk lain yang saya ingat daripada kawan-kawan yang lain seperti ‘Ehsan Dalam Islam’, ‘Kelebihan Berpuasa’, Senyum Membawa Rahmah’, ‘Ekonomi Islam’, ‘Bahayanya Dadah’, dan banyak lagi la.

Di kaunter C pula, kita diminta untuk memberi Salinan Diploma/Ijazah kita dan Salinan IC. Akhir sekali, akan ditimbang berat dan tinggi untuk kira BMI dan ada sesi tangkap gambar. Sepanjang program ini, peserta tidak boleh pakai blazer/kot dan songkok. Pada jam 10.00 pagi, kami menghadiri taklimat di Auditorium Syafie.

Pada jam 10.20 pagi, peserta dibahagikan kumpulan bagi ujian qiraah. Kita akan dipanggil nombor badan dan akan membaca satu halaman yang diminta oleh penilai. Setelah itu, ditanya beberapa hukum tajwid. Entah kenapa ketika itu saya ketar sangat sehingga penilai senyum sebab katanya Al-Quranku bergoyang. So, nanti, anda cool ja ya.

Setelah habis ujiaan Qiraah, terus kena turun aras bawah, lihat kembali bagi aktiviti 1, kita kena kumpulan berapa dan di mana. Di sini perlu kepada kepantasan kita dan peka. Aktiviti 1 bermula pada jam 12 tengahari hingga 1 petang. Aktiviti 1, diberi permasalahan tentang solat jamak dan qasar. Ketika pembentangan, pelbagai persoalan diajukan dan kadangkala menguji pengetahuan kita tentang pandangan mazhab-mazhab dalam bab ini.

Pada jam 1.00 petang hingga 2 petang, sesi makan tengahari dan solat zohor. Ketika ini, ambillah peluang untuk bersedia dengan tajuk pengucapan umum kerana selepas ini, kita sudah tiada masa untuk membuat persiapan. Aktiviti 2, bermula pada jam 2.15-3.15 petang. Pada sesi ini, kami diminta membuat kertas kerja tentang JAWI yang ingin membuat kursus intensif pada guru tahmir. Pembentangan lebih memfokuskan kepada tentatif program dan kos perbelanjaan program.

Setelah itu, terus aktiviti ke 3, pada jam 3.20 - 4.20 petang. Pada sesi ini, permasalahan tentang solat jenazah, rukun solat jenazah dan cara mengkafankan jenazah. Ketika pembentangan, akan ada persoalan-persoalan dari fc yang akan buat kita rasa was-was bagi melihat keyakinan kita. Satu lagi nak bagitahu, setiap kali dalam aktiviti, kita tidak boleh pegang atau bawa apa-apa kecuali pen. So, memang semua bergantung kepada ilmu yang kita ada. kemudian, setiap aktiviti, mesti diberi kertas mahjung dan pen, kemudian bentang. Ambillah peluang menulis ka apa ka..dalam perbincangan kerana penilai sentiasa memerhati kita. Pastikan nombor badan  kita dapat dilihat oleh penilai. contohnya, ikat bagi tinggi sikit ka, atau pusingkan ke belakang badan ka..buatlah macam mana pun supaya kita dikenali.

Pada jam 4.30 – 5.30 petang, aktiviti terakhir iaitu pengucapan umum. Bagi lelaki disampaikan dalam khutbah, perempuan disampaikan dalam tazkirah. Cakaplah dengan hati, insyaAllah ok. Semasa pengucapan umum, tidak boleh memegang sebarang rujukan, sama ada Al-Quran, buku atau kertas. Pengucapan umum ini selama 5 minit bagi seorang. Pada jam 5.30 – 6.00 petang, taklimat penutup dan bersurai.

MashaAllah, terasa kerdilnya diri ini. Masih perlu membaca lagi dan mendalami ilmu agama lagi. Terasa sangat muhasabah. Jangan pandang sesuatu perkara itu remeh dan tidak mengambil tahu. Banyak sangat masalah fiqh dan akidah yang perlu kita dalami dalam rangka membantu diri kita sendiri dan umat Islam. Teringat kata murabbi, tiada istilah bosan andai kita sibuk mengejar cinta Allah. Teruslah berada dalam majlis ilmu dan banyak sumber boleh kita pelajari. Asasnya, mahu atau tidak sahaja.

Satu lagi, tentang masa depan kita, kita usaha, doa dan tawakal. Selebihnya serah pada Allah. Andai memang ada rezeki kita, insyaAllah tidak ke mana. Yakin pada Allah ya? Semoga Berjaya.

5/2/17
10.50 pm,
Kulim, Kedah.

Tuesday, January 31, 2017

Al-Musawwir (Maha Pembentuk)



Firman Allah s.w.t, dalam Surah Al-Hasyr, ayat 24:

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢٤


Maksudnya: Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”


Kita boleh melihat betapa Allah Maha Pembentuk dengan kepelbagaian cop jari manusia. Betapa ramainya manusia di dalam dunia ini, namun masih tiada yang sama. Kemudian, cuba lihat pula kepada fizikal manusia. Manusia mempunyai mata, hidung, mulut, kaki dan tangan, namun bentuknya masih tidak sama dan berbeza antara satu sama lain. Betapa hebatnya Allah Yang Menciptakan.

Selain itu, cuba lihat tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita. Ada yang berwarna hijau, kuning, merah dan macam-macam lagi. Hebat kan Allah? Tambahan pula, kita cuba lihat Allah Yang Menciptakan manusia. Dari sebelum embrio, kemudian berubah menjadi manusia sempurna yang terbentuk di dalam rahim seorang wanita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Pembentuk dan Pencipta paling sempurna.


