Tautan Ukhwah

Thursday, June 28, 2012

Berbakti Kepada Ibubapa Menyebabkan Dikabulnya Doa

                                                                         

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar imanmu? Masih seteguh batu karang di lautan?

Astaghfirullahaladzim..

Hari ni dah telefon makayah? Sihat ke mereka? Bagi yang belum, telefonlah segera..andai tidak mahu ada penyesalan.

Bagi yang sedang bercuti di rumah, atau sekarang berada di rumah, berbaktilah kepada ayah & ibu anda. Tahu tak kenapa?

Sebab….
Berbakti kepada ibubapa boleh menjadi salah satu faktor penting yang menyebabkan dikabulkan doa. Ini adalah suatu amal soleh yang agung bagi seseorang muslim. Orang yang berbakti kepada ibubapanya sentiasa mendapat keuntungan dan disukai oleh semua orang. Allah s.w.t juga sengaja membuat hati mereka menyukainya.

Umar bin Khattab r.a. mengatakan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Akan datang kepada kamu Uwais bin Amir yang merupakan salah seorang bala bantuan dari Yaman. Dia dari Murad kemudian Qarn. Dia menghidap penyakit kusta kemudian sembuh kecuali tempat sebesar wang dirham pada tubuhnya. Dia mempunyai seorang ibu. Dia sangat berbakti kepadanya. Jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memenuhinya. Jika kamu boleh memintanya membaca istighfar untukmu maka lakukanlah…”                                                                (HR.Muslim, no 2542)

*********
Siapa Uwais Bin Amir?

           Uwais Al-Qarni tidak dikategorikan sebagai sahabat, malah dia tidak pernah pun berjumpa dengan Rasulullah s.a.w walaupun beliau hidup di zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi beliau telah diiktiraf oleh baginda Rasulullah s.a.w sendiri sebagai penghuni langit.
          Uwais berpenyakit sopak, badannya putih. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga sampai dewasa. Walaupun dia sopak tetapi seorang yang soleh dan terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil.

“Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Bijaknya Uwais..

          Uwais mendapat ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil untuk anak lembu di atas sebuah ‘Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi. Dia selalu dukung anak lembu itu naik dan turun Tilal. Kadang-kadang dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit. Namun, dengan kelakuannya ini, ramai orang cakap dia gila.

          Selepas 6 bulan, berat lembu yang asalnya 20kg sudah menjadi 100kg. Uwais masih mendukung lembu tersebut naik dan turun bukit malah otot tangan dan badan Uwais semakin kuat.

          Setelah 8 bulan, telah sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatan itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya, dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya.

          Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia mendukung ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah mengerjakan tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan mudah sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang ke Yaman, ibunya bertanya:

“Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”

Ibunya bertanya lagi, “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais menjawab, “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk Syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga akan masuk Syurga.”

Ibunya berkata lgi, “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

Uwais berkata, “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Taala.”
Ibunya menambah, “Kalau nak masuk Syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa: 
                                                   
Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”.

          Allah s.w.t menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit siling di tengkuknya. Tanda tompk putih kekal ada pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w kepada Umar dan Ali.

“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais Al-Qarni”.

*********
          Allahurabbi…betapa Allah menaikkan darjat Uwais bin Amir sehinggakan Saidina Umar pun meminta dia tolong memohon ampun untuk diri Saidina Umar.

          Jadi, selagi kita mempunyai masa, ayuhlah kita berbakti kepada ibubapa yang masih ada. Jangan sia-siakan mereka. Moga-moga doa kita dimakbulkan Allah dengan redha-Nya. Wallahualam.

Saturday, June 23, 2012

Rindu pada Tokwan...

Bukan rumah tokwan sebenar..tapi bentuk rumah lebih kurang
                                                                             

Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, segala puji bagi Pemilik Semesta Alam ini. Dari sudut bilik, fikiranku terfokuskan kepada tok wanku di kampung. Dua hari lepas..

“Assalamualaikum..mak sihat? Kat mana nie?” ku menelefon mak.

“Waalaikumussalam..alhmdulillah, mak sihat. Mak kat rumah tok Perak ni. Kak..tok wan dah tak macam dulu..tok wan dah tak boleh bangun, dah kena pakai pampers” jawab mak kepada soalanku tadi.

