Tautan Ukhwah

Saturday, December 3, 2016

Hati telah dipujuk


Bismillah…
          Setelah sekian lama diri menyepi dari blog yang usang ini. Kini kembali cuba menggerakkan jari jemari menari atas keyboard ini. Bukan lupa terhadap blog. Namun, masa sangat mencemburui. Mungkin blogku ini juga mencemburui dengan pengajianku kini. Masaku kepada blog sehingga terabai malah hanya fokus kepada pengajian ku kini.

Pembaca yang sangat dikasihi Allah,
          Di dalam kehidupan ini, banyak perkara yang sangat menuntut kita membuat pilihan. Kadangkala kita terasa tertekan malah tidak sanggup pun untuk membuat apa-apa keputusan. Pilihan ku jua kini yang membawa diri ini ke alam pengajian ini sekali lagi. Ramai yang bertanyakan:

“macam master kat sana?”
“best tak?”

          Apa yang boleh ku katakan…”sangat memerlukan mujahadah yang kuat”…….

          Mujuhadah apa? Antaranya ialah mujahadah untuk kurangkan masa tidur. Zaman master ini sangat sibuk. Assignment dan tugasan yang sangat banyak itu sangat memerlukan pembacaan yang berganda. Kadangkala waktu tidur hanya berlalu tanpa kita sedar. Mata pula berpura-pura kuat demi menemani hati yang sedang membara untuk siapkan tugasan. Tidur di hadapan laptop itu biasa. Tidur berpelukan buku-buku itu juga biasa.

          Saat kesibukan itu menyelubungi diri, satu saat kita akan terasa lelah. Terasa hiba. Terasa ingin berhenti belajar. Terasa ingin bercuti. Terasa ingin lari dari dunia nyata ke dunia fantasi. Tika itu terjadi, setitis-titis butiran permata jatuh dan membasahi helaian kertas yang sedang direnung. Saat terasa…

”aku tak mampu”..
“aku dah tak larat..”

          Tika itu juga kesihatan secara langsung merajuk sama. Semuanya mendung terasa. Tiada sinar. Ada kalanya terduduk di hamparan sejadah dan menangis semahu-mahunya seperti budak kecil. Hati sangat manja ketika itu. Sukar dipujuk. Berkali-kali cuba memujuk sekeping hati yang degil merajuk itu. Namun, hampa.

          Ketika memaksa hati untuk terus kuat, langkah tampak makin maju. Tiba-tiba, kepala cedera. Ia sakit. Merintih simpati. Cuba berlawan dengan kesakitan yang ada. Akhirnya, tidak mampu lagi menyembunyikan butiran permata dari berselindung di kelopak mata. Manik-manik permata yang jatuh cuba dikutip. Namun, kenapa makin lama ia makin pantas jatuh? Aku berlari-lari cuba mengutipnya……



          Tiba-tiba, hatiku dipujuk. Istighfar memainkan peranan. Pejamkan mata sebentar dan tatkala dibuka ia terpana pada Al-Quran di atas meja sana. Entah bagaimana kaki sudah pun melangkah ke arah meja dan semakin menghampirinya. Tangan menggapai Al-Quran, hati berdebar-debar. Dimulakan dengan…’bismillahirrahmanirrahim…’. Tangan membelek pada sepotong ayat yang berbunyi :

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”.
(Surah Ali Imran,ayat 139)

          Perlahan-lahan bibir mengukir senyuman. Terasa hati dibelai dengan kasihNya. Ayat-ayat cintaNya sangat memujuk sekeping hati ini. Allah pujuk lagi dengan ayatNya:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 286)

                   Allah…Allah…Allah. Benar! Allah tak akan menguji di luar kemampuan kita. Allah tahu kita mampu.  Sedar ataupun tidak, hakikatnya dengan adanya ujian ini potensi kemampuan kita yang masih tersembunyi akan terzahir. Dengan adanya ujian ini, kita  akan sentiasa mengingatiNya. Bukankah itu saat yang paling indah?

