Tautan Ukhwah

Saturday, February 23, 2013

Hafsah Binti Sirin

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,
          Apa khabar dirimu wahai pejuang agama Allah? Jom istighfar jap, Astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim.

Jom kuatkan semangat untuk mendekati-Nya dengan baca sedikit biografi tokoh wanita hebat ini.

********
Hafsah Binti Sirin

Beliau dilahirkan pada zaman khalifah Usman bin Afan r.a. pada tahun 31 H.

Semenjak kecil, beliau sangat mencintai ilmu dan giat dalam menuntutnya.

Seorang ahli feqah dari golongan Ansar, pemimpin kaum wanita tabi’in, dikenali sebagai ahli ibadah, feqah, qiraat dan hadis.

Ilyas Ibnu Mu’awiyah berkata, :”Aku tidak mengenali seseorang yang lebih aku anggap utama selain dirinya”.

Hafsah telah mampu membaca Al-Quran pada usia 12 tahun. Gemar menasihati para pemuda untuk melakukan kebajikan.

“Wahai pemuda! Galilah potensi diri pada waktu kamu masih muda. Aku melihat masa muda sebagai masa beramal dan bekerja.”.



Tinggal di rumah selama 30 tahun dan tidak keluar dari tempat solat kecuali untuk tidur siang dan keperluan penting.

Meninggal dunia pada usia lebih dari 100 tahun.

********
Pembaca yang dirahmati Allah,
          Lihatlah betapa Hafsah ini sangat mencintai ilmu dan suka beribadah. Kita bagaimana? Solat lima waktu pun ada antara kita yang rasa membebankan. Allahuakbar.

          Mari kita banyakkan mencari ilmu. Pergi ke taman-taman Syurga (majlis ilmu) yang ada. Jangan lepaskan peluang mendapatkan doa dari malaikat. Mari banyakkan ibadah, supaya kita ada bekal di akhirat kelak.

Wallahualam.

(Sumber kisah: Buku Tokoh Wanita Unggul, Muhammad Ali Al-Allawi.

Monday, February 18, 2013

Ragu-Ragu Sama Ada Wuduk Batal Atau Tidak?

                                                                                   

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Alhamdulillah juga Allah masih memberi kita mata untuk melihat dan membaca.

Apa yang kita dah lakukan hari ini?
Astaghfirullahal ‘azim (3x)

Pembaca yang dirahmati Allah,

Pernah tak kita ragu-ragu tentang status wuduk? Batal atau tidak?

Kebanyakan daripada kita..jawapannya YA!

Persoalannya:

Apakah yang perlu kita lakukan apabila merasa ragu sama ada wuduk batal ataupun tidak?


Jawapannya:

Apabila seseorang rasa ragu berkenaan wuduk sebelum mendirikan solat, ia perlu dikembalikan pada asalnya iaitu sama ada beliau sudah berwuduk ataupun tidak.

Sekiranya beliau sudah berwuduk, bererti wuduknya masih ada.

Sebaliknya jika belum berwuduk, maka wuduk itu tiada.

Tetapi apabila datang syak dalam solat sama ada batal ataupun tidak, maka beliau perlu meneruskan solatnya sehingga nyata dan yakin batal wuduknya.


Buat pembaca yang disayangi Allah,
          Moga terus menambahkan ibadah & memperbetulkan ia supaya menjadi lebih baik dalam rangka untuk lebih mendekati Allah taala.

                                                 
Wallahualam.

*Jawapan dipetik dari buku Fikah Harian, Dato’ Dr.Haron Din.

Wednesday, February 13, 2013

Kebaikan Yang Tersembunyi Itu..

                                                                       

Kebaikan yang tersembunyi

di balik sesuatu yang anda benci

kadang-kadang lebih banyak

daripada yang ada dalam sesuatu yang anda sukai,

kerana

anda tidak mengetahui akibat yang akan terjadi.



Betapa banyak kenikmatan 

yang tersembunyi dalam kesusahan

dan

betapa banyak kebaikan 

yang tersembunyi di balik keburukan.

