Tautan Ukhwah

Wednesday, March 28, 2012

As-Salam-Maha Selamat Sejahtera

                                                                       

ÖN»n=y Zwöqs% `ÏiB 5b>§ 5OŠÏm§ ÇÎÑÈ (#râ»tFøB$#ur tPöquø9$# $pkšr& tbqãB̍ôfãKø9$# ÇÎÒÈ

(Kepada mereka dikatakan) Salam, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang dan (dikatakan kepada orang-orang kafir). Berpisahlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.
(Surah Yasin, 58-59)

Imam Ibnu Kathir rahimullah berkata : “As-Salam, maknanya, yang selamat dari segala aib dan kekurangan kerana kesempurnaan zat, sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya (Allah)”.

Imam Asy-Syaukani rahimullah berkata: “As-Salam, maksudnya yang selamat dari semua kekurangan dan aib”.

Kisah Orang Terakhir Yang Masuk Syurga

          Di akhirat kelak, semua manusia mendapatkan kitab catatan amal sama ada di tangan kanan atau kiri. Kemudian, masing-masing mendapat balasan sesuai dengan perbuatan masing-masing saat di dunia. Yang menerima kitab dengan tangan kanan akan ditempatkan di syurga sedangkan yang menerima dengan tangan kiri akan ditempatkan di neraka.

          Setelah semua manusia mendapat balasan, masih terdapat seorang lelaki yang masih berlari-lari, merayap-rayap di atas jambatan siratul mustaqim iaitu jambatan yang membentang di atas neraka Jahanam dan lebih sempit dari rambut dan lebih tajam dari pedang yang paling tajam.

 Orang terakhir itu,  merangkak dan cuba keluar dari jambatan siratul mustaqim. Terkadang api menjilat wajahnya dan menghanguskan tubuhnya. Namun, dengan izin Allah s.w.t, dia akhirnya dapat melalui jambatan tersebut.

Lelaki itu berkata, “Maha Suci Allah, Engkau telah menyelamatkan dari seksa-Mu. Sungguh, aku telah diberi kurnia yang tidak diberikan kepada orang-orang sebelum atau sesudahku”. Kemudian oleh Allah s.w.t, dia diperlihatkan kepada sebuah pohon lalu dia berkata, “Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pohon tersebut agar aku dapat berteduh dan meminum airnya.”

Allah s.w.t kemudian berfirman, “Wahai Ibnu Adam, apabila aku mengabulkan permintaanmu, aku bimbang engkau akan meminta yang lainnya.” Lelaki itu menjawab, “Tidak, ya Tuhanku”. Kemudian lelaki itu berjanji tidak akan meminta yang lainnya. Maka Allah s.w.t mendekatkan lelaki tersebut kepada pohon itu. Allah s.w.t kemudian memperlihatkan lelaki ini dengan pohon yang lebih baik dari pohon yang pertama. Lelaki itu kemudian berkata, “Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pohon itu sehinggaku dapat minum airnya dan berteduh di bawahnya dan aku tidak akan meminta kepada-Mu yang selainnya.”

Maka Allah s.w.t berfirman, “Wahai Ibnu Adam bukanlah engkau telah berjanji tidak akan meminta kepada-Ku yang selainnya? Aku bimbang apabila Aku berikan kepadamu, engkau akan meminta yang lainnya.” Maka lelaki itu berjanji untuk tidak meminta yang selainnya.

Setelah berada dekat dengan pohon itu, dia mencium bau Syurga dan mendengar suara penduduk Syurga sehingga keinginannya menjadi berubah. Dia berubah fikiran lagi dan terus memujuk Allah s.w.t, “Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Allah s.w.t kemudian berfirman, “Wahai hamba-Ku, bukankah tadi engkau tidak akan meminta lagi sesuatu darii-Ku? Bagaimana seandainya Aku berikan dunia atau yang seperti dengannya?” Lelaki ini berkata, “Wahai Tuhan-Ku, apakah Engkau mempermainku padahal Engkau adalah Rabbul Allamin.” Allah s.w.t berfirman,” Aku tidak mempermainkanmu tetapi aku Maha Mampu atas segala sesuatu yang Aku inginkan.”

**********
Pembaca yang dirahmati Allah,

          Demikianlah Allah menyelamatkan hamba yang dikehendaki-Nya dari pelbagai seksaan neraka. Kita harus perhatikan dengan Maha Salam-Nya. Allah akan memberikan keselamatan dari azab, kejahatan dan pelbagai maksiat yang ada dunia dan akhirat kepada hamba-Nya yang dikehendaki.

          Selain itu, ingatlah..dengan merenungi dan memahami nama Allah merupakan faktor utama yang dapat menambah keimanan seseorang muslim kepada Allah. Seorang Muslim wajib untuk meminta keselamatan hanya kepada-Nya. Hal ini kerana keselamatan hanyalah bersumber dari-Nya. Semoga Allah sentiasa memberikan keselamatan kepada kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.


Tuesday, March 27, 2012

Tegakkan tulang ketika solat

                                                                                 

Assalamualaikum w.b.t,

          Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta para sahabat baginda.

Pembaca yang dirahmati Allah sekalian,

          Apabila diamati sebahagian orang muslimin ketika menunaikan solat, maka akan didapati mereka tidak sempurna dalam berdiri. Kadangkala dia membongkokkan dadanya, kadangkala dia cenderung ke arah kanan atau melakukan kedua-duanya, dan kadangkala pula dia cenderung ke arah kiri. Perbuatan ini jelas dilarang.

          Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tabrani dalam Al-Kabir dengan sanad yang sahih, bahawa Nabi s.a.w bersabda :

“Allah tidak akan melihat solat seorang hamba yang tidak menegakkan tulang belakangnya di antara rukuk dan sujudnya.”

          Nabi s.a.w juga pernah memerintahkan orang yang melakukan kesalahan dalam solatnya dengan sabda beliau, “Kemudian angkatlah kepalamu sehingga tegak dengan sempurna dan setiap tulang berdiri tegak pada tempatnya.”

          Dalam sebuah riwayat disebutkan, jika kamu berdiri, maka tegakkanlah tulang belakangmu dan angkatlah kepalamu sehingga tulang kembali pada sendinya. Kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya solat salah seorang itu tidak sempurna apabila dia tidak melakukan perkara itu”.

          Marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita agar diterima-Nya. Tambahan pula, solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Sekiranya kualiti solat kita tidak mencapai tahap sepatutnya, ia mungkin akan menjadi sia-sia.

Wallahualam.

Sumber : Buku 400 Kesalahan Dalam Solat, Mahmud Al-Misri

Sunday, March 25, 2012

Aisyah Binti Abu Bakar As-Siddiq

                                                                   

Nama : Aisyah Binti Abu Bakar As-Siddiq

Gelaran : - Al-Humaira (putih kemerah-merahan)
              - Ummul Mukminin (ibu bagi semua umat Islam)

Tarikh Lahir : Tahun 614 Masihi (6 tahun sebelum hijrah)

Tempat Lahir : Kota Mekah

Umur ketika wafat : 67 tahun

Tempat wafat : Madinah Al-Munawarah

Tempat dimakamkan : Al-Baqi’

          Saidatina Aisyah adalah belahan jiwa Rasulullah s.a.w di dunia dan di akhirat kelak. Beliau adalah seorang ahli feqah yang selalu taat kepada Tuhannya. Semasa Rasulullah s.a.w wafat, setelah sembilan tahun hidup bersama, usianya baru menginjak sembilan belas tahun. Meskipun demikian, Saidatina Aisyah telah memenuhi seluruh penjuru dunia dengan ilmu.

          Saidatina Aisyah adalah salah seorang mujtahid yang dikenali dalam sejarah Islam. Seorang wanita dengan pemahaman tajam akan ajaran-ajaran asas agama (Usuluddin) dan ilmu-ilmu Al-Quran. Dalam beberapa kes, Saidatina Aisyah menilai pemahaman para sahabat dan menjadi rujukan dalam memahami amalan Rasulullah s.a.w.

          Abu Musa al-Asy’ari berkata, “ Kami, sahabat-sahabat Rasulullah tidak menemui kesukaran sama sekali dalam masalah hadis, kemudian ketika kami bertanya kepada Aisyah dan kami mendapati pengetahuan baru tentang hadis tersebut.”

Sifat-sifat peribadi Saidatina Aisyah : 

- Rajin menuntut ilmu

- Cerdik dan pintar

-Sabar, cekal dan tabah

- Berani dan gigih dalam perjuangan

- Taat dan patuh kepada ibubapa dan suami

- Keimanan yang teguh dan kuat beribadat

- Bergiat aktif dalam penyebaran agama dan ilmu Allah

          Kisah hidup Saidatina Aisyah r.a. telah membuktikan bahawa wanita mampu menguasai bidang keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi pendidik kepada para ilmuan dan pakar-pakar pelbagai bidang. Kehidupan beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita dalam mempengaruhi pandangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan serta membekalkan inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya dengan pekerti yang tinggi, lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.

Syair Saidatina Aisyah kepada Nabi s.a.w:


Wahai manusia yang tidak sekalipun mengenakan sutera,


Yang tidak pernah sejeda pun,

Membaringkan raga pada empuknya tilam.

Wahai kekasih yang kini telah meninggalkan dunia,

Ku tahu perutmu tidak pernah kenyang, 

Dengan pulut lembut roti gandum,

Duhai, yang lebih memilih tikar sebagai alas pembaringan,

Duhai, yang tidak pernah terlelap sepanjang malam, 

Kerana takut sentuhan neraka Sa'ir.

 - Aisyah r.a

          Ayuh..wanita yang disayangi Allah sekalian,..kita contohi sikap peribadi Saidatina Aisyah r.a. dalam kehidupan kita. Marilah kita menjadi muslimah yang mencari redha-Nya.



Wallahualam.


Wednesday, March 14, 2012

Menghindari Makanan Yang Masih Panas


Salah satu sumber keberkatan yang sering dilupakan orang adalah tidak makan makanan yang masih panas tetapi menunggu sehingga agak sejuk.