Pembaca yang sedang berfikir,
          Kadangkala kita melihat orang lain dan kita akan merasakan seronoknya seandainya aku jadi sepertinya. Bagi orang itu pula sebaliknya. Syukurlah dengan apa yang kita ada dan hadapi ia dengan penuh indah. Pengalaman itu mendewasakan. Teruskan dengan perjuangan sekarang. Setiap kesulitan itu ada kemudahan. Perbaharui niat dan hadirlah perasaan setiap apa yang kita buat bersamaNya, bukan sendirian.

          Maka, pilihan ambik Master ini bukanlah salah. Suatu ketentuan. Jangan takut untuk melangkah. Jangan gentar dan mengalah. Buat yang bakal merasai pengalaman ini, sediakan bekalan untuk menempuhinya. InsyaAllah, niat yang baik pasti Allah tolong. Mohon doanya.


Hati telah merajuk dilanda pilu,
Pukulan ombak datang bertalu-talu,
Suatu kekuatan meminta ia berlalu,
Berharap detik itu pergi selalu.

Hati mencari-cari tempat berpaut,
Walau sedang berada di tengah laut,
Tampak seolah sedang kelam kabut,
Namun ayat cintaNya dapat dipaut.




Sekian. Wallahualam.

UKM Bangi,

6.50 pm, 3/12/2016.

Wednesday, September 21, 2016

Perjalanan bermula...


Jam menunjukkan tepat jam 11.00 malam. Tika ini bunyi cengkerik menari di telingaku. Mataku pula seolah sedang memikul batu yang berat. Namun, jari ini memujuk agar berbicara sebentar.

      Onak duri mula menular di setiap langkah ini. Bukankah perjalanan ini baru bermula? Haruskah terus merasakan derita?

Sebentar!!!! Jangan dirasakan sebegitu lagi.

     Tajdidkan (perbaharui) niatmu! Ingatkah lagi hadis pertama dalam Matan Arbain?

“Setiap amalan itu bergantung kepada niat”.



     Niat itu pekerjaan hati dan menuntut sebuah keikhlasan. Terasa diri ini terlalu kerdil melihat orang sekeliling yang banyak ilmunya. Luas pengetahuannya. Jiwa yang sering memikirkan ummah. Allahuakbar!

      Iqra! Bacalah.....

Prof acapkali memesan kepada kami agar rajin membaca. Maka mahu atau tidak mahu, MALAS perlu ditendang keluar dari kamus kehidupan sekarang. Teringat kata Murabbi dulu,

“Orang yang malas, susah nak masuk SYURGA”

     Ya! Untuk mendapat sesuatu kita perlu usaha. Kemudian, doa dan tawakal. Tatkala pensyarah memberi tugasan, hati mula terdetik untuk merintih. Namun, ditangkis dengan istighfar dan mengusung ribuan hamasah (semangat) untuk berhadapan dengannya.

     Alhamdulillah, Allah hadirkan sahabat-sahabat yang bersama menggenggam erat harapan ini. Sifat Syafa yang berani menjadikan tidak rasa gusar tatkala bersamanya. Tatkala jiwa terasa sesak, Afifah hadir menceriakan keadaan ditambah pula dengan hamasahnya yang berkobar- kobar. Selain itu, satu angkatan perjuangan ini, Rasyidah, kak Solehah, Naimah, dan kak A’thiyatul bagi akhowat.

     Niat yang baik, InsyaAllah ada jalan dariNya. Teruskan doa. Teruskan mengejar cinta Allah. Pencarian harus diteruskan, dengan mendamba ampunan dan petunjuk sepanjang jalan.

     Nampaknya, mata memberi isyarat menuntut haknya untuk berehat. InsyaAllah, ada rezeki akan berkongsi lagi. Ini hanya kisah penulis, andai ada yang kurang baik, jangan diteladani, andai ada sesuatu mutiara dapat dikutip. Dipersilakan. Mohon doa semua.

11.39pm,
20/9/16,
UKM Bangi.

Thursday, August 11, 2016

Hari pertama jadi Teacher


Allah tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

Dalam surah Al-Baqarah, ayat 216, Allah berfirman :

“…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Hari ni dari menjadi ‘ustazah’ dah tukar menjadi ‘teacher’. Dek kerana ada seorang teacher yang bersalin, maka aku perlu menggantikannya. Siapa sangka berbaki lagi beberapa minggu untuk teruskan perjuanganku, ku ajar English.

