Tautan Ukhwah

Tuesday, April 29, 2014

Emak Ingin Naik Haji

                                                     


Filem “Emak Ingin Naik Haji” adalah sebuah filem Indonesia. Filem ini dikeluarkan pada tahun 2009. Filem ini diambil daripada sebuah penulisan yang dikarang oleh Asma Nadia.

Watak utamanya “emak” dan anaknya Zain. Filem ini mengisahkan tentang “emak” yang telah pun berusia dan kehilangan suami. “Emak” amat teringin  untuk mengunjungi Baitullah. Setiap masa, “emak” merindukan untuk sampai ke sana. Namun, di sebalik itu “emak” terpaksa bergantung harap kepada wang simpanannya yang masih belum mencukupi untuk menjejaki Baitullah.

“Emak” merupakan seorang wanita yang solehah, sangat baik hati dan tulus hatinya. Kehidupannya dibantu oleh anaknya, Zain. Mereka bergantung hidup pada jualan kuih dan lukisan-lukisan yang dilukis oleh Zain.

Apabila saban hari, Zain melihat emaknya yang merindukan untuk ke Baitullah. Namun, kesempitan dan kesusahan dalam mengumpulkan wang telah memberi tekanan padanya.

Sehinggakan pada suatu masa, Zain seolah hampir putus asa dan cuba melakukan sesuatu yang ditegah dalam Islam. Namun, dengan kesan tarbiyah, Zain membatalkan hasratnya.

Kesan tarbiyah dalam kehidupan yang dialami Zain membuatkan dia tidak berhenti berusaha membahagiakan emaknya. Dia sanggup berkorban demi melihat impian emaknya tercapai.

Apabila Allah hadiahkan kegembiraan bagi “emak” dan Zain, Allah menguji secebis keimanan Zain dan emaknya. Namun, betapa kuatnya hati “emak” menghadapi semua itu dengan penuh tabah. Semuanya diserahkan pada Allah.


Jujur saya katakan, kisah ini sarat dengan ibrah. Bukalah hati tatkala melihatnya, pasti hatimu tersentuh dan mungkin ada mutiara jernih yang akan berguguran. Jom tonton! Menonton sambil mengingatiNya. InsyaAllah. Wallahualam.

                                         

Membaca Ayat-Ayat Al-Quran Semasa Haid

                                          


Fuqaha’ sepakat wanita haid, nifas, dan janabah boleh berzikir seperti bertasbih, tahlil, tahmid dan lain-lain dan boleh membaca ayat-ayat Al-Quran yang telah dijadikan zikir seperti doa naik kenderaan. Juga boleh membaca Al-Quran dalam hati tanpa menggerakkan lidah.

Fuqaha’ berselisih pendapat mengenai membaca Al-Quran. Mengikut jamhur fuqaha’ (Imam Syafie, Hanbali dan Hanafi), wanita haid, nifas, dan berjunub haram membaca Al-Quran. Hujahnya adalah hadis riwayat Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wanita haid dan junub tidak harus membaca awal sedikit daripada Al-Quran”.

Ibnu Taimiyah dan Imam Malik berpendapat pula mereka boleh membaca Al-Quran. Dalam hal ini, pandangan jamhur fuqaha’ lebih kuat. Oleh itu, kita hendaklah berpegang dengan pandangan mereka. Kecuali dalam keadaan masyaqah (kesukaran) seperti seorang hafizah atau guru Al-Quran bolehlah berpegang dengan mazhab Imam Malik dan Ibnu Taimiyah.


Rujukan: Majalah JOM, no 3, Soalan Fiqh,  oleh Dr.Anisah Binti Abdul Ghani, Konsultan Jabatan Fiqh Dan Usul, Universiti Malaya.

Sunday, April 6, 2014

Janji Iblis

                                                                              
Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A’raf, ayat 11-18:

Ayat 11:

“Dan sungguh, Kami telah menciptakan kamu, kemudian membentuk (tubuh)mu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat, “Bersujudlah kamu kepada Adam,” maka mereka pun sujud kecuali iblis. Ia (iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud.”

Ayat 12:

“(Allah) berfirman, “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?”

