Tautan Ukhwah

Saturday, October 3, 2015

Hati Yang Sakit


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, syukur padaNya saat ini kita terasa ingin melakukan sesuatu yang mendekatkan diri kita kepadaNya. Saya yakin, kalian yang sedang membaca blog ini juga sedang mengharapkan sesuatu yang boleh mengingatiNya. Moga Allah redha dengan usaha kita ini.

          Saya ingin berkongsi sedikit hasil pembacaan saya tadi tentang Hati Yang Sakit dari buku yang berjudul PENYAKIT ROHANI & RAWATANNYA, Ibnu Qayyim Al-Jayziyyah.

          Jujur saya katakan, saya begitu tersentuh dengan tajuk ini. Sebelum ini, saya pernah berkongsi tentang hati yang sakit dan mati. Cuma, berkenaan hati yang sakit ini amatlah perlu dititikberatkan. Suka saya cakapkan bahawa perkongsian saya sebenarnya lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Namun, moga-moga dengan perkongsian ini kita sama-sama dapat memperbaiki diri.

          Hati yang sakit ini adalah hati yang mempunyai dua aspek dalam kehidupannya. Pertama, di dalam hati tersebut terdapat cinta kepada Allah, melakukan kebaikan dan semuanya kerana Allah. Kedua, di dalam hati tersebut dalam masa yang sama terdapat cinta kepada syahawat, sombong, iri hati dan lain-lain lagi. Pendek kata, Allah berada di belakang baginya.

          Ini bermakna, hati yang sakit ini selalu diuji dengan dua tarikan. Tarikan kepada Allah dan tarikan kepada dunia semata-mata. Orang ini akan mengikut tarikan yang mana lebih dekat dengan pintunya.

          Hakikatnya, hati yang sakit ini terkadang lebih dekat kepada hati yang sihat dan kadangkala lebih dekat kepada hati yang mati. Apa yang merisaukan kita adalah hati yang sakit ini jika penyakitnya sangat berpengaruh dalam hatinya, maka ia akan menjadi hati yang keras dan mati. Sebaliknya, jika dia berpengaruh sihat, maka akan sama dengan hati yang sihat.

          Hati yang sakit dan mati tidak henti-hentii ragu-ragu kerana pengaruh syaitan manakala hati yang sihat, apa sahaja yang dihembuskan syaitan, maka tidak membahayakan dirinya.

Astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah.

Mata terpejam, hati rasa ingin menagis tatkala ini. Muhasabah sebentar, apa kondisi hati ini sekarang?

Sakitkah ia?

Jika benar sakit, harus diRAWAT segera agar tidak melarat dan mati.

Jom terus melangkah ke arahNya dan sentiasa yakin dengan janji Allah. Kembali bertaubat itu bukan satu kemunduran, tetapi satu kemajuan.


Wallahualam.

Tuesday, September 15, 2015

Hal paling berMANFAAT- Taubat


Kata Ibnu Al-Qayyim:


“Hal yang paling bermanfaat bagi seseorang ialah

dia duduk sesaat ketika hendak tidur.

Dia lakukan muhasabah terhadap dirinya pada saat tersebut

 atas kerugian dan keuntungannya pada hari itu.

Lalu dia memperbaharui taubatnya dengan nasuha kepada Allah,

lantas tidur dalam keadaan bertaubat dan bertekad

tidak mengerjakan dosa yang sama jika dia telah bangun.

 Itu dia kerjakan setiap malam.

 Jika dia meninggal dunia pada malam tersebut dalam keadaan seperti itu,

dia meninggal dunia dalam keadaan bertaubat.

Jika dia bangun, dia bangun dalam keadaan siap beramal, ajalnya ditunda,

dan siap mengerjakan perbuatan-perbuatan yang belum dia kerjakan.”



*Sumber dari buku TARBIAH DZATIAH, Musyirah Zulkarnain.

Saturday, September 5, 2015

Mehnah Rehlah


Bismillahirrahmanirrahim…

          Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…

Pada 21 Ogos 2015, dapat ku pergi rehlah beberapa tempat di Jordan iaitu Wadi Waleh, Madaba, Zoo dan IKEA. Aku bersama dengan 7 lagi hawariyyun iaitu Salimah, Sofi, Haziyah, Neyli, Syafiqah Sobran, Rahmah dan Ain Syafiqah. Perjalanan Rehlah kami dihiasi dengan pelbagai mehnah yang membuatkan hati kembali kepadaNya. Allah mahu ingatkan kami agar jangan terlalu gembira sehingga lupakanNya. Ayuh, ikuti mehnah dan ibrah kami bagi setiap tempat yang kami lewati.


