Tautan Ukhwah

Thursday, March 10, 2016

Iman & Kasih Sayang


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar iman hati yang sedang membaca tika ini?

InsyaAllah, Allah tahu kita cuba untuk mendekatiNya. Teruskan pencarian kemanisan IMAN.

Tergerak hati ini untuk berkongsi tentang iman dan kasih sayang. Hadirnya rasa ini setelah membaca majalah Solusi. Allahurabbi, sangat tersentuh. Kasih sayang sesama manusia dan haiwan ada kaitannya dengan iman manusia.

Bagaimana perkaitannya?

Dalam majalah Solusi, katanya, iman dan kasih sayang itu seperti irama dan lagu. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Orang yang mencintai Allah akan mesra dan sayang kepada sesama manusia.

Kerana apa?

Sebab Allah menyuruh sedekimikan. Iman kepada Allah adalah asas dalam berkasih sayang. Dalam Islam, kasih sayang bukan sahaja kepada manusia bahkan juga kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Orang yang cintakan Allah akan mencintai makhlukNya.

Contoh mudah, jika hati kita disakiti, haruskah kita menyakitinya kembali?
Andai iman kepada Allah mendahului, kita cuba sabar dan terus layan dengannya dengan baik. Mungkin kita akan cakap, bukan mudah hati kita nak terima apabila disakiti. Tiada masalah. Ambillah masa untuk itu. Apa yang penting, kita cuba untuk terima dan yakin dia dari Allah yang dihadirkan untuk menguji kita. Ini bermakna, bukan salah dia keseluruhannya, bahkan ini dari Allah. Maka, harus redha dan kuat.

Contoh lain kasih kepada haiwan. Walaupun ada antara kita yang geli dengan kucing. Namun, tidak berkasar dengannya.

Pembaca yang dikasihi Allah,

          Bagaimana kita nak buat kebaikan sesama manusia?

Antaranya ialah dengan memberi salam kepada orang lain dan mendoakan kesejahteraannya. Memberi hadiah kepadanya. Menolong menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Sebenarnya banyak lagi kebaikan yang boleh kita lakukan. Bila ada peluang untuk melakukan kebaikan, jangan tangguh, teruskan.

“Niat yang baik, insyaAllah Allah tolong”

Benarlah, apabila berlaku kesulitan atau masalah dalam ukhwah, sesama manusia, ia berpunca dari iman kita yang tengah lemah. Syaitan bijak mengambil peluang menghasut kita.  Jangan terus terpedaya! Bangun! Kita manusia yang sering alpa dan sering melakukan kesilapan termasuk saya sendiri.

Oleh itu, di sini saya ingin ambil peluang, andai saya ada pernah menyakiti sesiapa sebelum ini, mohon dimaafkan ya? Diri ini penuh khilaf yang sedang dalam proses mengislahkan diri.

Cinta dan takut kepada Allah itu sumber segala kebaikan.

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, satu benda yang saya suka ulang. 
Percayalah…
Kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan.

Teruskan sabar dan jangan balas dengan kekerasan, insyaAllah ada manisnya di kemudian hari.

Wallahualam.

Lunas, Kulim.
1.10 am, 10/3/16