Terkesima ku kesetika.

Hati sebak..”Allah……….”

Tiba-tiba hati ini begitu risau andai apa-apa berlaku kepada tok wan. Dah lama ku tak rasa kehilangan. Risau andai ku tak mampu menerima sebarang kehilangan tika ini. Lupakah dirimu, wahai nabilah?

Allah telah berfirman dalam surah al-munafiqun, ayat 11:

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

**********
“Tok wan….!!!”, sambil ku menangis ketakutan.

“pasai apa cucu wan nie?”

“Tengok la kat jari kaki Nabilah…ada benda gigit..takut!”

“Allah….pacat jer la…” sambil tok wan membuang pacat di jari kakiku.

“Tue la..wan dah pesan, jangan ikut wan ke bendang..tapi nabilah nak ikut gak..hmm…”

Akhirnya..ku hanya hadiahkan seukir senyuman buat tok wan.

*********
“Tok…nabilah nak makan tauge…emm..mee..macam-macam lagi, boleh?”

“Boleh…satg tok suruh wan beli bahan-bahan kat kedai..”

Tok pun memberitahu wan bahan apa yang hendak dibeli.

Wan menjawab..”Baik…”sambil senyum.

Hingga kini, ku asyik meniru gaya wan cakap sampaikan mak & tok gelak.

Namun..kini..lidah wan tidak mampu bertutur lagi..rindu sangat2 pada suaramu.

**********
Suatu hari, sedang ku bersiap..membelek-belek tudung, ku rasakan pelik kenapa wan asyik memandang. Kemudian, sebelum keluar rumah, ku capai sarung kaki dan kenakan pada kakiku.

Tiba-tiba, wan menunjuk ‘good’ dengan jarinya.

                                                 
Subhanallah..sebak sangat-sangat..

Wan…nabilah ingat pesan wan..akan ku pelihara diri ini.

**********
“Tok..nak dengar tak nabilah baca buku ni?”

“Tajuk apa buku tue?”

“Jagalah Allah, Allah menjagamu”

“Bacalah..tok dengar..”

Ku terus membaca dengan teliti dengan penuh nada & intonasi.

Tiba-tiba….ku terdengar sedu wan.

Wan menundukkan kepalanya dan menangis.

Hatiku hiba. Sungguh lembut hatimu wahai wan yang kukasihi…

*********
“Bismillahirrahmanirrahim………..”

Ketika ku membaca Al-Quran di bilik, tiba-tiba wan menghendap dari luar bilik.

Ku beri senyuman kepadanya. Wan terus duduk di sisiku sambil mendengar bacaanku dan senyum. Hatiku senang melihat wan tersenyum bahagia. Wan..rindu mendengar suaramu mengalunkan ayat-ayatNya….

*********
Tok wan yang ku sayangi,
Walau diri ini berjauhan denganmu,
Dirimu sentiasa berada di hatiku,
Jasamu kepadaku tak akan ku lupakan,
Terima kasih selalu memberiku kasih sayang.

Tokwan…
Tunggu Nabilah balik raya ni,
Rindu sangat pada wan,
Nabilah doakan wan sentiasa dalam kasih sayang-Nya,
Kaulah wan yang terbaik buatku,
Ku menyayangimu kerana ALLAH.

*Coretan ini hanyalah berkisarkan hidup penulis. Hanya ingin berkongsi. Sayangilah mereka selagi mereka ada. Doakan untuk tokwanku yang sedang sakit. Jzkk.

Thursday, June 21, 2012

Sinar Syaaban

                                                           

Apa erti Syaaban?

Syaaban = berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

          Apabila Rasulullah s.a.w datang, beliau mengekalkan nama itu sehinga sekarang. Rasulullah s.a.w telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabatnya.

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?”

Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

                                                   

          Aisyah r.a meriwayatkan bahawa “Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa melainkan pada bulan Syaaban.”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

          Aisyah r.a juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan begitu banyak melainkan pada bulan Syaaban, sesungguhnya beliau berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan ia bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah Taala tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah s.a.w ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat baginda akan sentiasa melakukannya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

          Dalam pada itu, terdapat larangan berpuasa selepas dari Nifsu Syaaban atau pertengahan bulan Syabaan berdasarkan hadis berikut:

          Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syabaan maka janganlah kamu berpuasa.