Bermula tiba di pejabat sekolah hari ini, seorang guru menegurku.. ”Assalamualaikum, teacher..”, sambil tersenyum lebar. Ok, fine. Today, I’m a teacher. Tajdid niat dan ikhlaskan diri.

Melangkah masuk ke bilik guru, “Assalamualaikum Teacher Nabilah..”. Rupanya ramai dah tahu tentang pertukaran ini. Senyum dan sahut cabaran ini.

First class, baru ja bagi salam dan cakap sit down, ada seorang budak perempuan menangis teresak-esak. Hidungnya berdarah-darah. Gelabahnya aku ketika itu, hanya Allah yang tahu. Setelah bersihkan hidungnya dan menyuruhnya berehat, dia makin baik. Alhamdulillah.

Kelas kedua, ada murid sedang bergaduh.

“kenapa gaduh ni?”, tanyaku.

“dia ni teacher….saya cakap kat dia yang ustazah dah jadi teacher, dia dok cakap ustazah..ustazah la..”, kata seorang murid.

Allah…Allah…bergaduh pulak. Sebab gelaran ja pun. Lalu aku menjelaskan, aku tetap aku, tidak kisah sama ada ustazah atau teacher, sama sahaja. Ustazah, teacher atau cikgu, mereka semua adalah pendidik. Kita sebagai pelajar, harus mendoakan mereka dan hormati mereka.

Kelas ketiga, “ustazah…ada orang pukul saya”, “teacher…..pensil saya hilang”. Pelbagai ragam. Ku semakin terhibur.  Namun kesabaran sangat dituntut sebagai seorang pendidik. Apabila kesihatan kurang baik, terasa mood hilang. Bila murid buat perangai, terasa ingin sahaja marah. Namun, perlu istighfar banyak dan senyum.

Ketika menunggu beberapa orang murid menyiapkan kerja yang diberi walhal kawan-kawannya sudah keluar kelas untuk pulang ke rumah, tiba-tiba beberapa orang murid kelas akhir sekali masuk ke kelasku.

“ustazah..kenapa tak ajaq kami pun?”, sambil buat muka menyebek.

Ku hanya senyum. Dahulu, dialah paling nakal, suka kacau kawan-kawan, kerja tidak mahu buat, namun saat akhir ku bersama mereka dahulu, dialah yang paling rajin. Rupanya perhatian dan kasih sayang yang dia perlukan.

“Kelembutan tidak akan pernah tertewas dengan kekerasan.”
Filem Warkah Cinta

Saat melangkah pulang ke sekolah tadi, sungguh terasa ada sesuatu yang perlu ku ambil iktibar.

Niat. Patutlah sebelum ini selalu diingatkan untuk tajdid niat (perbaharui niat) sebab bila-bila masa sahaja niat kita akan berubah dan hilang.

Sabar. “Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersabar”. (Al-Nahl : 96)

Husnuzan dengan Allah. Yakin dengan apa yang Allah beri pada kita. Pasti ada hikmahnya.

Sentiasa fikir positif.

Cuba jadi tenang dan banyakkan zikir. “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d : 28)

Sekian. Kisah ini hanya kisah penulis dan jika ada yang baik untuk diambil, silakan. Jika ada yang tidak baik, mohon abaikan. Jom hidup dengan rasa berTuhan.

10/8/16
Lunas,Kedah.



Monday, August 8, 2016

SABAR


Allahuakbar...

Setelah sekian lama menyepi di dalam blog ini. Akhirnya jari riang menari melakar kisah SABAR yang sangat menyentuh hati.

Sebentar tadi terbaca tentang takrif sabar oleh ulama-ulama sufi. Allahurabbi, sangat menyentuh sanubari ini. Antara takrif ulama sufi yang buat diri ini sangat tersentak:

“Sabar adalah perbuatan menelan kepahitan tanpa bermasam muka (redha)”.
(Syeikh Junaid)

“Sesiapa yang ditimpa musibah, walaupun ia tidak mengeluh tetapi sifatnya berubah daripada kebiasaan maka itu tanda dia tidak redha dengan apa yang menimpanya”.
(Imam Al-Ghazali)

Subhanallah, melihat pada takrifan itu pun sudah merasakan betapa kerdilnya diri ini. Rasa malu pada Allah. Tatkala hati diusik malu, terbaca pula kisah As-Syibli.

