Tautan Ukhwah

Thursday, June 25, 2015

MATI


Lepaskan!..lepaskan!..”, ku menjerit sekuat hati.

Akhirnya sekerah tenagaku berjaya melepaskan diri. Aku berlari sehingga merasakan tidak cukup tanah. Tanpa berfikir yang lain..yang ada hanya..”LARI!”.

Malang tidak berbau, di hadapanku kini sudah ada yang menunggu. Aku terperangkap. Jantung berdegup kencang…hatiku bermonolog…

“Allah..apalah nasibku kali ini..bantulah aku Ya Allah…hanya Kau tempat ku bergantung harap..”.

Aku diacu pistol andai aku bergerak. Mulut dan hatiku terus berzikir. Mengharapkan pertolonganNya.

Alhamdulillah, aku terlepas. Aku terus berlari lagi. Ku redah hutan rimba yang menjalar ganas. Badan-badanku habis dicalar sembilu hutan. Darah yang mengalir sudah tidak terasa dek kerana hanya “LARI!” yang bermain di minda.

Tiba-tiba……

“Saya di mana?” soalku pada beberapa susuk tubuh di sebelahku tatkala mataku dibuka.

Masih belum ada jawapan.

“Mana penjahat yang kejar saya tadi? Saya takut..”, ujarku.

“Jangan takut..mereka dah tak ada..”, jawab salah seorang daripada mereka.

“Betul ka?”, aku menarik lafas lega.

“Ya..sebab kita dah MATI. Mereka (penjahat) tu berada di dunia, sedangkan kita di alam lain sudah.

Allah…………………………………….




“Tak mungkin! Baru tadi saya lari, macam mana saya boleh mati pulak?”, aku terkebil-kebil melihatnya, sungguh terperanjat.

Dia menunjukkan padaku pada satu skrin dan aku nampak di situ, aku sedang berlari dan sebuah kereta melanggarku. Aku mati!!!

Mataku berkaca. Mulutku terkunci buat seketika. Pada saat itu…aku sungguh tidak boleh terima yang aku sudah meninggal dunia. Aku sedih dan takut. Kataku pada salah seorang daripada mereka…

“Saya takut..saya belum cukup ibadah, minta maaf pada semua, taubat saya…banyak lagi yag saya nak buat..,” aku menangis teresak-esak.

“Dah tiada masa. Sebentar lagi akan dihisab. ..”, katanya.

************
Mataku terus terbuka. Mengucap panjang….

Astaghfirullah….MIMPI rupanya.

Tanpa sedar, ada titisan air mata yang mengalir. Mati. Aku bakal mati. Tak dapat ku bayangkan andai benar hidupku seperti dalam mimpi tadi tanpa sempat mengucap dan sebagainya.

Ibrah kisah ini…

1)    Segera bertaubat kerana kita tidak tahu bila ajal menjemput.

2)   Sentiasa tajdid syahadah walau tengah berjalan kerana kita tidak tahu cara kita mati bagaimana dan sempat tak nak mengucap.

3)   Sentiasalah minta maaf pada orang sekeliling walau rasa tiada kerana mungkin sebenarnya ada.

4)   Letakkan segala pergantungan benar-benar kepadaNya.

5)   Sentiasalah ingat Mati.

6)   Tambahkanlah ibadah kerana kita tidak tahu ibadah mana yang Allah terima.



7)   Tiada masa lagi untuk MAIN-MAIN, kena serius cari bekalan untuk akhirat.

Firman Allah s.w.t:

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” 
(QS Ali Imran [3]: 145)



“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika mereka memeroleh kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini adalah dari sisi Allah,’ dan kalau mereka ditimpa suatu bencana mereka mengatakan, ‘Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) dari sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun?” (QS an-Nisaa` [4]: 78)

Wallahu’alam.

*kisah ini hanya berkisar kisah penulis, tiada kena mengena dengan yang lain. Moga kita dapat muhasabah bersama-sama.

