Tautan Ukhwah

Saturday, November 28, 2015

Taat kepada ALLAH


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang hatinya ingin kembali pada RabbNya,
Saat ini…saya ingin berkongsi tentang satu tajuk yang jika kita sebut..terasa beratnya.

Apakah ia?

“TAAT ”.

          Baru-baru ini, saya ada bersama beberapa rakan berbicara banyak perkara, dan bila disimpulkan ia memang berkaitan dengan Taat. Jom ikuti perkongsian kami.

TAAT itu apa?

“Menunaikan dan melaksanakan perintah dengan serta merta baik dalam keadaan sulit mahupun senang, semangat mahupun terpaksa.”

(Hassan Al-Banna)


Antara dalil agar taat kepada Allah :

Allah Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan janganlah kamu merusakkan (pahala) amal-amalmu” (Qs. Muhammad: 33).

Pusat kebahagiaan adalah SOLAT. Jika kita masih merasakan beratnya SOLAT, maka kita belum lagi SOLAT sebenar-benarnya. Hal ini kerana, dengan SOLAT kita mendapat kebahagiaan dari Allah. Bilamana kita rasa beban untuk SOLAT, maka di mana letak TAAT kita?


          Sebenarnya, bila kita mengangkat takbir, ‘Allahuakbar’, adakah kita merasakan Allah sedang Melihat kita? Akhirnya, menjadikan SOLAT itu lebih khusyuk apabila kita fokus.
Tanpa KHUSYUK, anda tidak akan berhasil mengenal TUHAN.

          Perasan atau tidak, di dunia ini ada banyak undang-undang sama ada undang-undang yang dibuat oleh manusia atau dari ALLAH.  Contoh paling mudah, undang-undang jalanraya. Bilamana lampu merah, semua kenderaan akan berhenti, seolah-olah TAAT pada undang-undang itu. Namun,  ada juga yang melanggarnya. Betul kan? Apatah lagi, undang-undang ALLAH, ramai juga yang melanggarnya.dan tidak TAAT. Akhirnya, akibat itu menanti.

Nastaghfirullah.

          Benda yang baik, selalu mendapat manfaatnya. Misalnya, manfaat agama adalah kita mendapat perbatasan untuk melakukan sesuatu sama ada baik atau buruk. Begitu juga dengan TAAT kepada ALLAH. Ada manfaatnya iaitu :

Mengenali diri - Ketaatkan kepada Allah akan membantu manusia untuk mengukur kadar kualiti dirinya. Kita akan dapat lihat potensi baik buruk diri, dan setelah itu dapat tahu apa yang perlu dilakukan setelah itu.



Rendah Hati – sebenarnya, semakin kita taat kepada Allah, semakin rendah hati kita sebagai manusia. Kebesaran Allah terlalu banyak yang seharusnya kita merasakan rendah diri itu. Contoh, kebesaran Allah menciptakan alam ini, Allah memaafkan kesalahan hamba-hambaNya dan macam-macam lagi.

Optimis – bermakna positif atau husnuzon. Orang yang taat kepada Allah akan sentiasa optimis. Apabila mereka taat, mereka akan redha. Contoh, mereka optimis dengan rezeki yang Allah berikan kerana yakin ini rezeki yang Allah sudah siapkan baginya. Contoh lain, jika ditimpa musibah, mereka sentiasa optimis kerana yakin ini jalan kehidupan yang Allah sudah aturkan baginya.

Syukur – hakikatnya, apabila ditimpa sesuatu itu sebenarnya Allah sedang mengajar dia untuk bersyukur.

Kasih sayang – manusia yang taat kepada ajaran Allah akan sentiasa mengamalkan ajaran-ajaran Allah dalam hidupnya. Ketaatan kepada Allah akan tercermin dari sikap kita kepada sesama manusia. Jika sahabat kita buat sesuatu yang menyakiti kita, adakah kita nak marah? Atau tetap Sabar kerana TAAT pada ajaran Allah agar hambaNya selalu bersabar. Di mana TAAT kita ketika ini?

