Tautan Ukhwah

Thursday, April 30, 2015

Demimu Sahabat


Demimu Sahabat,
Aku berpura senyum tatkala aku terasa denganmu,
Ingin sekali aku menjadi sahabat yang berlapang dada,
Ingin sekali aku buktikan aku terimamu seadanya.

Demimu sahabat,
Tatkala kau terasa denganku,
Aku rasa amat sedih kerana menyakitimu,
Mungkin aku tak mampu meminta maaf di hadapanmu,
Kadangkala hanya sepotong ayat ku kirimkan tanda pinta maafku.

Demimu sahabat,
Saat aku terasa denganmu,
Aku menangis teresak-esak,
Kerana aku khuwatir imanku yang tengah lemah.

Demimu sahabat,
Mungkin kadangkala kau rasa aku tidak mempedulikanmu,
Kau silap…
Dalam doa ku selitku namamu,
Mengharapkan kau baik-baik saja dalam perlindunganNya.

Demimu sahabat,
Saat kau diuji sakit,
Aku bukanlah jururawat yang terbaik untukmu,
Aku bingung memikirkan cara untuk membantumu,
Harapanku, moga kau cepat sembuh.



Demimu sahabat,
Walau aku tak mampu ukirkan senyumanmu,
Sekeras tenagaku ku cuba usahakannya,
Walau di belakang tabir kehidupanmu.

Demimu sahabat,
Jika aibmu dipamerkan dihadapanku,
Cuba ku pejamkan mata,
Istighfar memulakan peranan,
Lantas husnuzan itu hadir.

Sahabat…,
Kau dan aku masing-masing ada kelemahan,
Namun, yakinlah kita saling mujahadah.

Demimu sahabat,
Aku rela berjauhan denganmu,
Hanya kerana ingin kau bahagia,
Tanpa disakiti olehku.

Demimu sahabat,
Aku cuba memperbaiki diri,
Maafkanlah salah silapku dahulu,
Kerana aku hanya Manusia.

Siti Nabilah Azman,
11.50 am, Mu’tah, Jordan.




Wednesday, April 22, 2015

Pukulan Ombak Hati



Saat ini…hati berombak kuat. Mampu menenggelamkan kapal layar yang megah belegar di lautan. Mampu menjauhkan aku denganNya. Puas ku tenangkan ia. Namun, ia keras berdegil.

Apa yang harus ku lakukan lagi?

Lembaran ayat-ayatNya ditenung hingga pecah takungan air mata yang dihempas kuat oleh hatiku yang berombak ini. Tenang sekejap hati yang berombak ini. Deruan bunyinya cukup indah seolah mengkhabarkan padaku “Aku tenang bersama ayat-ayatNya”.

Senyuman terukir.

Aku menyangkakan hati ini terus damai. Rupanya, sangkaan aku melesit.
Pukulan ombak hati semakin sukar dikawal. Aku sakit. Sakit dan terus sakit dipukul badai.

Aku menangis dan mengadu padaNya. Malunya aku. Setiap malam, Allah menantiku untuk mengadu padaNya. Bersendirian bersamaNya. Aku? Jarang-jarang menyahut seruan itu.
Hinggakan pukulan badai makin mengganas, aku tidak tahan lagi. Malam yang sebelum ni dirasakan indah dibuai mimpi, menjadi masam seolah buah yang dimakan ulat.

Aku sahut seruan itu. Aku tidak tahan lagi dengan pukulan badai ini. Aku bangun dari tidur yang nyenyak untuk bersendirian bersamaNya, mengadu padaNya….

Sujudku…….

Ya Allah………….



Aku terkesima. Pukulan ombak tadi semakin berkurang. Malah seolah akan berhenti. Damai terasa. Satu kekuatan hadir.

Ujian yang kita hadapi tidaklah sehebat para nabi dan sahabat dahulu rasakan. Aku ingin mempunyai SABAR seperti mereka.

Pukulan badai tidaklah terus pergi. Kadang-kadang ia menghinggap jua. Namun, apa persediaan aku?