Thursday, January 5, 2017

Bedah Filem : The Great Wall

Bismillah…
Anda pernah tak dengar tajuk filem terkini iaitu The Great Wall? Atau anda sudah pernah menontonnya? Bagi yang pernah menontonnya…apa yang anda dapat dari cerita tersebut? Setakat cakap best, majoriti manusia akan bercakap sebegitu, termasuk diri ini. Namun, jika kita lihat dari pandangan yang berbeza, pandangan yang cuba membawa kita ke arahNya, kita akan merasakan lebih indah dan sangat best. So, di sini, ana nak share apa yang ana dapat hasil penontonan ana pada cerita ini. Kejap, sebelum tu, cerita ini tentang Tembok China yang tinggi dan panjang yang dibintangi oleh artis China dan beberapa orang putih. Mereka berlawan dengan raksasa ganjil yang sangat banyak yang cuba menyerang mereka. Kiranya, tembok ini adalah benteng pertahanan mereka bagi menghadapi raksasa itu.


Tadabbur alam
Pertama kali ana terpegun ialah cerita ini latar belakangnya di China. Memperlihatkan gunung-gunung yang cantik, warnanya diselangi warna putih malah pelbagai warna. Subhanallah! Sangat indah…betapa hebatnya ciptaan Allah, sampaikan dalam Al-Quran pun Allah menyebutnya, firman Allah s.w.t:
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air dari langit lalu dengan air itu Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka macam jenisnya.
Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang BERANEKA MACAM WARNANYA dan ada (pula) yang hitam pekat.”

(Surah Fathir, ayat 27)


Kepercayaan
          Dalam cerita ini, ana lihat sebuah perjuangan untuk menempuh rintangan yang dihadapi memerlukan kepercayaan yang sangat tinggi pada rakan seperjuangan. Keyakinan itu harus dibina dan tanpa keberanian mimpi tidak bermakna. Jika dilihat dalam cerita ini, ketikamana saat mahu melawan makhluk raksasa itu, William sanggup turun ke bawah Tembok China demi mendapatkan sample raksasa untuk dibuat kajian bagi menghapuskannya. William meletakkan sepenuh kepercayaan kepada askar China ketika itu dalam membantunya turun ke bawah.
          Kedua, walaupun William baru sahaja dalam kalangan tentera China itu, namun atas dasar kepercayaan, mereka membuka ruang William membantu mereka dalam menghapuskan binatang ganjil itu.


Sahabat
          Ana suka melihat persahabatan antara William dengan sahabatnya. Ketika mana William mahu berubah menjadi lebih baik, rakannya tidak setuju. Malah rakannya itu sanggup untuk meninggalkannya. Tetapi saat rakannya ditangkap, William masih menerima rakannya itu. Jelas yang kita lihat bahawa, seorang rakan yang baik akan menerima segala kekurangan dan kesalahan rakannya.
          Kemudian, ana lihat ketika mereka berbincang di saat genting, masih ada gurauan dalam ketegangan. Maksudnya, rakan itu masih boleh bergurau dan menceriakan suasana walau di saat yang genting dan semakin semangat maju ke hadapan. Ini semua psikologi. Guaraun itu boleh mengurangkan kerisauan dan cuba hadapi bersama-sama.

Kurangnya terdedah aurat
       Tidak dinafikan, mana-mana cerita dari luar negara pastinya ada pakaian perempuannya yang kurang sopan. Namun, dalam cerita ini disebabkan perempuan-perempuannya berpakaian seperti tentera, maka yang dapat dilihat hanyalah bahagian kepala. Maka, kuranglah sikit mata kita sakit memandang dan melihat aurat orang lain yang menambahkan dosa. Sedangkan filem-filem di Malaysia juga masih ada yang berpakaian kurang sopan dan tidak menutup aurat.


Kerjasama
       Dalam cerita ini, untuk menghapuskan binatang ganjil itu, tentera-tentera China dan William bekerjasama dalam menghadapinya. Sangat cantik melihat strategi mereka yang sangat tersusun dan kerjasama yang kuat antara mereka. Sebagaimana mereka yang mahu kejayaan bersama, maka diusahakan bersama. Begitulah jua, andai ingin ke Syurga bersama, ayuh sama-sama usahakannya. Misalnya, tadabbur ayat-ayatNya bersama dan saling mengingati ke arahNya walau ketika berjalan bersama. Di mana-mana kita boleh bangkitkan keimanan kita sejenak.
          Ana ada sahabat sekelas time master ini. Kami memang sentiasa bersama dan kerap naik kereta sendiri. Apa yang ana suka setiap kali bersamanya, setiap apa yang kami lihat, yang kami hadapi, kami akan muhasabah dan secara langsung iman terasa terusik. Jazakillah Syafawani. Mohon pegang tangan ana erat-erat untuk ke Syurga.

Ithar (mengutamakan orang lain lebih dari kita)
          Saat William ada peluang melarikan diri dan boleh mendapat kekayaan yang banyak disebabkan serbuk hitam itu, tetapi dia memilih untuk tinggal di Tembok China itu bagi membantu mereka melawan binatang ganjil itu. Sedangkan rakannya sudah mengajaknya pergi namun ditolaknya. Katanya, mereka di Tembok China memerlukan pertolongannya. Dia lebih memikirkan tentera China itu berbanding dirinya.


Pembaca yang setia,
          Sebenarnya, mungkin banyak lagi yang boleh kita koreksi dari filem ini. Anda bebas untuk menonton sebarang cerita dan memilih cerita apa yang anda mahu lihat. Namun, jangan biarkan ia sekadar melihat tanpa membawa pulang apa-apa manfaat. Pandanglah dari sudut yang boleh anda dekat denganNya dan menjadi seseorang yang lebih baik.
Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
UKM,
5/1/2016, 5.15pm