Tautan Ukhwah

Friday, December 26, 2014

Kata-kata adalah Doa

           
                                                                        Tokku

Seorang insan yang amat ku kagumi. Banyak yang ku pelajari daripada insan ini. Satu ayat yang paling ku suka.."Kata-kata adalah doa".

*********

Saat ku merinduinya, aku menelefon tok untuk bertanya khabar,

"Asssalamualaikum, tok sihat?", tanyaku.
"Waaikumussalam, alhamdulillah, sihat ja..", jawabnya.

Namun, aku curiga. Aku terdengar batukkannya berulang kali.

"Tok...tak sihat ka? dah makan ubat?", tanyaku lagi.
"Allah...InsyaAllah.Takdak apa la. Sihat ja. Nabilah jangan risau. Cikit ja ni", jawabnya dengan tenang.

Aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

********

Aku memang kerap tidur bersama dengan tok. Cucu sulung la katakan. Pernah suatu malam, aku tersedar dan melihat tok sedang urut kakinya.

"Tok...tok sakit? Nak Nabilah yang picitkan?", tanyaku.
"InsyaAllah.Tak dak apa la, lengah ja. Nabilah tidur la. Tok nak tidur dah jugak."

Aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

*********

Pernah aku dan tok berbincang tentang kewangan. Aku seolah mengeluh apabila merasakan kewangan tidak cukup namun ditangkas oleh tok dan seolah memarahiku.

"Jangan cakap tak cukup..cakap InsyaAllah cukup."

Sekali lagi, aku terdiam seribu bahasa memikirkannya.

*********

"Tok...Nabilah risau la. Macam tak ada rezeki ja nak p.."

"Jangan cakap tak dak rezeki, cakaplah InsyaAllah, moga ada rezeki."

Aku terdiam seketika.

*********

"Pah nak meniaga..tapi xtaw laku ke dak", luahan makku.

"Awat yang p pikiaq lagu tu? InsyaAllah, ada. rezeki kita Allah yang pegang",tegas tok menjawabanya

*********

Akhirnya, aku tak mampu pendam lagi dengan persoalan yang bermain di benak.

"Tok...boleh Nabilah tanya cikit?"

"Apadia?"

"Kenapa tok selalu sangat positif dan cakap InsyaAllah? Padahal kadang-kadang memang rasa benda tu tak boleh, tapi tok dok suruh pikiaq benda baik dan cakap InsyaAllah", tanyaku.

"Sebab, kita kena yakin dengan Allah, percaya pada Allah, Allah yang Maha Mengetahui, bila kita cakap, kita seolah doa pada Allah, jika Allah nak bagi, Allah bagi. Itu kuasa Dia", jawab tok.

Sambungnya lagi.....

"Kita adalah apa yang kita cakap dan pikiaq. Law kita pikiaq dan cakap sakit, dok sakit la kita sentiasa. Law kita pikiaq tak dak duit dan selalu dok sebut tak dak duit, tak dak duit la kita. Law kita selalu dok pikiaq negatif, tu yang selalu tak boleh buat. Kita kena lawan. Kena selalu pikiaq baik dan ingat Allah, InsyaAllah ok. Ingat, kata-kata tu doa".

Nah! Gedebuk batu jatuh kena muka. Rasa tamparan yang hebat. Positifnya tok. Patut la hidupnya selalu ceria walau macam-macam ujian yang ku lihat menghinggapinya. Tenang tok menghadapinya. Satu inspirasi buatku.

Pengajaran yang ku kutip:

1) Jangan cepat mengeluh.

2) Buang fikiran negatif dan jadi orang positif.

3) Yakin pada Allah.

4) Lawan dengan benda-benda remeh yang mengganggu kita untuk melangkah laju kepada Allah.

5) Cakaplah dengan perkataan yang baik.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
“Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”
(HR. Bukhari-Muslim)

6) Kata-kata adalah Doa.

Moga jadi inspirasi buat semua. ^_^
*Teruskan doa buat saudara mara kita yang diuji dengan banjir. Dan bila kita berbincang tentangnya, cakaplah yang baik-baik. kata-kata itu doa. ^_^
Wallahualam.

Siti Nabilah Azman,
24/12/14, 5.50pm,
Mu'tah, Jordan.


Saturday, December 20, 2014

Warkah SAHABAT


Bismillahirrahmanirrahim...