Kini, andai pukulan ombak hati hadir menjenguk lagi…aku mampu tersenyum. Kerana aku yakin Allah tahu aku mampu. Bukankah Allah sudah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 286:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”.

Kini, aku juga tahu cuba menenangkan pukulan ombak badai ini. Ya! Dengan mengingatiNya, hati akan menjadi tenang.

“hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)


Ya Allah…
Ampunilah semua dosa-dosaku…dan tuntunilah langkahku ini.

Malu aku dengan para Anbiya’ dahulu, doa mereka..didahulukan dengan mengakui keinsafan diri, mengakui kesilapan diri. Kita?

Kebiasaannya terus…

”Ya Allah..berilah aku…”

“Ya Allah..aku ingin cemerlang…bantulah aku..”

Bila kita nak merendah diri dengan Allah dulu dan kemudian baru meminta?

Astaghfirullah..astaghfirullah..astaghfirullah.

Pernah dulu, aku mendengar ceramah yang betul-betul menyentap hati. Kata ustaz, kita selalu rasa kita sangat-sangat perlukan pertolongan Allah, kekuatan dari Allah. Tapi benarkah kita bersungguh-sungguh atau hanya main-main?

Bukti kita main-main rasa macam  tu..

Dalam sehari, ada buat solat hajat tak minta kekuatan, pertolongan dari Allah?
Bangun malam tak mengadu padaNya, bersungguh-sungguh doa mengadu padaNya? Atau lebih memilih untuk terus lena?

Allahurabbi….

Tengok…betapa kita tidak bersungguh untuk meminta PERTOLONGAN itu?

Aku masih teringat kata-kata seorang Ustaz,

“kenapa kita susah nak bangun malam?”
“Sebab…SYURGA nampak jauh..”
“Sahabat dulu, SYURGA nampak dekat, sebab tu mudah nak jihad, bangun malam..sebab tak sabar nak jumpa Allah, Rasulullah..”

Astaghfirullah…Astaghfirullah…kita di mana? Benarkah Syurga nampak jauh?

Wahai hati yang tenang bersamaNya,

          Ayuh kita, persiapkan langkah menujuNya. Kembali bertaubat. Masih ada masa. Perkemaskan benteng untuk menghadapi PUKULAN OMBAK HATI yang menjauhkan kita daripadaNya. Jangan biar, kita tenggelam dan hanyut. Terus mara melangkah ke arahNya.

Wallahualam.


Saturday, April 18, 2015

Al-Bari' (Maha Mengadakan)


Bismillahirrahmanirrahim…

Jom kita lihat salah satu nama Allah iaitu Al-Bari’ (Maha Mengadakan) .

          Al-Bari’ berasal daripada akar kata al-bar-u yang bererti memisahkan sesuatu daripada sesuatu yang lain. Orang Arab biasa mengucapkan ‘bara’tu min al-maradh’  yang bermaksud ‘aku dipisahkan atau disembuhkan daripada penyakitku’. Daripada akar kata itu juga muncul kata bari’un yang biasa digunakan bagi merujuk pada orang yang terlepas daripada sesuatu tuduhan. Apabila sebahagian daripada satu ciptaan dipisahkan daripada sebahagian yang lain, orang yang melakukannya adalah bari’.

*********
Kisah Unta Mukjizat

Allah s.w.t menciptakan sesuatu itu sesuai dengan kehendakNya. Lihatlah bagaimana Allah mengeluarkan Nabi Salleh dari tuduhan kaumnya Tsamud dengan mengeluarkan unta dari batu.

Demi bukti mukjizat yang diminta kaum Tsamud, maka Allah mengirimkan seekor unta betina yang keluar dari sebuah gunung batu yang terbelah. Mukjizat utama dari unta itu adalah air susunya cukup diminum oleh semua sepanjang hari. Jika unta itu tidur di sesuatu tempat maka haiwan-haiwan lain akan menjauhkan diri daripada unta tersebut. Semua ini adalah bukti bahawa unta betina ini adalah satu mukjizat dari Allah s.w.t yang membuktikan kenabiah Nabi Salleh a.s.

