“Beg
dah rosak..dah koyak..”, monologku sendirian.
Semakin hari, beg aku terlalu uzur
sehingga aku tidak sanggup lagi membebaninya dengan sarat buku-bukuku. Maka aku
bertekad untuk menggantikannya dengan yang lain.
Nasib tidak menyebelahi aku. Sering saja
aku tidak menemui beg yang sesuai dengan citarasaku. Puas aku mencari sekitar
Mu’tah, Jordan. Lalu aku mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja tentang
beg itu.
“Praggghhhh!”
Zip begku terkoyak! Ternganga begku sehingga menampakkan
isi di dalamnya. Dahiku berkerut. Cuba mencari solusi. Akhirnya, aku mengambil
kerongsang di tudungku dan cuba menutupi ruang begku yang ternganga. Alhamdulillah,
untuk seketika waktu, ia tampak gagah untuk menghabiskan sisa waktunya.
Akhirnya, lama kelamaan, ia semakin longlai. Begku seolah
merayu untuk dilepaskan. Aku mengalah. Aku bulatkan tekad untuk ke Karak
mencari pengganti begku. Namun, peneman tiada. Sahabat-sahabatku ada urusan
yang lebih penting. Mereka ada memberi cadangan agar memcari beg pada waktu
yang lain agar mereka dapat menemaniku.
Apakan daya, aku sudah tekadkan diri untuk mencari
penggantinya hari itu juga. Aku hayunkan langkah untuk ke Karak seorang diri.
Allah itu Maha Memahami dan Mengetahui, dihadirkannya seorang sahabat, Fazureen
untuk menemaniku.
Turun naik juga kami di Karak. Akhirnya, aku terpaksa
membuat pilihan. Terpaksa beli walau hatiku kurang setuju. Begnya yang nipis,
namun cantik. Untuk sementara waktu, aku rela membelinya.
Beg yang ku beli di Karak. Ketika ini di Jabal Rahmah.
Sepanjang aku memakai beg itu, beberapa kali dijahit
di kedai. Aku tahu, ia juga tidak akan lama denganku. Kesibukkanku telah
mengabaikannya. Aku mengheretnya ke Umrah.
Malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan ke Umrah,
tali begku terputus. Aku semakin rungsing. Mengharapkan jalan solusi. Akhirnya,
Salimah menghulurkan kerongsangnya untuk digunakan sementara. Aku terima
bantuannya.
Aku menyangkakan, aku sempat membeli beg di Jordan. Sekali
lagi, aku diuji, seusai aku mengerjakan Umrah, ketika aku berjalan bersama
orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari Masjidil Haram, satu lagi tali begku
terputus. Allah……
Dalam begku, sarat dengan barang-barang. Akhirnya, aku
terpaksa mencari beg baru sekitar luar masjid. Langkahku semakin longlai
disebabkan tiada beg bergalas belakang. Akhirnya, Amira Hannan, dialah
penemanku. Memberi semangat padaku dan rezekiku berjumpa dengan beg itu.
Air mataku bertakung, sungguh terharu.
“Beg umrah….”, monolog hatiku. Hatiku tenang. Aku menoleh
ke Masjidil Haram sambil mengukirkan senyuman yang yang sukar diungkap. Hannan menolongku
memindahkan barang-barangku untuk dimasukkan ke dalam beg baru.
Dengan berat hatinya, aku memasukkan beg lama yang ku
beli di Karak, ke dalam sebuah tong sampah. Langkahku semakin gagah untuk
meneruskan saki baki hariku di Mekah. Beg ini, sentiasa bersamaku, memudahkan
urusanku di Mekah. Walhal sebelum ini, aku beria-ria tidak mahu beli di mekah,
dan mahu beli di Jordan. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengetahui.
Benarlah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah,
ayat 216:
“..tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,
padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu
tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
*Percayalah..Allah
itu lebih Maha Mengetahui. Yakinlah..
Di sebalik kesukaran itu ada kemudahan.