Tautan Ukhwah

Friday, November 20, 2015

Meletakkan Sutrah (penghadang) ketika solat


Bismillah…

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari RedhaNya.

          Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu, hasil pembacaan saya dalam buku Formula Solat Sempura yang ditulis oleh Dr.Zaharuddin Abd Rahman. Perkara yang berkenaan meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan ketika solat.

Pernah atau tidak, ketika anda solat, ada orang melintasi di hadapan anda?
Hati pun bermonolog lantas khusyuk kita hilang.

Jadi, apa tujuan kita membuat penghadang di hadapan ketika solat?
Antaranya ialah sunnah Nabi s.a.w, tambahan pula ia menjadikan pemikiran kita berpusat kepada ibadah solat tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang ramai. Selain itu, ini dapat membezakan antara orang-orang yang sedang bersolat dengan orang di luar solat.

Mari kita lihat dalil ini…

Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” 

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Jika kita lihat daripada dalil ini sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah di waktu solat sendirian. Ini bertujuan agar tida orang yang mendapat dosa disebabkan lalu di hadapan orang solat.

Namun, meletakkan sutrah bagi mereka yang menunaikan solat sebagai makmum adalah tidak perlu.


Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)


Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Hukum boleh berubah bagi isu berjalan melintasi sutrah orang yang sedang bersolat iaitu imam atau mereka yang sedang solat bersendirian:

Apabila keadaan sangat terdesak,

HARUS – Apabila tahap darurat yang melibatkan bahaya pada nyawa dan harta benda.


Apabila keadaan terdapat keperluan,

HARAM – ini pandangan mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian ulama Hanafi.

HARUS – ini pandangan salah satu pandangan Imam Ahmad, sebahagian ulama Syafie dan mazhab Maliki. Mereka berdalilkan firman Allah yang mengkehendaki kemudahan bagi manusia dan bukan kesukaran. Imam An-Nawawi menyatakan pandangan ini juga dipegang oleh Imam Al-Juwayni dan Al-Ghazali.

Namun, jika yang lintas itu adalah kanak-kanak, binatang dan apa jua yang tidak mampu memahami isyarat dan halangan itu, maka ia termasuk dikecualikan.

Contoh objek sebagai sutrah:

1) Manusia yang sedang duduk diam, berdiri atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no 285 & 286)

2) Haiwan tunggangan yang duduk diam.

3) Dinding.

4) Pokok.

5) Tongkat.

Banyak benda boleh dijadikan sutrah. Gunalah benda yang kita tengah ada ketika itu. Jika kita masih di kampus, boleh guna beg. Gunalah apa yang ada dan buatlah penghadang. Dengan harapan, kita lebih khusyuk solat. InsyaAllah.

Wallahualam.



No comments:

Post a Comment