Wadi Waleh

Destinasi pertama kami di Wadi Waleh. Ketika dalam perjalanan ke sana, aku sungguh teruja, jalannya yang berliku dan dari atas, kita akan dapat lihat Empangan Air. Pemandangannya sangat cantik. Subhanallah ! Benarlah, tadabbur alam itu satu langkah menuju SYUKUR.

Di tempat ini, airnya sangat jernih. Paling menarik, dapat mandi. Kami mendapat tempat yang sesuai di sebalik batu besar. Kami memasang khemah dan bersiap sedia untuk perkelahan kami ini.

Airnya yang jernih menampakkan ikan yang sedang riang menari di dalam air. Kami terhibur. Cuma……”banyaknya ikan, macam mana nak mandi ni?, tanyaku.

“Katak..! Katak..!” jerit salah seorang daripada kami. Maka, berkerutlah dahi semua orang memikirkan untuk teruskan mandi atau tidak. Akhirnya, semua membuat keputusan untuk meneruskan mandi sebab bukan senang untuk datang ke mari lagi.

          Batu-batu yang tersusun di dalam air amat licin. Haziyah kerap kali tergelincir, namun tidak pernah berputus asa untuk bangun kembali dan meneruskan mandi. Lihatlah, beginilah sepatutnya dalam kehidupan kita, saat mana kita terjatuh, terus bangun dan mara ke hadapan.

          Kami mandi manda dengan penuh bahagia. Namun, bahagia kami dirampas seketika oleh sekumpulan kambing. Kambing-kambing itu laju menuju ke arah kami malah mengepung segenap penjuru tempat kami berkhemah.

       



  “Pergi la…jangan dekat..takut la..,” ada yang menjerit-jerit. . Ain Syafiqah pun usaha terus menerus untuk cuba menghalau kambing-kambing itu.




          Saat itu, aku berfikir. Bagaimana jika kambing  itu musuh atau ujian kita? Adakah kita bersedia? Boleh jadi musuh/ujian itu adalah syaitan, orang kafir dan sebagainya. Sediakah kita? Saat kita terbuai dengan keenakkan dunia, ada yang menyerang. Allahurabbi…

          Namun, lama kelamaan Salimah boleh menghampirinya malah tangkap gambar bersama kambing-kambing itu. MasyaAllah! Berani! Ini yang kita mahu berani mara ke hadapan. Saat ujian datang menghampiri kita, jangan tersungkur atau berundur, malah mara ke arahNya dan selesaikanlah.. Allah ada.


Madaba


          Kemudian, kami menuju ke Madaba. Suatu tempat yang menarik untuk dilewati. Madaba adalah Bandar yang terkenal dengan ‘bandar mozek’. Bandar Madaba adalah hasil peninggalan sejarah kaum Nasrani. Di Bandar ini juga terdapat sebuah gereja Yunani Orthodok yang bernama gereka St. George. Kami tidak masuk dalam gereja ini. Cuma dikhabarkan dalamnya terdapat lukisan mozaik di lantai gereja yang melukiskan peta holyland.


          Ketika kami sampai di sini, sudah masuk waktu Zohor. Makanya kami terus ke Masjid dalam Bandar ini. Seusai kami solat, semangat kami melangkah untuk meneruskan perjalanan.

         
Tiba-tiba, pagar masjid telah terkunci. Kami terperangkap. Kelam kabut semua orang. Beristighfar panjang sekejap. Bagaimana jika kita terperangkap dengan jahiliyah kita? Adakah kita cuba mencari pintu hijrah di situ?

 Akhirnya, terpaksa meminta pertolongan pelajar lelaki Malaysia dan dia telah meminta bantuan orang Arab. Nampak macam kelakar kan? Tapi itulah antara cabarannya, puas tawaf segenap penjuru masjid sebelum berjaya dikeluarkan.

          Perjalanan diteruskan dengan menziarahi Muzium di Madaba. Di sini, dapat dilihat banyak mozek yang dihias menjadi gambar. Dan gambar-gambar itu ada maknanya tersendiri.


Zoo Negara

          Ceria kami untuk ke sini, pelbagai tekaan dibuat bagi binatang apa ja yang ada di dalam zoo itu. Setelah masuk, ceria kami semakin hilang. Binatang yang ada dalam zoo tidaklah seperti khayalan kami. Maka, kami ambil keputusan untuk naik ala-ala rolley coaster yang berbentuk naga. Pada asalnya nak naik yang macam kerusi yang bulatannya semakin tinggi dan besar. Namun bila didapati banyak tahi burung di kerusi, niat kami terbatal.