Saturday, June 20, 2015

Seorang Mukmin Dan Mukmin Yang Lain Ibarat Bangunan


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,
Para pembaca yang sedang meningkatkan imannya,

          Dalam kehidupan kita, kita dan orang sekeliling amat memerlukan antara satu sama lain. Tolong-menolong sesama kita amatlah dituntut dalam Islam. Terdapat hadis yang membicarakan tentang tolong-menolong sesama orang-orang yang beriman.
Mari kita lihat hadis tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah bersabda:

“Orang beriman untuk orang beriman yang lain adalah seumpama sebuah binaan. Sebahagiannnya memperkuatkan sebahagian yang lain.”

Kemudian Baginda s.a.w mempertautkan di antara jari-jari Baginda. Nabi s.a.w  sedang duduk, ketika datang seorang lelaki yang ingin bertanya (atau meminta sesuatu) atau datang seorang yang ingin menuntut sesuatu hajat, Baginda s.a.w pun menghadap kami dengan wajah Baginda, lalu bersabda:

“Berilah syafaat (kata-kata sokongan), nescaya kamu diberikan pahala. Allah akan melaksanakan melalui lidah Nabi-Nya apa yang Dia kehendaki.”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasaie)


Pengajaran Hadis

1)  Uslub Dakwah
Daripada tindakan Nabi s.a.w iaitu mempertautkan di antara jari-jari Baginda untuk memberi perumpamaan pertautan di antara sebahagian orang-orang yang beriman memperkuatkan yang lain. Di sini kita dapat faham bahawa sesiapa yang mahu menjelaskan kata-katanya dengan baik, hendaklah menggambarkan kata-katanya melalui gerak-gerinya. Ini akan memberi kesan yang lebih baik pada jiwa pendengar.

2)  Syafaat untuk menyingkap kesusahan daripada manusia
Berilah syafaat (kata-kata sokongan) untuk menunaikan hajat orang yang bertanya atau meminta sesuatu perkara yang baik, bukan perkara yang buruk, nescaya kamu akan diberikan ganjaran pahala. Ini mungkin boleh jadi penyebab kebaikan kepada orang yang diberikan syaafat.

3)  Kelebihan tolong-menolong
Kelebihan saling tolong-menolong dan saling menguatkan sesama mereka melalui amalan ini atas dasar kepentingan dan manfaat mereka seperti yang digambarkan Rasullah s.a.w iaitu orang beriman untuk orang yang beriman yang lain adalah seperti sebuah bangunan/binaan.

4)  Mengambil berat tentang golongan yang lemah dan menunaikan hajat mereka.
Pembesar/pemimpin haruslah mengambil berat kepada orang yang lemah kerana tidak semua orang dapat berjumpa dengan pemimpin dan memaklumkan hajatnya supaya pemimpin mengetahui keadaan sebenar dirinya.

Wallahu’alam.

Rujukan:
AL-ADAB (Terjemahan Kitab Himpunan Hadis Daripada Kitab al-Munkhatab Min as-Sunnah), Pustaka Salam Sdn. Bhd.


Wednesday, June 10, 2015

WANITA : Antara Al Quran dan Realiti Muslimin

Ringkasan Buku " WANITA : Antara Al Quran dan Realiti Muslimin"
Penulis buku :Rashid Al-Ghanushi


Biodata penulis

-Presiden Gerakan An-Nahdhah Islam di Tunisia
Termasuk antara 100 orang  yang berpengaruh di dunia

Ringkasan buku

Penulis menggariskan di dalam muqaddimah berkenaan uslub penulisan yang diambil. Beliau sedar akan wujudnya banyak sumber-sumber  yang menerangkan tentang dalil-dalil Al-Quran yang berkaitan dengan wanita. Justeru , beliau mengambil langkah untuk mengumpulkan kebanyakan dalil-dalil yang penting di dalam sebuah buku untuk memudahkan rujukan. Selain itu, beliau turut menggabungkan beberapa pendapat ulama2 yang masyhur berkenaan isu-isu yang melibatkan wanita sama ada secara langsung atau tidak.