Allah.....Allah....

Melihat bagaimana As-Syiblimenguji kesabaran satu kelompok. Dalam buku Solusi menceritakan Al-Syiblidihalang oleh sekolompok orang ketika Al-Syiblimelalui satu jalan yang bernama Marastani.

Lalu Al-Syibli bertanya : “Siapakah kamu?”

Jawab mereka: “Kami ialah kekasihmu yang datang menziarahimu.”

Kemudian mereka dilempar dengan batu-batu kecil sehingga mereka lari meninggalkannya.

Al-Syibli berkata : “Jika benar engkau mencintaiku, tentu kamu sabar menerima ujianku ini”.

Allah...Allah...

Lihatlah bagaimana mereka mendidik kefahaman manusia tentang indahnya sabar. Mereka dapat melihat Allah susah dan senang malah dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pembaca yang hatinya ingin dekat dengan Allah,

Sabar bererti kita TABAH. Menurut Yusuf Al-Qardawi, sabar merupakan sebesar-besar akhlak Al-Quran kerana menurut beliau kalimah SABAR ini sering disebut dalam kitab suci Al-Quran. Sabar itu sifat Nabi dan Rasul.  Malah, orang yang sabar dicintai Allah.

Jazakumullah sebab SABAR membaca sehingga habis.😊



Thursday, March 10, 2016

Iman & Kasih Sayang


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar iman hati yang sedang membaca tika ini?

InsyaAllah, Allah tahu kita cuba untuk mendekatiNya. Teruskan pencarian kemanisan IMAN.

Tergerak hati ini untuk berkongsi tentang iman dan kasih sayang. Hadirnya rasa ini setelah membaca majalah Solusi. Allahurabbi, sangat tersentuh. Kasih sayang sesama manusia dan haiwan ada kaitannya dengan iman manusia.

Bagaimana perkaitannya?

Dalam majalah Solusi, katanya, iman dan kasih sayang itu seperti irama dan lagu. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Orang yang mencintai Allah akan mesra dan sayang kepada sesama manusia.

Kerana apa?

Sebab Allah menyuruh sedekimikan. Iman kepada Allah adalah asas dalam berkasih sayang. Dalam Islam, kasih sayang bukan sahaja kepada manusia bahkan juga kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Orang yang cintakan Allah akan mencintai makhlukNya.

Contoh mudah, jika hati kita disakiti, haruskah kita menyakitinya kembali?
Andai iman kepada Allah mendahului, kita cuba sabar dan terus layan dengannya dengan baik. Mungkin kita akan cakap, bukan mudah hati kita nak terima apabila disakiti. Tiada masalah. Ambillah masa untuk itu. Apa yang penting, kita cuba untuk terima dan yakin dia dari Allah yang dihadirkan untuk menguji kita. Ini bermakna, bukan salah dia keseluruhannya, bahkan ini dari Allah. Maka, harus redha dan kuat.

Contoh lain kasih kepada haiwan. Walaupun ada antara kita yang geli dengan kucing. Namun, tidak berkasar dengannya.

Pembaca yang dikasihi Allah,

          Bagaimana kita nak buat kebaikan sesama manusia?

Antaranya ialah dengan memberi salam kepada orang lain dan mendoakan kesejahteraannya. Memberi hadiah kepadanya. Menolong menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Sebenarnya banyak lagi kebaikan yang boleh kita lakukan. Bila ada peluang untuk melakukan kebaikan, jangan tangguh, teruskan.

“Niat yang baik, insyaAllah Allah tolong”

Benarlah, apabila berlaku kesulitan atau masalah dalam ukhwah, sesama manusia, ia berpunca dari iman kita yang tengah lemah. Syaitan bijak mengambil peluang menghasut kita.  Jangan terus terpedaya! Bangun! Kita manusia yang sering alpa dan sering melakukan kesilapan termasuk saya sendiri.