          Amalan sunahnya ialah berpuasa di awal sehingga ke hujung Syabaan manakala berpuasa di hujung Syabaan kerana ingin menyambungnya dengan Ramadhan adalah ditegah seperti dalam hadis di atas.

Apakah rahsia menunaikan ibadah di bulan Syabaan?

          Abdullah bin Amru menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nifsu Syabaan lalu diampunkan hamba-Nya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturrahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh. (Riwayat Imam Ahmad)

                                         

          Syabaan elok dijadikan sebagai saat untuk bertaubat dan memohon daripada Allah agar dikurniakan sifat istiqamah melaksanakan ibadah.

Wallahualam.

         






Sunday, June 17, 2012

5 Tip Mengeratkan Persahabatan

                                                                           

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,

Astaghfirullahal’azim (7x)

          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang paling mulia dan semua keluarga serta para sahabatnya sekalian.

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Rasulullah s.a.w mengaitkan kasih sayang kepada seorang sahabat adalah merupakan salah satu ciri kesempurnaan iman dan boleh menentukan kedudukan agama seseorang.

Rasulullah s.a.w bersabda:

 “Seseorang itu adalah di atas agama sahabatnya, maka hendaklah kamu lihat (kenal pasti) dengan siapakah kamu bersahabat.”
(Hadis hasan riwayat Imam Tarmizi)

 Sabda baginda s.a.w lagi :

“ Tidak beriman seseorang kamu hingga ia kasih kepada saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.”
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


          Mari kita lihat beberapa tip yang boleh dijadikan panduan supaya kita dapat mengeratkan persahabatan dan mengubah penampilan diri agar dapat menarik minat orang lain untuk bersahabat dengan kita.

                                            

1) Tunjukkan sikap ambil berat terhadap orang lain.

Kita hendaklah sentiasa bersedia untuk meringankan beban sahabat. Pertolongan meskipun ringan tetapi sangat bermakna akan memberikan kesan kepada hati orang yang ditolong.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Orang yang paling disukai oleh Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia”
Penyair Arab juga mengatakan:

“Berbuatlah kebaikan kepada manusia kerana dengannya kamu akan menundukkan hati mereka. Selama mana manusia merasakan dirinya adalah hamba maka itulah ihsan.”

2) Selalu memberi senyuman

Senyum dapat memberikan ketenangan kepada orang yang melihatnya. Jadi, rajin-rajinlah memberi senyuman kepada orang sekeliling anda. Senyum seindah suria yang membawa cahaya, membawa bahagia kepada orang. Dengan senyuman, ia dapat meyemarakkan lagi ikatan persahabatan.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Senyumanmu kepada kawan adalah merupakan sedekah.”
(Hadis Hasan)

Ibnu Al-Harith berkata:

“Aku tidak pernah melihat orang yang paling murah senyumnya dari Rasulullah s.a.w”

3) Jadilah pendengar yang baik

                                                       

Anda seharusnya menunjukkan tindak balas ketika berbual agar tidak menimbulkan rasa kecil hati dalam dirinya. Misalnya, anda seeloknya, memandang mata sahabat dan pastikan body language anda menunjukkan anda betul-betul ingin tahu luahan hatinya. Seterusnya, jangan menyampuk jika tidak perlu. Terlampau banyak menyampuk akan membantutkan sahabat untuk meluahkan masalahnya kepada kita.

4) Penampilan yang kemas

Seseorang yang mempunyai penampilan yang kemas dan bersih, pasti akan menimbulkan minat kepada orang lain untuk mendekati kita.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tidak akan masuk Syurga orang yang ada rasa sombong di dalam hatinya. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana pula jika seseorang itu suka memakai pakaian yang elok dan kasut yang baik? Jawab Baginda s.a.w: Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

5) Bersalam dan berjabat tangan

Ucapan salam adalah merupakan sebaik-baik ucapan yang menggambarkan ketulusan hati kita untuk menyuburkan persahabatan apabila bertemu dengan seseorang. Ucapan salam bukan sahaja enak didengar malah ia mengandungi makna yang sangat indah iaitu harapan agar seseorang sentiasa berada di dalam keamanan, keselesaan dan kesejahteraan.

Jom amalkan. Wallahualam.