Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan
yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik
yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas
esok hari. Oleh itu, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah
orang yang dibenci.
Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik
yang berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa 3 biji, ada juga 5 biji dan
paling banyak 8 biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang mereka benci.
“Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana
sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita
akan tahu keputusannya,” beritahu Cikgu Maryam.
Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di
dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan
akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak
menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang
menangis, enggan meneruskan permainan.
Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam
sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang
perlu dibawa.
“Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana
ke mari selama seminggu?” tanya Cikgu Maryam.
Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan
itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi,
terpaksa tidur, makan, mandi , bermain dan menonton TV dengan bau busuk.
“Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan
perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari
hati dan kita akan membawanya ke mana sahaja kita pergi. Jika kamu sendiri
tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan
apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu,” tanya Cikgu
Maryam.
Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang
jauh-jauh perasaan benci dariapda membebani hidup. Kemaafan adalah yang
terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci.
Kesimpulannya, jangan letak pisang dalam beg.^_^
jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam
pisang yang makin membusuk, begitu juga hati.
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada
seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila
jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah ia adalah hati”.
(Hadis Riwayat Bukhari
& Muslim)