Salam kasih sayang buat pembaca sekalian,
Apa khabar iman anda? Adakah masih seteguh batu karang di lautan? Atau terhanyut pergi di bawa arus yang deras? Ayuh! Tanya iman anda sebelum terlambat. Sejenak ku terfikir di manakah kebahagiaan itu terletak? Akhirnya, ku capai sebuah buku yang berjudul 1001 MUTIARA HIKMAH & KATA NASIHAT. Ku tertarik dengan satu tajuk yang berkaitan dengan pertanyaanku mengenai kebahagiaan.
Ingin ku kongsikan dengan pembaca budiman,
Kebahagiaan itu letaknya di hati, oleh kerana itu :
a) Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu ! Kerana dengan kekayaanmu itu, terbentang kesempatan di hadapanmu untuk mengeluarkan orang dari kesusahan. Perbuatanmu disenangi orang, engkau mendapat pujian di penjuru dunia. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapanmu terbentang permaidani kepujian, sebab itu beroleh kebebasan dan kemerdekaan.
Akan tetapi jika engkau miskin, senangkanlah pula hatimu ! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa diri orang-orang kaya. Senangkanlah hatimu, kerana tidak ada orang yang hasad dan dengki padamu, disebabkan oleh kemiskinanmu. Kemiskinan juga adalah nikmat, kerana dengannya tidak ada jalan bagi orang lain untuk berkecil hati, dan tidak ada pula pintu kebencian.
b) Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu ! Kerana dengan kedermawaanmu itu engkau telah dapat mengisi tangan-tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh-tubuh yang bertelanjang dan telah dapat engkau tegakkan orang yang hampir roboh. Dengan hal itu, engkau telah menuruti perintah hatimu dengan engkau mendapatkan bahagia. Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan memuji kepada Tuhan disebabkan pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang telah berlipat ganda, sebab telah banyak orang yang ikut serta mengecap nikmat yang engkau dapatkan.
Akan tetapi kalau sekiranya engkau tidak dapat menjadi orang dermawan, senangkanlah hatimu ! Sebab engkau telah terhindar dari sifat riak yang kadangkala dipunyai oleh orang-orang yang suka memberi.
Kalau engkau masih muda remaja, senangkanlah hatimu ! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan dan kenangan-kenanganmu masih jauh. Sebab umurmu masih muda, mudah bagimu untuk menjadikan mimpi sebagai kenyataan.
Akan tetapi, kalau engkau sudah tua, senangkanlah pula hatimu ! Kerana engkau telah terlepas dari pertempuran dan perjuangan yang dahsyat, dan engkau telah memperoleh beberapa ilmu yang dalam dari pelajaran hidupmu. Engkau telah tahu tujuan jalan yang akan ditempuh. Oleh kerana itu, segala pekerjaan yang akan engkau lakukan hendaklah yang berfaedah, sebab satu detik umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun umurmu di masa muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman pahit.
c. Kalau engkau sihat, senangkanlah hatimu ! Tandanya telah nyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmatNya, kerana badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.
Akan tetapi kalau engkau sakit senangkanlah hatimu ! Kerana sudah nyata bahawa dirimu adalah tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan Tuhan, iaitu kesihatan dan kesakitan.
d. Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhamba, senangkanlah hatimu ! Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu.
Akan tetapi jika engkau bangsa yang merdeka, senangkanlah hatimu ! Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain dan ada pula bagimu kesempatan mencari kekuatan baru, sebab kemerdekaan itu harus diisi dengan hal-hal yang baru.
( Al-Anisah Mai)
************************
Moga-moga ilmu tadi bermanfaat untuk kita..
Ku akhiri dengan kata-kata Ibnu Taimiyah :
“ Bahawasanya di dunia ini ada suatu syurga. Barangsiapa yang belum pernah menempuhnya, tiadalah ia akan menempuh syurga yang di akhirat.
Apakah yang akan dilakukan oleh musuh-musuhku kepadaku? Syurga atau jannahku ada dalam dadaku. Ke mana pun aku pergi, dia ikut denganku. Jika aku dimasukkan ke dalam penjara, itu adalah khalwatku. Kalau aku dihalau dari negeriku, hal itu adalah sebagai ganti aku berkelah.”
Wassalam.
salam lebaran..
ReplyDeleteBagus apa yang Nabilah sampaikan ni..
Berguna untuk semua lapisan umur..
Teruskan menulis.. Moga menjadi sumber pahala yang berlipat ganda. ^^
~permata yang dicari~
wslm..
ReplyDeletesalam aidilfitri gak..
insyaallah..sama2 lah kita berkongsi ilmu..