Tautan Ukhwah

Tuesday, March 24, 2015

Hati Yang MATI

Bismillahirrahmanirrahim…

Apa khabar imanmu? Jawablah sejenak dalam benakmu.


Apa khabar hatimu? Masihkah elok seperti dipinjamkan kepada kita pada awal dahulu? 

Tahukan kalian, bila-bila masa tuannya akan mengambil balik daripada kita? Sudahkah kita bersedia? Allahurabbi…

Tahukah anda?
Hati yang tidak ada kehidupan di dalamnya adalah Hati yang MATI.

Ciri-ciri hati MATI:

-      Tidak mengenal Allah.
-      Tidak menyembah Allah.
-      Tidak mencintai Allah.
-      Tidak redha pada Allah.
-      Hidup di antara syahwat dan kelazatannya.

Hati Mati & Hawa Nafsu

Jika dia mencintai seseorang, dia mencintainya kerana HAWA NAFSU.

Jika dia marah, marahnya kerana HAWA NAFSUnya.

Hawa nafsunya adalah pemimpinnya, mabuk bersama hawa nafsu ini.

Hawa nafsunya membuat dia tuli dan buta selain kebatilan.


Duhai hati yang ingin kembali padaNya,

          Ayuh, banyakkan zikrullah agar sentiasa mengingatiNya. Meninggalkan zikrullah adalah punca awal kematian hati. Hatinya akan menjadi keras sehingga tidak boleh menerima nasihat dan agama. Nauzubillah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.”


Wallahualam.





Saturday, March 21, 2015

Telaah Tertipu


Rancak menelaah
Pena giat menari
Mata tajam pada warkah
Seolah menembusi setiap helaian.

Tiba-tiba
Telaah terhenti
Pena terus hilang
Mata dibanjiri air.

Tertipu!
Hati tidak fokus
Hilang entah ke mana
Deras air mata mengalir.

Astaghfirullah...
Tiada jalan lain
Hati harus dicari
Air mata perlu disekat.

Puas ku pujuk ia,
Kalamullah menjadi penenang,
Menggamit segenggam tabah,
Meyakini janjiNya yang pasti.

20/3/15
Mu'tah, Jordan.


Saturday, March 7, 2015

Beg UMRAH


“Beg dah rosak..dah koyak..”, monologku sendirian.

          Semakin hari, beg aku terlalu uzur sehingga aku tidak sanggup lagi membebaninya dengan sarat buku-bukuku. Maka aku bertekad untuk menggantikannya dengan yang lain.

          Nasib tidak menyebelahi aku. Sering saja aku tidak menemui beg yang sesuai dengan citarasaku. Puas aku mencari sekitar Mu’tah, Jordan. Lalu aku mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja tentang beg itu.

          “Praggghhhh!”

Zip begku terkoyak! Ternganga begku sehingga menampakkan isi di dalamnya. Dahiku berkerut. Cuba mencari solusi. Akhirnya, aku mengambil kerongsang di tudungku dan cuba menutupi ruang begku yang ternganga. Alhamdulillah, untuk seketika waktu, ia tampak gagah untuk menghabiskan sisa waktunya.

Akhirnya, lama kelamaan, ia semakin longlai. Begku seolah merayu untuk dilepaskan. Aku mengalah. Aku bulatkan tekad untuk ke Karak mencari pengganti begku. Namun, peneman tiada. Sahabat-sahabatku ada urusan yang lebih penting. Mereka ada memberi cadangan agar memcari beg pada waktu yang lain agar mereka dapat menemaniku.

Apakan daya, aku sudah tekadkan diri untuk mencari penggantinya hari itu juga. Aku hayunkan langkah untuk ke Karak seorang diri. Allah itu Maha Memahami dan Mengetahui, dihadirkannya seorang sahabat, Fazureen untuk menemaniku.

Turun naik juga kami di Karak. Akhirnya, aku terpaksa membuat pilihan. Terpaksa beli walau hatiku kurang setuju. Begnya yang nipis, namun cantik. Untuk sementara waktu, aku rela membelinya.