**********
Tugas Kita

Melalui nama Al-Bari’ ini, Allah membekalkan kepada kita kecerdasan supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Jadi, tugas kita sekarang kita adalah mengamalkan sifat Al-Bari’ ini. Tidak ada alasan lagi untuk kita menyerah kalah dengan kesusahan dan masalah yang kita hadapi sekarang.

          Kita harus menghasilkan sesuatu yang baru untuk kemaslahatan umat. Jangan putus asa, buatlah apa yang kita mampu. Nabi Adam sendiri pernah kecewa sewaktu beliau disingkirkan dari Syurga kerana melanggar perintah Allah. Beliau terpaksa mengharungi perjuangan hidup di tempat yang asing baginya. Kemudian, Nabi Adam terdengar suara dari langit, “Aku memberimu tangan dan akal, bumi dan waktu. Berjuanglah!”


Wallahualam.

Tuesday, March 24, 2015

Hati Yang MATI

Bismillahirrahmanirrahim…

Apa khabar imanmu? Jawablah sejenak dalam benakmu.


Apa khabar hatimu? Masihkah elok seperti dipinjamkan kepada kita pada awal dahulu? 

Tahukan kalian, bila-bila masa tuannya akan mengambil balik daripada kita? Sudahkah kita bersedia? Allahurabbi…

Tahukah anda?
Hati yang tidak ada kehidupan di dalamnya adalah Hati yang MATI.

Ciri-ciri hati MATI:

-      Tidak mengenal Allah.
-      Tidak menyembah Allah.
-      Tidak mencintai Allah.
-      Tidak redha pada Allah.
-      Hidup di antara syahwat dan kelazatannya.

Hati Mati & Hawa Nafsu

Jika dia mencintai seseorang, dia mencintainya kerana HAWA NAFSU.

Jika dia marah, marahnya kerana HAWA NAFSUnya.

Hawa nafsunya adalah pemimpinnya, mabuk bersama hawa nafsu ini.

Hawa nafsunya membuat dia tuli dan buta selain kebatilan.


Duhai hati yang ingin kembali padaNya,

          Ayuh, banyakkan zikrullah agar sentiasa mengingatiNya. Meninggalkan zikrullah adalah punca awal kematian hati. Hatinya akan menjadi keras sehingga tidak boleh menerima nasihat dan agama. Nauzubillah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.”


Wallahualam.





Saturday, March 21, 2015

Telaah Tertipu


Rancak menelaah
Pena giat menari
Mata tajam pada warkah
Seolah menembusi setiap helaian.

Tiba-tiba
Telaah terhenti
Pena terus hilang
Mata dibanjiri air.

Tertipu!
Hati tidak fokus
Hilang entah ke mana
Deras air mata mengalir.

Astaghfirullah...
Tiada jalan lain
Hati harus dicari
Air mata perlu disekat.

Puas ku pujuk ia,
Kalamullah menjadi penenang,
Menggamit segenggam tabah,
Meyakini janjiNya yang pasti.

20/3/15
Mu'tah, Jordan.


Saturday, March 7, 2015

Beg UMRAH


“Beg dah rosak..dah koyak..”, monologku sendirian.

          Semakin hari, beg aku terlalu uzur sehingga aku tidak sanggup lagi membebaninya dengan sarat buku-bukuku. Maka aku bertekad untuk menggantikannya dengan yang lain.

          Nasib tidak menyebelahi aku. Sering saja aku tidak menemui beg yang sesuai dengan citarasaku. Puas aku mencari sekitar Mu’tah, Jordan. Lalu aku mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja tentang beg itu.

          “Praggghhhh!”

