Tautan Ukhwah

Tuesday, January 20, 2015

Di Mana Kau MUJAHADAH?


Mujahadah...
Kenapa kau sering lari daripadaku?
Atau aku terlepaskanmu?
Aku amat memerlukanmu,
Kembalilah padaku.

Janganlah menyorok denganku lagi,
Hatiku sesak memikirkanmu,
Aku mahu bersamamu,
Mara bersama ke arahNya.

Tahukah dikau?
Saat kau tiba-tiba hilang menyepi,
Aku tampak bahagia,
Namun hakikatnya aku derita,
Derita dengan dosa yang menggunung.

Aku sedar,
Kau hilang bukan sendiri,
Iman yang membawamu pergi,
Saat Iman lemah,
Kau turut lemah,
Akhirnya, kau lesap!

Benar!
Aku yang sebenarnya lemah,
Membiarkan Iman jatuh tersungkur,
Membiarkan dikau hilang menyepi,
Seolah aku yang merelakan kalian pergi.

Aku mungkin kerap berdoa,
Mengharapkan kau dan Iman terjaga,
Tapi rupanya ikhtiarku rapuh,
Alpa tumbuh dalam fikiranku,
Sehingga aku lupa menangkasnya.

Saat ini,
Aku benar-benar perlukanmu,
Aku semakin kekurangan waktu,
Kematian semakin dekat denganku,
Mati dalam Husnul Khatimah menjadi hajatku.

Tahukah dikau?
Aku tak pernah lelah mengejarmu,
Jika ini mampu menjadi saksi usahaku,
Aku kini bukan hanya meratapi kehilanganmu,
Malah ku kesali dengan lemahnya Iman jua,
Sekerah tenaga ku gunakan untuk menjaga kalian.

Mujahadah...
Jangan kau merajuk lagi denganku,
Marilah bersamaku mara ke arahNya,
Aku tahu Iman perlu bersama kita,
Akan ku usahakan,
Ini harapanku,
Ya Rabbi, saksikanlah perjuangan kisahku bersama Mujahadah dan Iman ini.
Matikanlah aku dalam Husnul Khatimah.
Aamiin.

19/1/15,
11.37pm
Mutah, Jordan.

Thursday, January 8, 2015

Ummu Hani Binti Abi Talib

                                                     


Ummu Hani merupakan sepupu Rasulullah s.a.w. Nama sebenarnya Fakhitah Binti Abu Talib. Sebelum ini, namanya Ummu Amr, tetapi setelah anaknya Amr mati semasa kecil, namanya ditukar ke Ummu Hani.

Semasa jahiliah, Rasulullah pernah meminangnya. Dan ketika itu jua, ada seorang pemuda bernama Hubairah juga meminangnya. Abu Talib telah memilih Hubairah menjadi pasangan anaknya itu.

Hubairah dan Fakhitah akhirnya terpisah kerana Islam. Apabila mengetahui isterinya memasuki Islam, Hubairah melarikan diri. Ummu Hani ini amat mementingkan hak anak-anaknya sehingga dia mendapat pujian, “ Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya”.

Pada hari pembukaan negeri Mekah, ada dua kerabat suami Ummu Hani dari Bani Makhzum, Al-Harits bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani untuk meminta perlindungan. Namun, datang Ali Bin Abi Talib mengatakan, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!”

Lalu Ummu Hani bergegas ke rumah Rasulullah s.a.w dan mengadu kepada beliau. Maka baginda pun menjawab, “Aku melindungi orang yang ada dalam perlindunganmu dan memberi jaminan keamanan pada orang yang ada dalam jaminan keamananmu”.

Lihatlah betapa dengan kecerdasannya dalam aspek keimanan, Ummu Hani mampu menyelamatkan dua orang itu. Selain itu, Ummu Hani juga ada meriwayatkan hadis.


Wallahualam.