Secara amnya, penulis suka untuk menjelaskan posisi Islam yang sebenar  dalam  menjelaskan status antara jantina. Kita sedar bahawa Islam datang sebagai  sebuah  agama yang menyeru kepada kesatuan dan keadilan. Tiada  istilah siapa yang lebih hebat di sisi Allah S.W.T melainkan dengan amal dan ibadat yang soleh. Islam meraikan manusia tanpa mengira jenis, jantina  mahupun warna kulit. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujurat , Ayat 13:

“Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Justeru, kedudukan wanita di dalam masyarakat seharusnya tidak dipandang remeh dan perlu ditunaikan haknya sepertimana seorang lelaki. Bahkan taraf wanita di sisi Islam lebih mulia sehingga didatangkan beberapa surah yang berkaitan dengannya secara am, dan ada sebuah yang khas tentang wanita , iaitu Surah An-Nisa’.

Puratanya, terdapat hampir 250 ayat yang disebut di dalam Al-Quran yang menyentuh tentang perihal wanita itu sendiri. Sebagai contoh, Ayat 1 Surah An-Nisa’. Tafsirannya, kita faham bahawa Hawa diciptakan daripada Nabi Adam, dan daripada mereka membiaklah keturunan manusia itu sendiri sehinggalah ke hari ini. Namun, terdapat beberapa takwil ulama berkenaan uslub ayat tersebut. Pertama, dikatakan perkataan ‘min’ atau daripada ini bukan menunjukkan bahawa Hawa dicipta daripada Nabi Adam, namun apa yang jelas di sini adalah mereka keduanya diciptakan dari ‘jins’ atau ‘maddah’ wahidah , iaitu jenis yang sama. Kedua, disebut bahawa asbab ayat ini diturunkan adalah sebagai ‘khithob ‘ atau seruan kepada sebuah qabilah Arab . Dan yang terakhir, barulah datang pendapat bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam.

Begitu banyak pendapat bahawa seorang hawa diciptakan daripada tulang rusuk, namun penulis menolak pendapat ini atas dua sebab. Yang pertama kerana tiada dalil qati'e bahawa penciptaan Hawa adalah daripada tulang rusuk Adam. Kedua kerana secara logiknya, jika Allah mampu untuk menicptakan Adam daripada tanah, maka apakah faedah atau keperluan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam.

Dalil yang mengatakan bahawa perempuan dicipta daripada tulang rusuk memang ada daripada Hadis, namun perkataan من yang dimaksudkan bukanlah bermaksud daripada tulang rusuk, akan tetapi sifat perempuan itu seperti tulang rusuk, perlukan kelembutan untuk menyantuninya kerana sifatnya yang lembut. Pun begitu, terdapat keresahan siapakah Abul Basyar (Bapa Manusia) sekiranya Hawa dan Adam sama-sama diciptakan daripada tanah. Penulis berpendapat, ia masih lagi Adam a.s.


Melalui tafsiran Surah Al-Hujurat sebentar tadi, tiada tafdhil (kelebihan) yang diberikan kepada sesuatu jantina melainkan jika dilihat dari sudut amal ibadat kepada Allah S.W.T. 



Pembentang  turut menyelitkan di  sini pendapat Ustaz Nouman Ali Khan yang tegas membantah ‘force marriage’ dalam kalangan wanita. Ini kerana mengikut kejadian asal, seorang lelaki yang perlu untuk mencari pasangannya, dan wanita itu sendiri berhak untuk membuat keputusan dan perlu ada ketegasan dalam pendirian. Pihak keluarga juga tidak boleh sewenangnya menggunakan kuasa autoriti dan merasa terbeban sekiranya seorang wanita itu belum berkahwin pada usia yang sepatutnya.