          Sebelum kami naik benda itu, sudah diingatkan kepada pakcik yang mengawal benda itu agar separuh sahaja pergerakan naga itu. Pakcik itu setuju. Pada mulanya, ia bergerak amat perlahan. Lama kelamaan naga itu semakin tinggi dan tinggi. Kami semakin risau kerana keselamatan kami tidaklah begitu terjamin dengan hanya penghadang besi. Aku beristighfar panjang, terasa nak luluh jantungku. Neyli pulak menjerit..”pakcik..sudahlah, tak mau dah, kholas!”. Suara Haziyah dan Neyli. Namun, seolah tiada perubahan. Ada antara kami yang air mata mengalir di pipi. Allahu, berdebar jantung. Hanya Allah yang tahu. 

          Bagus juga naik Naga ni, terasa nak istighfar. Mungkin setelah banyak ketawa, suka ria, Allah ingin ingatkan kami agar tidak terus lalai.


IKEA


Destinasi terakhir kami pada hari ini. Semangat sangat nak masuk IKEA. Berada di dalam ini terasa dalam taman yang cantik. Jalan dan terus jalan, akhirnya semua penat dan mahu balik.

Tiba-tiba…ada yang bersuara..”jauh lagi ka? Kenapa semakin kita jalan, semakin masuk ke zon lain ni? Kat mana jalan keluar?”. Semua kebingungan. Akhirnya, semua teruskan melangkah dengan harapan jumpa penghujungnya. Rasa cukup terlalu lama melangkah, penat semakin terasa. Hayunan langkah makin laju walau hakikatnya penat demi mencari penghujungnya.

Cuba bayangkan andai kami berhenti? Adakah kami akan dapat jumpa penghujungnya? Jika kami berputus asa, kami akan berehat walhal jauh lagi perjalanan yang sepatutnya berehat setelah jumpa penghujungnya. Begitu juga dengan kita, dunia ini penuh mehnah. Andai kita cepat futur (tidak bersemangat), kita akan terdampar hanya di tengah jalan. Teruskan mara ke arahNya.

*********

Pembaca yang hatinya ingin kembali pada Allah,
          Apa-apa yang kita lakukan, carilah ibrahnya agar kita masih mengingatiNya. Benar, tadabbur alam itu satu wasilah menuju Syukur. Carilah wasilah untuk dekat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah, ayat 35:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya (wasilah) dan berjihadlah pada jalan-Nya supaya kalian mendapat keberuntungan”.
Wallahualam.


Monday, August 10, 2015

Hafalan Shalat Delisa


Hafalan Shalat Delisa

Sebuah filem adaptasi novel dari penulis Tere Liye. Filem ini menceritakan kisah seorang gadis cilik bernama Delisa yang merupakan anak bongsu di dalam keluarganya. Lagi? Lihatlah sendiri plot cerita ini yang pasti menyentuh hati.

Pengajaran filem
Jangan mudah iri hati
Saat mana kakaknya Delisa, Aisyah sedih kerana dia tidak mendapat rantai yang cantik seperti Delisa. Ibunya memujuk agar tidak mudah iri hati pada barang yang bukan milik kita. Semuanya milik Allah.

Berkongsi apa yang kita miliki dengan orang lain
Tiur, sahabatnya Delisa sudah tidak mempunyai ayah. Maka kata Delisa terhadap Tiur, “Ayahku, ayahmu jua”.
Coklat yang diberi oleh kakak Sophie kepada Delisa dengan banyak. Namun, saat Delisa mendapatkannya, dia terus membahagikan coklat itu untuk orang lain tanpa memikirkan untuk simpan saja padanya.
Saat mana kita memiliki sesuatu, berkongsilah dengan orang lain, kerana itu semua milik Allah.


Solat jemaah
Keluarga Delisa amat menitikberatkan solat jemaah. Ditunggunya semua adik beradik untuk solat jemaah.

Khusyuk & Fokus
Betapa Delisa khusyuk dalam solat sehingga apabila tsunami menerpa langsung tidak disedarinya. Fokus. Fikirannya satu.

Harapan kegembiraan
Ombak bisa musnahkan kegembiraan kita, tetapi tidak memusnahkan harapan kembali gembira.

Musibah mampu mengubah peribadi manusia
Umam yang dahulunya nakal, selepas musibah menjadi lebih baik.