     

                        Beg yang ku beli di Karak. Ketika ini di Jabal Rahmah.

Sepanjang aku memakai beg itu, beberapa kali dijahit di kedai. Aku tahu, ia juga tidak akan lama denganku. Kesibukkanku telah mengabaikannya. Aku mengheretnya ke Umrah.

Malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan ke Umrah, tali begku terputus. Aku semakin rungsing. Mengharapkan jalan solusi. Akhirnya, Salimah menghulurkan kerongsangnya untuk digunakan sementara. Aku terima bantuannya.

Aku menyangkakan, aku sempat membeli beg di Jordan. Sekali lagi, aku diuji, seusai aku mengerjakan Umrah, ketika aku berjalan bersama orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari Masjidil Haram, satu lagi tali begku terputus. Allah……

Dalam begku, sarat dengan barang-barang. Akhirnya, aku terpaksa mencari beg baru sekitar luar masjid. Langkahku semakin longlai disebabkan tiada beg bergalas belakang. Akhirnya, Amira Hannan, dialah penemanku. Memberi semangat padaku dan rezekiku berjumpa dengan beg itu.

Air mataku bertakung, sungguh terharu.

“Beg umrah….”, monolog hatiku. Hatiku tenang. Aku menoleh ke Masjidil Haram sambil mengukirkan senyuman yang yang sukar diungkap. Hannan menolongku memindahkan barang-barangku untuk dimasukkan ke dalam beg baru.



Dengan berat hatinya, aku memasukkan beg lama yang ku beli di Karak, ke dalam sebuah tong sampah. Langkahku semakin gagah untuk meneruskan saki baki hariku di Mekah. Beg ini, sentiasa bersamaku, memudahkan urusanku di Mekah. Walhal sebelum ini, aku beria-ria tidak mahu beli di mekah, dan mahu beli di Jordan. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengetahui.

Benarlah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216:

“..tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

*Percayalah..Allah itu lebih Maha Mengetahui. Yakinlah..
Di sebalik kesukaran itu ada kemudahan.



Wednesday, March 4, 2015

Orang Yang Berilmu & Terpelajar


Orang yang bangun beribadat di tengah malam,

Hamba yang patuh,

Yang sanggup menumpukan segenap perhatian dan mengerah tenaga,

Menyerahkan jiwa raga, di tengah malam,

Orang yang sanggup mencampak selimut di tengah kesejukan malam,

Sanggup membuka mata di tengah bunyi dengkur untuk menengadah ke langit,

Mohon setitik air rahmat dan pengampunan dari Tuhannya,

Sambil berlinang air matanya mengenang bahana azab hari akhirat,

Suaranya mendayu-dayu mengharapkan rahmat Ilahi.

Orang berilmu yang mempunyai sifat seperti inilah sebenarnya orang yang berilmu dan orang terpelajar.


(As-Syahid Syed Qutb )

Saturday, February 21, 2015

Awak & Salju


Awak...
Saat  detik perkenalan kita,
Indahnya seperti melihat butiran salju,
Yang sarat dengan memori kita.

Awak...
Lupakah kita?
Butiran salju itu nanti akan mencair,
Saat itu...
Mungkin ada titisan air mata mengalir.

Awak...
Salju tidak akan selalu bersama kita,
Ia akan hilang dihangati mentari,
Tapi percayalah..
Mentari itu akan membawa lembaran kisah kita yang baru.

Awak...
Tahukah dikau kenapa salju akan pergi?
Segersang mentari akan bercerita padamu.
Saat itu, kau akan tahu kenapa aku begini,
Biarlah salju ini membantu hatiku berbicara.

Awak...
Ku ukir kenangan kita di sebalik kabus salju,
Samar-samar ia kelihatan,
Namun ia benar wujud di sana,
Ia realiti bukan fantasi.

Awak...
Saat ini rinduku terlalu menebal,
Mengatasi tebalnya salju di jendela sana,
Di sebalik hembusan salju,
Ku selitkan doa dan harapan.