Menyentuh ayat yang lain, Allah S.W.T menjelaskan setiap kejadian di muka bumi ini didatangkan secara berpasang-pasangan. Contohnya, malam dan siang, langit dan bumi juga lelaki dan perempuan. Namun, mengikut pendapat Syed Qutb di dalam tafsirnya, penciptaan wanita daripada tulang rusuk  lelaki adalah salah satu perkara Israiliyat kerana tidak terdapat dalil yang jelas di dalam Al-Quran  mengenai isu ini dan hanya terdapat di dalam hadis Nabi dan kitab turath Yahudi.

Seterusnya, melalui ayat Al-Quran ‘wala taziru waziratun wizra ukhra’ ..Allah menolak pendapat Kristian yang menganggap bahawa mereka harus menanggung dosa Nabi Adam yang dibuang ke dunia seterusnya turut menolak pendapat bahawa Nabi Adam dibuang kerana Hawa. Ini kerana mengikut ayat Al-Quran, keduanya dihasut oleh Syaitan untuk ingkar dengan perintah  Allah S.W.T dan kesalahan bukan terletak  pada Hawa semata-mata. Dalil jelas menunjukkan Nabi Adam, bersungguh-sungguh memohon taubat kepada Allah S.W.T atas kesalahan yang dibuat sepertimana di dalam Surah Al-Baqarah,ayat 37. Ibrahnya, sebagai seorang manusia, kita harus sentiasa memohon ampun atas setiap dosa yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Pada misalan yang lain ,kita juga boleh merujuk pada kisah-kisah wanita yang disebut di dalam Al-Quran seperti kisah isteri Nabi Luth, kisah Asiah, kisah Ratu Saba’ dan kisah isteri Abu Lahab. Namun apa yang lebih tertarik oleh pembentang ialah kisah Maryam yang padanya terlakar satu surah khusus yakni Surah Maryam. Maryam merupakan seorang wanita yang dalam sejarah Islam. Beliau yang pada awal kelahirannya sudah cukup menceritakan keistimewaan yang Allah pilih untuknya. Diceritakan bahawa ibunya, pada awal mengharapkan kehadiran seorang putera namun saat lahirnya Maryam , dia yakin bahawa setiap takdir daripada Allah itu ada hikmah yang tersembunyi. Diberinya nama Maryam yag bermaksud abidah supaya dia terus menjadi hamba Allah yang taat dan soleh. Sesungguhnya kehadiran Maryam sebagai seorang puteri adalah lebih mulia berbanding harapan ibunya untuk mendapatkan sorang anak lelaki seperti ayat Al-Quran, ‘wa laisa azzakaru kal unsa’. Maryam datang daripada keluarga yang mulia yang disebut di dalam Al-Quran kisahnya iaitu kisah Ali Imran.

Uniknya persolan yang timbul di dalam ayat 28 Surah Maryam, berkaitan pertalian antara kisah Nabi Harun dan kisah Maryam di mana keduanya datang dari zaman dan latar belakang tempat yang berbeza. Kisah Maryam berlaku sekitar kawasan Palestin manakalan kisah Nabi Harun di Mesir. Penjelasannya adalah kerana Maryam dan Nabi Harun merupakan antara nama yang penting dalam kalangan Bani Israel, seterusnya menjelaskan bagaimana keduanya dinisbahkan pada kedudukan yang satu walaupon tedapat beberapa perbezaan di situ.



Amnya, kisah Maryam berkisar bagaimana beliau mampu untuk melahirkan seorang zuriat tanpa pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Sebagai seorang Islam, kita yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa, maka Dia mampu untuk menjadikan Nabi Isa tanpa seorang ayah sepertimana terciptanya Nabi Adam hanya dari segumpal tanah. Maryam agak tertekan dengan kejadian ini kerana takut memberi fitnah pada diberinya namun dengan sifat tawakal kepada takdir dan ketentuan Maha Esa, dia akur. Dia dijaga oleh keluarga saudaranya Nabi Zakaria dan isteri,  bersesuaian dengan dalil Al-Quran di dalam Surah Maryam.