Penghibur kala manusia sepi
Pak Acan walaupun sedang dilanda sepi namun masih cuba untuk menceriakan Delisa yang sedang dalam kesedihan.

Mujahadah untuk menghafal
Delisa memang mujahadah untuk menghafal. Sentiasa berusaha tanpa mengenal erti jemu dan lelah.

Ikhlas
Saat Delisa bertanya kepada Ustaz Rahman kenapa dia susah untuk melakukan sesuatu, jawab ustaz Rahman,
“Orang yang susah untuk melakukan sesuatu disebabkan tidak ikhlas, melakukan sesuatu bukan kerana Allah”.


Kematian
Siapa sangka di sebalik keceriaan, tsunami hadir melanda bumi. Kematian itu tidak mengenal masa dan tempat. Maka, bersiap sedialah.

Ibu mithali
Ibu Delisa yang sungguh memberi inspirasi. Diberikan kasih sayang Islam pada anak-anaknya. Akhlaknya yang menunjukkan Islam itu telah mempengaruhi akhlak anak-anaknya.


Pembaca yang hatinya ingin dekati Allah,
          Apa sahaja yang kita lihat, cubalah cari ibrahnya. Moga-moga apa yang kita lihat dan habiskan masa tidaklah dengan sia-sia. Malah, kita masih dalam konteks mengingati Allah.

Sekian.



Sunday, July 12, 2015

Hawa Nafsu & Pecahan Kaca


“Aduhai…! Celakalah engkau..! Dalam masa mudamu, cerminmu sudah retak.

Di dalam rotimu terdapat pecahan kaca, namun engkau menelannya jua tanpa menyedarinya.

Semuanya ini berlaku adalah kerana kerakusanmu, keinginan yang tak kunjung padam dan dorongan hawa nafsumu yang bergelojak serta hebatnya ketamakanmu.

Tidak berapa lama kemudian, pecahan kaca yang engkau makan tanpa sedar itu akan menghancurkan ususmu sehingga kamu binasa kerananya.”


(Syeikh Qadir Al Jailani dalam buku Menjadi Kekasih Allah)

Thursday, June 25, 2015

MATI


Lepaskan!..lepaskan!..”, ku menjerit sekuat hati.

Akhirnya sekerah tenagaku berjaya melepaskan diri. Aku berlari sehingga merasakan tidak cukup tanah. Tanpa berfikir yang lain..yang ada hanya..”LARI!”.

Malang tidak berbau, di hadapanku kini sudah ada yang menunggu. Aku terperangkap. Jantung berdegup kencang…hatiku bermonolog…

“Allah..apalah nasibku kali ini..bantulah aku Ya Allah…hanya Kau tempat ku bergantung harap..”.

Aku diacu pistol andai aku bergerak. Mulut dan hatiku terus berzikir. Mengharapkan pertolonganNya.

Alhamdulillah, aku terlepas. Aku terus berlari lagi. Ku redah hutan rimba yang menjalar ganas. Badan-badanku habis dicalar sembilu hutan. Darah yang mengalir sudah tidak terasa dek kerana hanya “LARI!” yang bermain di minda.

Tiba-tiba……

“Saya di mana?” soalku pada beberapa susuk tubuh di sebelahku tatkala mataku dibuka.

Masih belum ada jawapan.

“Mana penjahat yang kejar saya tadi? Saya takut..”, ujarku.

“Jangan takut..mereka dah tak ada..”, jawab salah seorang daripada mereka.

“Betul ka?”, aku menarik lafas lega.

“Ya..sebab kita dah MATI. Mereka (penjahat) tu berada di dunia, sedangkan kita di alam lain sudah.

Allah…………………………………….




“Tak mungkin! Baru tadi saya lari, macam mana saya boleh mati pulak?”, aku terkebil-kebil melihatnya, sungguh terperanjat.

Dia menunjukkan padaku pada satu skrin dan aku nampak di situ, aku sedang berlari dan sebuah kereta melanggarku. Aku mati!!!

Mataku berkaca. Mulutku terkunci buat seketika. Pada saat itu…aku sungguh tidak boleh terima yang aku sudah meninggal dunia. Aku sedih dan takut. Kataku pada salah seorang daripada mereka…

“Saya takut..saya belum cukup ibadah, minta maaf pada semua, taubat saya…banyak lagi yag saya nak buat..,” aku menangis teresak-esak.

“Dah tiada masa. Sebentar lagi akan dihisab. ..”, katanya.

************
Mataku terus terbuka. Mengucap panjang….

Astaghfirullah….MIMPI rupanya.