Siti Nabilah Azman
21/2/15
Mu'tah, Jordan.



Tuesday, January 20, 2015

Di Mana Kau MUJAHADAH?


Mujahadah...
Kenapa kau sering lari daripadaku?
Atau aku terlepaskanmu?
Aku amat memerlukanmu,
Kembalilah padaku.

Janganlah menyorok denganku lagi,
Hatiku sesak memikirkanmu,
Aku mahu bersamamu,
Mara bersama ke arahNya.

Tahukah dikau?
Saat kau tiba-tiba hilang menyepi,
Aku tampak bahagia,
Namun hakikatnya aku derita,
Derita dengan dosa yang menggunung.

Aku sedar,
Kau hilang bukan sendiri,
Iman yang membawamu pergi,
Saat Iman lemah,
Kau turut lemah,
Akhirnya, kau lesap!

Benar!
Aku yang sebenarnya lemah,
Membiarkan Iman jatuh tersungkur,
Membiarkan dikau hilang menyepi,
Seolah aku yang merelakan kalian pergi.

Aku mungkin kerap berdoa,
Mengharapkan kau dan Iman terjaga,
Tapi rupanya ikhtiarku rapuh,
Alpa tumbuh dalam fikiranku,
Sehingga aku lupa menangkasnya.

Saat ini,
Aku benar-benar perlukanmu,
Aku semakin kekurangan waktu,
Kematian semakin dekat denganku,
Mati dalam Husnul Khatimah menjadi hajatku.

Tahukah dikau?
Aku tak pernah lelah mengejarmu,
Jika ini mampu menjadi saksi usahaku,
Aku kini bukan hanya meratapi kehilanganmu,
Malah ku kesali dengan lemahnya Iman jua,
Sekerah tenaga ku gunakan untuk menjaga kalian.

Mujahadah...
Jangan kau merajuk lagi denganku,
Marilah bersamaku mara ke arahNya,
Aku tahu Iman perlu bersama kita,
Akan ku usahakan,
Ini harapanku,
Ya Rabbi, saksikanlah perjuangan kisahku bersama Mujahadah dan Iman ini.
Matikanlah aku dalam Husnul Khatimah.
Aamiin.

19/1/15,
11.37pm
Mutah, Jordan.

Thursday, January 8, 2015

Ummu Hani Binti Abi Talib

                                                     


Ummu Hani merupakan sepupu Rasulullah s.a.w. Nama sebenarnya Fakhitah Binti Abu Talib. Sebelum ini, namanya Ummu Amr, tetapi setelah anaknya Amr mati semasa kecil, namanya ditukar ke Ummu Hani.

Semasa jahiliah, Rasulullah pernah meminangnya. Dan ketika itu jua, ada seorang pemuda bernama Hubairah juga meminangnya. Abu Talib telah memilih Hubairah menjadi pasangan anaknya itu.

Hubairah dan Fakhitah akhirnya terpisah kerana Islam. Apabila mengetahui isterinya memasuki Islam, Hubairah melarikan diri. Ummu Hani ini amat mementingkan hak anak-anaknya sehingga dia mendapat pujian, “ Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya”.

Pada hari pembukaan negeri Mekah, ada dua kerabat suami Ummu Hani dari Bani Makhzum, Al-Harits bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani untuk meminta perlindungan. Namun, datang Ali Bin Abi Talib mengatakan, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!”

Lalu Ummu Hani bergegas ke rumah Rasulullah s.a.w dan mengadu kepada beliau. Maka baginda pun menjawab, “Aku melindungi orang yang ada dalam perlindunganmu dan memberi jaminan keamanan pada orang yang ada dalam jaminan keamananmu”.

Lihatlah betapa dengan kecerdasannya dalam aspek keimanan, Ummu Hani mampu menyelamatkan dua orang itu. Selain itu, Ummu Hani juga ada meriwayatkan hadis.


Wallahualam.