Zip begku terkoyak! Ternganga begku sehingga menampakkan isi di dalamnya. Dahiku berkerut. Cuba mencari solusi. Akhirnya, aku mengambil kerongsang di tudungku dan cuba menutupi ruang begku yang ternganga. Alhamdulillah, untuk seketika waktu, ia tampak gagah untuk menghabiskan sisa waktunya.

Akhirnya, lama kelamaan, ia semakin longlai. Begku seolah merayu untuk dilepaskan. Aku mengalah. Aku bulatkan tekad untuk ke Karak mencari pengganti begku. Namun, peneman tiada. Sahabat-sahabatku ada urusan yang lebih penting. Mereka ada memberi cadangan agar memcari beg pada waktu yang lain agar mereka dapat menemaniku.

Apakan daya, aku sudah tekadkan diri untuk mencari penggantinya hari itu juga. Aku hayunkan langkah untuk ke Karak seorang diri. Allah itu Maha Memahami dan Mengetahui, dihadirkannya seorang sahabat, Fazureen untuk menemaniku.

Turun naik juga kami di Karak. Akhirnya, aku terpaksa membuat pilihan. Terpaksa beli walau hatiku kurang setuju. Begnya yang nipis, namun cantik. Untuk sementara waktu, aku rela membelinya.

     

                        Beg yang ku beli di Karak. Ketika ini di Jabal Rahmah.

Sepanjang aku memakai beg itu, beberapa kali dijahit di kedai. Aku tahu, ia juga tidak akan lama denganku. Kesibukkanku telah mengabaikannya. Aku mengheretnya ke Umrah.

Malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan ke Umrah, tali begku terputus. Aku semakin rungsing. Mengharapkan jalan solusi. Akhirnya, Salimah menghulurkan kerongsangnya untuk digunakan sementara. Aku terima bantuannya.

Aku menyangkakan, aku sempat membeli beg di Jordan. Sekali lagi, aku diuji, seusai aku mengerjakan Umrah, ketika aku berjalan bersama orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari Masjidil Haram, satu lagi tali begku terputus. Allah……

Dalam begku, sarat dengan barang-barang. Akhirnya, aku terpaksa mencari beg baru sekitar luar masjid. Langkahku semakin longlai disebabkan tiada beg bergalas belakang. Akhirnya, Amira Hannan, dialah penemanku. Memberi semangat padaku dan rezekiku berjumpa dengan beg itu.

Air mataku bertakung, sungguh terharu.

“Beg umrah….”, monolog hatiku. Hatiku tenang. Aku menoleh ke Masjidil Haram sambil mengukirkan senyuman yang yang sukar diungkap. Hannan menolongku memindahkan barang-barangku untuk dimasukkan ke dalam beg baru.



Dengan berat hatinya, aku memasukkan beg lama yang ku beli di Karak, ke dalam sebuah tong sampah. Langkahku semakin gagah untuk meneruskan saki baki hariku di Mekah. Beg ini, sentiasa bersamaku, memudahkan urusanku di Mekah. Walhal sebelum ini, aku beria-ria tidak mahu beli di mekah, dan mahu beli di Jordan. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengetahui.

Benarlah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216:

“..tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

*Percayalah..Allah itu lebih Maha Mengetahui. Yakinlah..
Di sebalik kesukaran itu ada kemudahan.



Wednesday, March 4, 2015

Orang Yang Berilmu & Terpelajar


Orang yang bangun beribadat di tengah malam,

Hamba yang patuh,

Yang sanggup menumpukan segenap perhatian dan mengerah tenaga,

Menyerahkan jiwa raga, di tengah malam,

Orang yang sanggup mencampak selimut di tengah kesejukan malam,

Sanggup membuka mata di tengah bunyi dengkur untuk menengadah ke langit,

Mohon setitik air rahmat dan pengampunan dari Tuhannya,

Sambil berlinang air matanya mengenang bahana azab hari akhirat,

Suaranya mendayu-dayu mengharapkan rahmat Ilahi.

Orang berilmu yang mempunyai sifat seperti inilah sebenarnya orang yang berilmu dan orang terpelajar.


(As-Syahid Syed Qutb )