Oleh itu, di sini saya ingin ambil peluang, andai saya ada pernah menyakiti sesiapa sebelum ini, mohon dimaafkan ya? Diri ini penuh khilaf yang sedang dalam proses mengislahkan diri.

Cinta dan takut kepada Allah itu sumber segala kebaikan.

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, satu benda yang saya suka ulang. 
Percayalah…
Kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan.

Teruskan sabar dan jangan balas dengan kekerasan, insyaAllah ada manisnya di kemudian hari.

Wallahualam.

Lunas, Kulim.
1.10 am, 10/3/16



Monday, December 14, 2015

Anak Kedah di JORDAN


Bismillah..Assalamualaikum w.b.t,

          Alhamdulillah, syukur pada Allah, berakhir sudah program REACH. Satu program yang mengumpulkan anak-anak KEDAH satu Jordan. Dan mungkin ini kali terakhir aku bersama-sama dengan program MPKJ (Majlis Pelajar Kedah Jordan).

          Dengan program REACH ini, aku semakin kagum dengan anak-anak Kedah. Semangat mereka, perjuangan mereka buat mataku berkaca.

          Ketika aku dilamar sebagai timbalan pengarah, sungguh terasa beratnya. Namun apabila dipujuk oleh Ibtisam, ku kuatkan hati dan cuba untuk teruskan. Aku dimaklumkan ketuaku Adam Anwar. Siapakah dia? Sungguh, sebelum ni hanya ku kenali muka tanpa tahu nama sebenarnya.

          Pada awal kami sudah mengetahui akan amanah ini, aku sudah memaklumkan kepada Adam bagaimana gerak kerjaku. Ya..benar! aku memang jenis cepat gelabah kadangkala, akhirnya kata pengarah ini..”Tak pa..kita cool ja”. Aku kembali tenang.

          Ketika di pertengahan gerak kerja untuk program ini, aku terasa tidak mampu untuk teruskan. Akhirnya, ku maklumkan pada pengarah bahawa aku berhajat untuk tarik diri. Tetapi pengarah memberi dorongan dan menenangkan keadaan. Akhirnya, aku terus melangkah dan di sini aku belajar untuk tenang.

          Setiap program pasti perlu dibuat kertas kerja. Walau berkali-kali kertas kerja perlu diubah, namun Zuhair dan Fathin sebagai Setiausaha tetap sabar untuk membaikinya .  Sabar mereka seperti sabar srikandi Siti Sarah.

          Mana mungkin program bergerak tanpa ada kewangan. Hadirnya Luqman dan Fitriah menjadi program ini semakin kukuh. Membuat belanjawan dengan teliti,  berhubung dengan semua unit untuk melihat sejauh mana kewangan diperlukan. Aku masih ingat kata-kata Fitriah..”kak, saya ni tak pernah lagi jadi bendahari, tapi saya cuba jugak..”. Terbaik Fitriah.

          Bagaimana untuk melancarkan program ini? Allah beri kami programmer yang begitu mantap. Baihaqi, Arifah dan Najlaa yang sentiasa memikirkan tentatif  program, dan cuba melancarkan program dengan baik. Banyak masalah yang berlaku ketika program, namun mereka dapat mengawal dengan baik. Ku rasakan mereka amat hebat dan inilah programmer yang terbaik yang pernah ku jumpa.

          Allah sudah mengatur kehidupan kita dengan baik. Kita juga perlu ikhtiar untuk mengatur sesuatu dengan baik. Setiap perkara , kita perlu sambut dengan baik walau apapun jua cara yang datang, kerana kita yakin itu dari Allah. Begitu juga dengan program ini, Fathah, Anis dan Adzreen sangat baik dalam menjadi ajk sambutan dan protokol. Senyuman di bibir tidak pernah lekang. Sedar atau tidak, mereka telah menunjukkan qudwah yang sangat baik untuk kita.



