Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan
Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda.
Astaghfirullahal’azim (3x)
Pembaca yang dirahmati Allah,
Sebagai
manusia, semestinya kita mempunyai banyak kelemahan dalam diri. Setiap orang
mempunyai nafsu. Semua nafsu itu mesti dilawan, ditentang dan dimusuhi.
Barangsiapa yang ingin memperbaiki
dirinya, maka hendaklah dia berlatih untuk memerangi nafsunya, sehingga dirinya
bebas daripada cengkaman kejahatan dan pengaruh nafsu kerana seluruh nafsu itu
mengajak kepada kejahatan.
Apabila nafsu mampu ditundukkan, maka
seluruh nafsu itu akan menjadi baik, yakni kebaikan yang berada di dalam
kebaikan. Sehingga jadilah ia menurut semua ketaatan dan meninggalkan semua
kejahatan dan kederhakaan.
Susahkah untuk mengawal nafsu?
Ya..memang susah kerana ia memerlukan kesabaran yang
tinggi. Sabar apabila nafsu mengajak melakukan kejahatan, sabar menangani nafsu
dan macam-macam lagi.
Allah memberi pertolongan kepada orang yang sabar
bersama-Nya di dunia tanpa batas, sementara di akhirat pula ia akan
dianugerahkan dengan kenikmatan tanpa batasan.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Zumar, ayat 10:
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang diganjarkan
dengan pahala mereka tanpa batasan”.
Jika
kamu mengharapkan agar Allah s.w.t sentiasa memandang kepadamu, maka
sibukkanlah dirimu dengan melakukan ketaatan kepada-Nya, bersabar bersama-Nya,
redha dengan semua ketentuan-Nya.
Ingatlah…
Seorang mukmin yang mempunyai keyakinan, tidak akan
taat kepada hawa nafsunya, dirinya dan syaitannya.
Merendahkan dunia dan mencari penghidupan akhirat.
Apabila dia sudah menghasilkan kehidupan akhirat, maka
ia akan meninggalkan dunianya, bertemu dengan Tuhannya Yang Maha Perkasa lagi
Maha Agung.
Dia ikhlas beribadah kepada-Nya dalam semua waktunya.
Wahai pemuda/i yang dikasihi Allah,
Mari
pelihara semangat untuk selalu melawan godaan hawa nafsu dan syaitan. Seorang
mukmin sentiasa berperang dengan mereka.
“Dalam peperangan itu, topi perisainya sentiasa berada
di atas kepalanya, pedangnya sentiasa terhunus, dan punggung kudanya tidak akan
pernah terlepas daripada tempat duduk.”
Mari jauhkan daripada hawa nafsu.
Hawa nafsu mestilah dikendalikan, jangan sampai dia
yang mengendalikan kita.
Muhasabah sebentar..
Selagi ada waktu, mari kita bertaubat. Taubat itu
adalah pusat kekuasaan dan menyesal dengan segala perbuatan. Tanggalkanlah baju
kederhakaan dengan taubat yang tulus. Sementara malu kepada Allah itu adalah
hakikat yang sesungguhnya, bukan kiasan dan bukan pula hanya ucapan bibir mulut
semata-mata.
Pembaca yang setia,
Penulis
juga masih banyak kelemahan dan kekurangan. Penulis sebenarnya menulis perkara
dia atas setelah tersentuh membaca buku yang berjudul Menjadi Kekasih Allah,
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Allahurabbi..bagus buku ini, beli dan bacalah
jika terjumpa. Jadi, penulis berhajat ingin berkongsi dengan pembaca serba
sedikit dan ingin mengajak kita bersama-sama menginsafi kelemahan diri ini.
Moga kita sentiasa kuat melawan hawa nafsu yang mengajak kita melakukan
kemungkaran.
Aamin Ya Allah.
Wallahualam.