(Iblis) menjawab, “Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Ayat 13:

“(Allah) berfirman, “Maka turunlah kamu darinya (Syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina”.

Ayat 14:

“(Iblis) menjawab, “Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan”.

Ayat 15:

“(Allah) berfirman, “Benar kamu termasuk orang yang diberi penangguhan waktu.”

Ayat 16:

“(Iblis) menjawab , “Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus,”

Ayat 17:

“Kemudian pasti aku datangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Ayat 18:

“(Allah) berfirman, “Keluarlah kamu dari sana (Syurga) dalam keadaan terhina dan terusir! Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka yang mengikutimu, pasti akan Aku isi neraka Jahanam dengan kamu semua.”

*****

Pembaca yang dikasihi Allah,

          Nampak tak permainan Iblis laknatullah? Ayat 16, Iblis ada cakap nak halang kita dari jalan-Nya yang lurus. Kemudian dari pelbagai sudut, ia akn datang kepada kita dan cuba menggoda.

          Nah! Haruskah kita tertewas dengan bisikan-bisikannya yang membawa kita jauh daripada Allah? Iblis bersungguh-sungguh nak kita ikut jejaknya. Jadi, nak tak nak, kita harus kuatkan benteng keimanan kita. Jika terlompong benteng itu, maka peluang kepada iblis sungguh luas.

          Allah pun ada memberitahu yang barangsiapa yang mengikuti iblis, pasti Dia isi neraka Jahanam dengan orang-orang ini. Allahurabbi…Tidak gentarkah kita dengan ayat ini? Sanggupkah ke nerakanya?

          Astaghfirullah…tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Pintu taubat sentiasa terbuka. Allah itu Maha Pengampun. Masih ada masa. Jangan tangguh untuk bertaubat. Istighfarlah dengan penuh kerap kerana kita tidak tahu dalam kehidupan seharian kita, masa bilakah kita membuat kesilapan.

          Sebenarnya, nasihat ini lebih kepada diri sendiri. Jom kita sama-sama terus mara melangkah mengejar redha & cinta-Nya. Wallahualam.

Wednesday, April 2, 2014

Cara Jadi Kaya

                                                                        
Pernah suatu ketika, penghulu orang miskin mengadu kepada Rasulullah s.a.w:

Wahai Rasulullah, orang kaya sudah memborong semua pahala dan tingkat yang tertinggi serta kesenangan yang abadi.”

Rasulullah s.a.w bertanya:

Mengapa demikian?”

Mereka berkata:

Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak mampu.”

Rasulullah s.a.w bersabda:

Sukakah kamu, aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan  yang dapat mengejar mereka, dan tidak ada seorang yang lebih utama daripada kamu melainkan yang berbuat seperti perbuatanmu?”

Mereka menjawab:

Baiklah, wahai Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w bersabda:

Bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas sembahyang 33 kali.”

Kemudian mereka kembali dan berkata:

Wahai Rasulullah, saudara kami orang kaya mendengar perbuatan kami, maka mereka melakukannya juga.”

Rasulullah bersabda:

Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.”

(HR Bukhari dan Muslim)

*********

          Lihatlah betapa orang-orang fakir miskin itu mengadu kepada Rasulullah bahawa mereka tidak mampu untuk sedekah, memborong pahala seperti orang-orang kaya. Namun, Rasulullah memujuk dengan memberitahu amal perbuatan yang dapat mengejar orang-orang kaya itu.

          Oleh yang demikian, jika kita ada peluang untuk bersedekah, walau sedikit, ambillah peluang itu. Jangan ingat, kita tidak kaya, maka kita tidak mampu untuk bersedekah. Maksud sedekah itu luas kerana sedekah itu dalam pelbagai bentuk. Hakikatnya kita kaya jika betul-betul tahu bagaimana untuk jadi orang yang kaya yang bukan sahaja pada zahirnya, malah batinnya jua.

Jom jadi kaya dengan borong pahala! Dan buat amal perbuatan yang dapat mengejar orang kaya.

Bertasbih – Subhanallah

Bertakbir – Allahukabar

Bertahmid – Alhamdulillah

Jom borong pahala!

Wallahualam.