Tanpa sedar, ada titisan air mata yang mengalir. Mati. Aku bakal mati. Tak dapat ku bayangkan andai benar hidupku seperti dalam mimpi tadi tanpa sempat mengucap dan sebagainya.

Ibrah kisah ini…

1)    Segera bertaubat kerana kita tidak tahu bila ajal menjemput.

2)   Sentiasa tajdid syahadah walau tengah berjalan kerana kita tidak tahu cara kita mati bagaimana dan sempat tak nak mengucap.

3)   Sentiasalah minta maaf pada orang sekeliling walau rasa tiada kerana mungkin sebenarnya ada.

4)   Letakkan segala pergantungan benar-benar kepadaNya.

5)   Sentiasalah ingat Mati.

6)   Tambahkanlah ibadah kerana kita tidak tahu ibadah mana yang Allah terima.



7)   Tiada masa lagi untuk MAIN-MAIN, kena serius cari bekalan untuk akhirat.

Firman Allah s.w.t:

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” 
(QS Ali Imran [3]: 145)



“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika mereka memeroleh kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini adalah dari sisi Allah,’ dan kalau mereka ditimpa suatu bencana mereka mengatakan, ‘Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) dari sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun?” (QS an-Nisaa` [4]: 78)

Wallahu’alam.

*kisah ini hanya berkisar kisah penulis, tiada kena mengena dengan yang lain. Moga kita dapat muhasabah bersama-sama.

Saturday, June 20, 2015

Seorang Mukmin Dan Mukmin Yang Lain Ibarat Bangunan


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,
Para pembaca yang sedang meningkatkan imannya,

          Dalam kehidupan kita, kita dan orang sekeliling amat memerlukan antara satu sama lain. Tolong-menolong sesama kita amatlah dituntut dalam Islam. Terdapat hadis yang membicarakan tentang tolong-menolong sesama orang-orang yang beriman.
Mari kita lihat hadis tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah bersabda:

“Orang beriman untuk orang beriman yang lain adalah seumpama sebuah binaan. Sebahagiannnya memperkuatkan sebahagian yang lain.”

Kemudian Baginda s.a.w mempertautkan di antara jari-jari Baginda. Nabi s.a.w  sedang duduk, ketika datang seorang lelaki yang ingin bertanya (atau meminta sesuatu) atau datang seorang yang ingin menuntut sesuatu hajat, Baginda s.a.w pun menghadap kami dengan wajah Baginda, lalu bersabda:

“Berilah syafaat (kata-kata sokongan), nescaya kamu diberikan pahala. Allah akan melaksanakan melalui lidah Nabi-Nya apa yang Dia kehendaki.”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasaie)


Pengajaran Hadis

1)  Uslub Dakwah
Daripada tindakan Nabi s.a.w iaitu mempertautkan di antara jari-jari Baginda untuk memberi perumpamaan pertautan di antara sebahagian orang-orang yang beriman memperkuatkan yang lain. Di sini kita dapat faham bahawa sesiapa yang mahu menjelaskan kata-katanya dengan baik, hendaklah menggambarkan kata-katanya melalui gerak-gerinya. Ini akan memberi kesan yang lebih baik pada jiwa pendengar.

2)  Syafaat untuk menyingkap kesusahan daripada manusia
Berilah syafaat (kata-kata sokongan) untuk menunaikan hajat orang yang bertanya atau meminta sesuatu perkara yang baik, bukan perkara yang buruk, nescaya kamu akan diberikan ganjaran pahala. Ini mungkin boleh jadi penyebab kebaikan kepada orang yang diberikan syaafat.

3)  Kelebihan tolong-menolong
Kelebihan saling tolong-menolong dan saling menguatkan sesama mereka melalui amalan ini atas dasar kepentingan dan manfaat mereka seperti yang digambarkan Rasullah s.a.w iaitu orang beriman untuk orang yang beriman yang lain adalah seperti sebuah bangunan/binaan.

4)  Mengambil berat tentang golongan yang lemah dan menunaikan hajat mereka.
Pembesar/pemimpin haruslah mengambil berat kepada orang yang lemah kerana tidak semua orang dapat berjumpa dengan pemimpin dan memaklumkan hajatnya supaya pemimpin mengetahui keadaan sebenar dirinya.

Wallahu’alam.

Rujukan:
AL-ADAB (Terjemahan Kitab Himpunan Hadis Daripada Kitab al-Munkhatab Min as-Sunnah), Pustaka Salam Sdn. Bhd.