(Dr. ‘Aid Bin Abdullah Al-Qarni)

Friday, February 8, 2013

Al-Muhaimin (Maha Memelihara)

                                                               

Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hasyr, ayat 23:

Maksudnya: “Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah, dari apa yang mereka persekutukan.”

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Allah itu Maha Pelindung, Penjaga, Maha Pengawal serta Pengawas, iaitu memerintah dan melindungi sesuatu. Allah memelihara segala sesuatu apabila kita mohonkan pemeliharaan hanya kepada-Nya. Seharusnya, kita perlu merasakan bahawa adanya pemeliharaan Allah yang telah menjaga diri kita, keluarga dan harta kita.

          Namun, malang sekali, kebanyakan dari kita meletakkan pergantungan kepada selain Allah. Contohnya, ada yang sudah merasa selamat daripada pencuri apabila rumahnya telah dikunci. Ini salah kerana kunci hanya ikhtiar, sedangkan pemeliharaannya tetap perlu disandarkan kepada Allah Ta’ala.

          Orang-orang yang berada dalam pemeliharaan Allah, maka kehidupan akhiratnya akan selamat. Jadi, kita harus selalu memohon pemeliharaan kepada Allah seperti dari sifat malas, kikir, hutang, dan azab neraka. Malah Allah telah mengajarkan kepada kita kalimat Ta’awudz (‘Auudzu Billaahi Minas Syaithoonir Rojiim). Di sinilah kita memohon pemeliharaan kepada Allah dari godaan dan bisikan syaitan. Walaupun Allah itu Al-Muhaimin tetapi kita sebagai hamba harus selalu memohon. 

Nak bukti Allah itu Maha Memelihara?

Jom halusi kisah ini..

*********
          Seorang penyelidik dari Perancis iaitu Maurice Bucaille telah memeluk Islam setelah dia menyelidik jasad Firaun yang pernah tenggelam di dasar laut. Jasad Firaun tersebut kemudian diawetkan. Al-Quran itu berbeza dengan kitab suci agama lain iaitu dalam pengetahuan mengenai Firaun.

          Bucaille adalah ahli bedah yang terkenal di Perancis dan pernah menjadi ketua klinik bedah di Universiti Paris. Bucaille tertarik terhadap Islam ketika dia mendalami kajian biologi. Ketika mendapat kesempatan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Bucaille mengumpul seluruh kemampuannya untuk mencungkil misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir tersebut.

          Akhirnya, dia perolehi sisa-sisa garam yang melekat pada tubuh mumia tersebut yang menjadi bukti terbesar bahawa dia telah mati kerana tenggelam. Jasadnya segera dijadikan mumia yang diawetkan.

Penemuan tersebut masih menjadi pertanyaan kepada profesor. Bagaimana jasad tersebut lebih baik berbanding dengan jasad-jasad yang lain padahal dia dikeluarkan dari laut?

          Hal ini telah menjadi keraguan terhadap Maurice Bucaille. Dia berkata pada dirinya sendiri, “Apakah masuk akal? Manusia di depanku ini adalah Firaun yang akan menangkap Musa? Muhammad mengetahui hal itu, padahal kejadiannya ada sebelum Al-Quran diturunkan?” Profesor Bucaille tidak dapat tidur.

          Dia membaca kitab Taurat dan menemukan ayat yang berbunyi, “Air pun kembali, menutupi kereta, pasukan berkuda dan seluruh tentera Firaun yang masuk ke dalam laut di belakang mereka tidak tertinggal satu pun di antara mereka.”

          Kemudian Bucaille membandingkan dengan Injil dan ternyata dalam Injil juga tidak dibicarakan mengenai diselamatkannya jasad Firaun sehingga dia menjadi semakin menghairankan.

                                                      

********
          Allah s.w.t melalui sifat memelihara-Nya sengaja mengawetkan jasad Firaun untuk memberi pengajaran kepada orang-orang sesudahnya bahawa Al-Quran adalah benar-benar suatu bukti daripada Allah s.w.t. Peristiwa ghaib itu membuktikan bahawa kebenaran Al-Quran akan terbukti di segala zaman dan keadaan.