          Mata diberi untuk melihat. Program ini bila dilihat, Allah..sangat cantik dan indah. Bertungkus lumus ajk persiapan iaitu Zulqarnain, Rubiatul Adawiyah dan Rosmiza merangka persediaan tempat dan menghiasnya. Tidur lambat, habiskan masa membuat barang-barang perhiasan buat ku kagum dengan kegigihan mereka. Mereka langsung tidak pernah mengenal erti lelah dibantu oleh Syafiqah, Fatin Naimah, Huda dan Fatin Nur Afifah. Subhanallah…

          Tanpa ajk persegaran, pasti perut-perut peserta kelaparan. Sungguh mulia Alliqo dan Ridhwan kerana memikirkan apa yang boleh mereka beri peserta makan. Sehabis baik mereka memilih makanan yang berkualiti untuk dihidangkan kepada peserta. Alhamdulillah, semua terasa enak. Makanan juga dihidangkan dengan dengan sangat baik yang dikelolai oleh Syafiq, Ainun dan Ain.

          Zaman semakin moden. Era teknologi semakin ke hadapan. Bagi memberi segala informasi, ajk publisti sangat perlu memainkan peranan. Bersengkang mata menghasilkan poster, merangka banner, button badge dan banyak lagi. Kadangkala mereka kuatkan hati tatkala dikritis hasil kerja mereka. Namun, hati Zubair dan Arwa tabah seperti setabah umi Nabi Ismail.



          Zaman kini, semuanya perlukan perhubungan dan pengakutan untuk ke mana-mana. Tanpa Mustakim dan Fatimah Azzahra’ pasti keadaan menjadi kucar kacir untuk memastikan peserta tiba di tempat program dengan baik. Berhubung dengan manusia bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada sifat positif yang tinggi. Mereka ini ada sifat husnuzon yang tinggi pada Allah. Subhanallah…

          Jangan dipandang sebelah mata pada ajk Tugas-Tugas Khas. Kerjanya mantap, malah mereka ini juga menjadi pelengkap kepada ajk-ajk lain. Mudah bicara dan kerja, itulah Aziz, Atiqah, Shaimaa dan Huda Nabila.



          Subhanallah, pada mereka ini penuh dengan sifat-sifat mahmudah yang menjadi qudwah dalam Islam. Aku masih ingat ketika pulang dari program ini, bakal presiden MPMMJ, bertanya padaku, “kalau kak nabilah, nak bagi berapa markah bagi program ini?”. Aku terdiam.

          Ku katakan andai aku ini hanya orang biasa, mungkin markah ku berikan biasa-biasa sahaja, tetapi aku beri lebih markah pada program ini kerana aku bersama dan melihat sendiri jentera program ini bergerak. Sampai ku rasa, mereka tidak ada markah kerana besar sungguh pengorbanan mereka yang tiada ternilai.

          Akhir kalam, ana sebagai timbalan pengarah, memohon sejuta kemaafan, andai ada hak-hak yang tidak tertunai, terasa hati atau terasa tertekan dengan ana. Ana juga insan biasa yang sedang melangkah ke arahNya. Mohon terus tegur ana jika ada salah.

Jentera REACH yang dikasihi Allah,
          Terima kasih untuk segala titik peluk hampa. Terima kasih untuk segala pengorbanan yang dilakukan. Moga SYURGA untuk kalian. Biar kita penat di dunia, moga kita rehat di akhirat. Memori antara kita, tak akan ku lupakan. Tidak dilupakan juga, terima kasih pada semua ajk bawah dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Sekian.



14/12/12
Mu’tah, Jordan.

          

Saturday, November 28, 2015

Taat kepada ALLAH


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin kembali pada RabbNya,
Saat ini…saya ingin berkongsi tentang satu tajuk yang jika kita sebut..terasa beratnya.

Apakah ia?

“TAAT ”.

          Baru-baru ini, saya ada bersama beberapa rakan berbicara banyak perkara, dan bila disimpulkan ia memang berkaitan dengan Taat. Jom ikuti perkongsian kami.

TAAT itu apa?

“Menunaikan dan melaksanakan perintah dengan serta merta baik dalam keadaan sulit mahupun senang, semangat mahupun terpaksa.”

(Hassan Al-Banna)


Antara dalil agar taat kepada Allah :

Allah Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merusakkan (pahala) amal-amalmu” (Qs. Muhammad: 33).

