Tautan Ukhwah

Saturday, March 7, 2015

Beg UMRAH


“Beg dah rosak..dah koyak..”, monologku sendirian.

          Semakin hari, beg aku terlalu uzur sehingga aku tidak sanggup lagi membebaninya dengan sarat buku-bukuku. Maka aku bertekad untuk menggantikannya dengan yang lain.

          Nasib tidak menyebelahi aku. Sering saja aku tidak menemui beg yang sesuai dengan citarasaku. Puas aku mencari sekitar Mu’tah, Jordan. Lalu aku mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja tentang beg itu.

          “Praggghhhh!”

Zip begku terkoyak! Ternganga begku sehingga menampakkan isi di dalamnya. Dahiku berkerut. Cuba mencari solusi. Akhirnya, aku mengambil kerongsang di tudungku dan cuba menutupi ruang begku yang ternganga. Alhamdulillah, untuk seketika waktu, ia tampak gagah untuk menghabiskan sisa waktunya.

Akhirnya, lama kelamaan, ia semakin longlai. Begku seolah merayu untuk dilepaskan. Aku mengalah. Aku bulatkan tekad untuk ke Karak mencari pengganti begku. Namun, peneman tiada. Sahabat-sahabatku ada urusan yang lebih penting. Mereka ada memberi cadangan agar memcari beg pada waktu yang lain agar mereka dapat menemaniku.

Apakan daya, aku sudah tekadkan diri untuk mencari penggantinya hari itu juga. Aku hayunkan langkah untuk ke Karak seorang diri. Allah itu Maha Memahami dan Mengetahui, dihadirkannya seorang sahabat, Fazureen untuk menemaniku.

Turun naik juga kami di Karak. Akhirnya, aku terpaksa membuat pilihan. Terpaksa beli walau hatiku kurang setuju. Begnya yang nipis, namun cantik. Untuk sementara waktu, aku rela membelinya.

     

                        Beg yang ku beli di Karak. Ketika ini di Jabal Rahmah.

Sepanjang aku memakai beg itu, beberapa kali dijahit di kedai. Aku tahu, ia juga tidak akan lama denganku. Kesibukkanku telah mengabaikannya. Aku mengheretnya ke Umrah.

Malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan ke Umrah, tali begku terputus. Aku semakin rungsing. Mengharapkan jalan solusi. Akhirnya, Salimah menghulurkan kerongsangnya untuk digunakan sementara. Aku terima bantuannya.

Aku menyangkakan, aku sempat membeli beg di Jordan. Sekali lagi, aku diuji, seusai aku mengerjakan Umrah, ketika aku berjalan bersama orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari Masjidil Haram, satu lagi tali begku terputus. Allah……

Dalam begku, sarat dengan barang-barang. Akhirnya, aku terpaksa mencari beg baru sekitar luar masjid. Langkahku semakin longlai disebabkan tiada beg bergalas belakang. Akhirnya, Amira Hannan, dialah penemanku. Memberi semangat padaku dan rezekiku berjumpa dengan beg itu.

Air mataku bertakung, sungguh terharu.

“Beg umrah….”, monolog hatiku. Hatiku tenang. Aku menoleh ke Masjidil Haram sambil mengukirkan senyuman yang yang sukar diungkap. Hannan menolongku memindahkan barang-barangku untuk dimasukkan ke dalam beg baru.



Dengan berat hatinya, aku memasukkan beg lama yang ku beli di Karak, ke dalam sebuah tong sampah. Langkahku semakin gagah untuk meneruskan saki baki hariku di Mekah. Beg ini, sentiasa bersamaku, memudahkan urusanku di Mekah. Walhal sebelum ini, aku beria-ria tidak mahu beli di mekah, dan mahu beli di Jordan. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengetahui.

Benarlah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216:

“..tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

*Percayalah..Allah itu lebih Maha Mengetahui. Yakinlah..
Di sebalik kesukaran itu ada kemudahan.



3 comments:

  1. Apabila Allah tidak memberi sesuatu yang baik kepada kita, sebenarnya DIA mahu memberi yang terbaik. Kadang-kadang kita hairan mengapa terjadi sesuatu yang tidak baik kepada kita, adakah DIA zalim terhadap hamba-Nya. Tidak! Sebenarnya yang tidak baik itulah yang terbaik untuk kita, jika kita mengerti. Mungkin kita hanya mengetahui ianya terbaik buat kita setelah sekian lama ia berlalu yakni apabila tiba masanya...DIA Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahurabbi..benar ustaz. Betul-betul muhasabah. Jazakallah.

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete