Tautan Ukhwah

Tuesday, May 27, 2014

Tangisanku kerana kasihMu

                                                    


Sejenak, fikiranku melayang terhadap perkara yang berlaku kepadaku sebentar tadi. Perkara itu….buat jari jemari ini cuba berkongsi rasa.

********
Hari ini merupakan hari ketiga untuk peperiksaanku. Maka, hari ini ku menghadapi paper ketiga untuk diduduki.

Setelah hari-hari sebelum ini, banyak menguji secebis keimanan hati, namun ku gagahkan jua hati untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

********
Semalam, setelah menghadapi paper kedua, langkahku teruji. Rasa ingin saja membiarkan langkah ini terhenti. Namun, ku temui kekuatanku, ALLAH. Lantas, langkah ini terus maju dan mara ke hadapan.

Semalaman, ku cuba bersama dengan kekuatan itu. Harapan bertunas untuk esoknya..dan…….

HARI INI…

Ketika menjawab soalan tadi, rasa tenang,

Tiba-tiba, saat akhir, yang ketika itu hanya berbaki beberapa orang sahaja dalam kelas…

Allah….aku salah point ni, macam mana ni? Sempat ka nak tulih balik?”, monologku sendirian.

Dalam masa yang sama, pensyarah bertubi-tubi mendesak untuk dihantar jawapan kepadanya.

ALLAH….ALLAH….ALLAH….

Otakku ligat berfikir, jari jemari semakin kaku, degupan jantung semakin pantas berlari.

Akhirnya….

Ku pujuk hati, puas ku mendesak jari jemari ini untuk menari di kertas jawapan. Ku tahu..ia berdebar. Maka pujukku…

Jariku..bantulah aku…tulislah apa yang sempat, Allah bersama kita.”

Jari jemari terus cuba menari di kertas jawapan,

Mulut pula terkumat kamit berselawat dan zikir,

Mata pula cuba menahan air yang sedang bertakung,

Hati pula terus berharap pada Yang Esa.

          Tidak sampai lima minit, akhirnya jawapan dihantar. Ku tahu, walaupun jawapanku tidaklah begitu memuaskan dek kerana masa yang terhad malah fikiranku seolah-olah sedang melayang, apalah kudrat ini. Hanya Allah sahaja tempat ku berserah.

Mata….akhirnya, ia tidak mampu menahan takungan air itu.

Setitis demi setitis ia mengalir….

                                                        

Monolog sekeping hati….

“Kau menangis sebab xdapat jawab ka?”

“TAK! Tapi aku menangis sebab…Allah itu amat Pengasih. Tangisanku kerana KasihMu. Boleh ja sebenarnya andai Allah tidak bagi aku sedar kesilapanku, tapi..Allah sayangkan aku lagi dan menyedarkan aku walau di saat akhir”.

********
          Saat ku berjalan pulang dari universiti, Allah hadirkan seorang adik yang dapat menemaniku. Dialah Fatin Ikmal. Seorang yang mempunyai semangat yang tinggi. Sepanjang berjalan bersamanya, hatiku tersentuh.

“Atin..akak tahu..walau keputusan akan nanti kurang memuaskan, akak redha”, kataku padanya.

“Akak…siapa akak untuk cakap macam tu?”, katanya tegas.

          Allahu..benar adikku. Akak tak ada hak untuk buat sebarang keputusan atau untuk menilai, hanya Allah yang berhak. Terima kasih ingatkan akak.^_^

          Ketika berjalan, baru ku sedar, ku tiada duit tambang untuk pulang menaiki coaster. Alhamdulillah, Allah hadirkan adik ini untuk membantuku.

********
Allah itu, amat Maha Mengetahui. Allah tidak akan membebani seseorang dengan ujian yang dia tidak mampu. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya..”

          Percayalah….Allah hadirkan ujian untuk menguji keimanan kita. Untuk mendekatkan lagi kita denganNya.

                                                           

Macam mana dengan exam yang lalu?

Kita sudah usaha, maka tawakal dan doa berbaki.

Yakin dengan rencanaNya.

Teruskan langkah mara ke arahNya.

Pasti diri akan tersenyum.

Jom cari sesuatu dalam setiap hari yang dapat buat kita lebih cinta pada kekasih hati..ALLAH.

Allah…kekasih yang paling hebat yang akan kau temui.

Dan….

“esok akan merekah bunga yang layu, mengusir segala kegundahan hati”

Bunga-bunga sekitar Universiti Mu'tah, Jordan
*terima kasih buat Hani Wahab

Maknanya..di sebalik kesedihan akan menyusul kegembiraan.  Jom hadirkan rasa teruja dengan semua rahsia Allah untuk kita. Wallahualam.


*terima kasih buat semua insan yang langsung atau secara tidak langsung menyokongku, mendampingiku, menasihatiku, memberi sokongan dan macam-macam lagi. Moga Allah sahaja membalas jasa kalian.

Sunday, May 18, 2014

3 Golongan Sangat Menghairankan & Melucukan


“Tiga golongan sangat menghairankan dan melucukan:

Orang yang berangan-angan mengejar keduniaan sedangkan maut sedang mengejarnya,


Orang yang lupa sedangkan dia tidak dilupakan,


Orang yang ketawa sepenuh mulutnya sedangkan dia tidak tahu adakah Tuhannya murka atau redha terhadapnya.”


(Salman Al-Farisi)

Monday, May 5, 2014

Cara Suburkan Rasa Cinta Pada Allah

                                                                   

Ibnu Qayyim al-Jauziyah telah menyenaraikan beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyuburkan rasa cinta kepada Allah s.w.t:

  • Membaca Al-Quran dan mentadabbur maknanya serta memahami maksudnya.
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat. Allah berfirman di dalam sepotong Hadis Qudsi maksudnya:
“Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya…”                     
      (HR Bukhari)

  • Sentiasa mengingati dan menyebut nama-Nya dalam semua keadaan dengan lidah, hati, amal dan tingkah laku. Semakin banyak disebut, semakin mendalam cintanya.
  • Utamakan apa yang disukai dan disayangi Allah daripada apa yang disukai dan disayangi diri kita.
  • Terapkan ke dalam hati kita nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan sentiasa perhatikan bukti-bukti kebesaran-Nya di persekitaran hidup kita.
  • Renungi kebaikan-Nya, pemberian-Nya, dan nikmat-nikmat-Nya yang melimpah ruah sama ada yang zahir atau yang batin.
  • Leburkan hati di hadapan-Nya dengan penuh rasa hina, rendah diri dan menginsafi bahawa diri kita tidak berharga tanpa izin-Nya.
  • Berkhalwat dan bermunajat di waktu akhir malam dengan membaca kitab-Nya kemudian diakhiri dengan istighfar serta taubat.
  • Mendampingi orang-orang yang mencintai-Nya dan orang-orang yang benar imannya. Kutiplah kata-kata hikmah dari mereka yang berilmu dan soleh.


Sumber: Majalah Jom 03