Satu kisah,

Asma’ binti Abu Bakar telah dibawakan sup lalu Asma’ menyuruh untuk dibiarkan agar hilang panas dan asapnya. Dia berkata:

“ Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Hal seperti itu lebih banyak berkatnya.”
(Fathul Mannnan Takhrij hadith Darimi, no 2180)

Abu Hurairah juga berkata:

“Janganlah memakan makanan, kecuali telah hilang asapnya.”
(Irwa’, no 1978)

          Ulama mencela orang yang makan makanan yang masih panas dan tidak sabar menunggunya sehingga sejuk. Dia mengatakan tidak panas sedangkan air matanya sampai keluar, atau dia memuntahkan dari mulutnya atau segera meminum air sejuk agar boleh masuk. Hal yang demikian tidak baik bagi pencernaannya.
(Kitab Al-Muakalah)

          Sekarang muncul pertanyaan, sudah menjadi tradisi kebanyakkan orang bahawa sebahagian minuman tidak boleh diminum kecuali masih sangat panas, seperti kopi dan lain-lain, bagaimana penyelesaiannya?

Jawabnya, hendaklah menunggu sehingga panas berkurangan kemudian baru diminum. Dia boleh menikmatinya dalam keadaan panas yang sederhana dan melegakan.


Wallahualam.

Sumber: Buku Adab Dalam Islam, karya Fuad Abdul Aziz Asy-Syalhub

Saturday, March 10, 2012

Wanita Syurga Terbaik

                                                                 

Khadijah binti Khuwalid merupakan isteri Rasulullah s.a.w dan ibu kaum mukminin (Ummul Mukminin).

Ibnu Athir berkata,

“ Khadijah binti Khuwalid adalah makhluk Allah pertama yang masuk Islam, demikian menurut kesepakatan (ijma’) kaum muslimin. Oleh sebab itu, dia memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah dan Rasul-Nya.”

Aisyah r.a. berkata:

“ Aku tidak pernah cemburu kepada isteri-isteri Nabi lebih dari kecemburuanku terhadap Khadijah yang mangkat sebelum Rasulullah meminangku. Aku mendengar Rasulullah menyebut-nyebut dirinya. Bahawa Allah memerintahkan Rasulullah memberikan khabar gembira kepada Khadijah dengan rumah dari emas di syurga. Apabila Rasulullah menyembelih kambing kemudian menghadiahkan daging kambing itu kepada semua  isterinya, nescaya daging itu tidak mencukupi jumlah mereka.”
(HR.Bukhari dan Muslim)

Dari Ali Ibnu Abu Talib r.a. dari Nabi s.a.w bersabda:

“ Sebaik-baik  wanita syurga adalah Maryam dan sebaik-baik wanita syurga adalah Khadijah.”
(HR.Bukhari dan Muslim)

Aisyah r.a. berkata,

“Ketika disebut nama Khadijah, Rasulullah s.a.w tidak bosan memuji dan memohon keampunan untuknya. Pada suatu hari dia menyebut nama Khadijah hingga aku dihinggapi rasa cemburu. Aku berkata, “Sungguh Allah s.w.t. telah menggantikan wanita tua itu denganku!” Aku melihat Rasulullah murka terhadapku. Aku berkata dalam hati, ‘Ya Allah, apabila Engkau menghilangkan murka Rasul-Mu, maka aku tidak akan menyebut keburukan Khadijah sama sekali’. Rasulullah melihat apa yang aku lakukan seraya berkata,’Apa yang kamu ucapkan? Demi Allah, Khadijah telah beriman kepadaku di saat semua manusia mendustaku. Dia selalu menyambutku ketika semua manusia mengusirku. Aku diberi  kurnia anak darinya, namun kamu menahannya dariku.’ Aisyah melanjutkan,’Kemudian Rasulullah tidak  menemuiku selama sebulan.”

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Hati Khadijah terus bergetar ketika pertama kali mendengar ajaran Islam. Hati yang dipenuhi oleh cahaya Islam menjadikannya seorang wanita penghulu syurga.

          Saidatina Khadijah seorang yang tenang dan berjaya menyenangkan Rasulullah s.a.w ketika menerima wahyu pertama di Gua Hira’ selain penyokong kuat Rasulullah s.a.w dalam menggerakkan dakwah.

          Selain itu, Saidatina Khadijah juga meninggalkan segala kemewahan demi keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta memberikan perlindungan dan pembelaan kepada Rasullah s.a.w.

          Saidatina Khadijah juga pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah s.a.w.

          Tambahan pula, beliau juga sanggup mengharungi pelbagai cabaran bersama Rasulullah s.a.w demi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.

          Akhir kalam, buat pembaca sekalian, marilah kita menjadi seteguh Saidatina Khadijah. Suci hatinya seperti beliau. Tenang dan sabar dalam menghadapi pelbagai rintangan yang mendatang. Bijaksana dalam menghadapi sesuatu perkara.

Wallahualam.