Kita selalu melihat CERMIN, bila pula kita nak jadi CERMIN untuk orang lain?

Ketenangan batin – apabila kita taat kepada Allah, semua urusan terasa baik baginya. Hati tidak lagi gelisah kerana yakin dengan ketaatannya kepada Allah pasti Allah merencanakan yang terbaik baginya.

Pembaca yang pastinya sedang ingin kembali padaNya,
          Taat kepada Allah, bukanlah sesuatu yang main-main dan mudah. Ia memerlukan MUJAHADAH. Mujahadah untuk melawan nafsu yang mengajar kita untuk Ingkar dengan arahan Allah. Adakalanya, kita akan tersungkur di pertengahan jalan Taat itu, namun pintu Taubat sentiasa terbuka luas buat kita. Allah itu sangat Maha Pengampun.  Moga kita sama-sama perbaiki diri dan terus melangkah ke arahNya, aamiin.

Wallahualam.

27/11/15, 11.35pm

Mu’tah, Jordan.

Friday, November 20, 2015

Meletakkan Sutrah (penghadang) ketika solat


Bismillah…

Assalamualaikum w.b.t buat pembaca yang sedang mencari RedhaNya.

          Di sini, saya ingin berkongsi sesuatu, hasil pembacaan saya dalam buku Formula Solat Sempura yang ditulis oleh Dr.Zaharuddin Abd Rahman. Perkara yang berkenaan meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan ketika solat.

Pernah atau tidak, ketika anda solat, ada orang melintasi di hadapan anda?
Hati pun bermonolog lantas khusyuk kita hilang.

Jadi, apa tujuan kita membuat penghadang di hadapan ketika solat?
Antaranya ialah sunnah Nabi s.a.w, tambahan pula ia menjadikan pemikiran kita berpusat kepada ibadah solat tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang ramai. Selain itu, ini dapat membezakan antara orang-orang yang sedang bersolat dengan orang di luar solat.

Mari kita lihat dalil ini…

Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” 

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Jika kita lihat daripada dalil ini sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah di waktu solat sendirian. Ini bertujuan agar tida orang yang mendapat dosa disebabkan lalu di hadapan orang solat.

Namun, meletakkan sutrah bagi mereka yang menunaikan solat sebagai makmum adalah tidak perlu.


Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)


Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Hukum boleh berubah bagi isu berjalan melintasi sutrah orang yang sedang bersolat iaitu imam atau mereka yang sedang solat bersendirian:

Apabila keadaan sangat terdesak,

HARUS – Apabila tahap darurat yang melibatkan bahaya pada nyawa dan harta benda.


Apabila keadaan terdapat keperluan,

HARAM – ini pandangan mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian ulama Hanafi.

HARUS – ini pandangan salah satu pandangan Imam Ahmad, sebahagian ulama Syafie dan mazhab Maliki. Mereka berdalilkan firman Allah yang mengkehendaki kemudahan bagi manusia dan bukan kesukaran. Imam An-Nawawi menyatakan pandangan ini juga dipegang oleh Imam Al-Juwayni dan Al-Ghazali.

Namun, jika yang lintas itu adalah kanak-kanak, binatang dan apa jua yang tidak mampu memahami isyarat dan halangan itu, maka ia termasuk dikecualikan.

Contoh objek sebagai sutrah:

1) Manusia yang sedang duduk diam, berdiri atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no 285 & 286)

2) Haiwan tunggangan yang duduk diam.

3) Dinding.

4) Pokok.

5) Tongkat.

Banyak benda boleh dijadikan sutrah. Gunalah benda yang kita tengah ada ketika itu. Jika kita masih di kampus, boleh guna beg. Gunalah apa yang ada dan buatlah penghadang. Dengan harapan, kita lebih khusyuk solat. InsyaAllah.

Wallahualam.