Tautan Ukhwah

Friday, May 18, 2012

Maafkanlah..

                                                                           

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualamualaikum w.b.t,

Astaghfirullahal’azim (7x)

          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang paling mulia dan semua keluarga serta para sahabatnya sekalian.

Pembaca yang dirahmati Allah,

          Dalam hubungan kemasyarakatan tidak akan pernah terlepas dari tindakan melanggar hak orang lain sama ada dalam bentuk ucapan atau perbuatan. Oleh itu, orang merasakan dirinya dizalimi dianjurkan untuk menahan amarahnya dan memaafkan pelakunya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah Asy-Syura, Ayat 37:

Maksudnya :
Dan orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji dan apabila mereka marah, mereka memaafkan.

Allah s.w.t juga berfirman tentang sifat-sifat orang yang bertaqwa :

Maksudnya :
Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
( Surah Ali Imran : 134)

            Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekhilafan dirinya sendiri. Pada mulanya, hati akan terasa begitu pedih bak dihiris sembilu apabila dizalimi, dianiaya dan diguriskan hati kita. Namun, sedarkah kita bahawa dia dan kita mempunyai kelemahan dan kesilapan yang kadang kala kita terlupa dan tanpa sengaja melukai hati orang lain.

          Dalam realiti kini, manusia lebih suka bercakap dan mengingati tentang keburukan, kelemahan dan kekhilafan orang lain. Padahal, mungkin kebaikan seseorang itu lebih banyak yang dia telah lakukan untuk kita. Namun, hanya beberapa kali hati kita disakiti, lantas kita melupakan semua jasa baiknya terhadap kita?

Allahuakbar….

          Kita juga hamba Allah..dia juga hamba Allah. Sedarkah dikau mungkin Allah sengaja menghantar dia untuk menguji sejauh mana iman di dada kita. Apalah gunanya kiranya kita berdendam dengan orang lain malah sanggup gadaikan iman kita hanya kerana hati kita disakiti sedikit? Padahal Nabi Muhammad s.a.w. disakiti lebih teruk daripada kita, namun adakah Nabi Muhammad s.a.w. berdendam dengan orang menyakiti baginda? Tidak…malah Baginda memaafkan mereka.

                                                          

Pembaca yang budiman,

          Memaafkan orang lain bererti memaafkan orang yang berlaku buruk kepada anda baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

          Memaafkan lebih dalam nilainya daripada menahan amarah. Oleh kerana memaafkan bererti tidak melakukan pembalasan terhadap orang yang berlaku buruk.

          Semua ini, hanya boleh terjadi pada orang yang menghiasi diri dengan akhlak yang indah dan melepaskan dirinya dari akhlak yang hina.

          Tahukah kalian? Orang yang memaafkan hamba-hamba Allah s.w.t adalah orang yang berdagang dengan Allah s.w.t kerana dorongan rasa sayang kepada mereka, ingin berbuat baik kepada mereka, tidak menyukai sesuatu yang buruk menimpa mereka, serta berharap mendapat keampunan Allah dan menyerahkan tanggungjawab pahala kepada Allah Yang Maha Pemurah, bukan kepada hamba yang fakir.

Tahu tak..

          Orang yang berjiwa besar ialah orang yang mampu memaafkan kesalahan orang lain walaupun  betapa sakit hati ketika kesalahan itu dilakukan ke atas dirinya kerana menyedari bahawa kemaafan meraih kasih sayang Allah s.w.t, tidaklah antara namaNya ‘Al-Afuwwu” Maha Pemaaf, maka ketika kita memaafkan kesalahan orang lain kita sedang berusaha merapatkan diri dengan Maha Pemaaf.

          Sebenarnya, memang bukan mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain tetapi kita cuba belajar untuk memaafkan orang lain untuk memberi ruang yang lebih luas dalam hidup kita untuk memperbaiki diri. Ayuh, cuba memaafkan orang lain sekaligus memperindahkan akhlak kita dan merapatkan diri dengan Allah s.w.t. Mudah-mudahan Allah juga memaafkan segala kesalahan yang pernah kita lakukan. Insyaallah.

Wallahualam.