Tatkala diri mendahagakan kata-kata tentang sahabat, ku menghubungi seseorang dan mengharapkan sedikit kata-kata. Akhirnya, warkah SAHABAT ku terima. 

*******

Pesannya Saidina Ali,
“Selemah-lemah manusia adalah mereka yang tidak dapat mencari sahabat,
adapun mereka yang lebih lemah lagi ialah apabila mensia-siakan sahabat yang telah dicari.

Nah, penting bukan kita punya sahabat. Namun  andai sudah mendapat seorang sahabat, haruslah sebaiknya diikat. Tali ikatannya pula bukanlah dengan tali kejian dan mencari kesalahan, tetapi seharusnya dengan talian keikhlasan tanpa mengharap balasan.

Namun begitu, dalam membenih tautan ukhwah persahabatan ini, tujuan akhirnya nanti biarlah jitu iaitu mardhatillah. Lumrahnya persahabatan diselangi perselisihan faham. Tetapi masih asalkan benihnya Tuhan, siramannya iman dan bajanya kesetiaan, kan tetap merimbun pohonan kasih sayang.

Tegurlah andai terlihat salah, berlapanglah andai pendapat bercanggah.  Ibaratnya persahabatan itu seakan-akan rerumput lalang. Tidak peduli ditebas mahupun dipangkas, selama mana turunnya embun dan hujan dari langit, maka selama itu pulalah akan terus ia tumbuh mencengkam bumi. Begitu pula kita manusia, tidak peduli sehebat mana pertelingkahan, sekeruh manapun campuran perasaan, asalkan diturunkan air kesucian Islam dalam hati, selagi itu ia akan tumbuh lagi dan lagi.

Ukhwah dan persahabatan misalannya tasbih, punya awalnya tiada akhirnya, dan dicipta untuk mengingatiNYA. Salam, sapa dan senyuman, moga ia akan terus membahagiakan. ^_^ 

*jzkk buatmu atas perkongsian tentang SAHABAT ini. Ringkas dan padat tapi cukup mendalam maksudnya.


Wednesday, December 10, 2014

Al-Khaliq (Maha Pencipta)

AL-KHALIQ (MAHA PENCIPTA)


“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang kemudian Kami balut tulang- tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
(Surah Al-Mu’minun, ayat 14)

Allah itu Maha Pencipta. 
Semuanya Allah yang cipta.
Semuanya dari Allah s.w.t.
Kini…

Ilmu pengetahuan kini telah berkembang luas dan juga telah melampaui batas bagi manusia. Teori-teori sains yang materalis telah mengatakan pada pemahamannya adalah “Apakah alam semesta ini wujud dengan sendirinya atau memang ada yang menciptakan?” Inilah idea yang dilontarkan oleh kaum materalis yang tidak percaya pada kewujudan Allah s.w.t.

Akhirnya, pada tahun 1996, seekor kambing biri-biri yang bernama Dolly telah  dilahirkan hasil pengklonan dari sel dewasa. Ini dianggap sebagai kejayaan pertama dalam bidang sains pengklonan. Dr. Harry Griffin telah membela hasil penciptaannya dan menyatakan bahawa ini dapat membantu menghasilkan pelbagai tindakan baru terhadap sejumlah penyakit.

                                             


Pada tahun 1998, Dolly melahirkan anak biri-biri betina yang diberi nama Bonnie. Pada tahun 1999, Dolly melahirkan 3 anaknya namun setelah itu Dolly menghidap penyakit arthritis. Akhirnya, meninggal pada tahun 2003.

Namun, kata Dr Harry Griffin, jangkitan penyakit itu biasa bagi biri-biri  yang telah tua. Seolah-olah menutup kelemahan yang ada pada klon itu.

Lihatlah, betapa manusia sering lupa bahawa Allah yang telah menciptakan segalanya. Mencipta itu adalah menghadirkan sesuatu yang tidak ada menjadi ada, sedangkan manusia hanya mencipta atau mereka-reka sesuatu.

Sebenarnya, ilmu pengetahuan dan teknologi menurut pandangan Al-Qur’an  mengundang kita untuk melihat sekian banyak ayat Al-Qur’an yang berbicara tentang alam raya. Menurut ulama terdapat 750 ayat Al-Qur’an yang menjelaskan tentang alam beserta fenomenanya dan memerintahkan manusia untuk mengetahui dan memanfaatkannya.


Wallahualam.