Pusat kebahagiaan adalah SOLAT. Jika kita masih merasakan beratnya SOLAT, maka kita belum lagi SOLAT sebenar-benarnya. Hal ini kerana, dengan SOLAT kita mendapat kebahagiaan dari Allah. Bilamana kita rasa beban untuk SOLAT, maka di mana letak TAAT kita?


          Sebenarnya, bila kita mengangkat takbir, ‘Allahuakbar’, adakah kita merasakan Allah sedang Melihat kita? Akhirnya, menjadikan SOLAT itu lebih khusyuk apabila kita fokus.
Tanpa KHUSYUK, anda tidak akan berhasil mengenal TUHAN.

          Perasan atau tidak, di dunia ini ada banyak undang-undang sama ada undang-undang yang dibuat oleh manusia atau dari ALLAH.  Contoh paling mudah, undang-undang jalanraya. Bilamana lampu merah, semua kenderaan akan berhenti, seolah-olah TAAT pada undang-undang itu. Namun,  ada juga yang melanggarnya. Betul kan? Apatah lagi, undang-undang ALLAH, ramai juga yang melanggarnya.dan tidak TAAT. Akhirnya, akibat itu menanti.

Nastaghfirullah.

          Benda yang baik, selalu mendapat manfaatnya. Misalnya, manfaat agama adalah kita mendapat perbatasan untuk melakukan sesuatu sama ada baik atau buruk. Begitu juga dengan TAAT kepada ALLAH. Ada manfaatnya iaitu :

Mengenali diri - Ketaatkan kepada Allah akan membantu manusia untuk mengukur kadar kualiti dirinya. Kita akan dapat lihat potensi baik buruk diri, dan setelah itu dapat tahu apa yang perlu dilakukan setelah itu.



Rendah Hati – sebenarnya, semakin kita taat kepada Allah, semakin rendah hati kita sebagai manusia. Kebesaran Allah terlalu banyak yang seharusnya kita merasakan rendah diri itu. Contoh, kebesaran Allah menciptakan alam ini, Allah memaafkan kesalahan hamba-hambaNya dan macam-macam lagi.

Optimis – bermakna positif atau husnuzon. Orang yang taat kepada Allah akan sentiasa optimis. Apabila mereka taat, mereka akan redha. Contoh, mereka optimis dengan rezeki yang Allah berikan kerana yakin ini rezeki yang Allah sudah siapkan baginya. Contoh lain, jika ditimpa musibah, mereka sentiasa optimis kerana yakin ini jalan kehidupan yang Allah sudah aturkan baginya.

Syukur – hakikatnya, apabila ditimpa sesuatu itu sebenarnya Allah sedang mengajar dia untuk bersyukur.

Kasih sayang – manusia yang taat kepada ajaran Allah akan sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran Allah dalam hidupnya. Ketaatan kepada Allah akan tercermin dari sikap kita kepada sesama manusia. Jika sahabat kita buat sesuatu yang menyakiti kita, adakah kita nak marah? Atau tetap Sabar kerana TAAT pada ajaran Allah agar hambaNya selalu bersabar. Di mana TAAT kita ketika ini?

Kita selalu melihat CERMIN, bila pula kita nak jadi CERMIN untuk orang lain?

Ketenangan batin – apabila kita taat kepada Allah, semua urusan terasa baik baginya. Hati tidak lagi gelisah kerana yakin dengan ketaatannya kepada Allah pasti Allah merencanakan yang terbaik baginya.

Pembaca yang pastinya sedang ingin kembali padaNya,
          Taat kepada Allah, bukanlah sesuatu yang main-main dan mudah. Ia memerlukan MUJAHADAH. Mujahadah untuk melawan nafsu yang mengajar kita untuk Ingkar dengan arahan Allah. Adakalanya, kita akan tersungkur di pertengahan jalan Taat itu, namun pintu Taubat sentiasa terbuka luas buat kita. Allah itu sangat Maha Pengampun.  Moga kita sama-sama perbaiki diri dan terus melangkah ke arahNya, aamiin.

Wallahualam.

27/11/15, 11.35pm

Mu’tah, Jordan.