Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum
w.b.t,
Ketika jari enak menaip, hatiku kini merasai
pelbagai perasaan. Inilah perasaan yang Allah hadirkan tika ini. Sukar untuk
diceritakan, hanya yang mengalami pasti mengetahuinya.
Kini, ku berada di bumi Anbiya,
Jordan. Kadangkala memang masih sukar untuk percaya yang kini sudah berada di
sini. Namun, inilah realiti bukan fantasi lagi.
Semakin hari, kita semakin meningkat
dewasa. Malah ujian yang datang kepada kita bukanlah seperti dulu. Pelbagai bentuk
ujian yang datang. Namun, bagaimana kita cuba untuk menerimanya dengan baik?
Firman
Allah s.w.t, dalam Surah Ankabut, ayat 2 & 3:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan
hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan
sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka pasti Allah
mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”
Bermulanya pada awal pagi, mujahadah
bangun dari selimut yang enak. Merasai air yang sejuk, imanku sedikit goyah. Namun,
haruskah ku terus membiarkan bisikan syaitan padaku menang?
Berjalan untuk menaiki coaster juga dapat
membuat hati ini terhibur. Bila bercakap, kepulan-kepulan asap mula keluar dari mulutku.
Sungguh bahagia.
Namun, bahagia itu diuji. Ketika dalam
kelas, mata, fikiran cuba untuk ditumpukan pada lecturer (disebut doktor). Kadang-kadang,
rasa pening apabila langsung tidak faham apa yang doktor katakan dalam kelas. Mula
hati ini bermonolog:
“Allah..adakah kerana dosa-dosaku, maka dihijabkan
untuk memahami ilmu ini?”
Baru-baru ini, ada imtihan awal (exam
pertama). Markah yang dapat tidaklah seperti dibayangkan. Sungguh menguji
keimanan. Namun, bagaimana untuk mengawal perasaan ini? Haruskah daku terus di
hanyut kesedihan? Ya. Memang benar. Sistem belajar di sini, jauh berbeza dengan
Malaysia. Jika di Malaysia, pembentangan, assignment, kerja kursus dan
lain-lain boleh membantu markah subjek itu. Namun, di sini hanyalah peperiksaan
semata-mata. Di sinilah pergantungan kepada Allah itu amat diperlukan.
Kemudian, ada doktor yang perlu dibuat
bahas ( sedikit tugasan) bagi subjeknya. Perlu digunakan kitab turas/ qadim
(kitab lama). Allahurabbi. Beberapa kali, bukuku ditolak. Pernah ku dan sahabat
merenung lama kitab-kitab di maktabah (library). Di sinilah kesabaran teruji. Rasa
ingin berputus asa kerap kali menjenguk di hatiku, namun ku tepis ia dengan:
Firman
Allah s.w.t, dalam Surah Yusuf, ayat 87:
“..Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya
tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”.
Hari ini, sekali lagi ku dan
sahabat-sahabatku (Salimah dan Hani) diuji. Rasa ingin saja air mata ini
mengalir. Tika ujian itu datang, kaki ini rasa ingin rebah di situ juga. Namun,
lahir rasa kagumku dengan sahabat-sahabatku yang masih kental. Maka, ku kuatkan
langkah menghadapinya.
Firman
Allah s.w.t, dalam Surah Ali Imraan, ayat 139:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu
bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika
kamu orang-orang yang beriman”.
Ketika ku pulang dari universiti tadi, lemah rasa
langkahku ini. Mencorak langkah sambil muhasabah dengan ujian pada hari ini. Semakin lama melangkah, semakin hilang
langkahku. Ku dongakkan kepala ke langit. Subhanallah. Ku pandang orang
sekeliling, pelbagai keadaan yang ku lihat. Allahurabbi. Akhirnya ku
bermonolog:
“Nabilah..bukankah kau
seorang pelajar? Yang menuntut jauh di sini demi menimba ilmu Allah yang luas
itu? Mudah sangatkah untukmu mengalah? Ini baru permulaan..masih banyak ujian yang
menunggumu di hadapan sana..”
Akhirnya, bibirku mengukir senyuman… langkahku semakin
gagah. Ya! Akulah seorang pelajar!!! Terus belajar..bukan hanya belajar di universiti,
namun belajar menerima segalanya daripada Allah. Inilah tarbiah dari Allah.
Alhamdulillah. Terima kasih Allah.^_^
*buat
shbt2ku, jangan sedih2 lagi. Jom teruskan langkah mengejar cinta dan redha-Nya.
Allah itu Maha Penyayang.^_^