Pembaca yang setia,
          Lihatlah betapa Allah itu bersifat Al-Muhaimin (Maha Memelihara). Letakkan semua pergantungan kita kepada Allah. Percayalah bahawa Allah itu Maha Mengawasi. Jangan takut, jangan gusar, jangan risau, Allah bersamamu. Di mana jua kamu berada, yakinlah Allah sentiasa ada.

Wallahualam.

*kisah dipetik dari Kisah Inspirasi Asmaul Husna, Nurdalila Yusof.

Monday, February 4, 2013

KASIH Umar Al-Khattab kepada seekor burung

                                                                       

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar semua? Apa yang anda dah buat hari ni?

Jom istighfar jap..Astaghfirullahal’azim (3x)

Tahukah kalian?

Para sahabat sentiasa menyebarkan kasih sayang dalam kehidupan mereka. Syeikh Muhammad bin Abu Bakar Al-Ushfuri dalam karyanya, Al-Mawaizh Al-‘Ushfuriyyah mengemukakan kisah Umar Al-Khattab dengan seekor burung.

Jom buka minda dan jiwa menghalusi kisah ini.

**********
          Pada suatu hari, Umar pergi ke kota Madinah. Dalam perjalanan, beliau melihat seorang kanak-kanak menggenggam seekor burung pipit dan bermain-main dengannya.

          Umar berasa kasihan melihat burung itu lalu beliau memujuk kanak-kanak tadi menjual burung itu kepadanya. Kanak-kanak itu setuju dan sebaik sahaja Umar membeli burung itu, Umar pun melepaskannya.

 Selepas Umar wafat, ramai sahabat bermimpi berjumpa Umar. Dalam mimpi itu, terjadi dialog berikut:

Sahabat: Bagaimana Allah melayan kamu?

Umar : Allah mengampunkan saya dan membebaskan saya daripada seksaan.

Sahabat: Mengapa? Adakah kerana kamu seorang yang dermawan, adil dan zuhud?

Umar : Apabila kamu semua memasukkan saya ke dalam kubur, tinggallah saya sendirian di dalam kubur. Akal saya hilang dan anggota tubuh saya gementar ketakutan melihat mereka. Kedua-dua malaikat itu memegang tangan saya dan mendudukkan saya.

Kemudian saya mendengar seruan hatif iaitu suara tanpa rupa yang menyeru, “Wahai malaikat, tinggalkanlah hamba-Ku itu, kamu tidak perlu bertanya apa-apa kepadanya dan janganlah kamu menakutkannya. Aku mengasihi dan menyayanginya. Sesungguhnya, Aku membebaskannya daripada seksaan kerana sewaktu di dunia, beliau mengasihi seekor burung pipit. Jadi di akhirat, Aku pula yang mengasihinya.’.

********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Allah mencatatkan pahala bagi hamba-Nya yang berbuat kebaikan di bumi ini. Kita perlu sedar bahawa tugas kita di bumi ini antaranya adalah menyebarkan vitamin kasih sayang kepada semua makhluk. Bahkan kasih itu tidak terbatas kepada sesame manusia, malah kepada binatang juga.

Nabi pernah berkata:

“Orang-orang yang penyayang nescaya akan disayangi pula oleh Ar-Rahman (Allah). Maka sayangilah penduduk bumi nescaya penduduk langit pun akan menyanyangi kalian.”
(HR Ahmad)

          Di sinilah pentingnya kita menghayati Ar-Rahman dalam kehidupan kita sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Jom sebarkan vitamin kasih sayang kita kepada sesama mahkluk!

Wallahualam.

*Sumber kisah dipetik dari buku yang berjudul Menjadi wanita super dengan Asmaul Husna yang dikarang oleh Sulaiman Al-Kumayi.

Sunday, February 3, 2013

Jangan Pandang Remeh Dengan Istinjak!

                                                                                                                                             

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam ini. Selawat dan salam dilimpahkan buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, sahabat baginda, serta insan-insan yang meneruskan perjuangan baginda.

Astaghfirullahal a’zim (3x)

Pembaca yang dikasihi Allah,

Apa maksud istinjak?

Istinjak ialah menyucikan najis yang ada pada kemaluan seseorang selepas membuang air kecil ataupun air besar.

Hukumnya adalah wajib.