Atas keistimewaan dan mukjizat yang ada padanya, wujud beberapa pendapat yang mempersoalkan tentang kenabian seorang wanita di dalam Islam atau ‘nubuwwatinnisa’. Antara bukti akan kebenaran ini, adalah ayat Al-Quran, Surah Ali Imran yang ke-42, di mana Allah S.W.T menjelaskan bahawa Dia menjadikan Maryam dari zat yang suci dan memuliakannya dari sekalian wanita sama ada pada zaman tersebut atau seluruh zaman. Selain itu, Allah juga memuliakan Maryam  dengan menurunkan kepadanya wahyu dengan perantaraan Jibril , seterusnya mengangkat tarafnya seperti Nabi-nabi yang lain. Maryam juga dipilih melahirkan seorang Nabi yang mulia tanpa seorang bapa.

Namun, terdapat beberapa pendapat lain yang menolak persoalan ini. Antara hujah yang dikemukakan adalah dalil Al-Quran Surah Yusuf ayat yang ke 109. Ayat ini jelas menyebut bahawa Allah memilih kaum lelaki sebagai seorang Nabi dan Rasul. Ibnu Tayyimah pula dari satu sisi, secara kontranya menyebut bahawa kalimah Ar-rijal ini bukan merujuk kepada lelaki kerana lelaki dirujuk sebagai az-zukur manalaka ar-rijal di sini adalah sifat kelakian. Selain itu, pendapat mengenai perjumpaan dengan Jibril juga ditolak, sahabat Nabi sendiri pernah  bertemu dengan Jibril namun tidaklah diangkat sebagai seorang nabi.Tambahan,ibu Nabi Ishak juga diberi mukjizat untuk mengandung walaupun pada usia yang tua. Kesimpulannya , tidak dinafikan bahawa kedudukan Maryam di sisi Allah S.W.T itu sangat mulia dan walaupun sekiranya benar dia diutuskan sebagai nabi, mungkin beliau diutuskan sebagai Nabi tanpa risalah namun tetap ditaklifkan untuk melahirkan seorang Nabi yang mulia. Wallahu A’lam.

Kini ,zahir pada kita bahawa wanita itu bukanlah sejenis yang makhluk yang lemah tanpa sebarang keistimewaan,yang hanya perlu akur pada setiap tindak tanduk lelaki sambil membiarkan diri dipandang remeh. Allah S.W.T sendiri mengakui akan kehebatan wanita sehingga beberapa kali menyebut tentangnya di dalam kitab suci Al-Quran. Melalui ibrah di dalam Surah Yusu, wanita ini sejenis makhluk yang mempunyai keinginan yang  tinggi dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat yang diingini. Kisah Ratu Balqis juga membongkar kepada kita akan kebolehan seorang wanita sebagai seorang pemimpin yang hebat bukan sahaja pada keluarga malah pada Negara. 

Propaganda mengenai 9 nafsu dan 1 akal juga bukanlah sesuatu  yang perlu dipandang sensitif kerana kita perlu yakin bahawa setiap manusia itu dianugerahkan kelebihan yang tersendiri dan kita tidak boleh menghukum seseorang atas kelemahannya untuk cemerlang dalam bidang-bidang yang tertentu sepertimana orang lain. Bukti Al-Quran, ayat ke 14 dalam Surah Ali Imran yang membuktikan wanita sebagai salah satu fitnah dunia juga perlu dijadikan sebagai satu motivasi untuk kita menzahirkan diri sebagai seorang muslimah solehah yang disebut sebagai salah satu perhiasan dunia oleh Rasulullah S.A.W. Kita yakin pada zaman ini, bukan sahaja wanita yang terdedah kepada fitnah malah kaum lelaki juga tidak lari dari tohmahan-tohmahan dunia yang semakin berbisa dan menular.

Konklusinya, kedudukan wanita di dalam Islam adalah salah satu bukti bahawa Islam adalah satu agama yang syumul, adil dan mulia. Wanita mungkin sinonim dengan sifat yang lemah namun padanya ada kekuatan emosi dan spiritual yang kuat tanpa dapat kita duga had sempadannya.

Sekian. Wallahualam.

