Tautan Ukhwah

Monday, February 4, 2013

KASIH Umar Al-Khattab kepada seekor burung

                                                                       

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar semua? Apa yang anda dah buat hari ni?

Jom istighfar jap..Astaghfirullahal’azim (3x)

Tahukah kalian?

Para sahabat sentiasa menyebarkan kasih sayang dalam kehidupan mereka. Syeikh Muhammad bin Abu Bakar Al-Ushfuri dalam karyanya, Al-Mawaizh Al-‘Ushfuriyyah mengemukakan kisah Umar Al-Khattab dengan seekor burung.

Jom buka minda dan jiwa menghalusi kisah ini.

**********
          Pada suatu hari, Umar pergi ke kota Madinah. Dalam perjalanan, beliau melihat seorang kanak-kanak menggenggam seekor burung pipit dan bermain-main dengannya.

          Umar berasa kasihan melihat burung itu lalu beliau memujuk kanak-kanak tadi menjual burung itu kepadanya. Kanak-kanak itu setuju dan sebaik sahaja Umar membeli burung itu, Umar pun melepaskannya.

 Selepas Umar wafat, ramai sahabat bermimpi berjumpa Umar. Dalam mimpi itu, terjadi dialog berikut:

Sahabat: Bagaimana Allah melayan kamu?

Umar : Allah mengampunkan saya dan membebaskan saya daripada seksaan.

Sahabat: Mengapa? Adakah kerana kamu seorang yang dermawan, adil dan zuhud?

Umar : Apabila kamu semua memasukkan saya ke dalam kubur, tinggallah saya sendirian di dalam kubur. Akal saya hilang dan anggota tubuh saya gementar ketakutan melihat mereka. Kedua-dua malaikat itu memegang tangan saya dan mendudukkan saya.

Kemudian saya mendengar seruan hatif iaitu suara tanpa rupa yang menyeru, “Wahai malaikat, tinggalkanlah hamba-Ku itu, kamu tidak perlu bertanya apa-apa kepadanya dan janganlah kamu menakutkannya. Aku mengasihi dan menyayanginya. Sesungguhnya, Aku membebaskannya daripada seksaan kerana sewaktu di dunia, beliau mengasihi seekor burung pipit. Jadi di akhirat, Aku pula yang mengasihinya.’.

********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Allah mencatatkan pahala bagi hamba-Nya yang berbuat kebaikan di bumi ini. Kita perlu sedar bahawa tugas kita di bumi ini antaranya adalah menyebarkan vitamin kasih sayang kepada semua makhluk. Bahkan kasih itu tidak terbatas kepada sesame manusia, malah kepada binatang juga.

Nabi pernah berkata:

“Orang-orang yang penyayang nescaya akan disayangi pula oleh Ar-Rahman (Allah). Maka sayangilah penduduk bumi nescaya penduduk langit pun akan menyanyangi kalian.”
(HR Ahmad)

          Di sinilah pentingnya kita menghayati Ar-Rahman dalam kehidupan kita sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Jom sebarkan vitamin kasih sayang kita kepada sesama mahkluk!

Wallahualam.

*Sumber kisah dipetik dari buku yang berjudul Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna yang dikarang oleh Sulaiman Al-Kumayi.

No comments:

Post a Comment