Setiap cecair yang keluar melalui kemaluan dan dubur selain daripada air mani adalah najis.

Take note:
·         Sekiranya hanya mengeluarkan angin sahaja, maka tidak wajib istinjak, bahkan makruh hukumnya. Tetapi apabila ia keluar beserta dengan basah ataupun lembab, maka disunatkan beristinjak.

Boleh ke istinjak menggunakan tangan kanan?
Kita dituntut menggunakan tangan kiri. Ijmak ulama mengatakan, adalah ditegah dengan tangan kanan. Jumhur ulama pula menghukumkan perbuatan itu sebagai makruh walaupun terdapat sebahagian ulama Zahiri menghukumkannya sebagai haram. Sebab ditegah beristinjak dengan tangan kanan kerana ia adalah anggota yang lebih mulia daripada tangan kiri dan ia digunakan bagi melakukan kerja-kerja yang baik seperti makan, minum, menulis, mengambil sesuatu dan sebagainya.

Bahaya/ keburukan tidak peka dengan istinjak.
          Perbuatan leka dengan istinjak adalah sikap yang buruk. Tambahan pula, ia bercanggah dengan nilai-nilai kesucian dalam Islam. Perbuatan ini, akan menyebabkan pelakunya diberi azab semasa di dalam kubur.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat.”
 Para sahabat bertanya: “Apakah dua perkara tersebut?”
Rasulullah s.a.w menjawab: “Orang yang membuang air besar (qada’ hajat) di tempat laluan orang ramai atau tempat mereka berteduh”.
(HR Muslim)

Daripada Abi Said r.a bahwa dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat qada hajat dalam keadaan terbuka aurat dan bercakap antara keduanya (ketika qada’ hajat) (kerana) sesungguhnya Allah murka terhadap perbuatan tersebut.”
(HR Abu Daud)

          Oleh itu, jangan memandang remeh, tidak peka dengan istinjak. Istinjak dapat menyihatkan badan. Islam amat mengambil berat soal kebersihan. Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan kekuatan tenaga yang ada dan juga melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk. Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya. 

Wallahualam.

Friday, February 1, 2013

Amrah Binti Abdurrahman- Wanita pintar

                                                                 

Assalamualaikum w.b.t,
          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda, sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat. Amin ya ilahal’alamin.

Jom istighfar jap..Astaghfirullahal’azim (3x)

Pembaca yang dirahmati Allah,
          Kenal tak Amrah binti Abdurrahman? Cepat teka..siapa dia?

*      Berasal dari kalangan Ansar, lahir & tinggal di Madinah.

*      Dikenali sebagai ahli feqah.

*      Anak murid Aisyah r.a. Membesar dalam didikan Saidatina Aisyah dan merupakan wanita alim, berpengalaman dan luas ilmunya.

*      Perawi yang dipercayai.

Qasim Ibnu Muhammad berkata kepada Ibnu Syihab, “Aku melihat pada dirimu terdapat semangat tinggi mencari ilmu. Apakah kamu bersedia aku tunjukkan wadah ilmu itu sendiri?”

Dia menjawab,”Ya, aku bersedia.” “Temuilah Amrah, sesungguhnya dia dididik oleh Aisyah.”

Kemudian Ibnu Syihab melanjutkan, “Kemudian aku mendatanginya dan aku seperti melihat laut yang tidak pernah kering.”.

                                           

Ibnu Saad menggelarnya, “Wanita pintar”.

Umar Ibnu Abdul Aziz berkata, “Tidak ada seorang pun yang lebih memahami hadis-hadis Aisyah selain Amrah”.

Pembaca yang disayangi Allah,

          Lihat betapa Amrah ini suka mempelajari ilmu? Luasnya ilmu pengetahuannya..Jadi, jangan kita rasa malas untuk mencari dan mendapatkan ilmu-ilmu Allah ini.

Dari Anas bin Malik r..a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap orang Islam.”
(Ibnu Majah dan lain-lainnya)

Dalam surah Al-Mujadilah, ayat 11:

“Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.”



Selamat membaca dengan lebih banyak..Perbaharui niat. Insyaallah yang baik, pasti ada jalan-Nya.

Wallahualam.