Penulis Ringkasan: Ibtisam Binti Alauddin
Editor : Siti Nabilah Binti Azman
Pembentang buku: Siti Nur Hashinah Binti Rostam



Saturday, June 6, 2015

Ratu Saba' Balqis


Biodata Balqis

·         Ratu Balqis atau Bal’amah adalah hasil pernikahan Raja Basyrakh, yang bergelar Hadzhadz dengan wanita dari bangsa jin.

·         Balqis menjadi orang ketujuh-belas yang memerintah kerajaan Saba’. Ratu Balqis mewarisi takhta daripada ayahnya.

·         Memerintah kerajaan besar iaitu negeri Saba’ dan Ma’rib pada masa kehidupan Nabi Sulaiman AS. Firman Allah s.w.t dalam Surah Saba’, ayat 15:

“Sungguh, bagi kaum Saba’ ada tanda (kebesaran Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu di dua buah kebuh di sebelah kiri..”.

·         Walaupun ada yang mengingkari apabila Balqis menjadi pemimpin, namun kerana kecerdikan Balqis, mereka tewas dan Balqis memimpin negaranya dengan aman damai.

·         Kebesaran Ratu Balqis
Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Naml ayat 23:
“Sungguh, ku dapati ada seorang perempuan yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar.”

Kisah Ratu Balqis tersebut dikhabarkan oleh Alquran dalam Surah an-Naml ayat 16 sampai 44.


Peribadi Balqis

1.  Menerima anugerah agung dari Allah. (Surah An-Naml:24)

2.  Menyebut surat yang ditulis Atas Nama Allah sebagai surat yang mulia. (Surah An-Naml:29-30)

3.  Pemimpin yang berjiwa demokratik dan mengutamakan prinsip musyawarah. (Surah An-Naml:32)

4.  Daya ingatan yang kuat. Mampu mengenali seluruh kelengkapan kerajaannya dan mampu menangkap tujuan pertanyaan Nabi Sulaiman. (Surah An-Naml:42)

5.  Menerima kebenaran dari Allah. (Surah An-Naml:44)

6.  Pemimpin yang mampu mensejahterakan anak negerinya. (Surah Saba’:15)


Sumbangan Balqis

ü  Pemimpin yang meraikan suara orang bawahannya sebelum bertindak untuk menyelamatkan negara.

ü  Negarawan yang bijaksana. Berusaha merumuskan langkah-langkah untuk menyelamatkan anak negerinya. (Surah An-Naml :34-35)


ü  Balqis telah menyelamatkan negaranya dengan berkata kepada Nabi Sulaiman, bahawa mereka menyerah diri. (Surah An-Naml :42)

ü  Demi melindungi rakyatnya menjadi budak yang hina, Ratu Balqis mengirim utusan kepada Sulaiman sambil membawa hadiah. (Surah An-Naml:34-35)


ü  Ikon Kepimpinan Sepanjang Zaman. Kaum wanita tidak selamanya lemah dan tertindas.


Pengajaran dari kisah Balqis

v  Pemimpin harus berjiwa demokratik.
Contoh: Ketika Balqis menerima surat kiriman Nabi Sulaiman yang mengandungi seruan supaya dia tunduk kepada Allah, dia dengan pantas mengumpulkan para pegawainya untuk bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi anak negerinya. (Surah An-Naml:32)

v  Pemimpin harus berjiwa negarawan.
Contoh: Balqis ingin menyelamatkan anak negerinya dengan mendatangi Nabi Sulaiman dan berkata menyerah diri dan inilah bukti Balqis telah menyelamatkan rakyatnya dari kebinasaan. (Surah An-Naml:42)

v  Pemimpin harus memiliki iman yang teguh.
Contoh: Dia mahu dan mampu beriman setelah melihat bukti kebesaran Allah. (Surah An-Naml:44)


Rujukan

1)    Al Quran Karim

2)   Pemuda Pemudi Hebat Yang Tersurat Dalam Al-Quran, Misbah Em Majidy, JUNDI Resources.